Dikuasakan oleh Blogger.

Ahad, 31 Julai 2011

Nota Ramadan 1432 H | Krisis Anak Bulan...


Setiap tahun pasti timbul isu mengenai masyarakat-masyarakat Islam di seluruh dunia tidak bersepakat dalam penetapan tarikh bagi hari-hari perayaan. Kontroversi-kontroversi ini lazimnya timbul ketika penentuan tarikh bagi bulan-bulan yang mulia—iaitu Ramadan di mana seluruh umat Islam berpuasa, kemudian Syawal di mana seluruh Islam menyambut lebaran Aidilfitri, kemudian pula Zulhijah apabila penganut agama Islam dari seluruh dunia melaksanakan ibadat mulia haji di Mekah dan pada awal Muharam, bulan pertama dalam tahun Hijrah baru—kerana melibatkan ibadah kira-kira 1.3 bilion1 penganut Islam di seluruh dunia.

Mengikut warisan sunah yang diamalkan sejak zaman nubuwah, awal bulan ditentukan dengan cara melihat anak bulan. Anak bulan juga dikenali dalam istilah falak sebagai hilal. Sebahagian kecil permukaan bulan yang bercaya akan dapat dilihat bentuknya seperti lengkuk cahaya yang sangat halus. Perbuatan melihat anak bulan ini dikenali sebagai rukyah dan dianggap ibadah yang sungguh mulia. Rukyah dianggap penting kerana bersangkut paut dengan penentuan awal bulan dalam kalendar Hijrah, lagi-lagi dalam penentuan hari-hari ibadah, iaitu puasa dan haji serta hari-hari lebaran dalam Islam, berpandukan firman suci Allah s.w.t. dalam al-Quran:

يسألونك عن الأهلة قل هي مواقيت للناس والحج وليس البر بأن تأتوا البيوت من ظهورها ولكن البر من اتقي وأتوا البيوت من أبوابها واتقوا الله لعلكم تفلحون

Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: (Peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat haji.”2

Diriwayatkan bahawa Rasulullah pernah mengajar cara-cara penentuan awal bulan menjelang Ramadan:

‏لا تصوموا حتى تروا الهلال ولا تفطروا حتى تروه فإن غم عليكم فاقدروا له

Maksudnya: “Janganlah kamu berpuasa (Ramadan) kecuali kerana melihat anak bulan dan janganlah kamu berbuka (Syawal) kecuali kerana melihatnya. Maka sekiranya berlaku kekaburan (cuaca mendung), maka tentukanlah ia menggunakan hitungan.”3

Amalan rukyah diteruskan sehingga zaman berzaman. Namun begitu, keadaan berubah apabila sayap Islam meluas, kerana ketika itu ilmu berkembang dengan amat pesat. Pelbagai sumber ilmu dibawa masuk ke dalam dunia Islam, menyebabkan berkembangnya ilmu-ilmu baru yang berharga, umpamanya perubatan, fizik, kimia, matematik, tidak ketinggalan astronomi.

Astronomi dikenali dalam dunia Islam sebagai ilmu falak. Pada waktu itu, cendekiawan-cendekiawan Islam yang menyedari bahawa pergerakan objek-objek samawi di langit seperti matahari dan planet adalah berdasarkan perhitungan dan perkadaran yang tetap. Oleh itu, dengan memanfaatkan matematik, seseorang boleh menghitung kedudukan objek-objek samawi pada sebarang waktu yang diberikan. Ini bermakna bahawa waktu-waktu solat yang tertaktuk kepada kedudukan matahari dan fasa-fasa bulan seperti badr dan ijtimak boleh ditentukan dengan melakukan pengiraan menggunakan tangan tanpa melihat di langit. Penemuan ini menyumbang kepada percambahan kaedah baru dalam penentuan awal bulan yang umumnya dikenali sebagai hisab.

“Perkara pertama yang perlu difahami tentang rukyah anak bulan ialah bahawa bulan terbit dan tenggelam seperti matahari. Inilah perkara yang paling asas,” kata Mohammad Shawkat Odeh, seorang pakar falak, ketika dalam sesi temu bual bersama Ahmad Mansur, hos rancangan Bila Hudud yang disiarkan dalam saluran Al-Jazeera.4

“Seperti mana matahari terbit pada waktu pagi dan bergerak ke puncak langit pada lebih kurang pukul 12, kemudian tenggelam di barat pada waktu petang, bulan juga terbit dan tenggelam, akan tetapi dengan cara yang agak berbeza daripada matahari, iaitu bulan akan lewat daripada terbitnya dan tenggelamnya pada setiap hari dengan purata 50 minit. Contohnya, jika hari ini bulan tenggelam pada pukul 6 petang, maka esok ia akan tenggelam pula pada pukul 6:50 petang,” tambah beliau.

