Dikuasakan oleh Blogger.

Sabtu, 22 Mac 2014

PAPA NAK MENANTU! - BAB 14

| 14 |

TERGELAK Shakir selepas mendengar cerita Syahirah. Apa yang diceritakan Syahirah benar-benar melucukan. Lelaki yang dirasakan layak untuk dijadikan suami segera kawan baiknya itu rupanya punya sifat yang tidak menyenangkan Syahirah.

“So, selama dua jam kau hadap dia tu, kau hanya dengar cerita dia ajelah ya?” tanya Shakir selepas berhenti tertawa.

“Yalah. Aku boleh kira berapa patah perkataan yang keluar dari mulut aku ni. Rasanya tak sampai 30 perkataan pun. Dari mula jumpa, dia aje yang bercakap tak habis-habis,” luah Syahirah.

Dia tertekan dengan sikap kuat membebel si tauke belacan yang ditemui malam tadi. Pertemuan pertama dan terakhir baginya.

Shakir tergelak lagi.

“Kesian kau, kan? Mesti bernanah telinga kau dengar cerita dia.”

“Aku rasa kalau telinga aku ni boleh bercakap, dah lama menjerit ajak aku balik malam tadi. Kalau dia cerita fasal perusahaan belacan dia tu, mungkin aku boleh terima lagi. Bila dia start cerita fasal kucing dia, anak ikan dia, bantal busuk dia, punca-punca dia jadi botak, masa tulah aku dah mula mengantuk. Tapi aku tahan aje.”

“Anak ikan?” soal Shakir, ingin kepastian.

“Ya, dia kata dia bela ikan emas dua ekor. Seekor betina, seekor jantan. Baru bela seminggu, dah bertelur. Lepas tu dia ceritalah dari ikan emas dia tu bertelur, telur tu pulak menetas sampailah jadi anak ikan. Ingatkan dah habis. Rupanya bersambung lagi kisah anak ikan emas dia semua mati kena makan dengan bapak dia. Kisah haruan makan anak pulak enter frame. Kelas tak? Kalau buat novel, menangis air mata darah orang baca, tau?”

Shakir tergelak lagi. Namun ditahan-tahan dari terburai. Bimbang jika terlebih gelak bakal membuatkan kawan baiknya itu terasa. Dalam masa yang sama dia lega apabila Syahirah tidak menerima lelaki itu sebagai bakal suaminya.

“Kira okeylah tu, kan? Kau kata lelaki botak ni macho, handsome dan romantik,” perli Shakir.

“Tapi, bukan yang banyak mulut. Dahlah papa aku tu jenis kuat membebel. Tiba-tiba dapat suami yang banyak mulut. Boleh sewel hidup aku lama-lama, tau.”

“Nasib kaulah Syah. Tulah kau, baru chat sekali dah sibuk ajak jumpa.”

Shakir bangkit berdiri dari terus duduk melepak di ruang santai itu. Bila-bila masa sahaja Pak Saad boleh muncul. Andai Pak Saad muncul tatkala dia sedang duduk melepak goyang kaki bersama Syahirah, siap sedialah dia dengan bebelan berjela dari orang tua itu. Sebelum Pak Saad muncul, lebih baik dia menyambung kerjanya yang tergendala semalam.

“Eh, kau nak pergi mana tu? Aku belum habis cerita ni,” ujar Syahirah apabila Shakir tiba-tiba bangkit berdiri meninggalkannya sendirian di sofa itu.

“Aku nak buat kerjalah. Aku ni kuli aje kat butik ni. Bukan macam kau. Kau tu anak bos. Lain ceritanya,” jawab Shakir sambil melangkah menuju ke meja kerja.

Sampai sahaja di ruang kerja, dia mula menyambung kerjanya yang tergendala semalam.

“Ala, relakslah, papa aku belum sampai lagi kut.”

“Memanglah belum sampai lagi. Kau tahu ajelah papa kau tu. Suka buat kemunculan secara tiba-tiba. Aku tak nak kerja lebih masa. Waktu malam adalah waktu untuk aku berehat kat rumah sambil memanjakan diri. Bukannya kena menjahit dan potong kain.”

“Amboi, memanjakan diri konon. Mengalahkan perem-puan,” ujar Syahirah sambil mencebik.

Dia mengeluarkan telefon pintarnya.

“Pehhh... ada 32 friends request kat Facebook aku doh!”

Terkejut Shakir dibuatnya. Tiba-tiba Syahirah menjerit tidak tentu fasal. Mujur dia belum memegang gunting untuk memotong kain. Jika tidak, pasti rabak kain yang ingin dipotongnya itu.

“Kau ni kan, Syah! Buat aku terkejut aje. Kenapa nak over excited sangat dapat 32 friends request tu?” marah Shakir sambil mengusap dada.

“Gila tak over excited. Ni first time aku dapat friends request sebanyak ni tau? Sebelum ni, aku yang gigih add orang.”

Shakir mencebik.

“Dah sebelum ni kau letak gambar sport rim, siapa suruh. Kau ingat ada ke manusia nak add sport rim jadi kawan? Alien pun belum tentu nak add tau.”

Syahirah kelihatan teruja sekali lalu menerima setiap permintaan berkawan di laman sosialnya.

“Semua lelaki. Kacak-kacak pulak tu.”

“Hai, tak serik-serik lagi,” perli Shakir sambil menjeling sekilas ke arah Syahirah.

Dia mula mengukur kain bahan yang hendak dipotong mengikut saiz yang telah diambil oleh Pak Saad.

“Motif aku nak serik? Kalau aku serik, macam mana aku nak dapatkan menantu untuk papa aku tu nanti. Masa bergerak tau.”

