Dikuasakan oleh Blogger.

Jumaat, 20 Jun 2014

MUNGKIN INI TAKDIRKU - BAB 02



| 02 |

FYRUL meletakkan basikalnya di tempat biasa. Iaitu bersebelahan dengan pokok kayu Ara yang ada betul-betul di hadapan rumah guru berhampiran dengan kawasan sekolah. Selesai mengunci basikal, dicapai beg sandangnya lalu disandang pada bahu. Buku teks Matematik Tambahan yang diberi pinjam oleh pihak sekolah didakap di dada. Dia mula menyusun langkah menuju ke kelasnya.

Keadaan jalan utama sekolah ketika ini agak sesak dek kenderaan ibu, bapa dan penjaga yang menghantar anak jagaan masing-masing. Fyrul menoleh ke kiri dan ke kanan sekilas sebelum dia melintasi jalan menuju ke arah perpustakaan. Selepas melepasi perpustakaan dia melintasi kawasan bilik guru pula untuk menuju ke kelasnya yang berada di blok Gigih yang bersebelahan dengan blok kantin.

Semasa dia melintasi kawasan Taman Herba, dia terlihat seseorang dibawah pohon jambu air yang bersebelahan dengan pokok kayu manis. Seorang pelajar lelaki sedang duduk mencangkung di bawah pokok itu. Keadaan Taman Herba itu agak sunyi kerana kawasannya agak manjauh dari blok kelas. Fyrul memanjangkan leher cuba mengecam siapakah gerangan pelajar lelaki itu.

Fyrul cuba siasat. Dia ingin tahu, apa pelajar lelaki itu sedang lakukan di bawah pokok jambu air yang sedang lebat berbuah itu. Banyak buah-buahnya yang merendang sudah masak dan ada yang sudah membusuk di atas tanah.

Fyrul memberanikan diri melangkah menghampiri pelajar lelaki itu. Selepas lima langkah ke depan, dia dapat melihat pelajar lelaki itu dengan jelas. Dengan pelahap sekali pelajar lelaki itu mengunyah buah jambu air yang ada di tangannya. Fyrul berkerut dahi melihat pelajar lelaki itu. Seolah dia kenal.

“Ya-ALLAH Idham. Apa kau buat kat sini?” Tanya Fyrul bila melihat budak pelajar lelaki itu adalah Idham. Salah seorang rakan sekelasnya.

Idham terkejut bukan kepalang. Lekas dia bangun dan menoleh ke belakang. Terkejut dengan kemunculan Fyrul yang secara tiba-tiba itu. Jambu air yang masih penuh di mulutnya diludah ke tanah lalu dia tersengih memandang Fyrul.

“Apa kau buat kat sini?” tanya Fyrul mengulangi semula pertanyaannya tadi.

Idham gugup. Apakah dia perlu berterus terang pada Fyrul? Mulutnya yang masih basah dek jambu air tadi dikesat cepat. Dia masih tergaman dan tidak tahu apa yang perlu dia berikan sebagai jawapan untuk pertanyaan Fyrul. Bingung sama ada perlukah dia berterus terang atau tidak.

“Kau curi jambu ek?” agak Fyrul.

Idham semakin serba salah. Dia tidak mahu dianggap pencuri kerana dia bukan seorang pencuri. Apakah dia perlu berterus terang pada Fyrul? Dia mula dirusuh dengan persoalan itu. Bingung sama ada perlu atau tidak dia berterus terang.

“Mana ada aku mencuri. Aku makan buah jambu ni aje. Dari pada busuk tak dimakan, kan? Baik aku makan, tak adalah membazir.” Idham cuba berdalih dan mengharap agar Fyrul mempercayai kata-katanya.

“Kau dah mintak kebenaran nak makan buah jambu kat Taman Herba ni dari Cikgu Busro?” Tanya Fyrul inginkan kepastian sama ada Idham sudah meminta kebenaran atau belum untuk memakan buah jambu air yang tertanam di Taman Herba ini yang telah diusahakan oleh Cikgu Busro.

