Dikuasakan oleh Blogger.

Ahad, 23 September 2012

Zulaikha The Spy - Bab 02


BAB 02



“HAI Darwish!!!” gedik sekali Qadira menyapa Darwish dari muka pintu lif.

Darwish dan Tan Sri Irfan terlopong seketika. Tidak menyangka akan dipertemukan dengan gadis mengada-ada itu lewat pagi begini.

“Eh… Uncle Irfan pun ada kat sinilah… Good morning Uncle Irfan,” sapaan beralih kepada Tan Sri Irfan.

Tan Sri Irfan dan Darwish terkejut dengan kemunculan gadis itu. Hampir empat tahun gadis itu menghilangkan diri, kini muncul semula tanpa diduga.

Sebenarnya, gadis ini bukan menghilangkan diri, dia sambung belajar ke luar negara dalam jurusan advertising. Namun, ada satu tragedi pahit di antara gadis itu dengan Darwish sebelum ini yang menyebabkan lelaki itu yang dulunya seorang yang bijak dan berkaliber semasa di universiti, kini menjadi seorang lelaki yang tidak berkeyakinan langsung. Semua ini disebabkan gadis di hadapan mereka itu.

“Darsuki, jom!” ajak Tan Sri Irfan kepada pembantu peribadinya. Moodnya terus hilang. Perasaan bengangnya semakin bertambah. Sudahlah bengangnya pada Darwish masih meluap-luap, kini ditambah lagi bengangnya selepas kemunculan gadis itu.

Darsuki tanpa banyak soal, terus mengekori langkah ketuanya menuju ke perkarangan pintu utama Merbok Construction Berhad. Sudah sedia menunggu kenderaannya di luar bangunan.

Darnish sudah buat muka. Dia masih terkejut dengan kemunculan gadis itu. Pembantunya pula kelihatan kebingungan melihat reaksi ketuanya. Gadis yang tiba-tiba muncul itu masih belum dia kenali.

Qadira memandang Tan Sri Irfan dengan senyuman meleret sehingga kelibat orang tua itu bersama pembantunya semakin menjauh. Beberapa saat kemudian dia kembali memandang Darwish yang masih di dalam lif.

“Hai Darwish, lama tak jumpa awak, windu yang teramat windu…” luah Qadira penuh manja sekali. Dengan tergedik-gedik dia melangkah masuk ke dalam lif.

Darwsih sudah memejamkan mata dan mengenggam tangan. Menahan geram yang teramat sangat. Kemunculan Qadira tidak disenangi. Dia tidak suka gadis itu muncul di dalam hidupnya lagi. Dia tidak suka!

“Syafiq, jom berambus dari lif ni,” arah Darwish kepada pembantu peribadinya.

Syafiq angguk lalu mengekori langkah ketuanya dari belakang.

Qadira terkejut dengan tindakkan insan yang masih dia sayangi itu. Disebabkan fikirannya belum berapa matang empat tahun lalu, dia telah kehilangan lelaki itu. Bila dia sudah berjauhan dan dalam kesunyian, baru dia sedar yang dia telah membuang insan yang selalu mengambil berat akan dirinya dan menyayangi dirinya sepenuh hati. Baru sekarang dia mahu menyesal. Dia berharap kepulangannya ke tanah airnya ini dia masih ada peluang untuk memiliki hati Darwish semula.

“Darwish! Awak nak pergi mana? Takkan tak nak jumpa Dira? Kita dah lama tak jumpa, kan? Sampai hati awak buat saya macam ni!” tanya dan rajuk Qadira sambil melangkah terkedek-kedek mengejar Darwish yang melangkah laju menuju ke arah pintu utama bangunan Merbok Construction Berhad.

Darwish tidak mengendahkan panggilan itu. Dadanya terasa senak bila suara itu terus melantun memenuhi ruang pendengarannya. Bingit! Dia tidak suka suara itu lagi. Kerana wanita itu hidupnya kucar kacir dan berkecamuk.

“Awak…” Qadira mencapai lengan Darwish bila lelaki itu tidak mahu memberhentikan langkahnya. Susahnya nak belari pakai skurt ketat dan high heel ni. Huh! Sempat lagi dia membebel di dalam hati.

Darwish tersentap dengan tindakkan Qadira itu. Dengan kasar dia merentap tangannya.

