Dikuasakan oleh Blogger.

Jumaat, 20 Jun 2014

MUNGKIN INI TAKDIRKU - BAB 01


| 01 |

MAK Jumi membawa seteko air teh 'O' panas yang sudah dibancuh ke meja makan. Memang sudah menjadi kebiasaannya dia akan menyediakan sarapan untuk suami dan anak-anaknya.

Hari ini giliran suaminya bermalam di rumah ini. Jadi, dia menyediakan serapan sedikit awal hari ini kerana suaminya perlu ke kebun sebelum pukul lapan pagi. Suaminya sekadar mengambil upah memetik buah kelapa sawit. Itulah sumber rezeki mereka sekeluarga dan keluarga madunya yang tinggal hanya berhadapan dengan rumah mereka.

Seminit kemudian, suaminya, Pak Paad muncul dari bilik.

“Bang, jemput sarapan dulu,” pelawa Mak Jumi lembut nadanya pada suaminya itu.

Pak Paad membalas pelawaan itu dengan keluhan halus. Ditarik perlahan kerusi yang ada lalu dihenyak punggungnya di atas kerusi itu. Hidungnya dapat menangkap keenakan bau nasi goreng kampung masakan isteri pertamanya itu.

“Mana Farizal?” Tanya Pak Paad sambil menyenduk nasi goreng yang masih hangat ke atas pinggannya. Matanya melilau memandang ke arah bilik anak bujangnya yang telah pun berusia 17 tahun itu.

“Kejap lagi keluarlah tu,” jawab Mak Jumi sambil menuang air teh ‘O’ panas ke dalam cawan Pak Paad.

Pak Paad hanya mengangguk akur. Sikit pun dia tidak bertanyakan fasal anak keduanya bersama Mak Jumi.

“Assalamualaikum mak, abah. Selamat pagi.” Tiba-tiba muncul anak kedua mereka yang sudah lengkap berpakian seragam sekolah menengah dari arah biliknya.

“Wa’alaikumusalam Fyrul. Mana abang kamu?” Tanya Mak Jumi lalu dituang pula air teh O panas ke dalam cawan anak bungsunya itu.

“Abang? Kejap lagi dia keluarlah tu. Biasalah, abang memang lambat sikit bersiap,” jawab Fyrul lalu melabuhkan punggungnya di atas kerusi kosong yang bertentangan dengan emaknya dan jauh dari abahnya. Dia agak takut dengan abahnya yang sentiasa nampak bengis dan garang itu. Dia sendiri tidak tahu apa salahnya selama ini, sehinggakan abahnya seolah tidak suka padanya sejak dia kecil lagi.

“Abah nak pergi kebun ke?” Tanya Fyrul lembut. Telinga cawan dicapai lalu isinya dihirup sendikit.

“Tak adalah. Aku nak pergi merompak rumah orang,” jawab Pak Saad sinis nadanya. Renungan benci menghinggap pandangan Fyrul. “Mestilah aku nak pergi kebun. Kalau aku tak pergi kebun, siapa nak bagi kau makan? Belanja sekolah kau tu semua siapa nak bayar. Kau ke?” Tiba-tiba sahaja Pak Paad naik angin. Tiada ribut, tiada angin, tiba-tiba sahaja melengkingkan suaranya.

Fyrul yang baru sahaja ingin menghirup teh O panasnya, terhenti dari berbuat demikian. Terkejut dengan makian abahnya itu. Tidak menyangka pula, pertanyaannya tadi mengundang rasa marah abahnya. Tertunduk dia ketakutan. Dia dapat rasa, abahnya sedang merenung sinis lagi benci ke arahnya ketika ini.

“Assalamualaikum abah, mak.” Muncul pula Farizal secara tiba-tiba dalam keadaan sedikit tergesa-geasa. Khuatir abahnya memarahinya.

Wajah Pak Paad yang bengis lagi marah tadi tiba-tiba berubah biasa dan terukir senyuman di sebalik bibirnya tatkala kelibat Farizal muncul.