Idham mengaru kepalanya yang tidak gatal. Dia semakin dihimpit rasa serba salah. Apakah dia perlu berterus terang pada Fyrul? Jika dia tidak memberi tahu Fyrul, takut pula Fyrul akan mengadu pada Cikgu Busro. Apa perlu dia lakukan sekarang? Idham semakin bingung.

“Sah-sah kau tak minta inzin dari Cikgu Busro, kan? Kira mencurilah tu. Aku bagi tahu dia nanti.” Fyrul cuba menakut-nakutkan Idham.

“Janganlah!” lekas Idham menahan.

“Kenapa pulak?” Tanya Fyrul beria.

“Aku lapar, sebab tu aku makan jambu ni,” jawab Idham sedih. Disebabkan perutnya betul-betul laparlah dia terpaksa mengisi perutnya dengan memakan jambu air yang sedang masak ranum di Taman Herba ini.

“Kalau lapar kenapa tak makan nasi? Nanti sakit perut, baru tahu. Kau tak breakfast ke pagi tadi?” tanya Fyrul ingin tahu. Dia mula perasan wajah sedih mula menyaluti wajah Idham yang putih melepak itu.

Idham gugup lagi. Apakah perlu dia berterus terang?

“Aku tak sempat nak sarapan pagi tadi. Aku kena hantar adik aku ke sekolah. Kalau aku lambat keluar rumah, aku takut lambat sampai ke sekolah. Sebab tu aku tak sempat nak sarapan,” jawab Idham tersekat-sekat. Dia memilih untuk menipu dari berterus-terang.

“Alah, kalau hari ni kau tak ambik sarapan pun tak apa. Kan hari ni ada jamuan majlis perpisahan Cikgu Fauziah, waktu rehat nanti, kan? Kau boleh makan kat majlis tu?” Jelas Fyrul.

Idham tertunduk. Wajahnya mula mendung. Ada sesuatu yang sedang berselirat di benaknya ketika ini. Sesuatu yang berat untuk dirungkai pada sesiapa.

Idham tiba-tiba tersengih sumbing. Tangannya mengaru kepalanya yang tidak gatal.

“Aku lupalah tentang perkara tu,” jawab Idham buat-buat lupa sambil meleret sengih sumbingnya.

“Hisy, orang lain kalau fasal makan susah nak lupa. Kau fasal makan boleh lupa? Peliknya aku dengan kau ni?” kata Fyrul sambil mengeleng-gelengkan kepala.

Idham memetik lagi sebiji jambu air masak yang berhampiran dengannya lalu digigit rakus buah itu seolah menggigit sebiji buah epal merah.

“Kau tak nak cuba makan jambu ni ke? Manis tau?” Pelawa Idham sambil tersengih-sengih.

“Hisy, tak kuasalah aku nak makan benda-benda yang tak ada kebenaran ni. Haram,” getik Fyrul sambil membentuk-bentukkan bibirnya dan dijeling Idham sinis.

“Rugi tau kalau kau tak makan jambu ni. Nanti kau kempunan.” Idham terus mengusik.

“Ah, sudahlah. Aku nak masuk kelas. Kejap lagi loceng berbunyi. Yang kau ni kenapa tak reti-reti nak masuk kelas?” Fyrul menukar topik perbualan.

“Kejap lagi aku masuklah,” jawab Idham sambil menghabiskan saki baki jambu air di tangannya.

“Apa-apa ajelah,” balas Fyrul sambil menjeling pada Idham lalu melangkah menuju ke kelasnya.

“Fyrul nanti!” Idham menahan langkah Fyrul.

Langkah Fyrul terhenti lalu dipalingkan wajahnya memandang Idham.

“Kenapa?” tanya Fyrul sepatah.

“Jangan bagi tahu sesiapa ya tentang aku makan jambu ni?”

“Kenapa pulak?”

“Tolong…” rayu Idham sayu dan penuh pengharapan. Dia memang tidak mahu orang lain tahu fasal hal ini.

“Aku perlukan sebab…” Fyrul mendesak.

“Tolong…” rayu Idham lagi penuh sayu di wajahnya.

Fyrul tidak sampai hati melihat wajah Idham yang betul-betul sayu dan merayu agar dia merahsiakan apa yang telah dia lihat tadi. Dia akhirnya akur.

