Dikuasakan oleh Blogger.

Jumaat, 7 Februari 2014

PAPA NAK MENANTU! - BAB 03

| 03 |


SELESAI sahaja menghidangkan sarapan di atas meja, Pak Saad terus mencapai telefon bimbitnya di atas meja perhiasan tidak jauh dari ruang makan itu. Nombor telefon Shakir didail. Ada perkara yang ingin dia maklumkan kepada satu-satunya pekerja kesayangannya itu.

“Assalamualaikum Shak,” sapa Pak Saad terlebih dahulu selepas talian disambung.

“Waalaikumussalam Pak Saad, ada apa call saya pagi-pagi ni?” balas Shakir di hujung talian.

“Ni, aku nak beritahu kau. Hari ni aku lambat sikit pergi butik. Ada hal sikit. Kau buka butik dulu ya. Kau simpan lagi kan, kunci pendua butik tu?”

“Ya, ada Pak Saad. Bukan ke, memang hari-hari saya yang buka butik tu?”

Pak Saad tersengih sambil mengaru-garu belakang kepalanya. Dia baru teringat tentang itu. Betul kata Shakir semalam. Mungkin dia dalam proses hendak nyanyuk ketika ini.

“Ya, aku tahu. Aku cuma nak beritahu yang aku pergi butik lambat sikit hari ni. Kalau ada customer tanya fasal aku, kau cakaplah aku masuk lambat, okey?”

“Okey Pak Saad,” jawab Shakir.

“Okey, assalamualaikum,” balas Pak Saad lalu menamatkan panggilan sebelum sempat Shakir menjawab salamnya.

Dia mengeluh bosan sambil memandang ke arah pintu bilik anaknya. Masih tertutup rapat. Sah! Masih membuta anaknya itu. Dengan keluhan bosan lagi bengang, dia melangkah menuju ke bilik anaknya. Namun, langkahnya terhenti apabila terpandang ruang tamu yang berselerak dengan kepingan DVD cetak rompak. Sekali lagi dia mengeluh berat.

“Anak dara aku ni, kalau buat sepah memang juara. Apalah nak jadi dengan dia ni. Aku tak tahulah Pak Mat tu sanggup ke tak, nak terima Si Irah jadi bini dia nanti. Aku takut, histeria orang tua tu bila tahu perangai Irah serupa jantan,” bebel Pak Saad sendirian sambil menyimpan kepingan DVD permainan PS3 milik anaknya ke dalam laci. Apa yang bersepah dikemas-kemaskan.

Dia menoleh pula ke arah meja kopi. Berselerak kulit kacang dan bungkusan makanan ringan di permukaannya.

“Ya ALLAH, bersepahnya ruang tamu aku ni. Kalau Jemah tu tengok perangai anak aku ni, boleh kena strok dia,” bebel Pak Saad lagi sambil mengemas meja kopi yang bersepah.

Selesai sahaja mengemas, dia membawa segala kulit kacang dan pembungkus makanan ringan yang sudah kosong tadi ke dapur lalu dibuang ke dalam tong sampah. Kemudian, dia menuju terus ke bilik Syahirah. Pintu bilik diketuk berkali-kali.

“Irah! Irah!” panggil Pak Saad dengan lantang.

Dia sengaja memanggil anaknya itu dengan nama ‘Irah’. Orang lain semua memanggil anaknya ‘Syah’. Baginya, nama ‘Irah’ itu unik lagi glamor. Kelas!

“Irah! Bangunlah! Kau ni nak jadi apa? Matahari tu kalau boleh aku kait, dah lama aku humban kat kau. Biar kau terbakar. Irah! Bangun!” pekik Pak Saad dari luar bilik Syahirah yang tertutup rapat pintunya.

Dia merengus bengang lalu memutar tombol pintu. Lantaklah anaknya mahu mengatakan dia menceroboh privasinya atau apa. Sebagai papa, dia ada hak menceroboh bilik anaknya itu.

“Ya ALLAH, masih terbongkang macam biawak atas tilam, anak dara ni,” keluh Pak Saad sambil bercekak pinggang.

