Dikuasakan oleh Blogger.

Sabtu, 5 April 2014

PAPA NAK MENANTU! - BAB 18

|18|

PAK Saad bersiap-siap untuk keluar. Dia memandang Shakir yang masih tekun menjahit di ruang kerja. Bunyi mesin jahit elektrik sudah sejak tadi bergema memenuhi ruang butik serba merah jambu itu.

“Shak, kau tahu tak ke mana Irah pergi setiap malam, sejak kebelakangan ni?” tanya Pak Saad sambil mencapai beg silang di meja depan.

Shakir memberhentikan kerja menjahitnya.

“Entah, tak tahu pulak saya. Kenapa Pak Saad?” dalih Shakir.

Dia terpaksa menipu. Dalam masa yang sama dia mulai cemas. Bimbang andai Pak Saad mencurigainya lalu mendesak dia supaya memberitahu hal sebenar.

“Sejak beberapa malam ni, selalu sangat si Irah tu balik lambat. Tiga hari lepas, pukul 1.00 pagi baru balik. Malam tadi pun sama. Dia tak ada cakap pada kau ke dia ke mana?”

Shakir buat-buat berfikir.

“Entahlah Pak Saad. Dia tak ada beritahu saya pulak dia ke mana. Saya pulak, lepas habis kerja, terus balik rumah,” tipu Shakir lagi.

“Aku ni bukan apa, risau dia buat yang bukan-bukan. Sejak akhir-akhir ni jugak, aku tengok dia dah tak hadap segala permainan PS3 dia tu. Sibuk memanjang dengan telefon dia. Game dia tu dah diabaikan terus,” luah Pak Saad akan kebimbangannya.

Isi beg silangnya diperiksa. Memastikan apa yang sepatutnya ada di dalam beg itu.

“Ala, mungkin dia keluar melepak dengan Fariq agaknya.” ujar Shakir, cuba menyedapkan hati Pak Saad.

“Aku ada tanya pada Fariq tadi kat warung Dolah. Dia kata, dah lama dia tak jumpa Irah.”

“Dia lepak dengan kawan-kawan motor dialah tu.”

Pak Saad mengeluh berat. Dia mula risau dengan perubahan sikap anaknya sejak kebelakangan ini. Bimbang juga dia kalau-kalau anaknya itu berubah sikap akibat tekanan jiwa disebabkan ugutannya hendak menantu sebelum ini.

“Kau tu, kalau tahu apa-apa fasal dia, beritahulah aku. Jangan nak rahsia pulak.”

“Yalah Pak Saad. Mungkin ni semua sebab...”

“Dahlah, aku nak ke pejabat pos ni. Nak bayar bil elektrik. Nanti kalau ada orang datang nak tempah baju, kau layanlah ya,” potong Pak Saad sebelum sempat Shakir menghabiskan kata-katanya.

Shakir mengeluh halus. Baru sahaja dia mahu memaklumkan hal yang sebenarnya. Tetapi, majikan merangkap papa kepada kawan baiknya itu sudah meminta diri.

“Nanti kalau Irah sampai, suruh dia hantar baju-baju yang dah siap atas meja tu, ya,” pesan Pak Saad di muka pintu.

“Yalah, Pak Saad,” balas Shakir dari dalam.

Pak Saad sudah hilang di sebalik pintu butik. Shakir pula meneruskan kerjanya.

Lima belas minit kemudian, kedengaran bunyi enjin motosikal Syahirah di luar butik. Seminit kemudian, muncul Syahirah dengan muka tidak bermaya. Lokasi yang dituju sudah pasti ruang santai. Helmet diletak di atas meja lalu dia melabuhkan punggungnya di atas sofa panjang. Topi yang dipakai secara terbalik dibetulkan ke depan lalu dia berbaring di atas sofa yang sama. Telefon pintarnya ditatap. Sejak diugut papanya, dia dengan telefon pintarnya seperti kembar siam. Tidak boleh berpisah lama.

“Weh, papa kau suruh kau hantar baju-baju yang ada kat atas meja tu,” ujar Shakir menyampaikan pesan Pak Saad.

