Dikuasakan oleh Blogger.

Jumaat, 14 Mac 2014

PAPA NAK MENANTU! - BAB 11


AGAK terkejut Pak Saad pagi itu apabila melihat Syahirah sudah berada di meja makan tatkala jam di dinding baru pukul 8.43 pagi. Biasanya, di waktu-waktu begini, anak daranya itu masih membongkang atas katil. Tetapi hari ini, awal pula anak daranya itu bangun pagi.

Teko berisi teh panas diletak di tengah meja. Dia melangkah ke muka pintu dapur, melihat matahari di dada langit. Seketika kemudian, dia melangkah masuk semula ke dalam rumah. Syahirah masih berada di meja makan sambil menyuap nasi goreng masakannya ke dalam mulut. Kehadirannya di situ seolah-olah tidak diendah. Syahirah lebih fokus pada telefon pintarnya.

Pap! Pap!

Pak Saad menampar pipi kanan dan kirinya berulang kali. Syahirah yang terperasan dengan bunyi itu terlopong melihat perlakuan Pak Saad.

“Papa kenapa? Tak fasal-fasal tampar diri sendiri. Dah nyanyuk?” tanya Syahirah hairan sambil menuang air di dalam teko ke dalam cawannya.

Pak Saad melangkah menghampiri anaknya. Soalan anaknya itu tidak dijawab.

Pap!

Dengan selamba Pak Saad menampar pipi Syahirah. Sekadar menampar perlahan.

“Eh, apa papa ni? Tak fasal-fasal tampar Syah,” ujar Syahirah, terkejut.

Tidak sangka yang dia akan dapat penampar percuma pagi-pagi begini. Pipinya yang ditampar Pak Saad diusap lembut.

“Papa ni tengah bermimpi di siang hari ke?” tanya Pak Saad terpinga-pinga.

Apa yang dilihatnya pagi ini memang sesuatu yang menakjubkan.

“Papa ni kenapa? Mimpi apanya ni?”

“Tak adalah, papa ingatkan papa tengah bermimpi sekarang ni.”

Perlahan-lahan Pak Saad cuba menerima kenyataan yang terbentang di hadapannya ketika ini. Dia mula menghenyak punggung di atas kerusi yang bersebelah dengan Syahirah. Teko dicapai lalu isinya dituang ke dalam cawannya.

“Papa nak Syah tampar muka papa tak?” tawar Syahirah.

“Eh, tak apa. Papa dah okey dah,” ujar Pak Saad, menolak dengan baik sambil menyenduk nasi goreng yang masih panas ke atas pinggan.

“Papa cuma hairan dengan kau tu aje. Tak pernah-pernah buat kemunculan ala-ala Miss Universe tak jadi pagi-pagi buta kat meja makan ni. Tiba-tiba pagi ni buat kemunculan. Tu yang papa macam tak boleh nak terima kenyataan,” sambung Pak Saad.

“Pehhh... tadi tu yang papa duk tampar-tampar muka, siap pakej tampar muka Syah, konon-konon papa tak percaya yang Syah dah bangun awallah ya? Sindiran makan dalam tu, papa,” ujar Syahirah.

Dia baru sedar yang babak tampar-menampar tadi adalah lakonan papanya untuk menyindirnya.

“Kau sentap ke?” soal Pak Saad balik sambil menyuap nasi goreng ke mulut.

“Haruslah sentap. Bila Syah bangun lewat, papa bising. Bila Syah bangun awal, papa sindir. Nanti, Syah tak bangun-bangun lagi, baru papa nak menyesal.”

Syahirah betul-betul sudah berjauh hati dengan papanya. Siap buat muka cemberut lagi.

“Amboi mulut! Tak sayang papa ke?” soal Pak Saad sambil menunjal pipi Syahirah dengan hujung jari telunjuk.

“Dah orang tak sayang kita, nak buat macam mana, kan?” balas Syahirah sambil mencebik.

Dia lalu menyambung makannya.

“Eleh, sikit-sikit nak merajuk. Yalah, papa mintak maaf kalau sindiran papa tadi terlalu melampau. Papa cuma terkejut aje. Dalam masa yang sama, papa bahagia sebab kamu mula nak berubah. Dah pandai bangun awal pagi. Bagus anak papa seorang ni,” ujar Pak Saad sambil merangkul bahu Syahirah.