“Lambatnya anak abah ni bersiap?” Tanya Pak Paad pada anak sulungnya itu. Manis roman wajahnya. Dalam sekelip mata anginnya berubah selepas melihat anak sulungnya muncul secara tiba-tiba di ruang makan itu.

Farizal hanya tersengih sumbing lalu melabuhkan punggungnya di kerusi kosong bersebelahan abahnya.

“Biasalah abang tu, bersiap mengalahkan perempuan.” Fyrul mengusik.

“Elleh, nak kata orang, kau tu yang macam perempuan. Lembik, lembut… bluwek.” Ejek Farizal sambil mejelirkan lidah.

“Mak tengoklah abang ni mak. Dia ejek Fyrul,” Rengek Fyrul sambil memonyokkan wajah ke arah Mak Jumi.

“Sudahlah tu. Apalah kau orang berdua ni. Pagi-pagi lagi dah bertekak,” balas Mak Jumi dengan nada biasa.

Fyrul menjelirkan lidah pada Farizal tanda mengejek.

“Sudahlah tu!” Bentak Pak Paad pula dengan nada yang agak tinggi. “Ha, kau ni Fyrul. Cuba jadi keras sikit. Jangan nak terliuk lentuk macam orang tak cukup tulang. Kau tu lelaki. Cuba buat cara lelaki,” bentak Pak Paad tanpa ada perasaan belas kasihan dan memikirkan perasaan anak bungsunya itu.

“Abang...” Mak Jumi cuba menahan suaminya agar tidak meneruskan kata-katanya. Kata-kata suaminya tadi sudah cukup untuk mengores hati anak bungsunya itu. Dilihat wajah Fyrul mula berubah. Tertunduk tatkala dia diherdik oleh suaminya tadi.

“Fyrul, Farizal. Dah pukul berapa ni? Cepat makan nasi goreng tu, nanti lewat pula kamu berdua sampai ke sekolah.” Mak Jumi menukar topik perbualan.

Fyrul tiba-tiba bangun dari duduk. Entah mengapa, tiba-tiba seleranya untuk bersarapan pagi, hilang serta merta.

“Kamu nak ke mana pulak ni?” tanya Mak Jumi hairan bila Fyrul tiba-tiba bangkit berdiri tanpa menyentuh sarapannya walaupun sedikit.

“Nak ke sekolah,” jawab Fyrul lemah. Perasaannya cukup tergores dengan kata-kata abahnya tadi.

“Tak sarapan dulu?”

“Tak apalah mak, Fyrul makan kat sekolah je nanti,” jawab Fyrul hambar lalu disandang begnya. Kemudian dia melangkah mendapatkan emaknya. Disalam tangan emaknya lalu dikucup hormat. Dia melangkah pula ke arah abahnya.

“Abah, Fyrul pergi ke sekolah dulu,” pinta Fyrul lalu menghulur tangan untuk bersalam. Belum sempat Fyrul ingin mengucup tangan abahnya, lekas-lekas abahnya menarik tangannya. Seolah jijik.

Hati Fyrul semakin tergores dengan perlakuan abahnya itu. Bersikap pilih kasih pada anak-anaknya. Di antara empat orang anak-anaknya, dialah yang paling dibenci. Adakah disebabkan dia seorang lelaki yang berperwatakan lembut dia dibenci oleh abah kandungnya sendiri? Persoalan itulah yang masih tidak terjawab sejak dia bisa berbicara.

Fyrul akur lalu dia melangkah ke muka pintu untuk menyarung kasut sekolahnya.

“Marajuklah tu. Sikit-sikit nak merajuk. Dah macam perempuan,” sindir Pak Paad sengaja dikuatkan nada suaranya. Teh ‘O’ panasnya di hirup lagi sehingga separuh.

“Hisy abang ni, tak baik cakap macam tu. Kecik hati budak tu nanti,” tegur Mak Jumi dengan nada berbisik pada suaminya sambil mengerling ke arah anak bungsunya yang sedang menyarung kasut di muka pintu.

