Dikuasakan oleh Blogger.

Ahad, 21 April 2013

Debaran PRU13- Siapakah Yang Patut Kita Undi?


Debaran PRU13 kian terasa. Semalam, 20 April 2013, berlangsungnya Hari Penamaaan Calon PRU 13 di seluruh Malaysia yang telah menamatkan teka-teki dan spekulasi siapakah calon-calon Parlimen dan DUN yang akan bertanding pada PRU 13 ini. Dimana selepas hari penamaan calon, maka bermulalah hari berkempen yang diberi masa 15 hari oleh SPR.
Setelah mengetahui Senarai Penuh Calon-Calon (BN, PR dan BEBAS) PRU 13 Johor, atau senarai calon-calon ditempat anda, maka sudahkah anda mengambil keputusan, Siapakah yang patut anda undi pada Hari Pilihan Raya, 5 Mei 2013 nanti?
Sebagai salah seorang pengundi baru, mungkin agak sukar untuk membuang undi sekiranya kita tidak pasti siapakah calon yang layak kita undi. Lebih-lebih lagi sekiranya tempat kita diletakkan calon-calon muka baru yang tidak kita kenali dan tidak pasti sama ada orang tersebut bagus atau tidak. Sekiranya kita tidak berpihak pada mana-mana 2 parti besar, mungkin Parti Bebas akan menjadi salah satu pilihan kita. Itu pun, ikut juga pada apa yang mereka ingin perjuangkan sekiranya mereka menang Pilihan Raya ini.
Jika tiada Calon Parti Bebas yang bertanding ditempat kita, bagaimana pula? Adakah menjadi keputusan yang bijak sekiranya kita langsung tidak pergi mengundi?