Syahirahlah satu-satunya harta paling berharga yang dia ada di dalam dunia ini. Andai dia kehilangan Syahirah, dia tidak tahu apalah nasib dirinya. Dia tidak pasti, apakah dia mampu menerima sebuah kehilangan.

“Sebab Syah ada hal pagi ni dengan Shak, pa. Kalau tak ada hal, jangan haraplah Syah nak bangun awal,” beritahu Syahirah dengan selamba.

Dia menyuap makanan ke dalam mulutnya dengan riak muka tidak bersalah. Hahaha... papa pulak terkena sekarang, tawa Syahirah di dalam hati.

“Ceh!”

Pak Saad melepaskan pelukan di bahu Syahirah.

“Menyesal aku puji kau. Buang karen aje.”

“Hehehe...” Syahirah tersengih.

“Macam mana? Dah mulakan operasi nak cari menantu untuk papa? Dah masuk hari kelima dah ni,” ujar Pak Saad sambil menghirup minumannya sedikit demi sedikit.

“Ala bah, baru lima hari. Birthday papa pun lama lagi.”

“Papa tanya aje. Manalah tau, kau buat-buat lupa. Kalau kau buat-buat lupa, papa boleh tolong ingatkan.”

“Syah takkan lupalah, papa. Papa yang cabar Syah, kan? Dan Syah pun dah terima cabaran papa tu. Jadi, Syah akan buktikan yang Syah boleh bagi papa bakal menantu sebelum atau selewat-lewatnya pada hari birthday papa yang ke 50 tahun sebagai hadiah birthday yang paling berharga,” ujar Syahirah dengan penuh yakin.

“Amboi... bukan main riak kau berkata-kata ya! Okey, papa tunggu saat tu. Jangan kau angkut hantu jadian jadi menantu papa, dahlah. Tapi, kalau tiba-tiba kau tak cari bakal menantu untuk papa, sila beritahu papa. Papa akan pinangkan Pak Mat jual tempe tu untuk kau,” balas Pak Saad.

“Apa papa ni? Kenapa papa nak kena pinang Pak Mat tu pulak? Bukan ke lelaki yang kena pinang perempuan?”

“Laa... kau baru sedar ke yang kau tu perempuan?”

“Benci! Papa pun sama aje macam Shak tu. Sehati sejiwa. Suka perli Syah macam tu. Dahlah, Syah nak jumpa Shak sekejap,” ujar Syahirah.

Dia menghirup minumannya sehingga habis. Selesai sahaja, dia terus meminta diri. Nasi gorengnya yang masih bersisa sudah diabaikan. Seleranya terus mati apabila diperli sedemikian.

“Ha, jangan nak lambat sangat ya. Kalau kau orang berdua lambat sampai butik, papa rampas telefon kau orang berdua lagi, faham?” pesan Pak Saad.

“Erm... yalah,” balas Syahirah di muka pintu dapur dengan riak wajah acuh tak acuh sambil memakai kasut.

“Kau tu, bilalah nak belajar pakai blaus ke? Baju kurung ke? Ni, kemeja tu jugak kau sarungkan.”

“Assalamualaikum pa. Cou cin cau,” pamit Syahirah cepat-cepat.

Dia malas mahu melayan isu baju yang dibangkitkan papanya itu. Jika dilayan, sampai esok tidak habis.

Pak Saad menggeleng.

“Bilalah kau nak berubah, Irah. Aku harap, bila kau dah bersuami nanti, kau akan berubah,” keluh Pak Saad.

Itulah harapan di sebalik ugutannya sebelum ini. Walaupun dia rasa cara ugutannya itu terlalu berlebihan, dia tetap akan teruskan. Kerana dia tiada pilihan lain. Hanya cara itu yang dia rasa bisa mengajar anaknya itu mengenal erti sebuah kehidupan.


*********




HAMPIR setengah jam mengangkat dumbbel, barulah dia berhenti dari melakukan salah satu aktiviti senamannya itu demi untuk membentuk otot tangannya supaya sentiasa terbentuk cantik dan pejal. Sebagai salah seorang jurulatih di gimnasium yang diberi nama 7 Days Fitness & Dance ini, dia perlulah kelihatan sihat, berotot dan berkeyakinan. Barulah pelanggan bisa menaruh kepercayaan kepadanya untuk melatih mereka.

“Kau ada klien lagi ke lepas ni?” tanya Dwan.