Dia yang masih memakai apron melangkah masuk ke dalam kamar yang bersepah itu. Terlihat beberapa keping poster kumpulan rock tanah air tertampal di dinding. Baju kotor bersepah di sana sini. Mungkin juga itu baju bersih. Langsung tidak ada ciri-ciri bilik seorang anak gadis.

“Ni bilik ke, sarang tikus? Dengan bau tengik macam kambing gurun tak mandi bertahun-tahun, apalah nak jadi dengan budak ni,” bebel Pak Saad sambil melangkah menghampiri katil.

“Irah! Bangun! Dah pukul berapa ni? Kau jangan lupa, hari ni kau kena pergi bandar dengan Shak, beli stok manik papa. Papa nak cepat. Pelanggan dah ada yang bising baju dia orang tak siap lagi. Irah! Bangun!” kejut Pak Saad sambil menggoncang bahu anaknya.

Syahirah yang terasa tidurnya terganggu perlahan-lahan membuka kelopak mata. Apabila sinar cahaya yang memancar dari tingkap terkena matanya, cepat-cepat dia melarikan pandangan. Matanya pedih.

“Ala papa ni, bisinglah. Pagi lagi kut. Syah nak tidurlah,” rengus Syahirah.

Dia mencapai bantal lalu ditekup pada telinga dan wajahnya. Menghindar cahaya terang dari tingkap. Malah menghindar dari papanya.

“Eee... sabar ajelah aku dengan kau ni, Irah. Macam-macam cara aku dah buat nak ubah kau jadi wanita yang betul-betul wanita. Satu pun tak jadi. Aku ajar masak, kau tak nak. Suruh kemas rumah kau tak pandai. Cuci baju sendiri pun kau tak tahu. Sabun cuci baju dengan pencuci tandas pun kau tak dapat nak bezakan. Apalah nak jadi dengan kau ni?” bebel Pak Saad lagi.

Dia mengutip segala pakaian kotor milik anak gadisnya yang berselerak di atas lantai. Kalah bilik anak teruna bersepah. Sabar ajelah. Mujurlah Syahirah itu anaknya. kalau bukan, dah lama dia benam si Syahirah itu dalam tasik.

“Eee... papa ni, kalau nak membebel, keluar dari bilik Syah boleh tak? Peninglah,” rungut Syahirah tanpa rasa bersalah.

Pak Saad hilang sabar. Sudah lama dia bersabar dengan sikap liat bangun pagi anak gadisnya itu. Dia tiada pilihan lain. Dia melangkah keluar dari bilik itu lalu menuju ke bilik air. Baju kotor milik Syahirah di tangannya sempat disumbat ke dalam bakul kain kotor di sebelah mesin basuh. Sampai di dalam bilik air, baldi dicapai lalu diisi dengan air.

“Ooo... kau kata aku membebel ya? Dah lama aku nak guna cara ni, tapi tak sampai hati. Baru sekarang aku sampai hati.”

Penuh sahaja baldi dengan air, dia membawa baldi itu ke bilik Syahirah. Dia berharap apa yang bakal dilakukan ini akan mengubah sikap anak gadisnya itu. Sampai di hadapan Syahirah yang masih tertiarap di atas tilam, dia dengan kudrat tuanya terus mencurah isi baldi ke arah anaknya. Bush!!!


*********


BERKERUT dahi Shakir yang sedang memakaikan baju yang baru siap dijahitnya pada tubuh patung apabila melihat Syahirah muncul di butik itu dengan wajah ketat.

“Eh, kau datang seorang? Papa kau tak datang sekali?” tanya Shakir sambil membetulkan baju kurung moden pada tubuh patung.

Syahirah menjeling menyampah pada Shakir. Tubuh direbahkan di atas sofa panjang. Gayanya sungguh kurang sopan. Topi di kepala dibuka lalu dicampak di atas meja. Rasa mengantuknya masih bersisa.