Mohammad Odeh ialah seorang pakar terkemuka dalam bidang falak. Beliau adalah graduan Universiti Sains dan Teknologi Jordan pada tahun 2002. Pada tahun 1998, Mohammad Odeh menubuhkan Islamic Cresents’ Observation Project (Projek Pencerapan Anak Bulan Islam) atau singkatannya ICOP, yang pada hari ini memiliki tidak kurang daripada 300 ahli yang terdiri daripada pakar falak dan individu-individu yang berminat dalam rukyah anak bulan dari negara-negara Islam di serata dunia. Beliau juga merupakan Timbalan Presiden Jawatankuasa Rukyah Anak Bulan dan Penetapan Waktu Solat dalam Kesatuan Falak dan Sains Angkasa Arab (AUASS). Beliau telah menyertai lebih daripada sepuluh sesi persidangan peringkat dunia yang berkaitan dengan hal ehwal falak dan rukyah. Mohammad Odeh juga telah membangunkan sebuah atur cara komputer yang boleh menghitung waktu-waktu solat, imkanurrukyah bagi anak bulan, arah kiblat, dan waktu terbit serta tenggelam bagi matahari dan bulan yang boleh digunakan di sebarang tempat di dunia. Atur cara tersebut digunakan secara rasmi sebagai penentu imkanurrukyah dan kalendar Hijrah oleh kerajaan Jordan. Kaedah penghitungan imkanurrukyah beliau juga diguna pakai dalam piawaian Kalendar Hijrah Universal.

Dalam sesi temu bual tersebut, hos Ahmad Mansur membangkitkan isu mengenai krisis percanggahan tarikh-tarikh Hirah di seluruh dunia, dan Mohammad Odeh dijemput sebagai tetamu jemputan.

Terang Mohammad Odeh, “perkara kedua yang perlu difahami dalam rukyah ialah makna kelahiran bulan. Seperti yang diketahui umum, bulan mempunyai kitaran yang terdiri daripada beberapa fasa. Fasa-fasa ini berlaku akibat pergerakan bulan di atas orbitnya mengelilingi bumi dan pantulan cahaya dari matahari ke bumi. Kitaran ini menjadi lengkap pada setiap 29.53 hari.”

“Selepas fasa purnama (badr), kawasan bulan yang bercahaya menjadi semakin kecil setiap hari, sehinggalah pada suatu keadaan yang mana bulan terletak selari dengan matahari. Pada keadaan ini, keseluruhan permukaan bulan [sebagai mana yang dilihat dari bumi] menjadi gelap. Fasa ini dikenali sebagai ijtimak.”5

“Ijtimak adalah lawan bagi purnama. Purnama ialah keadaan di mana keseluruhan bulan bercahaya, manakala ijtimak pula ialah keadaan di mana keseluruhan bulan adalah gelap,” jelas beliau.

Ijtimak ialah pengakhiran bagi kitaran lama dan permulaan bagi kitaran baru. Keseluruhan permukaan bulan sebagai mana yang dilihat dari bumi adalah gelap kerana tiada cahaya yang dipantulkan dari matahari mengenai bumi. Menurut Mohammad Odeh, tempoh masa daripada permulaan kitaran baru kepada fasa anak bulan (hilal) ialah antara 11 hingga 24 jam.

Ketika ditanya oleh hos adakah ijtimak berbeza-beza dari tempat ke tempat di dunia, Mohammad Odeh dengan tegas menjawab bahawa ijtimak adalah satu kejadian alam yang berlaku pada satu-satu masa sahaja, oleh itu tidak boleh dianggap berbeza-beza dari tempat ke tempat yang lain di dunia, cuma zon waktu tempatan yang digunakan adalah berbeza.

Mohammad Odeh ditanya lagi, “bolehkah kita mengetahui waktu berlakunya kejadian kelahiran anak bulan dengan tepat?”

Beliau menjawab, “untuk mengetahui waktu terjadinya anak bulan dan seterusnya menetapkan awal bulan baru dalam kalendar Hijrah, kita perlu melihatnya di ufuk barat selepas matahari tenggelam.”

“Namun begitu, perlu diketahui bahawa anak bulan tidak akan terjadi apabila tidak cukup dua syarat. Pertama, bulan mestilah tenggelam selepas tenggelamnya matahari. Sekiranya bulan tenggelam sebelum tenggelamnya matahari, itu bermakna bahawa bulan tiada di langit, maka rukyah dikira mustahil,” terangnya.

