Dikuasakan oleh Blogger.

Sabtu, 21 Jun 2014

MUNGKIN INI TAKDIRKU - BAB 04


| 04 |

DEWAN sekolah sudah sedari tadi dipenuhi dengan pelajar-pelajar tingkatan empat. Kelihatan Cikgu Fauziah sedang berucap di atas pentas dengan sedihnya. Hari ini hari terakhir dia bertugas di sekolah ini. Terasa sedih bila terpaksa berpisah dengan pelajar-pelajarnya dan rakan-rakan guru yang banyak membantu.

Fyrul yang duduk dibarisan ke lima dari depan dan di hujung sekali turut tersentuh dengan ucapan Cikgu Faizuah itu. Sedih rasanya kerana selepas ini dia tidak lagi dapat bermanja-manja dengan guru kesayangannya itu.

“Kau menangis ke, Fyrul?” Tanya Rizal, rakan sekelas yang duduk di sebelahnya. Zahid di sebelah Rizal tergelak-gelak melihat gelagat Fyrul.

“Sedihlah, cikgu kesayangan aku dah nak pindah,” jawab Fyrul syahdu sambil mengesat air matanya.

“Kalau kau nak tahu Zal, Fyrul memang kaki nangis. Tangkap leleh,” usik Zahid dengan nada berbisik. Takut jika suaranya akan mengganggu majlis itu.

“Kau orang memang tak berperasaan, kan? Cikgu Fauziah tu baik. Ajar kita Bahasa Melayu pun seronok. Lepas ni Cikgu Samsiah pulak ganti dia dalam kelas. Mesti tak seronok. Kau tahu jelah kan Cikgu Samsiah tu. Ala-ala cikgu zalim gitu,” ujar Fyrul sambil mengesat saki baki air matanya yang masih meleleh.

“Hek’ elleh, cikgu Fauziah pindah bukan jauh pun. Pindah kat sekolah menengah dalam kampung depan tu aje. Kalau kau rindu dia, kau datanglah rumah dia,” jelas Rizal.

“Erk?” Fyrul blur. Tak tahu pula dia yang Cikgu Fauziah hanya pindah di sekolah yang berhampiran dengan sekolah mereka. Kalau dia tahu, tidak perlulah dia membazirkan air matanya tadi.

Zahid telekeh-lekeh mentertawakan Fyrul di sebelah Rizal. Namun, nada suaranya masih di tahan-tahan agar tidak mengganggu majlis.

“Malunya aku,” keluh Fyrul sambil menutup mulut. Pipinya merona merah dek menahan malu.

“Weh bapok, diamlah,” tegur seorang budak lelaki di baris belakang.

Terus Fyrul menumpukan perhatiannya pada Cikgu Fauziah di atas pentas. Sikit pun dia tidak menoleh pada insan yang bersuara tadi.

Seketika kemudian, barulah Fyrul menoleh ke belakang dewan. Dia mencari kelibat seseorang. Sejak majlis ini dimulakan, kelibat salah seorang rakan sekelasnya itu tidak kelihatan. Di manakah dia? Fyrul tertanya sendirian.

“Kau nampak Idham tak?” tanya Fyrul pada Rizal dengan nada berbisik.

Rizal menoleh ke sekelilingnya.

“Entah, aku tak perasan pulak dari tadi,” jawab Rizal yakin lalu dia bertanya pula pada Zahid.

“Zahid kata, dia ada nampak Idham ke tandas yang bersebelahan Taman Herba lepas waktu rehat tadi. Tak tahu pulak aku kalau dia tak masuk dalam dewan ni,” jawab Rizal mengulang semula apa yang telah diberitahu oleh Zahid.

Fyrul menoleh ke belakang dewan sekali lagi. Mencari-cari kelibat Idham.

“Takkanlah dia tak masuk dewan kut? Pagi tadi dia sendiri yang kata lapar. Ni ada makan-makan tak nak pulak masuk. Membazir aje dia bayar duit untuk jamuan ni,” rungut Fyrul.

“Hisy, mana ada Idham bayar duit untuk jamuan ni. Dalam kelas kita, dia sorang je tau, yang tak bayar duit untuk majlis hari ni.” Jelas Rizal hal yang sebenar. Dia sebagai bendahari kelas, lebih tahu pasal hal ini.

“La… ya ke? Patutlah tak nampak batang hidung dia kat dewan ni,” keluh Fyrul.

Tiba-tiba peristiwa dia menangkap Idham sedang makan jambu air di Taman Herba pagi tadi tersisip semula di ruang mindanya. Apakah benar, Idham tidak sempat untuk bersarapan atau dia ada alasan lain? Masakan bayaran untuk majlis ini yang hanya berjumlah RM4, dia tidak mampu bayar? Apa sebenarnya masalah dia? Dia tidak cukup duit ke? Fyrul tertanya sendirian di dalam hati.