“Ala... nantilah. Aku baru aje sampai,” balas Syahirah, masih fokus pada telefon bimbit di tangan.

“Kalau papa kau muncul, tapi kau belum hantar baju tu, kau jangan salahkan aku kalau kau kena bebel.”

“Erm...” balas Syahirah acuh tak acuh.

Diam. Masing-masing fokus pada hal sendiri.

Kemudian, Shakir memandang Syahirah yang tiba-tiba tersenyum-senyum seorang diri.

“Hai, dapat kenal lelaki baru ke?” soal Shakir sambil menetas lebihan benang pada baju yang dijahit tadi.

“Haruslah,” jawab Syahirah seperti apa yang berlaku malam tadi sekadar mimpi di malam hari.

“Eh, tak serik-serik lagi. Kau ni dah ting tong ke apa?” soal Shakir, terkejut.

“Ting tong apanya? Dah ada orang nak berkenalan, layan ajelah. Lagipun, boleh tahan handsome lelaki ni doh!”

Shakir menyilang kedua-dua tangannya di dada lalu dia menjulingkan matanya ke atas. Meluat dengan pujian itu.

“Kau ni memang tak kenal erti serik, kan? Baru malam tadi kau kena tipu dengan Dato’ Y tu. Hari ni dah sibuk usyar lelaki lain.”

“Dato’ Y? Bila masa pulak Dato’ Z jadi Dato’ Y ni?”

“Tak kisahlah mana-mana pun. Kau hampir-hampir nak jadi perempuan simpanan Dato’ Z tu malam tadi. Hari ni kau dah usyar lelaki lain. Kau masih tak serik lagi, kan?”

“Eh, mana ada hampir-hampir. Aku memang tak naklah. Dato’ Z tu profesional orangnya. Dia bagi tawaran tu tanpa paksaan. Bila aku cakap aku tak nak, dia tak kisah.”

“Dah tu, yang kau menangis malam tadi tu kenapa? Bukan sebab tu?”

“Bukan. Aku menangis sebab aku kecewa dia tak tawarkan aku jadi bini dia.”

“Fasal tu aje? Kau ada tanya dia kenapa dia tak tawar kau jadi bini dia?”

“Ada. Dia kata dia tak nak komitmen. Lagipun, bini pertama dia mental sikit. Kalau dia kahwin dua, dia takut bini dia buat hal bukan-bukan.”

“Alasan aje semua tu. Sebenarnya dia nak ambil kesempatan pada kau,” ujar Shakir, tidak percaya dengan alasan yang diberikan.

“Tak kisahlah. Asalkan aku dapat makan udang galah paling besar kat kafe tu semalam, cukuplah,” ujar Syahirah dengan selamba.

Shakir mengeluh geram. Tidak tahu mahu kata apa lagi. Cakap macam mana pun, Syahirah tetap begitu.

“Yang kau tu, tiba-tiba muncul kat hotel tu malam tadi dengan Nabila, apa hal?” tanya Syahirah selepas seminit mereka hilang kata-kata.

“Err...” Shakir menggelabah.

“Kau orang berdua mengintip aku, ya?” tanya Syahirah.

“Ya, kita orang memang mengintip kau. Sebab kita orang ni risau fasal kau,” ujar Shakir, jujur.

“Wah... touchingnya. Tersentuh hatiku,” ujar Syahirah sambil buat gaya terharu. Sekadar lakonan semata-mata.

“Perlu ke sampai kau orang berdua mengintip aku?”

Tersentap Shakir apabila rasa kerisauannya dipertikai Syahirah. Seperti kerisauannya tidak berharga langsung.

“Okey fine, lepas ni kalau kau nak jumpa sesiapa pun, pergilah. Kita orang takkan risaukan kau lagi,” ujar Shakir.

Dia mula muak dengan situasi ini. Buat penat sahaja dia merisaukan kawan baiknya itu. Tetapi, langsung tidak dihargai.

“Eh, ada aku suruh kau dengan Nabila risaukan aku ke? Tak ada, kan? Semalam aku dah cakap, kau orang tak perlu risau. Tapi, kau orang aje yang risau melebihkan papa aku.”