“Syarat kedua ialah hendaklah berlaku ijtimak, iaitu keselarian kedudukan bulan dengan matahari, sebelum tenggelamya matahari. Demikian adalah kerana, seperti yang telah diterangkan sebelum ini, kejadian anak bulan hanya berlaku selepas 11 hingga 24 jam selepas ijtimak. Maka sekiranya ijtimak tidak berlaku sebelum matahari tenggelam, rukyah juga dikira mustahil.”

Menurut Mohammad Odeh lagi, jika syarat-syarat tersebut dipenuhi, maka wujud kebarangkalian bahawa anak bulan muncul di langit. Keadaan tersebut dipanggil imkanurrukyah (boleh nampak).
Kontroversi penentuan 1 Zulhijah

Akhir tahun lepas, kerajaan Saudi mengumumkan rukyah pada hari Ahad, 9 Disember dan 1 Zulhijah, satu tarikh mulia, ditetapkan pada Isnin, 10 Disember. Keputusan ini diterima bulat-bulat oleh dua juta6 jemaah Muslimin yang melaksanakan ibadat agung haji di Mekah.

Namun begitu, pengumuman rukyah ini ditolak oleh ahli-ahli falak kerana bercanggah dengan syarat-syarat imkanurrukyah. Demikian adalah kerana, menurut hisab, pada hari Ahad, bulan telah pun tenggelam 22 minit sebelum tenggelamnya matahari di Mekah, manakala ijtimak pula berlaku pada 8:40 malam, iaitu tiga jam selepas tenggelamnya matahari. Oleh itu, dengan berpandukan syarat-syarat imkanurrukyah yang telah dikemukakan oleh Mohammad Odeh tadi, adalah mustahil bahawa anak bulan muncul pada hari tersebut. Justeru, menurut hisab, penetapan 1 Zulhijah oleh kerajaan Saudi pada hari Isnin adalah salah, sebaliknya anak bulan sepatutnya kelihatan pada hari keesokannya, iaitu hari Isnin dan 1 Zulhijah ditetapkan pada hari Selasa.

Bagaimanakah mereka boleh melihat anak bulan sedangkan ia memang tiada di langit? Bukankah anak bulan tidak boleh muncul sebelum tempoh minimum 11 jam selepas ijtimak? Kenapa Saudi mengabaikan fakta-fakta sains yang dipersetujui oleh ahli-ahli falak sedunia tetapi mengambil kira pengakuan rukyah daripada individu yang belum tentu sahih atau tidak?

Penetapan tarikh 1 Zulhijah oleh Saudi diakui dan diikuti oleh beberapa buah negara Islam lain. Iraq, Kuwait, Bahrain, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Oman, Yemen, Jordan, Palestin, Syria, Lubnan, Mesir, Tunisia dan Algeria mengumumkan 1 Zulhijah pada hari Isnin atas alasan mengikut Saudi. Libya sahaja yang mengumumkan 1 Zulhijah pada hari Isnin atas alasan berlaku ijtimak sebelum matahari tenggelam.

Terdapat juga sebilangan negara lain yang tidak mengikut keputusan Saudi. Indonesia, Malaysia, Turki, Mauritania, Afrika Selatan, Trinidad and Tobago, Guyana, Norway, dan Holland menetapkan tarikh 1 Zulhijah pada hari berikutnya, iaitu Selasa, 11 Disember. Manakala India, Bangladesh, Pakistan, Iran, Maghribi, dan Senegal pula menetapkan tarikh 1 Zulhijah pada hari Rabu, 12 Disember.7

Pada 12 Disember, iaitu bersamaan 2 Zulhijah di Mekah, International Crescent Observation Project (ICOP) mengeluarkan satu kenyataan media sebagai jawapan kepada tindakan aneh kerajaan Saudi dan meminta supaya Saudi menarik balik pengumumannya. Kenyataan berbentuk surat yang ditandatangani oleh 25 ahli falak Islam dari seluruh dunia (termasuk Saudi sendiri) tersebut bertajuk “Persetujuan Ahli Falak Mengenai Kemustahilan Rukyah pada Hari Ahad”. Dalam surat tersebut, ICOP menerangkan bagaimana anak bulan sebenarnya tiada pada hari Ahad dan tindakan melulu kerajaan Saudi yang membenarkan pengakuan rukyah daripada saksi yang belum tentu sahih atau tidak.