“Okeylah,” akur Fyrul lalu menyambung langkahnya yang tergendala tadi.

Idham lega. Sengihannya mula pudar. Lega rasa hatinya. Kalaulah Fyrul tahu hal yang sebenar sudah pasti dia tidak akan melarangnya memakan jambu air yang ada di Taman Herba ini. Kalaulah dia tahu… Keluh Idham sendirian.

“Woi!” kedengeran suara Cikgu Busro mejerit dari jauh.

Lintang-pukang Idham melarikan diri. Dia tidak mahu tertangkap sebagai pencuri jambu air.


******


FAIZUL dan tiga rakan baiknya sama-sama menukar baju sekolah kepada baju sukan. Subjek pertama mereka hari ini adalah Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK). Jadi, sudah menjadi kebiasaan, setiap kali subjek itu, pelajar lelaki kelasnya akan berlawan bola sepak dengan pelajar lelaki kelas sebelah. Walaupun subjek itu hanya memakan masa 45 minit, ia sudah cukup untuk mencergaskan badan masing-masing untuk pagi itu. Mereka harus menukar pakaian sekolah kepada pakaian sukan seawalnya sebelum subjek itu di mulakan.

Baru sahaja Faizul ingin menyarung baju sukan ke tubuhnya, tiba-tiba cuping telinganya menangkap bunyi riuh suara budak-budak lelaki dari luar tandas. Dengarnya soalah ada seseorang yang sedang dibuli. Dahinya berkerut dan cuba mengamati bunyi riuh suara budak-budak lelaki itu.

“Woi pondan. Kenapa kau pondan ek?” Kedengaran suara seorang pelajar lelaki menyebut kata-kata itu lalu kawan-kawannya yang lain membuaraikan ketawa.

Faizul melangkah keluar dari tandas. Dia dapat melihat, adik tirinya sedang dibuli oleh sekumpulan pelajar lelaki yang entah dari kelas mana.

“Woi!” jerit Faizul lalu melangkah menghampiri sekumpulan budak lelaki tadi yang sedang galak membuli adik tirinya.

“Woi budak, apa kau buat ha?” marah Faizul dengan nada menengking.

“Weh, abang dialah. Weh blah… blah….” Arah salah seorang dari mereka yang yang bertubuh agak gempal. Sudah pasti budak itu ketua kumpulan itu. Faizul beranggapan.

Lintang-pukang pelajar-pelajar lelaki itu melarikan diri. Faizul melangkah mendapatkan adik tirinya.

“Kau tak apa-apa ke?” tanya Faizul risau.

Fyrul membetul-betulkan bajunya. Di antara adik beradiknya, yang paling dia hormati adalah abangnya tirinya itu. Sehinggakan dia terpaksa menundukkan wajahnya tanda hormat.

“Lain kali janganlah lalu jalan ni, sunyi. Nanti kalau kau kena paw (ugut), sia-sia je mak bagi duit belanja kat kau. Bagi macam tu aje pada budak-budak kaki paw tu,” pesan Faizul risau.

“Tadi jumpa kawan kejap kat Taman Herba, alang-alang dah dekat dengan kelas, sebab tu lalu jalan ni,” jawab Fyrul sambil menundukkan wajahnya. Dia memang tidak berani ingin bertentang mata dengan abang tirinya itu. Wajahnya seiras wajah ayahnya yang di anggap bengis dan garang. Selain itu, abang tirinya juga seorang yang tegas. Melihatkan Faizul yang masih tidak berbaju membuatkan Fyrul bertambah malu untuk melihat terus pada abang tirinya itu.

“Dah, masuk kelas kau. Lain kali jangan lalu jalan ni sorang-sorang, bahaya,” pesan Faizul sebelum kembali ke dalam tandas.

Fyrul mengangguk akur lalu melangkah laju menuju ke kelasnya.

“Apa hal Zul?” Tanya Azri salah seorang kawan baiknya yang turut menukar pakaian di dalam tandas itu.

“Entah budak mana membuli adik aku,” jawab Faizul lalu disarung baju sukan tadi ke tubuhnya.