“Auwww!” rengek Qadira kesakitan sambil memegang tangannya. Terkejut dia dengan tindakkan kasar Darwish itu. Sudah bencikah lelaki itu terhadap dirinya?

Darwish tidak mengendahkan. Sebaliknya terus menyambung langkahnya yang tergendala tadi menuju ke arah kenderaan yang sudah sedia menunggunya di luar perkarangan bangunan.

“Darwish! Dah lama kita tak jumpa. Awak tak rindukan saya ke? Saya rindukan awak tahu tak?” pekik Qadira penuh emosi. Sedih bila dia diperlakukan begini. Manusia yang lalu-lalang di ruang lobi itu tidak diendahkan.

Langkah Darwish terhenti. Tapi tidak pula dia memandang ke belakang. Hatinya terasa membengkak dan berdenyut-denyut dek menahan bengang. Apa yang telah Qadira lakukan terhadap dirinya sebelum ini memang sukar untuk dimaafkan. Buat masa ini, dia masih belum boleh memaafkan wanita itu.

Qadira mengukir senyum bila melihat Darwish memberhentikan langkahnya. Namun senyumannya itu tidak bermakna. Selepas beberapa saat, Darwish melangkah masuk ke dalam kereta bersama pembantu peribadinya tanpa mengendahkan dirinya lagi. Dengan pantas dia berlari mendapatkan Darwish. Tetapi, kenderaan yang dinaiki Darwish lebih awal bergerak sebelum dia menghampiri.

“Darwish!” panggil Qadira. Kenderaan yang dinaiki Darwish terus bergerak laju meninggalkan perkarangan bangunan itu.

“Tak apa, ini baru permulaan,” bisiknya sendirian menyedapkan hatinya sendiri.

*****

KEDUA hujung dahinya dipicit-picit dengan menggunakan jari hantu dan ibu jari tangan kanannya. Cuba melegakan rasa pening kepala yang tiba-tiba terasa. Keluhan demi keluhan di hembus keluar. Masalahnya mengenai Darwish masih belum selesai, kini masalah baru pula muncul. Semakin berserabut kepala otaknya.

“Budak tu muncul lagi, entah apa dia nak lagi. Nak hancurkan hidup Darwish agaknya.” Keluah Tan Sri Irfan sambil melepaskan nafas panjang. Dia duduk bersandar memandang keluar kenderaannya. Dia ada temu janji dengan pelanggan sebentar lagi di sebuah restoran hotel bertaraf lima bintang di Putra Nilai.

Darsuki hanya mendiamkan diri di sebelah Tan Sri Irfan. Dia sendiri tidak tahu apa yang perlu dilakukan untuk membantu menyelesaikan masalah baru majikannya itu. Dia sebagai pekerja paling lama bersama Tan Sri Irfan sejak lelaki korporat itu dianugerahkan gelaran ‘Dato Sri’ lima belas tahun lalu, sudah mengetahui punca masalah ketuanya ketika ini. Sudah pasti berkaitan dengan Darwish dan Qadira.

Diam. Tan Sri Irfan sibuk memikirkan jalan penyelesaian masalahnya. Manakala Darsuki yang hampir seusia Tan Sri Irfan itu sibuk memahami I-Pad yang baru sahaja digunakan tidak sampai setahun lagi di tangannya. Banyak yang perlu dipelajari kerana gadget kecil itu adalah produk yang masih baru di pasaran Malaysia.

“Kau ada idea nak bantu masalah aku? Sejak Qadira tinggalkan Darwish empat tahun lalu. Anak aku tu semakin tak serius. Keras kepala. Ikut suka dia aje. Tak mantang. Aku ingat ketiadaan Qadira akan memulihkan semangatnya yang hilang. Sebaliknya tidak. Sekarang, budak tu muncul lagi. Aku takut perangai Darwish semakin teruk. Sejak empat tahun ni, budak tu selalu datang lambat ke pejabat, tak serius dan…,” Tan Sri Irfan sudah tidak tahu mahu berkata apa lagi. Walaupun sudah dimarahi dan dinasihati baik-baik, Darwish masih begitu. Sama seperti empat tahun lalu. Keanak-anakkan!

Darsuki menekan butang ‘off’ pada sisi i-Padnya. Tidak sopan pula, ketika ketuanya bercakap dia membuat kerja lain. Dia mula memikirkan permasalahan ketuanya itu. Jika Tan Sri Irfan dalam kerungsingan, dia juga akan menerima kesannya.