“Biarlah dia nak kecik hati ke apa. Biar dia sedar sikit. Dia tu diciptakan sebagai lelaki. Bukannya perempuan. Lelaki buatlah cara lelaki. Ini tidak, jalan berlenggang. Lembut macam sotong. Lelaki apa namanya tu?” Pak Paad sengaja meninggikan suaranya. Sengaja menyindir anak bungsunya itu.

“Apa abang ni? Tak baik cakap macam tu. Sungguh pun dia begitu, dia tu anak kita tau?” Semplak Mak Jumi mengingatkan dan cuba membela anak bungsunya.

“Anak kita? Dia tu anak awak je. Sahlah, spesis budak tu datangnya dari keturunan awak. Bukan keturunan saya.” Pak Paad mula menyalahkan Mak Jumi atas apa yang telah dikurniakan kepada mereka. Kejadian anak bungsunya bersama Mak Jumi yang sudah berada di tingkatan empat itu sedikit pun tidak dihargai. Malah terus dicampak-campak perasaan anak bungsunya itu tanpa memikirkan kesannya.

“Apa abang ni? Setiap kali abang balik rumah ni, mesti nak bertekak fasal hal ni. Semua ni tak ada kaitan dengan keturunan tau bang? Ini semua kehendak ALLAH. Kita sepatutnya terima dan redha. Dan yang paling penting kita kena didik dia sebaiknya.” Mak Jumi mula berang bila suaminya mula menyalahkannya atas apa yang telah dianugerahkan kepada mereka.

“Dalam keturunan aku, tak ada yang dapat anak lembik macam si Fyrul tu tau?” Pak Paad menyindir lagi.

“Abang ingat dalam keluarga saya ada ke yang macam tu?” Mak Jumi terus mempertahankan maruah diri. Terlupa akan anak bungsunya yang masih di muka pintu rumah dan anaknya itu sedang mendengar pertengkaran antara dia dan suaminya.

“Mana aku tahu. Apa yang pasti, dalam keturunan aku memang tak ada yang lembut macam anak kau tu.” Pak Paad menjuihkan bibirnya ke arah Fyrul di muka pintu.

“Buktinya anak-anak bini nombor dua aku tu, Si Timah. Anak sulung dia si Faizul tu tegap, keras dan sasa. Wakil sekolah dalam bola sepak. Adik dia si Fazura tu, betul-betul perempuan. Cantik lagi macam emaknya. Mana ada yang lembut macam anak kau tu?” Pak Paad terus membanding-bandingkan antara anak-anak isteri keduanya dengan anak bungsunya bersama Mak Jumi.

“Alah abang tu, cakap jelah abang nak memuji maknya. Tak perlu nak babitkan anaknya pulak,” sindir Mak Jumi sambil menjeling sinis pada suaminya. Benci bila mendengar kata-kata suaminya itu. Semenjak berkahwin dengan Timah 18 tahun lalu. Asyik Timah sahaja yang betul baginya. Dia? Semuanya serba tak kena.

“Eh, awak tu sepatutnya berterima kasih pada si Timah tu tau? Kalau tak kerana aku kahwin dengan dia. Tak beranaklah kau tu sampai sekarang.” Pak Paad terus mempertahankan bini keduanya.

Ya, memang benar kata-kata Pak Paad itu. Hampir lima tahun Mak Jumi dan Pak Paad mendirikan rumah tangga. Tapi masih tidak dikurniakan anak. Pelbagai cara sudah diusahakan. Berurut, bertemu dukun dan membuat pemeriksaan di hospital. Keputusan pemeriksaan di hospital menunjukkan dia tiada mengalami masalah kemandulan. Begitu juga dengan Pak Paad. Kedua-duanya subur. Cuma rezeki masih berlum tiba. Sehinggalah selepas Pak Paad bernikah dengan Mak Timah, barulah Mak Jumi boleh mengandung.

Mak Jumi merengus benci sambil menjeling sinis pada suaminya. Malas untuk bertegang urat dengan suaminya lagi. Takut semakin bertambah dosanya nanti kerana melawan cakap suaminya. Air teh ‘O’ panasnya dihirup perlahan-lahan.

“Kamu dah siap Fariz?” Tanya Pak Paad kepada anak sulungnya.

