Dikuasakan oleh Blogger.

Sabtu, 12 April 2014

PAPA NAK MENANTU! - BAB 20

| 20 |

SHAKIR menggantung baju kurung dan baju Melayu yang sudah siap dijahit pada penyangkut di bahagian tepi butik itu. Hari ini, dia hanya sempat menyiapkan lima pasang baju kurung dan tiga pasang baju Melayu yang telah ditempah oleh sebuah kumpulan tarian Zapin beberapa hari yang lalu.

“Manalah Irah ni? Dari tengah hari tadi keluar, tak balik-balik lagi. Sampai butik dah nak tutup pun dia masih tak tunjuk muka. Sesat ke apa,” rungut Pak Saad sambil menyapu lantai di ruang kerja itu.

Mana-mana kain perca yang masih elok dia akan asingkan daripada kain perca yang sudah tidak boleh digunakan. Ada kegunaannya kain perca itu di masa akan datang.

Shakir hanya memandang sekilas ke arah Pak Saad. Dia malas mahu masuk campur hal Syahirah. Dia sedang berjauh hati dengan kawan baiknya itu.

“Dia ada cakap pada kamu dia nak ke mana tak, Shak?” tanya Pak Saad.

“Erm... tak ada pulak. Mungkin dia keluar lepak dengan kawan-kawan dialah tu, kat warung Pak Dolah,” jawab Shakir, dengan acuh tak acuh.

“Semakin risaulah aku dengan perangai Irah tu.”

“Ala, apa nak risaunya Pak Saad? Memang selalu dia macam tu, kan?”

“Gila tak risau. Dulu bukan main ketagih dia dengan game PS3 dia tu bila kat rumah. Sekarang ni, PS3 tu tak terusik dah. Semalam dia tak keluar malam. Ingatkan dia nak main PS3 dia tu. Tapi tak, tak habis-habis menghadap telefon dia, siap tersengih-sengih lagi. Aku risau kalau dia tengok website yang bukan-bukan dalam telefon tu,” luah Pak Saad akan kebimbangan yang dirasai.

“Hisy, taklah Pak Saad. Dia tengah berborak dengan kawan-kawan dia kat Facebooklah tu. Tak perlu risau sangatlah.”

Walaupun dia masih terasa hati dan marahkan Syahirah, tetapi dia tidak akan sesekali memburukkan kawan baiknya itu.

“Ya ke? Tapi kenapa lain macam sangat? Dah macam tak boleh lepas telefon tu dari tangan dia. Tengah makan, minum, mandi, silap-silap tengah berak pun angkut jugak telefon dia tu. Aku ni nak sentuh telefon dia memang tak boleh dah. Macam ada benda dia nak sorok.”

“Ala, dia buat semua tu sebab nak cari menantu untuk Pak Saadlah tu.”

Dalam masa yang sama, Gayah muncul memberi salam secara tiba-tiba.

“Assalamualaikum Abang Saad!” Nyaring suara Gayah memenuhi ruang butik itu langsung menenggelamkan kata-kata Shakir tadi.

Serentak Pak Saad dan Shakir memandang ke arah suara itu. Shakir mengeluh bosan apabila perbualannya dengan Pak Saad tiba-tiba dipotong oleh janda tua itu. Pak Saad pula terus abaikan apa yang Shakir katakan tadi.

“Waalaikumussalam. Kau ni Gayah, bagi salam dah macam budak tadika. Menjerit macam polong.”

Senyuman gembira lagi bahagia Gayah terus mati selepas mendengar kata-kata Pak Saad itu. Bibirnya yang merah menyala dimuncung ke depan. Merajuk.

“Sampai hati Abang Saad kata Gayah macam polong,” ujar Gayah sambil memusing-musingkan payung.

“Eh, yang kau ni kenapa? Dalam butik aku ni, nak hujan ke? Siap berpayung segala,” perli Pak Saad sambil menyandarkan penyapu dan penyodok di tepi dinding.

Dia sudah tahu tujuan wanita itu bertandang ke butiknya.

Gayah tersengih malu sambil melipat payungnya. Tidak perasan pula yang dia sudah berada di dalam butik itu.

“Kau ni siap bermekap tebal dari mana? Siap berbulu mata palsu lagi. Kelas kau Gayah,” ujar Pak Saad sambil memandang atas bawah.

Dia lalu melangkah ke ruang santai. Kebaya yang ditempah Gayah beberapa hari yang lalu dicari. Sudah siap dijahit, tinggal siapkan jahitan maniknya sahaja.

“Aku dari bandar, terus...zass! Ke sini tau,” beritahu Gayah sambil buat gaya melibas tangan.

“Amboi... siap nak zass bagai. Kau kenapa?”

“Kat bandar tadi...”

Gayah berhenti berkata-kata. Dia melangkah meng-hampiri Pak Saad yang sedang mencari sesuatu di sebalik lipatan kain di tepi sofa itu.

“Abang Saad, dengarlah Gayah nak cakap ni!” pekik Gayah apabila Pak Saad tidak mengendahkan apa yang ingin dia sampaikan.