Berikut adalah petikan sebahagian daripada kandungan surat tersebut: “Kami ingin bertanya, bagaimanakah saksi-saksi [rukyah] ini diterima sedangkan wujud fakta-fakta jelas yang membuktikan sebaliknya? Kenapakah ilmu kami ini diabaikan dengan cara ini? Tidakkah orang-orang anda yang bertanggunjawab itu mengakui ketepatan pengiraan falak? Pernahkah sebelum ini waktu-waktu tenggelam bulan atau matahari menyalahi waktu yang telah dikira? Kami telah berusaha sedaya upaya untuk menyediakan waktu-waktu tenggelam bulan bagi semua kawasan di dunia untuk bulan Zulhijah dan bulan-bulan berikutnya supaya orang-orang yang ragu-ragu menjadi yakin! Bahkan setiap jadual waktu yang berkaitan dengan bulan, matahari dan gerhana-gerhananya yang mendatang, semuanya telah diterbitkan, dan setiap satunya boleh dibandingkan dengan peristiwa-peristiwa sebenar pada mana-mana hari, bulan atau tahun.”

Walau bagaimanapun, Saudi tidak memberikan apa-apa tindak balas dan terus menguruskan haji di Mekah seperti biasa. Tarikh Hari Raya Aidiladha ditetapkan pada 19 Disember.

Penentuan tarikh 1 Zulhijah pada 10 Disember menimbulkan masalah baru yang lebih merumitkan keadaan. Ini adalah kerana rukyah seterusnya perlu dilakukan pada 7 Januari 2008 (28 Zulhijah), sedangkan ijtimak untuk Muharam adalah pada 8 Januari, 11:37 Waktu Antarabangsa, menandakan bahawa rukyah sepatutnya perlu dilakukan pada 9 Januari, iaitu hari ke-30 Zulhijah! Jika dilihat pada takwim-takwim hisab yang telah diterbitkan, umpamanya Umm al-Qura, Kuwait, Qatar dan Mesir, semuanya menyatakan bahawa bulan Zulhijah berakhir pada hari Rabu, 9 Januari dan bulan baru, Muharam, bermula pada hari Khamis, 10 Januari. Masalahnya ialah sekiranya takwim-takwim ini diikuti, bulan Zulhijah akan menjadi 31 hari!

Berikut ialah laporan penetapan tarikh 1 Muharam 1429 di seluruh dunia. Saudi, Kuwait, Bahrain, Jordan, Syria menetapkannya pada 10 Januari. Ini bermakna bahawa negara-negara ini mempunyai 31 hari dalam bulan Zulhijah lalu! Qatar, Oman, Lubnan dan Mesir7 menetapkan tarikh tahun baru pada 9 Januari kerana menyempurnakan 30 hari dalam Zulhijah.
Kelemahan prosedur rukyah di Arab Saudi

Peristiwa 31 hari dalam Zulhijah menimbulkan tanda tanya sekelian Muslimin di seluruh dunia, lebih-lebih lagi mereka yang baru sahaja menyempurnakan ibadah haji di Mekah. Peristiwa ini mengundang keraguan umat Islam akan ketelusan prosedur rukyah dan penentuan tarikh Hijrah di Tanah Suci itu.

“Setelah diselidik, saya mendapati bahawa Saudi telah mengarahkan penubuhan jawatankuasa-jawatankuasa rukyah pada 1419 H kerana banyak menerima aduan mengenai kesilapan dalam tarikh-tarikh Hijrah yang diumumkan,” kata Dr. Salman Zafar Shaikh, Pemangku Penyelaras Jawatankuasa Rukyah Amerika Utara (Hilal Sighting Committee of North America).

“Setiap daripada jawatankuasa tersebut terdiri daripada seorang ahli Qada (jabatan kehakiman), seorang ahli falak dari KACST (King Abdul Aziz City for Science and Technology), seorang ahli Imarah (majlis pemerintah), dan beberapa orang sukarelawan,” kata Dr. Salman.

“Terdapat sekurang-kurangnya enam jawatankuasa ini di Arab Saudi, iaitu di Mekah, Riyadh, Qassim, Hail, Tabuk, dan Asir. Mereka boleh menggunakan teleskop, akan tetapi rukyah hanya diakui apabila dilakukan dengan mata kasar. Ini kerana beberapa orang ulama seperti Sheikh al-Uthaimin melarang penggunaan teleskop. Katanya, penggunaan teleskop adalah bebanan, dan Allah s.w.t. tidak menghendaki pembebanan atas hamba-Nya.”

Dr. Salman menjelaskan bahawa jawatankuasa-jawatankuasa rasmi ini melakukan tugas mereka dengan cemerlang sekali, tetapi itu bukannya punca masalah.