“Aku dah buntu. Aku dah buat macam-macam, tapi Darwish masih macam tu. Aku dah penat. Aku ni dah tua, kalau boleh aku nak Darwish uruskan syarikat. Tapi…” keluh Tan Sri Irfan sedih sekali.

Tersentuh Darsuki melihat kesedihan majikannya itu.

“Sabarlah Tan Sri, semua yang berlaku ni pasti ada hikmahnya. Mungkin…”

“Sampai bila Darsuki? Usia aku bukan semakin muda. Kudrat aku bukan semakin kuat. Zabadi pulak semakin hari semakin berani nak sindir aku. Semakin hari semakin giat dia melobi anak lelaki dia pada ahli lembaga pengarah yang lain. Merbok Construction Berhad ni aku usahakan penuh gigih sebelum ni. Zabadi tu cuma tolong-tolong aje walaupun share kami sama banyak. Aku tak nak Merbok Construction Berhad diuruskan orang lain. Aku nak waris aku sendiri yang uruskan.” Tan Sri Irfan meluahkan isi hatinya yang dipendam-pendam selama ini. Pilu hatinya mengenang nasib dirinya. Dia senang meluahkan pada Darsuki. Darsuki telah dianggap seperti sahabatnya kerana lelaki itu masih setia dengannya sejak lima belas tahun lalu.

Semakin tersayat hati Darsuki mendengar luahan rasa ketuanya itu. Perlahan bahu Tan Sri Irfan diusap. Dia turut berfikir ketika ini. Dalam beberapa saat, muncul idea yang dianggap bernas melintasi mindanya.

“Hah!” tiba-tiba Darsuki menjerit.

“Oh meletop!” tak fasal-fasal Tan Sri Irfan melatah terkejut.

“Kau ni kan…” Tan Sri Irfan menumbuk bahu Darsuki. Mengaduh sakit lelaki itu.

“Suka buat aku terkejutlah. Kenapa kau tiba-tiba menjerit ni?”

Darsuki masih mengusap bahunya yang terasa sengal. Seketika kemudian dia tersenyum memandang ketuanya itu.

“Kau apa hal pulak ni? Tersengih macam tu. Kau ingat kau kacak lagi ke?” tanya Tan Sri Irfan hairan melihat perilaku pembantu peribadinya itu. Sempat dia menyindir di hujung kata-katanya.

“Saya ada idea macam mana nak bantu Darwish. Saya tak pasti keberkesanan idea saya ni. Tapi… tak salah mencuba, kan?”

Tan Sri Irfan berkerut dahi memandang Darsuki di sebelahnya.

“Apa idea kau?”

Darsuki menarik nafas sebelum menjawab. “Apa kata kita ganti pembantu peribadi Darwish tu kepada wanita?”

Tan Sri Irfan terdiam seketika. Mindanya mula mencerna cadangan Darsuki itu. Kenderaan yang mereka naiki ketika ini masih bergerak menuju ke detinasi yang dituju.

“Tak boleh… Darwish yang pilih sendiri setiap pembantu peribadi dia. Selama ni, mana ada perempuan jadi pembantu Darwish tu? Dia kata perempuan susah nak ajak berunding.” Maklum Tan Sri Irfan.

Sebelum ini sudah ramai yang jadi pembantu peribadi Darwish. Tapi, semuanya lelaki. Dia pun malas mahu ambil tahu tentang pemilihan pembantu peribadi anaknya itu. Pemilihan diberikan sepenuhnya kepada Darwish. Padanya, pembantu peribadi perlulah pandai menjaga hal ketuanya dari segala aspek termasuk hal yang melibatkan perasaan.

“Ya... itu saya tahu. Tapi, untuk pemilihan kali ni, biar Tan Sri yang buat dan kita pilih wanita.” Cadang Darsuki beria sekali. Nampak berkobar-kobar. Yakin rancangannya dapat membantu ketuanya itu.

“Tapi, Si Syafiq tu nak campak mana? Dia tak pernah buat hal. Dan aku nampak dialah pembantu peribadi yang boleh tahan dengan sikap Darwish tu. Takkan kita nak berhentikan dia tanpa sebab?” masih ada masalah lain.

“Pasal Si Syafiq tu, kita hantarlah dia ke jabatan lain. Banyak lagi jawatan yang perlukan orang yang dah tahu selok belok pernigaan Merbok Construction Berhad ni,” jawab Darsuki seolah sudah lama merancang rancangan ini.