“Dia datang lambat. Katanya ada hal. Apa yang pasti, semua ni, kau punya pasallah,” jawab Syahirah dengan marah.

Dia mengeluarkan telefon pintar dari dalam poket seluarnya lalu menatapnya.

“Apa kaitan dengan aku pulak?” soal Shakir hairan.

Dia yang tidak tahu apa-apa tiba-tiba dipersalahkan.

“Kaulah, dari dulu aku suruh kau ambil lesen motor, kau tak nak. Sampai sekarang kau bawak motor tanpa lesen. Kalau kau ada lesen, tak adalah papa aku tu suruh aku angkut kau pergi ke bandar untuk cari segala manik-manik dia tu. Disebabkan itu jugaklah tidur aku tak cukup hari ni tau? Siapa nak jawab?” marah Syahirah.

Salah satu perangai Pak Saad ada pada Syahirah. Kuat membebel! Dah bapak borek, anaknya pasti rintik.

“Kau ni Syah...” balas Shakir

Dia terasa hati. Hatinya yang halus memang senang terusik.

“Kau macam tak kenal aku, kan? Aku ni mana berani bawak motor kat jalan besar. Aku bawak motor dari kampung ke pekan ni pun dalam 30 kilometer sejam aje. Kau kan tahu aku fobia dengan kenderaan besar-besar tu. Aku menggeletar kalau ada lori besar potong aku. Aku takut kena gilis,” sambung Shakir.

Syahirah merengus bosan sambil menjeling menyampah pada Shakir. Seketika kemudian dia kembali menatap skrin telefon pintarnya.

“Sampai bila kau nak fobia? Kalau kau tak uji keberanian diri kau sendiri, sampai ke matilah kau tak berani nak bawak motor kat jalan besar tau. Takkan aku nak kena angkut kau ke bandar sampai tua, kut? Kalau aku dah kahwin nanti, duduk jauh dengan papa aku, apa nasib kau? Kau rajin ke nak naik turun bas ke bandar tu?”

Shakir mengeluh sedih. Sampai hati kawan baiknya itu berkata begitu. Sekarang baru dia sedar yang selama ini dia sudah menyusahkan kawannya itu.

“Yalah, salah aku. Selama ni aku tak sedar yang aku dah susahkan kau. Aku ingatkan kau tak kisah hantar aku pergi balik beli manik untuk papa kau tu. Lepas ni, aku pergi sendirilah naik bas,” balas Shakir, berjauh hati.

Syahirah memandang Shakir yang sedang fokus dengan kerjanya. Rasa serba salah mula menyapa hatinya. Dia terlupa yang kawan baiknya itu memiliki sekeping hati yang rapuh dan senang tersentuh. Sebagai kawan yang sudah mengenali lelaki itu sejak kecil, sepatutnya dia lebih memahami, bukannya terus menyalahkan.

“Alololo... kau tersentap ke, Shak?” soal Syahirah.

Shakir tidak menjawab. Dia terus membetul-betulkan baju kurung moden di hadapannya.

“Aduhai, merajuk pulak dia ni,” keluh Syahirah.

Dia bangkit berdiri, melangkah menghampiri Shakir.

“Shak,” panggil Syahirah sambil merangkul bahu Shakir.

“Kau ni, dengan aku pun nak sentap. Aku cakap aje tadi. Lagipun, tak ada niat pun aku nak sindir atau perli kau. Apa yang aku cakap tadi tu, perkara betul, kan? Kalau kau ada lesen, berani lawan rasa takut dan fobia kau tu, kau jugak yang untung. Lepas ni kau nak pergi mana-mana, senang. Nak mengurat awek pun senang beb,” pujuk Syahirah dengan gaya macho.

“Tak apalah Syah. Aku tak nak susahkan kau. Biarlah aku pergi bandar naik bas aje,” balas Shakir, merajuk.

Dia menepis perlahan tangan Syahirah di bahunya lalu dia melangkah ke kaunter. Dia mahu bersiap-siap ke bandar. Biarlah dia pergi beli manik Pak Saad dengan menaiki bas.

