Dikuasakan oleh Blogger.

Jumaat, 31 Januari 2014

PAPA NAK MENANTU! - BAB 02

| 02 |



“KLISE! Klise! Klise!” rungut Syahirah sambil menolak gelas minumannya ke tengah meja.

Shakir yang duduk di hadapan terkejut dengan tindakan kawan baiknya sejak kecil itu. Shakir seorang yang tenang. Tetapi, bukan lembut seperti Pak Saad. Dia seorang yang lebih bersikap lembut dan tidak suka memberontak.

Sudah dilahirkan begitu, dia pasrah sahaja. Hendak kata dia maskulin, tidak juga. Apa yang pasti, dia kaki bangku, tidak pandai main bola dan kalau bergaduh, tidak pernah menang. Mujur Syahirah ada. Sering membelanya sejak mereka di bangku sekolah rendah lagi.

“Kau ni, dari tadi tak habis-habis dengan klise kau,” ujar Shakir sambil menyedut minuman.

Dia menjeling pelanggan lain yang ada di Warung Pak Dolah itu. Ada yang sudah memandang ke arah mereka berdua.

“Betul apa aku cakap, kan?” balas Syahirah dengan gaya kasar.

Macam lelaki sekali pandang. Topi di kepala tidak pernah tertinggal. Ada sahaja jadi peneman kepalanya. Pakaian dia pula t-shirt di dalam dan kemeja besar di luar dijadikan seperti jaket. Seluar, sudah pasti jean lusuh yang dibeli di kedai bundle.

“Helah ugut macam tu, dah melambak orang buat tau,” sambung Syahirah.

Shakir tergelak kecil.

“Kau tu pun macamlah tak kenal dengan papa kau tu. Dia kan, kuat tengok TV. Pengaruh drama TVlah tu,” balas Shakir.

“Kalau ya pun, agak-agaklah. Cara ugut-ugut macam tu dah boring.”

“Kalau orang tak suka, orang tak buat cerita macam tu, Syah oii. Sebab orang sukalah orang buat.”

“Tapi, lama-lama orang bosan jugak.”

“Tak jugak. Macam nasi lemak bini Pak Dolah ni, hari-hari kau melantak. Tak bosan pun. Kenapa kau tak beli nasi lemak Abang Saleh kat depan kampung tu? Sebab sambal dia tak sedap, kan? Sama aje konsepnya macam cerita kau ni. Yang penting rencah dan bahannya berbeza. Tema tetap sama, nasi lemak.”

Berkerut dahi Syahirah memikirkan metafora yang cuba Shakir sampaikan itu.

“Weh, aku tahulah kau belajar sampai universiti, tak perlulah nak guna ayat yang aku susah nak faham. Aku sedarlah aku ni sekolah tak tinggi, SPM pun cukup-cukup makan aje resultnya,” ujar Syahirah.

“Eh, aku tak maksud macam tu pun. Aku cuma beritahu aje. Kau cuma ada dua pilihan Syah. Cari bakal suami kau sendiri atau terima lelaki cadangan papa kau tu, Pak Mat jual tempe tu.”

“Amboi, kau cakap senanglah. Kau ingat nak cari suami tu macam pilih jering kat pasar? Mana yang kau nampak besar, kau kaut?”

“Ada aku cakap senang ke?”

Syahirah merengus sambil menjeling menyampah pada Shakir. Sakit pula hati dia dengan kawan baiknya itu.

Mereka diam seketika sambil berfikir. Apa yang pasti Syahirah sudah buntu. Kata-kata ugutan Pak Saad tengah hari tadi masih terngiang-ngiang di kepalanya.

“Apa kata kau ikut tema hero atau heroin dalam drama TV tu?” cadang Shakir.

Syahirah memandang hairan pada Shakir.

“Ikut tema hero drama? Aku ni bukan macam papa aku tu tau. Duk menghadap segala drama Melayu yang ada kat TV tu.”