“Haah, betul jugak. Tak sangka, bijak jugak kau, kan? Walapun dah tua bangka,” puji Tan Sri Irfan. Dalam pujian tetap ada kutukan.

Ketawa Darsuki yang tadi nampak ikhlas, tiba-tiba kaku dan nampak sinis sekali. Aku dah bagi idea baik punya, dia boleh kutuk aku? Bisik di hati Darsuki. Sakit hatinya mendengar kutukan majikannya itu.

Tan Sri Irfan tertawa riang. Namun tak sampai seminit ketawanya mati.

“Kenapa kita nak tukar pembantu peribadi Darwish kepada perempuan?” masih ada yang dimusykilkan Tan Sri Irfan.

Laa… aku ingat dia faham. Lembab jugak dia ni. Kutuk Darsuki di dalam hati.

“Tan Sri, cara lelaki dan cara perempuan berbeza. Manalah tahu, kalau ada perempuan setiasa di sisi Darwish boleh mengubah Darwish kepada seseorang yang serius dan komited dengan kerja?”

“Oooo…” panjang Tan Sri Irfan menyebut huruf itu. Sekarang, baru dia faham apa yang dimaksudkan Darsuki di sebalik rancangannya. Kenapalah aku tak fikir cara ni sejak dulu? Detik di hatinya.



*****

DSP FALIQ memandang Kamal di hadapannya sekilas sebelum kembali memandang fail laporan di tangannya. Mereka berdua baru sahaja menyoal siasat suspek yang berjaya diberkas malam tadi. Walaupun kedua suspek masih sakit akibat kecederaan ditembak di bahagian kaki dan tangan. Tugas sebagai angkota Polis, perlu dilaksanakan agar kes besar ini dapat diselesaikan dengan cepat sebelum dalang yang sebenar semakin jauh melarikan diri.

“Suspek memaklumkan, ketua mereka ada kaitan dengan Merbok Construction Berhad. Awak dah kaji tentang Merbok Construction Berhad?” tanya DSP Faliq serius sekali. Keterangan yang diperoleh dari suspek tidak berapa jelas. Mereka hanya dapat memberkas pengedar kecil sahaja. Dalang sebenar masih belum dapat dikesan.

Kamal membuka fail di hadapannya. Selepas selesai menyoal siasat suspek yang berjaya diberkas malam tadi, dia sempat mencari maklumat tentang Merbok Construction Berhad yang telah dikaitkan oleh suspek. Mereka yang ditugaskan di Jabatan Siasatan Jenayah telah diberikan tugasan ini untuk diselesaikan. Kes pengedaran dadah dan kongsi gelap bukan calang-calang kes. Ini kes besar.

“Saya dah selidik tentang Merbok Construction Berhad ni. Merbok Construction Berhad sebuah syarikat pembinaan di bawah naungan Tan Sri Irfan. Ahli korporat yang baru-baru ni dapat projek buat kuaters polis di Perak.” Jelas ASP Razi apa yang dia perolehi tadi.

DSP Faliq angguk akur sambil menyandarkan tubuhnya. Wajah Kamal di pandang lama.

“Syarikat tu hanya buat perniagaan pembinaan aje ke? Mereka tak ada buat perniagaan lain?” lanjut DSP Faliq.

“Dari apa yang saya dapat, syarikat ini hanya membuat perniagaan pembinaan sahaja. Mengambil tender-tender besar kerajaan dan swasta untuk membina bangunan dan perumahan. Tapi ada juga projek membina bangunan pusat membeli belah dan resort.”

DSP Faliq angguk.

“Tapi… kenapa suspek mengaitkan Merbok Construction Berhad sedangkan tak ada ciri-ciri syarikat itu terlibat dalam kes ni?” DSP Faliq melepaskan kemusykilannya.

Kamal diam seketika. Turut menimbang apa yang diperkatakan oleh ketuanya itu.