“Dah abah,” jawab Farizal tergetar-getar. Pertengkaran mulut antara emaknya dan abahnya tadi membuatkan dia terdiam sedari tadi. Tidak berani untuk mencelah.

“Kalau macam tu cepat pergi sekolah. Nanti terlambat pulak,” pesan Pak Paad lagi.

Mak Jumi merengus kasar sambil menjeling sinis pada suaminya. Benci melihat sikap pilih kasih suaminya itu.

Fyrul yang sedang mengikat tali kasut di muka pintu terus menahan sebak. Sebak bila dirinya terus disisih oleh abah kandungnya sendiri. Air matanya ditahan-tahan dari terus mengalir. Apakah kelahirannya di dunia ini menyusahkan abahnya? Bukan dipinta dilahirkan sebegini. Hati Fyrul semakin dirundum rasa sedih dan pilu yang teramat sangat.

“Hai, pakai kasut dari tadi tak siap-siap? Kau ni memang dasar lembablah. Ingatkan lembut je. Rupanya lembab jugak, kan?” tiba-tiba suara Pak Paad datang menyergah. Terkejut Fyrul dibuatnya.

“Tepilah,” bentak Pak Paad sambil menolak anak bungsunya itu dengan kaki. Hampir tergolek Fyrul ke lantai beranda.

“Abang!” marah Mak Jumi dari dalam rumah. Lekas dia melangkah mendapatkan anak bungsunya yang sudah jatuh terduduk di atas lantai.

“Huh, baru tolak sikit dah tergolek. Tak ada daya kekuatan langsung,” sindir Pak Paad sinis lalu menunggang motosikalnya. Dijeling sinis pada Fyrul.En mengapa, hatinya terasa meluat setiap kali melihat anak bungsunya bersama isteri pertamanya itu.

“Sabar ajelah Fyrul. Abah kau tu memang macam tu.” Mak Jumi cuba menenangkan perasaan anak bungsunya yang jelas sedih di dalam pelukannya.

Motor Pak Paad mula bergerak meninggalkan kawasan rumah. Mak Jumi dapat melihat, suaminya itu menyinggah ke rumah madunya terlebih dahulu sebelum ke kebun.

“Mak, Fariz pergi dulu,” pinta Farizal lalu menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan emaknya. Kemudian, tangan emaknya dikucup perlahan.

“Fariz, tunggulah adik kamu ni. Kamu sebagai abang, jagalah adik kamu ni?” Pesan Mak Jumi pada Farizal.

“Alah mak ni, Fyrul tu kan dah besar. Tahulah dia jaga diri,” rungut Farizal sambil mencapai basikal BMXnya. Wajahnya jelas bersungut.

“Apa salahnya kamu pergi sekolah sama-sama. Sekurang-kurangnya kamu boleh tengok-tengokkan adik kamu ni sekali.” Mak Jumi memesan lagi.

“Tak naklah, nanti budak-budak sekolah Fariz nampak, semua mengata Fariz sebab jalan dengan budak lembut ni,” sungut Farizal lagi.

“Fariz!” Tengking Mak Jumi. Kata-kata Farizal itu di anggap melampau. Sikit pun tidak menjaga hati Fyrul.

“Dahlah mak. Fyrul boleh pergi sekolah sendiri.” Fyrul menahan emaknya dari terus memarahi abangnya. Dia tidak mahu disebabkan dia, hubungan keluarga mereka berpecah-belah. Dia sedar dia tidak sempurna seperti anak-anak abahnya yang lain.

Farizal terus mengayuh basikalnya, laju. Pesanan emaknya tadi sikit pun tidak diendahkan.

“Fariz!” Panggil Mak Jumi, kuat. “Betuah punya anak. Aku suruh dia jaga adik dia ni, dia boleh tinggalkan macam tua je?” Rungut Mak Jumi sambil memandang Farizal yang kian manjauh.

“Tak apalah mak, Fyrul boleh pergi sekolah sendiri. Hari-hari Fyrul pergi sekolah sendiri, tak ada apa-apa pun yang jadi?” Pujuk Fyrul cuba meyakinkan ibunya bahawa dia boleh menjaga dirinya sendiri.