Kata Dr. Salman, “masalahnya, walaupun jawatankuasa-jawatankuasa ini wujud, Jabatan Kehakiman masih terus menerima sahaja pengakuan daripada sesiapa sahaja, dan bukannya enam jawatankuasa ini sahaja. Oleh kerana itu, sering terjadi pengumuman awal bulan baru sedangkan tiada seorangpun daripada jawatankuasa rukyah rasmi ini melihat anak bulan. Tambahan pula, ramai orang termasuk para ulama yang tidak menyedari kewujudan jawatankuasa-jawatankuasa rasmi ini.”

“Pernah terjadi ketika Hari Raya Aidilfitri 1420 H, saya sendiri pergi bersama-sama salah sebuah jawatankuasa rukyah Mekah ke sebuah tapak rukyah di puncak bukit Shamesi pada petang Khamis. Kami dan lima jawatankuasa yang lain langsung tak nampak anak bulan. Tetapi bila kami kembali ke Kota Suci, kami terkejut kerana mendengar pengumuman Aidilfitri pada hari esok (Jumaat). Tambahan pula, bulan telah tenggelam sebelum tenggelamnya matahari lagi.”
Penyelesaian

Ada ulama yang telah menyuarakan seruan supaya seluruh umat Islam bersatu padu dalam kalendar Hijrah. Sebagai contoh, pada Hari Raya Korban baru-baru ini, ketika sedang berkhutbah selepas solat sunat raya, bekas Presiden Iran, Ayatollah Akbar Hashemi Rafsanjani menyeru ulama Islam dari seluruh dunia supaya bersatu dalam hal rukyah dan penentuan tarikh Islam. Katanya, “negara-negara Islam berhaluan arah dalam hal pemerhatian anak bulan. Keselisihan ini haruslah diselesaikan pada hari ini juga.”

Katanya lagi, “Langkah yang telah diambil oleh ulama-ulama besar Islam dalam usaha penyatuan ini masih tidak cukup.”

Beliau kemudiannya memetik kata-kata Ayatollah Khoei yang menyatakan bahawa dunia Islam haruslah bersatu padu dalam menentukan hari-hari perayaan Islam dalam pemerhatian anak bulan. Beliau menambah pula bahawa umat Kristian juga pernah berbeza pendapat dalam tarikh kelahiran Nabi Isa a.s, akan tetapi mereka telah menyelesaikannya dengan cara yang baik.8

1.3 bilion penganut Islam, satu agama, satu kiblat; cuma takwim masih berlainan. Adakah di sana terdapat jalan penyelesaian?

Jikalau kita pandang kepada senario yang berlaku kepada negara-negara Islam pada hari ini, kebanyakan negara, terutamanya negara Arab, meraikan pengumuman yang dibuat oleh Saudi. Bermakna sekiranya Saudi menetapkan 1 Zulhijah kepada 10 Disember, maka negara-negara lain pun menetapkan 1 Zulhijah kepada 10 Disember. Antara negara yang mengamalkan perbuatan ini ialah Iraq, Kuwait, Bahrain, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Oman, Yemen, Jordan, Palestin, Syria, Lubnan, Mesir, Tunisia dan Algeria. Amalan ini nampaknya merupakan jalan penyelesaian yang baik, tetapi, menurut Dr. Salman Shaikh, sebenarnya tidak pernah dianjurkan dalam agama.

“Amalan ‘ikut Saudi’ ini tidak mempunyai asas dalam syariat,” kata Dr. Salman, “dan ia boleh dibuktikan sebagai salah dengan satu hujah yang mudah.”

Dr. Salman telah mengemukakan pandangan mengenai amalan ini ketika National Moonsighting Conference di San Jose, California, pada 5 Mei 2007.

“Katakan bahawa ketika matahari tenggelam di Mekah, anak bulan tidak kelihatan kerana terlalu kecil. Kemudian, selepas 11 jam, matahari tenggelam di California pula. Dalam tempoh 11 jam ini, anak bulan secara semula jadinya beransur-ansur menjadi besar sehingga kelihatan di sana. Saya pasti tiada ulama yang boleh mengesahkan bahawa anda perlu mengabaikan anak bulan yang anda nampak di California dan tunggu saja pengumuman rukyah dari Saudi! Ini adalah hujah mudah yang membuktikan bahawa amalan ‘ikut Saudi’ oleh negara-negara yang lain adalah tidak berasas sama sekali.”


Sumber: http://www.novavizio.com/ms/kiriman/krisis-anak-bulan

Mantap