Dwan adalah rakan baik merangkap kawan serumah dan sekerjanya di gimnasium ini.

Azrin Aidil tidak terus menjawab. Dia bangkit berdiri lalu mengelap peluhnya dengan menggunakan tuala kecil yang sentiasa tersangkut di bahunya. Dia memandang dirinya melalui dinding cermin di hadapannya. Melihat bentuk tubuhnya yang semakin sasa hari demi hari.

“Tak ada. Kenapa?” jawab Azrin Aidil.

“Aku pun tak ada klien lepas ni. Kalau macam tu, kita lepak makan sekejap, nak tak?” ajak Dwan.

“Sekarang ke?”

Mereka berdua mula menyusun langkah menuju ke bilik persalinan.

“Lepas kita siap-siaplah. Takkan nak pergi sekarang, melekit satu badan ni.”

“Okey,” akur Azrin Aidil.

Mereka berdua terus ke bilik persalinan yang mana terdapat juga beberapa buah bilik air khas untuk pelanggan dan staf gimnasium ini membersihkan diri selepas penat melakukan senaman.

“Kes kau dengan Delyna macam mana? Dah selesai?” tanya Dwan sambil membuka pintu loker.

Dia mengeluarkan tuala dari dalam loker lalu disangkut pada bahunya.

Pertanyaan Dwan itu sedikit mengganggu mood Azrin Aidil. Ikutkan hati, dia mahu melupakan apa sahaja yang berkaitan dengan Delyna. Cukuplah kehancuran yang wanita itu tinggalkan padanya sebelum ini. Namun, kemunculan Delyna sejak beberapa bulan lalu membuatkan kenangan lama kembali menghantui hidupnya.

“Macam tulah Wan,” jawab Azrin Aidil.

Pintu lokernya dibuka. Tuala dan barangan peribadinya dicapai.

“Apa lagi yang dia nak? Aku tengok sejak beberapa bulan ni, dia selalu datang sini nak jumpa kau,” ujar Dwan.

Dia sudah tahu kisah yang sebenarnya. Azrin Aidil sendiri yang dengan rela hati telah menceritakan segala-galanya padanya sebelum ini.

Mereka berdua mula melangkah ke bilik air yang ada. Kelihatan ada beberapa orang pelanggan dan rakan sekerjanya yang lain turut membersihkan diri di ruangan itu. Azrin Aidil dan Dwan masuk ke dalam bilik air yang berasingan dan sebelah menyebelah.

“Aku pun tak faham dengan dia, Wan. Dulu dia yang beria-ia tinggalkan aku. Lepas dua tahun, dia muncul balik, nak balik pada aku semula.”

“Eh, bukan ke kau pernah cerita pada aku sebelum ni, dia tinggalkan kau sebab dia kahwin dengan lelaki yang dia anggap boleh bahagiakan dia?” soal Dwan hairan.

“Entahlah Wan, kadang-kadang aku tak faham dengan perempuan ni. Biasanya, lelaki yang buat perempuan macam sampah. Ni, aku yang dibuat macam sampah. Tak apalah, aku pun dah lupakan apa yang dia buat kat aku dulu,” jawab Adil.

Mulut dia sahaja berkata begitu. Hatinya, hanya TUHAN sahaja yang tahu bagaimana pedihnya kerana ditinggalkan kekasih hati dua tahun lalu.

Mereka mula membersihkan diri masing-masing. Dua puluh minit kemudian, mereka selesai membersihkan diri. Mereka melangkah ke singki sambil mengelap badan masing-masing yang masih basah.

“Dia jumpa kau, husband dia tak marah?” soal Dwan lagi.

Azrin Aidil tidak terus menjawab. Dia mencapai krim pelembap wajah lalu dipicit sedikit di telapak tangannya.

“Entahlah, katanya dia dah single,” jawab Azrin Aidil sambil menyapu rata pelembap ke seluruh wajah.

Sebagai seorang lelaki moden yang hidup dengan gaya metroseksual, hal sebegitu sudah menjadi kebiasaan baginya. Kerjanya perlu berhadapan dengan ramai orang. Jadi, penampilannya perlu terjaga dan kemas.

“Oh, patutlah dia berani jumpa kau. Sebab apa dia single?”

“Entahlah, aku malas nak ambil tahu.”