Mak Jumi memandang anak bungsunya itu, sayu. Sedih melihatkan nasib yang telah menimpa anak bungsunya itu. Sejak kecil lagi, suaminya sedikit pun tidak pernah suka padanya.

“Sabarlah Fyrul. Abah dengan abang kau tu sama je.” Mak Jumi cuba memujuk.

“Fyrul tak ambil hati, mak. Mungkin dah nasib hidup Fyrul terus dicaci, dihina dan dibenci oleh abah dan abang kandung sendiri,” akur Fyrul, hampa. Dia pasrah dengan ketentuan hidupnya.

“Sabar ya nak. Mak selalu sayang kau. Mak tak akan sesekali membenci kau. Percayalah nak,” pujuk Mak Jumi pilu lalu memeluk tubuh Fyrul. Air mata seorang ibu menitis juga bila melihatkan nasib anak bungsunya itu.

Buat seketika mereka berdua berpelukkan.

“Okeylah mak, Fyrul nak pergi sekolah dulu,” pinta Fhyrul tiba-tiba.

Mak Jumi akur. Pelukkan dileraikan. Tersenyum dia memandang Fyrul. Perlahan dahi anak bungsunya itu dikucup.

“Mak, Fyrul gerak dulu,” pinta Fyrul lagi lalu bersalaman dengan emaknya. Tangan emaknya dikucup lembut. Sopan perlakuannya.

“Kamu tak bawa bekal ke hari ni? Mak tengok, kamu dah masak sambal sotong pagi tadi. Biasanya kamu akan bawa nasi lemak dengan sambal sotong kau tu kan? Kenapa tak buat nasi lemak pagi ni?” tanya Mak Jumi kehairanan. Kebiasannya, anak bungsunya itu pasti akan membawa bekal ke sekolah. Nasi lemak dan sambal sotong yang dimasaknya sendiri. Hari ini tidak pula. Dia hairan.

“Hari ni kat sekolah ada jamuan perpisah Cikgu Fauziah. Kalau Fyrul bawak bekal, tak termakan pulak bekal Fyrul tu nanti,” jawab Fyrul jujur.

“La, ya ke?” Akur Mak Jumi sambil tersenyum.

“Fyrul pergi dulu ya mak?” pinta Fyrul lalu memasukkan beg sandangnya ke dalam bakul basikal. Dengan perlahan dia mula mengayuh basikalnya menyusur keluar dari perkarangan rumah. Sempat dia melambaikan tangan pada emaknya.

Mak Jumi memandang sayu ke arah anaknya itu sehingga kelibat anaknya hilang dari pandangan mata. Sedih bila memikirkan nasib yang menimpa anak bungsunya itu. Kasihan melihatkan keadaan Fyrul yang selalu sahaja disindir oleh suaminya sendiri disebabkan kekurangannya.

Mak Jumi mengeluh berat. Pasrah dengan kehendak ALLAH. Mungkin apa yang berlaku salahnya juga. Semasa mengandungkan Fyrul dulu, dia mengharap sangat agar bayi yang di dalam kandungannya itu adalah bayi perempuan. Bila bayinya dilahirnya, tebakannya jauh meleset. Bayinya seorang bayi lelaki. Mungkin disebebkan itu, anak bungsunya itu sebegitu. Seketika kemudian dia melangkah semula ke dalam rumah.

Bersambung BAB 2...


Segala nama watak dan jalan cerita adalah rekaan penulis semata-mata. Tiada kena mengena dengan yang masih hidup atau yang telah mati. Jika ada nama tempat, syarikat, lokasi dan kata nama khas, penulis sekadar memasukan dalam konteks fiksyen semata-mata dan tidak ada kena mengena dengan nama tempat, syarikat, lokasi dan kata nama khas yang sebenarnya.

Mungkin jalan cerita di dalam novel ini ada menyentuh sedikit sensitiviti sesetengah golongan. Jadi, anggaplah apa yang diceritakan sekadar untuk hiburan semata-mata. Harap maklum.



Mantap