“Tu aku tahulah. Aku tak suruh pun kau tengok TV. Aku cadangkan aje apa yang aku terfikir.”

“Apa cadangan kau tu? Hebat sangat ke?”

Shakir memandang ke kiri dan kanan sebelum membisikkan apa yang terlintas di kepalanya ketika ini.

“Apa kata kau cari mana-mana lelaki yang ada, kau buat perjanjian kahwin untuk tempoh waktu tertentu. Sekadar nak puaskan hati papa kau aje. Lepas beberapa bulan kahwin, kau orang bercerailah,” bisik Shakir tanpa berasa bersalah.

Dia tidak tahu agaknya yang cadangan itu haram di sisi agama Islam.

“Kau nak aku cari suami segera ala-ala kahwin kontrak? Gitu?” soal Syahirah, ingin kepastian.

Shakir mengangguk laju sambil tersengih.

“Kau ni, kalau aku kata bangang bertingkat-tingkat, kau marah. Belajar sampai ke universiti kat Shah Alam tu, tapi akal pendek macam lembu. Kahwin kontrak ke, kahwin paksa ke, semua ni dah ketinggalan zaman, kau tahu tak? Walaupun aku ni tak adalah baik sangat, aku tetap tahu yang kahwin kontrak tu haram di sisi agama Islam, tau?”

Shakir terus tarik muka. Tersentap dengan kata-kata kawan baiknya itu. Namun dia diamkan sahaja. Minumannya disedut lagi.

“So, kalau cara aku tu tak bernas, apa lagi pilihan yang kau ada? Kau sanggup jadi bini baru Pak Mat jual tempe yang dah berumur 54 tahun tu? Kahwin aje, kau terus dapat anak, pakej lengkap dengan cucu sekali, tau,” balas Shakir.

“Eee... selisih! Mintak dijauhkan. Bukanlah aku nak menghina ke apa. Kalau ada yang muda, perlu ke aku pilih yang tua, kan?”

“Betul. Tapi, apa pilihan lain yang kau ada?”

“Tulah, papa aku ni macam-macam hallah. Boleh pulak nak ugut-ugut fasal kahwin semua ni. Dia ingat anak dia ni apa? Perempuan murahan, yang nak kena jadi perigi cari timba?”

Shakir tergelak.

“Yang kau gelak apa hal? Aku tengah runsing ni!” marah Syahirah, bengang.

Dia semakin tertekan.

“Kau baru sedar yang selama ni kau perempuan?”

“Pergh... kau carut aku, kan?”

Shakir hanya tergelak.

“Susah sangat, kau kahwin dengan aku ajelah.”

Syahirah memandang Shakir dengan wajah terkejut.

“Aku kahwin dengan kau? Kau dah sewel ke apa?”

“Eh, kenapa pulak?”

“Kau lelaki ke?” tanya Syahirah sambil memandang Shakir dari atas ke bawah berulang kali.

“Amboi, ni dah lebih. Kau carut aku balik ya.”

“Aku masih keliru dengan kelelakian kau. Dahlah! Mengarutlah kau ni. Aku tengah pening kepala macam ni, kau boleh buat lawak bangang kat sini.”

Shakir hanya mampu tersengih, cuba menutup apa yang dia rasai. Hatinya tercarik dengan kata-kata Syahirah itu. Terasa seperti baru lepas patah hati. Sedih. Aku ni hampeh sangat ke? Sampaikan dia cakap macam tu. Detik hati Shakir.

“Weh, yang kau ni tiba-tiba macam blur ni kenapa? Takkan kau tak ada idea lain?” soal Syahirah, ingin mengejutkan Shakir dari lamunan.

Shakir tersentak.

“Aku blur? Mana ada. Aku okey aje. Aku pun tak ada idea nak tolong kau.”

Syahirah mengeluh tertekan.

“Kenapalah tiba-tiba papa aku buat perangai macam ni? Dah ting tong agaknya papa aku tu,” rungut Syahirah.