“Tapi, tak mustahil Tuan. Manusia ni, rambut aje sama hitam. Hati, siapa tahu, kan? Mungkin dalang dalam kes ini terlibat dengan syarikat tu. Yalah, orang kaya ni Tuan, sanggup buat apa sahaja untuk menambahkan kekayaan mereka. Walaupun mereka dah kaya tetap nak kaya lagi. Apa salahnya kalu dia sedekah atau derma duit yang ada tu kepada anak yatim. Kan dapat pahala yang…”

“Dahlah tu,” tintas DSP Faliq bila melihat ASP Razi mula membebel menyampaikan hujahnya. Ya, dia tahu hujah itu benar. Tapi, kes yang perlu diselesaikan ini besar. Selagi dalang dalam kes kongsi gelap yang melibatkan pengedaran dadah ini tidak dibentras. Sukarlah meraka mahu mengawal jumlah pengedar dadah di Malaysia ini.

Kamal tersengih sendiri. Malu kerana terover pula bercakap.

“Pegawai atasan dah serahkah kes ni kepada cawangan kita ni. Cawangan D4 (merangkumi tugas-tugas mengenai risikan jenayah) untuk selesaikan kes ni. Jadi, saya nak orang-orang kita siasat kes ni habis-habisan. Tak kiralah seberapa lama pun kes ni nak selesai, kita kena siasat. Lagi cepat lagi bagus.” Ujar DSP Faliq serius sekali.

ASP Razi angguk akur.

“Saya nak awak bertemu dengan ASP Jabir, suruh anak-anak buahnya siasat hal ni. Kalau dah dapat kesan suspek, suruh mereka maklumkan pada saya supaya kita boleh turut turun padang membantu mereka,” DSP Faliq mengeluarkan arahan baru.

ASP Razi bangun dari duduk lalu menabik hormat.

“Baik Tuan! Arahan diterima!”

DSP Faliq bangun dari duduk lalu membalas tabik hormat salah seorang anak buahnya itu.

“Selepas maklumkan kepada ASP Jabir, suruh dia bertemu saya. Dan saya nak awak siasat lagi tentang Merbok Construction Berhad.” DSP Faliq memberi arahan lagi.

“Baik Tuan!” akur Kamal.

“Baiklah, awak boleh keluar.”

“Saya keluar dulu Tuan!” pamit ASP Razi sambil berdiri tegak dan menabik hormat buat kali terakhir sebelum meninggalkan pejabat itu.

DSP Faliq membalas tabikan itu lalu Kamal mula melangkah meninggalkan pejabatnya. Selepas kelibat DSP Razi hilang dari pandangan mata, dia kembali duduk di atas kerusianya. Dia berharap kes ini dapat diselesaikan secepatnya. Mindanya terus memikirkan tentang kes baru ini.



*****

“BODOH!!!” jerit Qadir sekuat hati. Apa yang berlaku malam tadi benar-benar membuat hatinya bengkak dan marah. Hampir lima tahun dia melakukan kerja ini, tidak pernah sekalipun orang-orang bawahannya buat hal. Tapi, apa yang berlaku benar-benar tidak disangkakan.

Merah padam muka Qadir memandang kedua manusia di hadapannya ketika ini. Ikutkan hati ingin sahaja dia membelasah kedua lelaki itu. Tapi, apa yang dia dapat jika dia berbuat sedemikian? Apa yang berlaku tetap tidak boleh diubah.

“Budak-budak yang masuk lokap tu orang-orang siapa?” tanya Qadir sambil berdiri menongkat tubuh di mejanya. Dia sudah memastikan pintu pejabat sudah terkunci dari dalam sebelum menjerit tadi. Hal ini tidak boleh diketahui sesiapa.

Dua orang lelaki yang ketakutan itu saling berpandangan.

“Aku tanya! Budak dua ekor tu orang siapa?!!!” maki Qadir bila kedua orang suruhannya itu tidak menjawab petanyaannya. Sudahlah dia sedang menahan geram, kedua orang suruhannya itu pula masih berani mahu menambah rasa kemarahannya.

“Dia orang berdua bu… budak…” tergagap-gagap salah seorang dari mereka ingin menjawab.

“Budak siapa?!” sergah Qadir bila orang suruhannya itu masih sukar untuk menjawab. Jika kegiatan haramnya ini mula dihidu pihak polis, maka pernigaannya ini mula disapa sukar. Bila-bila masa sahaja polis boleh datang ke pejabatnya membuat siasatan.

“Dia orang berdua budak Ah Meng, bos!” jawab salah seorang dari mereka yang berbangsa India. Jawapan itu terluah akibat rasa terkejut kerana disergah.