Sebagai salah satu panduan bagi mereka yang berada dalam kategori Pengundi Atas Pagar, dibawah ini saya kongsikan artikel dari Dr. Maza untuk kita ‘telaah‘ dan fikirkan, siapa dan parti mana yang berhampiran dengan apa yang Dr. Maza terangkan. Semoga panduan ini dapat memberi ilham dan ketetapan dihati, untuk siapa dan parti mana yang layak mendapat undi dari kita…
Dr. Maza, 3 April 2013 – FB Page DrMAZA.com
Allah SWT telah memerintahkan kita memberikan amanah kepada yang layak.
Firman Allah: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu.”
(Surah an-Nisa’ ayat 58).
1. Mengundi Dengan Ilmu
Seseorang muslim hendaklah mengundi dengan ilmu pengetahuan, bukan sekadar ikut-ikutan. Ertinya, keputusannya untuk memilih seseorang calon adalah dengan pengetahuan tentang latar belakang calon berkenaan. Ini kerana Allah S.W.T telah memerintahkan kita agar bertindak atas ilmu, bukan kejahilan.
Firman Allah: “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta jantung akal kamu, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya”.
(Surah al-Isra: 36).
Maka, setiap individu yang hendak pergi mengundi wajib mempunyai maklumat tentang calon yang hendak dipilih. Jika pengundi itu sudah tua atau tidak mampu mencari maklumat sendiri, dia hendaklah bertanya kepada pihak yang dia yakini dapat memberikan maklumat yang benar.
2. Cari Maklumat Dari Pelbagai Sumber
Seseorang pengundi muslim hendaklah mendengar dari pelbagai sumber dan memilih yang terbaik. Ini kerana pilihanraya menawarkan lebih dari seorang calon, maka kita perlu membuat pemilihan antara mereka.
Dalam negara kita, kadang-kala ruang mendengar dari kesemua pihak secara adil sukar diperolehi, terutama bagi kawasan pendalaman. Namun, jika kita berusaha, kita mungkin boleh mendapat maklumat dari kesemua pihak tentang apa yang hendak dan mampu calon berkenaan lakukan. Allah mengingatkan kita tentang ciri-ciri insan berfikiran matang yang Allah redha, mereka itu dinamakan dengan Ulul Albab.
Antara ciri mereka, seperti yang Allah firmankan:
“..oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu . (Iaitu) mereka yang berusaha mendengar perkataan (yang sampaikan) lalu mereka menurut yang terbaik; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah Ulul Albab”
(al-Zumar: 17-18).
Maka, usaha mendapatkan maklumat yang adil sehingga dapat membuat pilihan yang terbaik adalah penyebab kepada seseorang insan mendapat petunjuk daripada Allah dan mendapat ganjaran pahala.
3. Pilih Calon Al-Quwwah Dan Al-Amanah
Seseorang muslim hendaklah memilih calon yang paling layak di sudut al-quwwah (kemampuan) dan al-amanah (amanah/ketelusan). Jika seseorang calon memiliki kemampuan diri sebagai pemimpin dan nilai amanah yang menjadikan dia akan bersikap telus dengan jawatan yang dipilih, maka calon itu layak dipilih. Jika yang bersaing dengannya itu tiada nilai kemampuan dan amanah, wajib untuk undi diberikan kepada calon yang mempunyai ciri-ciri yang layak.
Firman Allah:
“Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah”
(Surah al-Qasas:26).
4. Pilih Yang Terbaik Dan Paling Berkesan
Jika kesemua calon mempunyai ciri-ciri kelayakan, maka kita hendaklah memilih calon yang paling berkesan untuk jawatan tersebut. Ini boleh dilihat kepada pelbagai faktor, seperti program dan manifesto partinya, kekuatan akar umbinya, ciri-ciri keistimewaan yang lain; seperti pengalaman, latar pendidikan, dan sebagainya. Inilah sikap Ulul Albab yang diajar oleh al-Quran, sentiasa memilih yang terbaik. Maka, setelah mengenali calon, mengenali hasrat sesebuah itu juga penting. Ini kerana, seseorang calon biasanya terikat dengan halatuju partinya.
5. Pilih Calon Yang Kurang Mudaratnya
Jika kesemua calon didapati tidak mempunyai ciri-ciri yang layak untuk memegang kerusi tersebut, maka seorang muslim hendaklah memilih calon yang paling kurang mudarat atau bahayanya terhadap rakyat dan umat dibandingkan yang lain. Ini berasaskan kaedah syarak “Mudarat yang lebih besar dihilangkan dengan mudarat yang lebih ringan”, atau “Memilih bahaya yang paling ringan”.
Kaedah ini dipakai apabila kita berhadapan dengan pilihan yang kesemua buruk, maka kita memilih apa yang mudarat atau bahayanya itu paling minima.
Allah menyebut dalam al-Quran:
“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati (bulan haram); katakanlah: “Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepadaNya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke al-Masjid Al-Haraam, serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah, dan (ingatlah), angkara fitnah (kerosakan) itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati)…”
(Surah al-Baqarah: 217)
Ayat ini jelas memberitahu bahawa dosa-dosa itu walaupun besar, namun nilainya tidak sama. Ertinya, apabila bertembung kita memilih atau menentukan yang paling kurang bahaya atau mudaratnya supaya tindakan kita dapat meminimakan bahaya.
6. Nilai Rekod, Matlamat, Manifesto Parti Calon
Menilai rekod, matlamat, manifesto dan juga apa yang tersurat dan tersirat di sebalik parti yang disertai oleh seseorang calon juga adalah penting. Ini kerana, biasanya –walaupun tidak semua- penyertaan individu ke dalam sesebuah pertubuhan mempunyai kaitan dengan kepercayaan dan nilai diri individu tersebut.
Justeru, jika kita gagal mengetahui tentang latar calon, kita boleh menilai parti yang disertainya. Jika rekod parti itu buruk, maka kita hendaklah berpegang kepada ingatan Nabi s.a.w:
“Orang mukmin tidak akan disengat dari satu lubang sebanyak dua kali”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
7. Teliti Matlamat Dan Manifesto Yang Lebih Bermanfaat Untuk Negara
Jika semua calon gagal diketahui latarbelakang mereka, dan tiada pula rekod yang buruk bagi parti mereka, hendaklah dibuat diteliti matlamat dan manifesto yang ditawarkan. Hendaklah dibandingkan mana yang lebih telus dan bermanfaat untuk rakyat dan negara. Inilah konsep Ulul Albab.
8. Lihat Peribadi Calon
Jika bertembung antara calon yang baik dan partinya yang buruk, sementara calon yang buruk partinya baik, maka pada asasnya kita mendahului peribadi calon. Ini kerana Allah dan rasulNya memerintahkan kita memberikan amanah kepada sesiapa yang layak sehingga Nabi s.a.w sendiri memberikan kunci Ka’abah kepada Bani Syaibah. KECUALI jika kita dapati pengaruh buruk parti itu lebih menguasai jawatan tersebut dibanding kebaikan yang ada pada peribadi calon, maka ketika itu calon yang kelihatan baik itu tidak diundi kerana dilihat tidak berkemampuan. Ini balik kepada ciri-ciri al-Quwwah dan al-Amanah yang disebutkan sebelum ini.
Al-Quwwad dan Al-Amanah disebut oleh Dr. Maza sebagai ciri-ciri terbaik bagi calon yang layak dipilih sekiranya calon itu dikenali. Sekiranya tidak mengenali calon yang bertanding maka nilai rekod, manifesto, dan matlamat parti yang dipertandingkan perlu diteliti bagi memilih calon dan parti yang terbaik dan kurang mudaratnya untuk negara.
Jadi, Bagaimana PILIHAN ANDA?

PERHATIAN!
RUDIZONE/HASRUDI JAWAWI sekadar berkongsi artikal ini yang dirasakan tidak menyebelahi mana-mana pihak. Undi HJ adalah rahsia. Diharap tidak ada isu berbangkit mengeni artikal yang diulang posting ini. Sekian, harap maklum.


Mantap