“Adik kau? Fazura ke?” tanya Hafiz pula beria.

Faizul menggeleng sambil membetul-betulkan bajunya.

“Dah tu siapa?” Izwan pula mencelah.

“Adik tiri aku,” jawab Faizul tenang. Kali ini, rambutnya pula dibetul-betulkan agar sentiasa rapi dan kemas.

“Si lembut tu?” tebak Azri sambil tergelak memperlekeh Fyrul.

Faizul merenung sinis pada Azri di belakangnya melalui cermin.

Azri mengelabah bila dia direnung sinis oleh Faizul di depannya. Jika Faizul merenung sinis, sudah pasti dia tidak suka dengan apa yang telah dia katakan tadi.

“Okey-okey. Aku minta maaf, adik kau Fyrul ek?” Lekas Azri membetulkan ayatnya tadi sambil memadang wajah Izwan dan Hafiz yang mula cuak selepas mendengar kata-kata Azri tadi. Mereka tahu, sesiapa yang mengutuk adik tiri Faizul di hadapannya, pasti Faizul akan naik angin. Jika Faizul sudah naik angin, jangan menyesal jika mendapat tumbukkan padu percuma darinya.

“Cakap tu baik sikit okey? Dia tu adik aku. Walau macam mana pun dia, dia tetap adik aku. Kau orang jangan nak kutuk-kutuk dia depan aku.” Faizul memang cukup pantang jika ada yang mengutuk adik tirinya di hadapannya. Sungguh pun adik tirinya itu lembut dan tidak segagah dia. Tiada sesiapa yang berhak untuk mencemuh, mengkeji, mencaci, membuli dan menghina kelemahan adik tirinya itu yang jelas nyata.

“Alah relakslah bro. Abang kadung dia sendiri si Farizal tu pun duk kutuk-kutuk adik dia sendiri depan kawan-kawan dia. Takkan kau yang setakat abang tiri dia sibuk nak pertahankan adik dia kut?” Izwan cuba berseloroh.

“Eh Wan.” Faizul merenung wajah Izwan, sinis. “Kau jangan nak samakan aku dengan si Farizal tu okey? Dia tu tak sedar diri. Adik sendiri tak pandai nak jaga. Walaupun Fyrul tu lembut, dia tetap adik aku walaupun berlainan emak. Aku ada hak untuk lindungi dia.” Faizul memberi amaran keras.

“Relakslah bro, aku cuma cakap je.” Izwan terus mempertahankan diri.

“Tapi, jangan sesekali kau nak bandingkan aku dengan Farizal, okey?” tengking Faizul, bengis.

“Dahlah tu. Takkan pasal hal kecil macam ni pun kita kawan-kawan nak bergaduh?” celah Hafiz cuba menenangkan keadaan yang mula tegang.

Faizul menjeling sinis pada Izwan. Terbakar hatinya bila Izwan cuba membanding-bandingkan dia dengan abang tirinya, Farizal yang di anggap sebagai seorang abang yang tidak bemaruah kerana sanggup memburuk-burukkan adik kandungnya sendiri di hadapan rakan-rakannya.

Faizul meregus benci lalu berpaling semula mengadap cermin di singki. Dadanya berombak kencang dek menahan kemarahan yang memuncak. Kata-kata Izwan tadi telah menaikan kemarahannya. Terasa panas mukanya. Tanpa disedari, segala pebualan mereka tadi telah dicuri dengar oleh seseorang dari luar tandas.

Bersambung BAB 3...


Segala nama watak dan jalan cerita adalah rekaan penulis semata-mata. Tiada kena mengena dengan yang masih hidup atau yang telah mati. Jika ada nama tempat, syarikat, lokasi dan kata nama khas, penulis sekadar memasukan dalam konteks fiksyen semata-mata dan tidak ada kena mengena dengan nama tempat, syarikat, lokasi dan kata nama khas yang sebenarnya.

Mungkin jalan cerita di dalam novel ini ada menyentuh sedikit sensitiviti sesetengah golongan. Jadi, anggaplah apa yang diceritakan sekadar untuk hiburan semata-mata. Harap maklum.



Mantap