Mendidih darah Qadir mendengar jawapan salah seorang orang suruhannya itu. Dia merenung keluar melalui tingkap lutsinar di pejabatnya. Sudah diagak, Ah Meng salah seorang rakan niaganya, sering buat hal. Keras kepala dan mahu ikut hal sendiri. Selalu melanggar arahannya sebagai ketua.

“Aku dah agak. Mesti hal ni melibatkan Ah Meng. Dia tu tak habis-habis mendatangkan masalah. Minta ‘barang’ banyak. Tapi tak reti pesan pada anak-anak buah dia buat kerja elok-elok. Bila dah kena cekup macam ni, kita jugak terima balanya,” luah Qadir semakin bengang. Amarahnya pada Ah Meng mula meluap-luap.

Qadir kembali memandang kedua-dua orang suruhannya itu.

“Ada tak polis datang ke Merbok Construction Berhad?” tanyanya inginkan kepastian.

Dua orang suruhannya itu saling berpandangan lalu serentak menggeleng kepala.

“Tak ada bos. Sejak budak-budak Ah Meng kena cekup malam tadi, polis tak ada datang ke sini. Mungkin, budak-budak Ah Meng tu tak ada sebut nama kita bos,” orang suruhannya yang berbangsa Melayu pula menjawab memberi pendapatnya.

Rengusan Qadir hembus. Walaupun jawapan yang diberikan itu boleh melegakan, namun dia tidak akan mudah cepat percaya dengan helah polis. Tidak semestinya polis tidak datang ke Merbok Construction Berhad, hal ini tidak melibatkan dia. Jika Merbok Construction Berhad terlibat, habislah hidupnya. Pasti hidupnya akan musnah.

Dia terlibat dalam hal-hal perniagaan haram sebegini pun disebabkan sebab duit. Baginya, gaji bagi seorang timbalan pengurus kedua di dalam Merbok Construction Berhad memang sudah mencukupi. Cuma, pernigaan haram ini lebih memberi kepuasan kepadanya berbanding perniagaan pembinaan yang diusahakannya kini.

“Kita tak boleh nak lega dengan hal ni. Kes ni baru sehari berlalu. Aku yakin, pihak polis tak akan senang-senang soal siasat budak dua orang tu dengan mudah. Pihak polis akan cuba korek dari budak dua orang tu sedalam-dalamnya. Ah Meng ni memang tak guna!” Qadir semakin bengang.

Kedua orang suruhannya itu saling berpandangan dan tidak berani bersuara. Khuatir dimaki hamun pula.

Qadir melabuhkan punggungnya di atas kerusi. Sekilas dia memandang ke arah pintu pejabat. Memastikan pintu itu sentiasa tertutup. Dia tidak mahu perbualan mereka dicuri dengar oleh sesiapa. Bahaya!

“Aku nak kau orang berdua cakap kat budak-budak kita supaya hentikan pengedaran buat sementara waktu. Bila kita nak mula beroperasi, nanti aku akan maklumkan kemudian.” Arah Qadir serius sekali.

Kedua orang suruhannya itu angguk akur.

“Kau orang boleh pergi.” Arah Qadir. Selepas kedua orang suruhannya itu hilang dari pandangan matanya dia memusingkan kerusinya mengadap ke tingkap. Memandang ke arah pemandangan luar bangunan pejabatnya. Telefon bimbit di dalam poket seluarnya dikeluarkan. Nombor seseorang didail.

“Hallo brother Meng… lu apa khabar?” tanya Qadir dengan ketawa yang dibuat-buat. Di dalam hatinya hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa marahnya dia terhadap lelaki berbangsa Cina di hujung taliannya itu.

Diam.

“Apa cerita?” tanyanya lagi.

“Gua sihat.” Jawab dari sebelah sana.

“Apa cerita ni kawan? Apa hal orang-orang lu boleh kena cekup? Lu tak bagi warning sama dia orang ka? Jual itu ‘barang’ pada yang dah biasa beli aje ma. Gua… dah kasi amaran pada lu jangan jual itu ‘barang’ sama kutu rayap dan ‘sampah-sampah’ kat tepi jalan tu. Sekarang, orang lu dah masuk lokap, apa cerita? Lepas ni, pasti nama gua akan naik jugak ma…” Qadir terus masuk ke topik asal. Malas dia mahu berbelit bicara.