Shakir menarik nafas dalam lalu dihembus perlahan. Dia cuba mengawal perasaan amarahnya. Dadanya terasa senak dan sendat ketika ini. Kalaulah tidak kerana sayang, memang dimakinya Syahirah sekarang ini. Baju di tangannya diabaikan.

“Suka hati kaulah Syah. Lepas ni, kau nak buat apa pun, buatlah. Aku malas nak ambil tahu. Kalau kau nak mintak tolong pada Nabila, kau mintaklah tolong pada dia sendiri. Aku dah tak nak masuk campur,” ujar Shakir.

Dia bangkit berdiri.

“Ala, aku tak kisah pun. Aku boleh mintak tolong Nabila sendiri,” balas Syahirah sambil mencebik-cebik bibir seolah-olah mengejek.

Sedikit pun dia tidak kisah tentang perasaan Shakir yang banyak menolongnya sebelum ini.

Shakir menggeleng sambil menahan geram memandang Syahirah yang masih fokus dengan telefon bimbitnya. Seketika kemudian dia mula melangkah meninggalkan butik itu.

“Eh, kau nak ke mana tu?” tanya Syahirah apabila terpandang Shakir sudah melangkah menuju ke pintu utama butik itu.

“Aku nak beli makanan,” jawab Shakir dalam nada kasar.

“Aku nak kirim...”

“Tak payah, kau belilah sendiri,” pintas Shakir sebelum sempat Syahirah menghabiskan kata-kata.

Dia lalu meninggalkan butik itu dengan perasaan amarah yang ditahan-tahan.

Syahirah berkerut dahi kehairanan.

Apa hal dengan dia tu? Tak fasal-fasal marah. Datang bulan ke apa? Gumam Syahirah lalu kembali melayan teman alam mayanya.

Sedang sibuk dia berbalas komen dan mesej, tiba-tiba ada satu permintaan berkawan di akaun Facebooknya.

Siapa pulak yang hantar friend request ni? Azrin Aidil? Dahlah guna gambar dumbbell. Dia ni manusia ke alien? Getus Syahirah. Jarinya berbelah bagi sama ada mahu menekan accept, ignore atau reject.

**********

“SO, macam mana? Kau dah dapat cari awek?” tanya Dwan sambil membuat senaman dada dengan menggunakan alat senaman khas yang diberi nama bench press.

“Kau ingat senang ke nak cari awek,” jawab Azrin Aidil sambil mengangkat dumbbell seberat 25 kilogram.

Termengah-mengah dia dibuatnya. Terkeluar segala urat tangan dan wajahnya. Demi mengekalkan bentuk otot, dia harus selalu melakukan senaman itu.

“Ala, manalah tahu, dah dapat. Muka handsome macam kau, senang nak dapat awek. Cuma kau tu aje yang memilih,” balas Dwan.

Tidak pasti sama ada kata-kata Dwan itu memerli atau memuji kawan baiknya itu.

Azrin Aidil tergelak kecil.

“Aku tak nak orang kenal aku disebabkan wajah aku ataupun badan aku,” ujar Azrin Aidil dengan jawapan klise yang selalu orang gunakan.

“Kiranya, kau nak orang kenal kau bukan disebabkan rupa kaulah ya?” soal Dwan, ingin tahu.

Dalam mengah tetap juga mereka boleh berbual seperti biasa.

“Mungkin.”

“Dunia bro, semua pandang rupa. Kau sendiri nak yang cantik, anggun, ayu, berbaju kurung, sopan santun.”

“Ada yang cantik, anggun, ayu dan sopan santun, kenapa perlu aku cari yang kasar, seksi dan tak berapa nak ayu, kan?”

Dwan berhenti dari terus melakukan senaman dada. Dari berbaring dia duduk di atas alat bench press itu. Peluh dilap sehingga kering.

“Kau tu dah macam riak beb. Takbur ni, TUHAN tak suka.”

Azrin Aidil tidak terus membalas kata-kata kawannya itu. Rasanya cukuplah senaman lengannya untuk hari ini. Dumbbell diletak di tempat asalnya.