Shakir hanya mencebik lalu menyedut minumannya. Dia juga buntu mahu menolong kawan baiknya itu.

***********

“ASSALAMUALAIKUM! Assalamualaikum! Ada sesiapa kat dalam? Aku kat luar ni?”

Jeritan suara nyaring itu membantutkan kerja Pak Saad yang sedang mengemas butiknya. Waktu sekarang sudah pukul 6.33 petang. Kedainya tutup sejak 33 minit yang lalu. Jadi, sebelum pulang, kenalah dia berkemas apa yang patut terlebih dahulu.

“Kalau suara nyaring tu, sah milik suara si Gayah. Hai... apa lagilah perempuan ni nak? Setiap kali aku dengar suara dia, mesti aku pening kepala. Malam nanti mesti aku migrain,” bebel Pak Saad.

Dia lalu memandang ke luar butik. Tebakannya memang tepat. Dari pintu lut sinar butiknya, dia nampak Gayah sedang mengemaskan sanggul di kepala. Dia melangkah ke pintu utama butiknya bersama penyodok dan penyapu jerami padi di tangan.

“Eh, kau Gayah, ada apa kau datang ni?” tanya Pak Saad sambil menarik pintu lut sinar ke dalam.

“Hai Abang Saad, ada ke orang datang butik Abang Saad ni nak beli lembu buat korban?” perli Gayah sambil tersengih sumbing.

Sengaja dia datang ke butik ini ketika Pak Saad sudah habis kerja. Dia mahukan privasi.

Pak Saad memandang ke arah lain sambil menjuih bibir. Meluat dengan jawapan Gayah, janda tidak beranak itu.

“Kau nak tempah baju ke, Gayah? Sorrylah Gayah, kedai aku dah tutup. Kau tak nampak papan tanda ni, tertera perkataan tutup? Kau tak pandai baca ke apa? Kalau tak pandai baca, biar aku ejakan. T.U.T.U.P. Bunyinya tutup. Jadi, kau datang esok ajelah ek?” balas Pak Saad sambil menghala papan tanda yang tersangkut pada pintu butiknya pada Gayah.

“Eh, nantilah Abang Saad!” ujar Gayah apabila Pak Saad mahu menutup pintu butiknya.

Mujur dia sempat tahan. Jika tidak, melepaslah dia mahu bertemu Pak Saad petang ini. Sebenarnya, suatu ketika dulu, dia dan Pak Saad pernah jadi pasangan kekasih dan bertunang. Tetapi disebabkan kealpaan dan kebodohannya, dia putus tunang dengan lelaki di hadapannya itu. Tidak sangka dia salah pilih lelaki untuk dijadikan suaminya. Selepas menjanda sepuluh tahun lalu akibat ditinggalkan bekas suaminya, dia berhasrat mahu meraih hati Pak Saad semula. Tetapi, sampai sekarang tidak dapat-dapat lagi.

“Eee... apa lagi ni, Gayah? Dah lewat ni. Aku nak kena balik rumah masak untuk makan malam. Lambat nanti, kebulur pulak anak aku tu,” ujar Pak Saad dengan geram.

Dia tertekan kerana Gayah masih mahu mendekatinya. Sudah berbuih mulutnya memberitahu pada wanita itu yang hatinya sudah tertutup untuk berkahwin lagi. Tetapi wanita itu tetap juga mahu mendekatinya seolah-olah tidak faham bahasa.

“Hai, Irah tu tak reti masak ke?”

Pak Saad mengeluh bosan.

“Kau pun macamlah tak kenal dengan anak aku seorang tu, kan? Perangai serupa lelaki. Masak mi segera dia pandailah. Tu pun sebungkus aje. Kalau dia masuk dua bungkus, gerenti hangus.”

“Sampai macam tu sekali? Perempuan apa macam tu? Tulah Abang Saad, dari dulu Gayah ajak abang kahwin, Abang Saad tak nak. Kalau tak, mesti dah ramai anak kita. Tak adalah macam Si Irah tu, pemalas yang amat!” ujar Gayah.