“Alololo... merajuk pulak dia,” pujuk Syahirah lagi.

Dia mencapai lengan Shakir lalu menarik tubuh lelaki itu supaya menghadapnya.

“Shakir,” panggil Syahirah sambil memegang kedua-dua pipi Shakir supaya lelaki itu menatap matanya.

Shakir terpaku. Ini kali pertama Syahirah melakukan sebegitu terhadap dirinya. Jantungnya tiba-tiba berdetik pantas. Terasa seperti mahu tercabut keluar apabila pipinya disentuh Syahirah. Dia terpaku dan terkebil-kebil.

“Tak naklah merajuk macam ni. Aku gurau aje tadi. Kau macam tak kenal aku aje. Aku ni bila stres, mulut memang macam longkang sikit. Kau janganlah nak sentap dengan aku, okey? Tak comellah kau merajuk,” pujuk Syahirah sambil mencuit hidung Shakir.

Perbuatan Syahirah itu membuatkan pipi Shakir yang putih melepak sebelum ini mula merona merah. Malu apabila diperlakukan sedemikian.

“Dah, jangan nak merajuk. Cepat siap, kita gerak ke bandar sekarang. Papa aku sampai nanti, kita pulak tak gerak lagi, membebel dia nanti. Aku tunggu kau kat luar.”

Syahirah melangkah keluar dari butik itu untuk menghidupkan enjin motosikalnya. Apabila Syahirah sudah melangkah keluar dari butik itu, Shakir terus menekup muka dengan kedua-dua tapak tangannya. Malu sendiri kerana Syahirah menyentuh pipinya tadi. Bibirnya tersenyum gembira. Perlahan-lahan dia menguak tangannya lalu menyentuh kedua-dua pipinya.

Adakah ini yang dinamakan cinta? Gumam Shakir. Bibirnya terus mengukir senyuman bahagia. Hatinya berbunga riang. Terasa persis ada rama-rama terbang di benaknya ketika ini. Indahnya perasaan itu.

“Hoi! Kau kenapa? Tersengih-sengih macam kerang busuk. Cepatlah!” jerit Syahirah dari muka pintu butik itu.

Shakir tersentak lalu berkecai perasaan bahagianya tadi dalam sekelip mata sahaja.

“Yalah, yalah,” balas Shakir kelam-kabut lalu mencapai beg silangnya di atas meja kaunter.

Terkedek-kedek dia melangkah meninggalkan butik itu. Sempat dia menterbalikkan papan tanda ‘Buka’ kepada ‘Tutup’. Pintu dikunci lalu dia melangkah menuju ke arah Syahirah yang sudah siap sedia di atas motosikalnya.

“Dah, pakai helmet ni,” suruh Syahirah sambil menghulur helmet kedua yang dibawanya dari rumah.

“Pink? Sejak bila kau ada helmet warna pink ni? Biasa warna putih,” ujar Shakir hairan sambil mencapai helmet yang dihulur Syahirah.

“Aku spray jadi warna pink kelmarin. Macam mana? Cantik tak? Kau kan muka jambu, comel apa pakai helmet warna pink. Cepat pakai. Lambat nanti, membebel macam machine gun pulak papa aku tu.”

“Yalah.”

Mahu tak mahu Shakir terpaksa juga pakai. Dalam masa lima saat mereka sudah meninggalkan butik itu menuju ke arah bandar.

“Arghh!” jerit Shakir apabila Syahirah tiba-tiba memecut laju motosikalnya.

“Ha!Ha!Ha!” Syahirah tergelak besar melihat gelagat kawan baiknya itu. Dia suka memperdajal Shakir.

Shakir pula sudah memeluk pinggang Syahirah seerat-eratnya. Dia takut tercampak.


Bersambung BAB 04

http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=2439&idc=12202
Mohon maaf atas sebarang kesilapan tatabahasa, prosakata, tanda baca dan penggunaan ayat yang ada di dalam karya ini. Karya ini dicopy dan paste dari karya asal penulis yang belum diedit oleh editor bertauliah. Harap maklum.



Mantap