“Ya, aku dengarlah ni. Mata dengan tangan aku aje kat tempat lain. Telinga aku tetap dengar suara kau tu. Siapa tak dengar suara kau tu, memang sah telinga dia orang ada masalah, Gayah oii,” balas Pak Saad dalam nada yang sama.

Selepas puas mencari, jumpa juga dia dengan kebaya yang ditempah Gayah.

“Bencilah dengan Abang Saad ni,” ujar Gayah, sambung merajuk.

“Aku pun tak suruh kau suka aku, kan? Kau aje yang terhegeh-hegeh.”

Shakir yang ada tidak jauh dari mereka hanya memasang telinga. Dia tergelak kecil mendengar perbualan dua manusia itu. Geli hatinya melihat sikap gedik Gayah. Setiap kali datang ke butik ini, beria-ia dia mahu menambat hati Pak Saad. Malangnya, Pak Saad terus buat hati janda tua itu terasa. Malang sungguh nasib Gayah.

Gayah buat muka, merajuk.

“Nah, ni kebaya yang kau tempah. Dah siap jahit. Kau cuba dulu. Alang-alang kau dah ada kat sini, aku nak ukur terus saiz baju ni. Manalah tahu berat badan kau dah naik, terpaksa aku tetas baju tu bagi lebar sikit,” ujar Pak Saad sambil menyerahkan baju kebaya di tangan pada Gayah.

“Wah... dah siap ke?”

Bukan main teruja Gayah apabila baju yang ditempahnya sudah siap. Kebaya yang dihulur Pak Saad dicapai lalu diangkat tinggi di hadapan mukanya.

“Cantik!” puji Gayah.

“Belum siap lagi. Maniknya aku belum jahit. Kau cubalah pakai dulu.”

“Eh, kejaplah Abang Saad. Ada benda lagi penting, sensasi dan meletup Gayah nak cerita pada abang,” ujar Gayah.

Kebaya yang ada di tangannya terus diabaikan.

Pak Saad hairan. Semakin berkerut dahinya, menambahkan lagi kedutan yang sudah sedia ada.

“Sejak bila kau jadi wartawan hiburan ni?”

“Dengarlah Abang Saad, tadi kat bandar Gayah terserempak dengan Irah!”

Shakir yang sedang mengemas meja kerja pantas memandang Gayah.

“Kau nampak Irah kat bandar? Dia buat apa kat sana?”

Gayah sudah tersengih-sengih gembira. Suka hatinya kerana dapat menarik perhatian Pak Saad.

“Cubalah Abang Saad teka,” pinta Gayah, mahu main teka-teki.

“Eh, perlu ke naik main ‘Pop Kuiz’ petang-petang macam ni?” soal Pak Saad, geram.

Dia sudah bercekak pinggang menahan geram.

“Yalah, Gayah cerita,” akur Gayah.

“Gayah terserempak dengan dia kat Square One tadi,” sambung Gayah.

“Dia dengan siapa?” soal Pak Saad, risau.

“Yang Gayah perasan, dia seorang diri aje. Bukan main sombong dia, Abang Saad. Gayah tegur, dia buat-buat tak kenal pulak. Mentang-mentang pakai mekap dengan baju cantik. Dia ingat Gayah ni tak kenal dia agaknya,” jelas Gayah dengan nada terkilan.

“Irah pakai mekap? Kau biar betul? Aku rasa kau memang salah orang kut. Sebab tu dia tak layan kau. Kau ni pun, macamlah tak kenal dengan Irah tu. Dia tu pakai gincu pun tak pernah. Inikan pulak pakai mekap. Mata kau dah rabun kut,” ujar Pak Saad, tidak percaya.

Sesuatu yang mustahil bagi Pak Saad andai anaknya tiba-tiba pandai bermekap.

“Pak Saad, saya balik dulu ya? Ada hal kecemasan. Assalamualaikum,” pamit Shakir secara tiba-tiba.

Pak Saad memandang jam di pergelangan tangannya. Ada lima minit lagi sebelum pukul 6.00. Namun, belum sempat dia menahan Shakir, lelaki itu sudah hilang dari pandangan matanya.

“Eh, hilang dah?” soal Pak Saad, terkejut.

Gayah terlopong memandang Shakir yang sebelum ini terkenal dengan kelambatannya membonceng skuter, tetapi dengan tiba-tiba hari ini lelaki itu boleh membonceng skuternya dengan laju. Ajaib!

DENGAN INI KAMI MAKLUMKAN, KAMI HANYA MEMUAT NAIK 20 BAB SAHAJA UNTUK KARYA PAPA NAK MENANTU INI. UNTUK MENGETAHUI LEBIH LANJUT MENGENAI KISAH SYAHIRAH DAN PAPANYA, PAK SAAD, BOLEHLAH MILIKI NOVEL PAPA NAK MENANTU DI PASARAN SEKARANG DENGAN HARGA RM 22.90. TERIMA KASIH ATAS SOKONGAN ANDA SELAMA INI.

http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=2439&idc=14535


Mantap