Pak Saad menjeling sejenak ke arah Gayah. Topik yang paling membosankan baginya. Macam sudah tidak ada topik lain pula yang ingin dibangkitkan.

“Apa-apa ajelah Gayah oiii. Walau apa pun, aku tetap tak akan kahwin lagi. Cukuplah Saemah seorang isteri aku.”

“Abang Saad, buat apa nak dikenang orang yang dah tak ada. Kita yang hidup ni, kena teruskan hidup. Kita boleh hidup bahagia berdua,” ujar Gayah lagi, tidak mahu mengalah.

“Tak apalah Gayah, aku dah cukup bahagia dengan hidup aku sekarang. Walaupun anak aku tu tak macam perempuan sepenuhnya, dia tetap darah daging aku. Satu-satunya harta berharga peninggalan Saemah. Dialah nyawa aku, Gayah,” ujar Pak Saad jujur.

Gayah mencebik meluat sambil mengejek kata-kata Pak Saad itu. Dia geram apabila dirinya ditolak begitu sahaja. Sebenarnya dia hairan, kenapa dia tidak pernah berputus asa untuk mendekati Pak Saad. Di mata dia, Pak Saad punya aura tersendiri yang membuatkan jiwanya bergetar. Walaupun bekas tunangannya suatu ketika dulu itu berpersonaliti lembut, namun wajah lelaki itu yang tampan dan sikap romantisnya yang pernah dia rasai dahulu masih terbayang kuat di mindanya sehingga sekarang.

“Kau nak tempah baju lagi ke, Gayah? Bukan ke, baru minggu lepas baju kau siap? Minggu ni dah nak tempah lagi?” tanya Pak Saad.

Dia mahu cepat-cepat menamatkan perbualan itu. Semakin dilayan wanita itu, tidak baliklah dia nanti.

“Haruslah Abang Saad oii... Setiap minggu ada jemputan kahwin. Kenalah bergaya dengan baju baru. Lagipun Gayah suka dengan jahitan manik dan rekaan kebaya moden Abang Saad. Kemas dan cantik. Padan dengan tubuh Gayah yang sentiasa ramping ni,” jawab Gayah sambil buat gaya model yang sudah lanjut usia.

Kalau tidak kerana mekap, pasti wajah dia persis nenek kebayan terlupa hendak suntik botoks.

“Kelas kau Gayah, setiap majlis kahwin, kau pakai baju baru. Kalah anak dara,” sindir Pak Saad.

“Kenalah Abang Saad oii... Badan saya ni masih cantik kut. Walaupun dah nak masuk 48 tahun.”

“Meletup! Kau nak tempah baju apa pulak kali ni?”

“Macam biasalah Abang Saad, kebaya moden. Buat sendat sikit kat bahagian pinggang tu. Kalau boleh Gayah nak warna merah langsat.”

“Ha? Merah langsat? Kau ni sewel ke apa Gayah? Langsat negara mana warna merah, Gayah?”

“Eh... langsat pulak. Bukan langsat, buah yang merah tu, buah tu macam nanas. Yang biji bersepah kat dalam tu.”

“Buah naga?” tebak Pak Saad.

“Haa... Dragon Fruit. Aku nak kebaya aku tu nanti warna merah Dragon Fruit tu. Boleh?”

“Amboi... speaking nampak? Ha, yalah. Nanti aku buat. Minggu depan kau datang ambil.”

“Tak nak jemput Gayah masuk ke, Abang Saad? Ukur badan?” tanya Gayah dengan gedik sambil memandang-mandang ke dalam butik.

“Tak payahlah Gayah, sebulan dekat empat kali kau tempah baju kat butik aku ni. Terima kasih banyaklah sebab sudi tempah baju kat butik aku yang tak seberapa ni. Ukuran badan kau masih dalam simpanan aku.”