“Aiya… lu jangan risau ma. Gua dah bagi amaran pada budak-budak gua. Kalau dia orang kena cekup, jangan libatkan gua. Lagipun, gua tak pernah kasi tahu pasal lu pada mereka…” Ah Meng memberi jaminan.

Qadir merengus. Macamlah dia bodoh tidak tahu helah polis. Polis tidak akan menutup kes ini dengan mudah selagi dalang utamanya tidak ditemui.

“Lu cakap memang senanglah brother. Lu ingat polis tak akan korek rahsia pada budak dua orang tu ka? Silap-silap nama lu akan naik dulu, kawan. Bila lu sudah masuk lokap, lu pasti akan petik nama gua. Sekarang, lu belum kena memanglah lu boleh rasa senang. Nanti bila nama lu dah disebut, baru lu tau…”

“Jangan risaulah. Gua boleh jamin, hal ini tak akan melibatkan lu.”

“Okey, gua pegang kata-kata lu sebagai jaminan. Kalau gua tahu kes ni melibatkan budak-budak gua. Gua tak akan teragak-agak mahu hentikan supply barang pada lu.”

“Aiya… kawan. Janganlah macam inilah. Polis ada datang pejabat lu ka? Tak ada, kan? Gua garenti nama lu dan syarikat bapak lu tu tidak akan terlibat.”

Qadir masih tidak puas hati dengan jaminan Ah meng itu. Hatinya mula merasakan sesuatu yang buruk bakal berlaku. Dia akan pastikan nama dia akan bersih dari segala-galanya.

“Okey, gua nak lu suruh budak-budak lu hentikan semua kerja. Kita mula mengedar selepas kes ni reda. Faham?” Qadir memberi arahan.

“Hallo kawan. Stock gua banyak lagi ma. Rugilah kalau gua tak habiskan jualan. Lagipun, permintaan sekarang tinggi. Budak-budak baru sudah mula cari gua…” arahan Qadir ditolak mentah-mentah.

“Gua cakap, hentikan, hentikanlah!” maki Qadir sudah tidak tertanggung amarah.

‘Tut…tut… tut…’ tiba-tiba talian terputus.

“Bangsat!” bentak Qadir sambil memusingkan tubuhnya mengadap mejanya lalu mejanya ditimbuk sekuat hati. Melepaskan amarahnya melalui perlakuan. Ini bukan kali pertama, sudah banyak kali Ah Meng buat hal. Yang lain tidak pernah berani melawan kata-katanya. Hanya Ah Meng sahaja yang berani melawan arahannya.

Dia tidak boleh terus duduk diam. Hal ini sudah melibatkan polis. Bila-bila masa sahaja nama dia boleh disebut. Dengan sekelip mata nama Merbok Construction Berhad boleh terlibat. Sebelum hal itu berlaku, dia perlu cepat bertindak.

Telefon bimbitnya kembali ditatap. Tangannya mendail lagi nombor seseorang. Sebelum hal ini semakin rumit, dia perlu menghapuskan apa yang perlu dihapuskan.

“Hello Kasaven.” Sapanya selepas talian disambungkan.

“Ya bos, ada apa?” jawab orang upahannya yang berbangsa India.

Qadir kembali memusingkan tubuhnya memandang keluar bangunan melalui tingkap lutsinar.

“Ada baru tugas untuk kau…”

“Apa dia bos?”

“Aku nak kau bunuh Ah Meng!”

“Bila bos?”

“Secepatnya…” sengihan mula mengukir di sebalik bibir Qadir.

“Baik bos!” Jawab Kasaven menurut perintah.

“Kalau dah bunuh dia, kau bagitahu aku.”

“Baik bos!”

Talian diputuskan. Sengihan kembali mengukir di sebalik bibirnya. Dia perlu menghapuskan manusia pembawa masalah itu. Ah Meng bisa mengancam perniagaan gelapnya. Dia tidak mahu rahsianya terbongkar.

“Bunuh? Abang nak bunuh siapa?” pertanyaan itu memeranjatkan Qadir. Liur ditelan kesat. Kecut perut dibuatnya. Khuatir perbualannya dengan Kasaven tadi didengari oleh insan itu. Perlahan-lahan dia memusingkan tubuhnya mengadap tuan punya suara tadi.

“Abang nak bunuh siapa?” tanya Qadira lagi sambil bercekak pinggang.

Qadir terkedu seketika. Apa dia mahu jawab?


Baca lanjut DI DINI.


Mantap