Dwan mengangguk akur sambil memandang sekilas ke arah Azrin Aidil di sebelahnya melalui cermin. Dia perasan wajah kawannya itu kelihatan kurang senang tatkala berbicara mengenai Delyna.

Sepuluh minit kemudian, mereka sudah siap untuk keluar makan. Makan tengah hari ketika jam sudah pukul 2.00 petang. Begitulah kehidupan mereka sebagai jurulatih di gimnasium ini. Waktu makan tidak menentu gara-gara perlu mengikut jadual latihan klien.

“Dah siap?” tanya Dwan sambil mengemaskan struktur rambut di hadapan cermin singki.

“Dah,” balas Azrin Aidil.

Wangian kegemarannya disembur sedikit pada tubuhnya.

“Okey, jom...” ajak Dwan.

Mereka berdua mula meninggalkan ruang itu menuju ke pintu utama gimnasium. Perut masing-masing sudah kelaparan. Belum sempat mereka melangkah jauh, tiba-tiba muncul seseorang menyapa Azrin Aidil.

“Aidil.”

Serentak Azrin Aidil dan Dwan menoleh ke arah suara itu. Azrin Aidil mengeluh bosan apabila melihat pemilik suara itu.



*********


TIDAK pernah-pernah Syahirah duduk melanguk menunggu Shakir menyiapkan kerjanya sebelum ini. Namun hari ini, buat pertama kalinya dia duduk tidak jauh dari meja kerja sambil memerhati Shakir memotong kain. Pecah rekod!

Sebenarnya dia bukan suka-suka duduk di situ. Dia sedang menanti Shakir menghabiskan kerjanya kerana selepas tamat waktu kerja mereka untuk hari ini, ada misi yang perlu mereka berdua laksanakan.

Sekejap-sekejap dia akan menjeling-jeling ke arah papanya yang sedang fokus menjahit manik di ruang santai. Jam di pergelangan tangannya dipandang. Lagi lima minit pukul 6.00 petang. Setiap minit yang berlalu terasa begitu lambat pula ketika ini.

“Weh, cepatlah sikit. Kenapa kau lambat sangat ni? Aku takut tak sempat,” bisik Syahirah pada Shakir yang masih fokus dengan kerja.

Sebenarnya fokus Shakir sudah terganggu sejak tadi. Syahirah tidak henti-henti mengganggu konsentrasinya untuk memotong kain mengikut saiz yang telah ditetapkan. Salah potong, boleh jahanam kain di hadapannya itu.

“Sabarlah, kau ingat kerja aku ni boleh siap hari ni jugak ke? Banyak lagi kain aku nak kena potong tau. Silap-silap aku kena kerja over time hari ni,” bisik Shakir juga.

“Eh, agak-agaklah, kita ada misi malam ni tau. Kau kata kita nak kena jumpa Nabila, kan? Kau jangan buat-buat lupa, aku kena jumpa si Ezani, tauke belacan tu malam ni,” ujar Syahirah.

Risau juga dia kalau-kalau Shakir buat-buat lupa tentang rancangan mereka sebentar lagi.

“Masalahnya, aku bukan bos kat butik ni. Kalau papa kau nak suruh aku kerja over time, apa aku nak kata, kan,” balas Shakir.

Hakikatnya di dalam hati Shakir dia berharap Pak Saad menyuruhnya kerja lebih masa hari ini. Dia mahu rancangan Syahirah mahu bertemu dengan rakan Facebooknya gagal. Dia risau andai berlaku apa-apa pada Syahirah. Sungguh berani kawan baiknya itu mahu bertemu dengan lelaki yang baru dikenali tidak sampai 48 jam di Facebook.

“Kau jangan nak mengada-ngada. Kita tak ada buat hal hari ni, takkanlah papa aku tiba-tiba nak suruh kau kerja over time.”

“Itu kata kau, bukan kata papa kau. Kau macam tak tahu aje perangai papa kau tu. Sukar nak jangka. Tiba-tiba dia boleh berubah fikiran.”

Syahirah mengeluh bosan. Jam di pergelangan tangan dipandang lagi. Ada baki dua minit lagi untuk menamatkan waktu kerja mereka hari ini.

Pak Saad yang menjahit manik di sofa mencuri pandang ke arah Shakir dan Syahirah sejak dari tadi. Dia perasan, Syahirah nampak gelisah persis cacing kepanasan sejak tadi. Seperti ada sesuatu yang dia inginkan dari Shakir.