“Tapi, takkan tak ada cara lain kut. Kalau kau jumpa lelaki macam tauke belacan tu lagi macam mana?”

“Takkanlah manusia tu semuanya sama.”

Shakir mengeluh perlahan. Menyesal pula dia cadangkan pada Syahirah supaya mencari suami melalui Facebook sebelum ini. Kalaulah dia tahu begini jadinya, dia tidak akan bagi idea itu. Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian sudah tidak berguna.

“Lantak kaulah Syah. Kalau berlaku apa-apa pada kau, jangan nak salahkan aku di kemudian hari.”

Syahirah merengus benci sambil menjeling ke arah Shakir. Sikit pun kata-kata Shakir itu tidak mengundang rasa putus asa untuk dia terus mencari bakal suaminya. Tempoh lima bulan itu dengarnya seperti lama. Tetapi hakikatnya sekejap sahaja andai waktu-waktu yang berlalu tidak digunakan sebaiknya.

Diam. Masing-masing sibuk dengan hal sendiri. Syahirah sibuk dengan telefon pintarnya manakala Shakir sibuk dengan kain-kain di hadapannya.

“Eh, ada mesej barulah. Dari siapa ni?” ujar Syahirah.

Teruja dia mahu membaca mesej terbaru di peti mesejnya.

“Dato’ Z? Wah! Adakah aku bakal jadi datin?”

Shakir hanya menjeling menyampah melihat reaksi Syahirah itu. Sakit hatinya apabila Syahirah masih tidak kenal erti serik.

“Pasti ke lelaki tu Dato’? Entah-entah sekadar nama aje. Tak pun, datuk yang dah bercucu. Choi! Baik kau kahwin dengan Pak Mat jual tempe tu.”

“Eh... aku dengar macam ada nada suara orang dengkilah,” sindir Syahirah.

Mesej dari Dato’ Z dibaca.

Shakir malas mahu bersuara. Buat sakit hatinya sahaja.

Syahirah begitu teruja membalas setiap mesej daripada Dato’ Z yang baru dikenalinya.

Kalau dah terdesak tu, terdesak jugak, gumam Shakir.

“Shak! Dato’ Z ajak jumpa esok! Perlu ke aku jumpa dia?” jerit Syahirah dengan tiba-tiba.

Shakir terkejut. Gunting di tangan terlepas jatuh. Mujurlah kain sudah habis dipotong.

“Kau ni kan, buat terkejut aku aje. Dari tadi menjerit tak tentu fasal,” ujar Shakir sambil mengusap dada.

“Weh, dengarlah ni,” pinta Syahirah.

Dia melangkah menghampiri Shakir.

“Dato’ Z ajak aku jumpa dia esok. Dia kata, dia nak kenal-kenal aku dengan lebih rapat,” sambung Syahirah sambil menunjuk skrin telefon pada Shakir.

Shakir memandang gambar profile milik Dato’ Z yang dimaksudkan Syahirah pada skrin telefon pintar milik kawan baiknya itu.

“Eee... dah tualah. Dah macam papa kau aje,” kutuk Shakir.

“Eh, mana ada,” sangkal Syahirah.

Dia tidak boleh terima komen Shakir itu.

“Muda lagilah. Dia kata umur dia baru 39 tahun. Kira muda lagilah tu, kan?” sambung Syahirah.

Shakir mencebik lalu menyambung kerjanya semula.

“Nanti kita jumpa Ila lagi ya?” pinta Syahirah dengan senyuman gembira.

“Tak naklah. Kau yang nak jumpa Dato’ Z tu, aku pulak yang terjebak sama, apa hal? Baru malam tadi kau jumpa lelaki banyak cakap tu. Takkan kau tak serik lagi?”

“Ala, tu malam tadi punya cerita. Manalah tahu Dato’ Z ni jodoh aku. Siapa tahu, kan? Bahagia aku nanti tau. Kahwin aje, terus dapat title datin.”

Syahirah sudah terbayang dia duduk di rumah mewah dengan kesenangan yang melimpah-ruah.

“Kalaulah dia tak ada bini. Kalau dia ada bini, kau pulak dia nak jadikan bini nombor dua. Kau rasa, kau dapat ke title datin tu?” soal Shakir.

“Ah, tak kisahlah. Asalkan dia kaya, hidup aku senang. Kalau aku dapat kahwin dengan Dato’ Z ni, aku gerenti, terbeliak biji mata papa aku nanti. Mesti dia terkejut anak dia yang dia kata kasar ni dapat suami bergelar dato’. Kau mampu?”

“Riaknya kau.”

“So, nanti kita jumpa Ila ya? Please,” rayu Syahirah sambil buat muka comel dan memegang lengan Shakir.

Apabila Syahirah sudah buat muka kasihan lagi comel, susah benar Shakir mahu menolak atau berkata tidak.

“Erm... yalah,”

Disebabkan sayang, Shakir turutkan. Senak di dadanya, biarlah dia yang tanggung seorang. Asalkan insan yang disayangi sentiasa bahagia, cukuplah.

“Thanks Shakir. Tak sabar nak jumpa Dato’ Z,” ucap Syahirah sambil melompat kegembiraan persis perempuan baru lepas dipinang oleh anak raja.

“Dato’ Z? Dato’ Z mana pulak ni?”

Soalan yang tiba-tiba muncul dari arah pintu utama butik itu mengejutkan mereka berdua.

Serentak Syahirah dan Shakir memandang ke arah suara itu. Kelihatan Pak Saad sedang menanti jawapan mereka sambil mengangkat kedua-dua keningnya. Shakir dan Syahirah hilang kata-kata. Berterus terang atau rahsiakan?


Bersambung BAB 15...

http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=2439&idc=13480



Mantap