“Aku bukan takbur. Kalau boleh, aku nak kenal hati budi perempuan yang aku nak dekati tu dulu. Aku sengaja letak gambar dumbbell kat Facebook aku. Aku nak tengok ada tak orang layan aku,” jelas Azrin Aidil sambil mengelap peluh.

“Kiranya, kau nak uji keikhlasan dia dululah? Mana yang layan kau dengan ikhlas, walaupun kau tak letak gambar sebenar kau kat Facebook, itulah wanita pilihan kau? Macam tu ke?” soal Dwan lagi, inginkan kepastian.

Azrin Aidil angguk pun tidak, menggeleng pun tidak.

“Tengok situasi. Buat masa ni aku masih belum jumpa lagi wanita yang aku cari. Nak cari kekasih hati ni, mana boleh dalam sekelip mata. Kenalah perlahan-lahan. Biasanya, benda yang kita dapat dalam sekelip mata ni, boleh hilang dalam sekelip mata jugak.”

“Amboi, ayat kau! Sungguh mendalam maknanya.”

Azrin Aidil hanya tersenyum bangga.

“Eh, kau ada klien lagi lepas ni?” soal Dwan, menukar topik perbualan.

“Ada, pukul 3.00 nanti.”

Dwan memandang jam di pergelangan tangannya. Jarum jamnya sudah menunjuk pukul 1.17 petang.

“Aku pulak pukul 6.00 nanti baru ada klien, jom lunch.”

“Okey jugak, jom.”

Mereka berdua sama-sama melangkah menuju ke bilik persalinan. Sampai sahaja di situ, mereka terus ke ruang loker. Selepas mendapatkan dompet masing-masing, mereka langsung melangkah keluar dari gimnasium itu menuju ke restoran yang ada di dalam pusat membeli-belah itu.

“Nak makan kat mana ni?”

“Aku dah lama tak makan kat restoran yang ada jual kerabu mangga tu. Lama dah tak makan kerabu mangga.”

“Amboi, macam mengidam pulak?”

“Lebih kuranglah.”

Mereka berdua tergelak bersama sambil melangkah menuju ke arah lif. Namun, langkah mereka terhenti apabila insan yang selalu muncul di gimnasium itu, kini muncul lagi.

Dwan memandang Azrin Aidil di sebelahnya. Kaku terus tawa kawan baiknya itu sebaik melihat kemunculan Delyna di hadapan mereka ketika ini. Seketika kemudian, Azrin Aidil meneruskan langkahnya, mengabaikan Delyna. Namun, Dwan tidak terus mengekori langkah Azrin Aidil.

Delyna cuba menahan Azrin Aidil, tetapi tidak kesampaian. Sangkanya, sehari dia tidak bertemu dengan Azrin Aidil, lelaki itu akan rindu padanya. Ternyata, rasa kebencian bekas kekasihnya itu tidak pernah surut.

Dwan yang melihat keadaan itu mula dilanda rasa kasihan pada Delyna. Dia mengeluarkan kad namanya dari dompet lalu dihulur pada Delyna.

“Kalau awak dah bersedia untuk bercerita pada saya, awak boleh hubungi saya,” ujar Dwan dengan harapan Delyna mengambil kad namanya itu.

Delyna memandang Dwan sebelum menyambut kad nama yang dihulur lelaki itu. Dia sangka lelaki itu sudah berputus asa apabila dia menolak untuk bercerita sejarah hidupnya pada lelaki itu semalam. Ternyata lelaki itu masih terus mencuba.

“Wan! Apa kau tunggu lagi tu? Cepatlah!” jerit Azrin Aidil dari kejauhan.

Jeritan itu membuatkan Dwan terkejut kecil.

“Jangan lupa call kalau awak dah bersedia nak bercerita,” pesan Dwan perlahan.

Dia lalu melangkah laju menuju ke arah Azrin Aidil yang sudah merungut.

Delyna hanya mampu memandang Azrin Aidil berlalu tanpa mengendahkannya. Kad nama pemberian Dwan tadi dipandang lama. Perlukah dia simpan atau buang sahaja kad nama itu?

Bersambung BAB 19...

http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=2439&idc=14145


Mantap