Dikuasakan oleh Blogger.

Jumaat, 21 Mac 2014

PAPA NAK MENANTU! - BAB 13


DISEBABKAN Syahirah terus bertemu dengan bakal suami segeranya, terpaksalah Shakir menumpang Nabila untuk balik semula ke butik memandangkan skuternya masih berada di sana. Apa yang pasti, sejak tadi Shakir nampak gelisah dan bermuram durja.

Nabila yang sedang memandu memandang Shakir sekilas di sebelahnya.

“Kau ni kenapa? Dari tadi aku tengok macam ada yang tak kena aje. Gelisah ala resah gitu. Kau ada masalah?” tanya Nabila sambil memperlahankan kenderaan apabila lampu isyarat di hadapan sudah bertukar warna kuning dan seketika kemudian bertukar merah.

Berkerut dahi Nabila apabila soalannya tidak berjawab. Dia memandang Shakir di sebelahnya. Lelaki itu asyik memandang ke luar kereta. Macam dia bercakap dengan stereng pula.

“Eh...” panggil Nabila sambil mencuit paha Shakir.

Shakir tersentak lalu memandang Nabila dengan wajah terkejut.

“Kenapa? Dah sampai ke?”

Nabila tergelak. Kenderaannya kembali bergerak apabila lampu isyarat bertukar hijau.

“Kau ni kenapa? Mamai ke apa? Aku tanya tadi, kau buat bodoh aje.”

“Eh, kau ada tanya aku ke?” soal Shakir balik.

Serius, dia memang tidak dengar apa-apa soalan pun tadi.

“Adalah, kau pekak ke apa?”

“Err... mungkin aku terlalu menghayati lagu kat radio ni kut,” ujar Shakir dengan gelabah.

Kebetulan lagu Gerimis Mengundang nyanyian Zamani Slam berkumandang di corong radio ketika ini.

Nabila semakin hairan dengan sikap Shakir ketika ini. Dia tidak menyangkal kata-kata Shakir itu walaupun dia tahu Shakir berbohong. Bait-bait lirik lagu yang sedang berkumandang itu memang cukup syahdu dan mengasyikkan.

“Kau risaukan Syah ya?” tebak Nabila dengan yakin

Ya, dia yakin yang Shakir memang risaukan Syahirah. Semasa dia sibuk menggayakan Syahirah dan menyolek wajah kawan baiknya itu, Shakir tidak banyak berbicara. Dia lebih banyak mengiakan sahaja dari menidakkan.

“Eh, kenapa pulak aku nak kena risaukan dia? Dia dah besar, pandai-pandailah dia nak hidup,” nafi Shakir.

Hakikatnya, dia memang risaukan Syahirah.

“Mengaku ajelah Shak. Takkan dengan aku pun kau nak berahsia.”

Shakir hilang bicara. Nampaknya dia tidak bisa menyembunyikan lagi perasaannya daripada Nabila. Tetapi, dalam masa yang sama dia belum bersedia untuk berkongsi apa yang dia rasa dengan sesiapa.

“Okey, aku mengaku aku risaukan dia. Sebagai kawan, mestilah aku risau. Kalau lelaki yang dia jumpa tu ada niat tak baik pada dia, macam mana?” akui Shakir.

Tetapi, dia tetap menyembunyikan perasaan sebenarnya.

Nabila tergelak.

“Euww.... jawapan kliselah, Shak. Jawapan rasmi untuk menutupi perasaan kau yang sebenar. Alasan basi yang aku takkan terima.”

“Eh...”

Shakir memandang Nabila.

“Apa hal pulak kau kata jawapan aku klise? Kalau kau nak percaya, percayalah. Kalau kau tak nak percaya, aku tak boleh paksa.”

“Cuba kau berterus terang aje dengan aku yang sebenarnya kau tu cemburu, kan?”

“Cemburu? Nak cemburu sebab apa?”

“Sebab Syah jumpa lelaki lain, betul tak?”

“Apa kena-mengena?”

“Adalah kena-mengenanya. Kau suka Syah, tapi Syah tak pilih kau. Betul tak?”

“Eh kau ni, memandai aje buat cerita. Bila masa pulak aku cakap aku suka dia? Aku cakap, aku risaukan dia sebagai kawan. Aku tak nak dia kena tipu, itu aje. Kalau aku suka dia, kenapa aku perlu bersusah payah tolong dia cari suami segera, kan?”

Kali ini Nabila terdiam sejenak memikirkan kata-kata Shakir itu. Benar juga kata Shakir itu. Andai lelaki itu suka Syahirah, kenapa dia sanggup menolong Syahirah mencari bakal suaminya? Sungguhpun begitu, dia masih tidak bisa menerima bulat-bulat pengakuan Shakir itu. Dia tetap yakin yang Shakir ada perasaan terhadap Syahirah.

“Betul tak apa aku cakap?” tanya Shakir apabila Nabila diam seribu bahasa.

“Betul jugak. Tapi, dari sikap kau yang tak suka Syah jumpa kawan Facebook dia tu, macam kau cemburu.”

“Mana ada, tu perasaan kau aje kut.”

“Mungkin jugak,” akur Nabila.

“Tapi, apa-apa pun aku nak berpesan ni. Kalau kau betul-betul suka kat Syah tu, baik kau cepat-cepat mengaku pada dia. Nanti bila dia dah jumpa Mr. Right dia, kau jugak yang gigit jari,” sambung Nabila dengan ikhlas.

“Kalau dia dah jumpa Mr. Right dia, aku sebagai kawan akan tumpang bahagialah. Takkan aku nak jadi Mr. Wrong dia pulak.”

Nabila tergelak.

“Kau ni, boleh pulak buat lawak. Ingat Shak, bibir memang manis berbicara termasuk kata dusta. Tapi hati, selalunya sukar untuk menipu. Andai bibir kau cakap lain, sedangkan hati pulak cakap lain, sakitnya kau akan tanggung kat sini, Shak,” tutur Nabila sambil meletakkan tangan kiri di dada.

Shakir memandang tempat yang ditunjukkan Nabila. Dia faham maksud dari perbuatan itu. Ya, dia sedang menahan senak dan sendat di dadanya ketika ini. Cuma bibirnya sahaja yang terus menafikan. Nampaknya, Nabila bisa membaca perasaannya.

Keadaan diam seketika. Masing-masing sibuk buat hal sendiri. Nabila fokus pada pemanduannya. Manakala Shakir pula sibuk melayan perasaannya sambil memikirkan kembali kata-kata Nabila tadi.

“Betul ke kau nak aku hantar kau ke butik Pak Saad?” tanya Nabila, inginkan kepastian selepas beberapa minit diam.

“Ya,” jawab Shakir sepatah.

“Lama pulak Pak Saad buka butik hari ni. Biasanya, pukul 6.00 petang dah tutup.”

“Memang dah tutup pun. Aku ke sana sebab skuter aku kat sana.”

“Oh... faham,” akur Nabila.

Dia terus membelokkan keretanya ke kiri memasuki simpang menuju ke arah barat daya.

Tiba-tiba telefon pintar Shakir berbunyi menandakan ada mesej baru di WeChat. Dia segera membaca mesej baru itu yang datangnya dari Syahirah.


Tauke belacan tu aku reject!


Berkerut dahi Shakir membaca mesej pendek itu. Dia membalas.


Shakir: Kenapa? Dia menggatal dengan kau ek?

Syah: Nanti aku cerita.


Barulah Shakir kembali mengukir senyuman.


Bersambung BAB 14...

http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=2439&idc=13436



Mantap