“Apa yang kau orang berdua bisikkan dari tadi tu?” soal Pak Saad.

“Ha, bisik? Mana ada, pa,” jawab Syahirah teragak-agak.

“Jangan nak auta papa. Walaupun papa ni dah rabun, tapi papa masih boleh nampak lagi. Bak kata pepatah, kuman seberang laut boleh nampak, gajah depan mata tak nampak. Hebat tak?”

Syakir dan Syahirah saling berpandangan.

“Macam pelik aje pepatah yang papa aku guna tu. Tu, perumpamaan ke peribahasa?” tanya Syahirah.

Shakir angkat bahu tanda dia juga keliru.

“Pak Saad, pepatah tu kan bermaksud, salah orang lain yang sekecil hama pun kita boleh nampak, silap sendiri yang sebesar gajah tak pernah nak perasan. Apa kaitan dengan kami, Pak Saad?” ujar Shakir hairan.

“Err...”

Pak Saad diam sambil berfikir sejenak. Dia cuba mencari idea untuk menjawab soalan pekerjanya.

“Alah, konon-konon bolehlah digunakan pepatah tu untuk ayat aku tadi. Dah, lupakan!” sambung Pak Saad.

“Boleh pulak macam tu?” soal Syahirah hairan.

“Bolehlah. Mulut papa, suka hatilah nak guna pepatah apa pun. Yang kau ni, tiba-tiba hari ni rajin pulak jadi pemerhati si Shak tu buat kerja, kenapa? Tak pernah-pernah sebelum ni kau gigih tengok Shak tu buat kerja. Biasanya, belum setengah jam kau duduk kat butik ni, kau dah panas punggung nak keluar. Kau nak belajar menjahit ke apa?” luah Pak Saad akan kemusykilan.

“Eh, mana ada, pa. Syah saja nak perhati si Shak ni buat kerja. Mana tahu dia nak curi tulang ke apa.”

Laju Shakir menjeling tajam ke arah Syahirah. Tidak fasal-fasal dia pula jadi mangsa keadaan.

Tit! Bunyi dari jam tangan digital di pergelangan tangan Syahirah itu menandakan waktu sekarang sudah menunjukkan pukul 6.00 petang.

“Okey, dah habis masa. Jom balik!” ajak Syahirah.

Dia lalu menarik lengan Shakir untuk meninggalkan butik itu.

“Eh, sabarlah, tunggulah aku kemas dulu,” balas Shakir.

Kelam-kabut dia melepaskan gunting di tangan dan meletak pita pengukur yang tersangkut pada lehernya di atas meja.

“Eh, eh, eh, kau orang berdua nak ke mana tu?” tanya Pak Saad apabila melihat Syahirah dan Shakir tiba-tiba kelihatan tergesa-gesa hendak meninggalkan butik itu.

Langkah Syahirah dan Shakir terhenti.

“Dah pukul 6.00, waktu balik,” jawab Syahirah.

Pak Saad memandang meja kerja. Bersepah dengan kain perca di lantai dan kain yang mahu dibuat baju yang tidak disusun.

“Tu, meja kerja tu siapa nak kemas? Shak, kau dah tak reti nak mengemas ke?”

Shakir serba salah.

“Hari ni, papa tolong kemaskan untuk Shak, boleh tak? Kita orang berdua ada hal ni. Penting sangat. Terima kasih papa. Sayang papa. Muah!” balas Syahirah.

Dengan pantas dia menarik lengan Shakir meninggalkan butik itu. Mereka perlu cepat.

Shakir dengan rasa serba salah memandang Pak Saad lalu akur mengekori langkah Syahirah.

“Hal apa pulak? Jangan nak buat benda bukan-bukan. Balik cepat. Kalau kau balik lambat, papa kunci, siap mangga pintu rumah nanti!” jerit Pak Saad, memberi peringatan.

“Baiklah papa!” balas Syahirah dari luar butik.

Dalam masa 15 saat, Syahirah dan Shakir sudah meninggalkan butik itu dengan menunggang motosikalnya. Shakir pula duduk di belakang.

“Kurang asam betul kau orang berdua ni. Aku jugak yang kena mengemas. Stres,” keluh Pak Saad dengan bengang sambil memegang kepala dan menggeleng-geleng.
http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=2439&idc=13232



Mantap