“Maknanya tak boleh masuklah ni?” soal Gayah.

Dia hampa. Kalau dah tak boleh masuk, tak dapatlah dia nak berlama-lama dengan Abang Saad tersayangnya itu.

“Kau tak nampak ke, kedai aku dah tutup ni? Nanti baju kau dah siap, aku call kau ya?”

“Ala... Abang Saad ni, saja tau,” ujar Gayah sambil tarik muncung.

Dia berpaling membelakangi Pak Saad, minta dipujuk.

Pak Saad mengejek di belakang Gayah. Perlahan-lahan dia melangkah masuk ke dalam butiknya lalu pintu dikunci. Jangan harap aku nak pujuk kau, gumam Pak Saad.

Hampir seminit Gayah menanti, namun tidak kedengaran suara Pak Saad mahu memujuknya. Aik, senyap dah. Dah tertelan penyapu ke apa orang tua ni, detik hati Gayah. Perlahan-lahan dia berpaling ke belakang. Dia terlopong apabila melihat Pak Saad sudah tiada di belakangnya.

“Abang Saad! Suka buat Gayah macan ni. Benci!” rengek Gayah.

Dia lalu melangkah meninggalkan butik itu dengan perasaan malu yang menebal. Hampa apabila dirinya tidak dilayan. Macam-macam cara dia sudah buat untuk meraih hati Pak Saad. Satu pun tidak berjaya. Dia kecewa.

Belum sempat Gayah melangkah jauh meninggalkan butik itu, tiba-tiba kelihatan Syahirah menghampiri dia dengan menaiki motosikal kesayangannya. Syahirah memberhentikan motosikalnya betul-betul di hadapan Gayah.

“Eh! Kau nak bunuh aku ke, apa!” marah Gayah sambil menahan motosikal Syahirah.

Syahirah tersengih sumbing sambil mematikan enjin motosikalnya.

“Hai Mak Cik Gayah. Muka macam cencorot tercekik biji pulasan ni kenapa? Papa tak layan mak cik ek?” tanya Syahirah.

“Sibuklah kau. Apalah nak jadi dengan kau ni Irah. Kesian aku tengok papa kau tu. Dah tua-tua kena jugak masak untuk kau. Kau ni perempuan jenis apa ek? Tak pandai masak, tak pandai buat kerja perempuan. Kalau macam nilah perangai kau, sampai ke tualah kau tak berlaki,” sindir Gayah dengan tajam.

“Pehhh... mulut Mak Cik Gayah ni boleh tahan jugak ya. Walaupun saya macam ni, saya tak ada susahkan mak cik kan? Sekurang-kurangnya saya ni tak adalah seksi sangat. Tak macam mak cik tu,” balas Syahirah sambil memandang tubuh Gayah dari atas ke bawah.

“Kubur dah kata mari pun tetap nak sendat sana sini. Taubatlah Mak Cik Gayah oiii,” sambung Syahirah lagi.

Kata-kata Syahirah itu menusuk hati Gayah. Dia hanya mampu mengetap gigi menahan geram. Gayah tahu kalau dia melawan pun dia akan kalah.

“Dahlah! Malas aku nak layan kau!” rengus Gayah lalu menyambung langkahnya yang tergendala tadi.

“Tahu pun sentap. Mulut dah macam puaka!” kutuk Syahirah puas hati.

Dia membuka helmetnya lalu topi yang ada di bakul dipakai. Dia mula melangkah menuju ke butik Pak Saad. Mencuba nasib untuk tawar-menawar tentang ugutan papanya tengah hari tadi.

Bersambung BAB 03

http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=2439&idc=11957


Mohon maaf atas sebarang kesilapan tatabahasa, prosakata, tanda baca dan penggunaan ayat yang ada di dalam karya ini. Karya ini dicopy dan paste dari karya asal penulis yang belum diedit oleh editor bertauliah. Harap maklum.

Mantap