Lima belas minit kemudian, upacara ucapan guru-guru selesai. Giliran untuk upacara bersalaman dengan Cikgu Fauziah sambil mengucapkan kata-kata perpisahan. Hampir 20 minit, barulah upacara bersalam selesai. Kini, giliran untuk upacara menjamu selera pula. Masing-masing sudah kelaparan. Manu utama untuk majlis ini adalah nasi ayam dan air sirap sejuk yang kedua-duanya sudah siap dibungkus.

Selepas Fyrul mendapatkan makanannya, dia terus melangkah menuju ke Taman Herba. Dia perlu mencari seseorang di sana. Sampai sahaja di Taman Herba, dia terhendap-hendap mencari kelibat Idham. Dia tidak mahu kehadirannya diperasani oleh Idham. Perlahan-lahan dia melangkah.

Dari jauh dia sudah dapat melihat, Idham sedang enak menjamu jambu air yang dipetiknya di bawah pokok kayu manis yang berdiri megah di sebelah pohon jambu air itu. Begitu rakus Idham memakan setiap biji jambu air itu. Tanpa mencucinya terlebih dahulu, terus sahaja buah itu di makan. Tidak mengendahkan langsung kemungkinan untuk dia keracunan makanan.

“Woi, curik jambu ke?” sergah Fyrul sambil mengaraukan suaranya.

Idham terkejut bukan kepalang. Cepat-sepat dia menyusun langkah untuk melarikan diri.

“Idham, nak ke mana tu?” panggil Fyrul sebelum sempat Idham melangkah jauh.

Idham memberhentikan langkahnya. Jambu yang dipetiknya tadi ditinggalkan begitu sahaja di bawah pokok kayu manis tadi. Apa yang penting ketika ini adalah menyelamatkan diri. Dia tidak sanggup bersemuka dengan Cikgu Yusak. Guru tergarang di sekolah ini merangkap guru disiplin sekolah. Tengok janggutnya yang sejemput itu sudah cukup untuk membuatkan dia cuak.

“Kau rupanya Fyrul, aku ingatkan siapalah tadi. Buat terkejut aku aje,” luah Idham lega sambil mengusap lembut dadanya.

Fyrul tergelak berdekah-dekah mentertawakan gelagat Idham yang bagai lipas kudung tadi. Tidak sangka Idham seperti itu jika di dalam ketakutan.

“Apa hal kau cari aku ni?” tanya Idham, tinggi nadanya. Bengis wajahnya merenung Fyrul.

Fyrul yang sedang tertawa berdekah-dekah tiba-tiba terkejut dan terkedu. Tidak menyangka pula perbuatannya tadi telah mengundang rasa marah pada Idham. Fyrul menelan liurnya, kesat.


*****


SEDANG sibuk pelajar-pelajar lain menjamu selera di dewan sekolah, Fazura, Sabrina dan Intan pula terhendap-hendap melangkah menuju ke kawasan tempat meletak basikal. Dia perlu melaksanakan rancangan jahatnya secepat mungkin. Masing-masing masih memegang makanan di tangan.

“Kita nak ke mana ni Zura?” tanya Intan dengan nada berbisik.

“Kau ni beruklah Intan. Kita nak kenakan si sotong keding tulah,” sampuk Sabrina.

“Kau pun sama-sama beruk Rina,” semplak Fazura sambil menunjal kepala Sabrina.

“Kenapa pulak? Salah ke aku cakap?” rengek Sabrina.

“Bukan beruklah. Tapi begok.” Jelas Fazura membetulkan penggunaan perkataan Sabrina tadi.

“Alah manalah aku ingat. Aku bukannya peminat setia sinetron Bawang Besar Bawang Kecik dengan Ratapan Anak Angkat tu.” Perli Sabrina.

“Amboi! perli aku ke?” maki Fazura sambil bercekik pinggang.

“Helo, boleh tak kita teruskan rancangan kita ni, aku dah lapar ni,” sampuk Intan.

Serentak Fazura dan Sabrina berkata, “Shut up!” Lalu menyambung semula langkah mereka yang tergendala tadi.

Langkah mereka terhenti bila mereka menghampiri sebuah basikal berbakul dihadapannya dan berwarna merah jambu.

“Apa kita nak buat kat sini? Nak makan bawah pokok besar ni ke?” rungut Intan sambil memandang ke arah dedahan pokok kayu Ara yang berada betul-betul di atas kepalanya.

“Kamu ni ngapa sih kok goblok banget?” semplak Fazura bengang dengan loghat Indonesia. Banyak sangat Intan bertanya. Naik bosan dibuatnya.

“Zura, goblok tu apa pulak? Adik beradik jenglot ke?” Tanya Sabrina terpinga-pinga.

“Sama aje maksudnya dengan begok,” jawab Fazura lalu dia mencapai tiup tayar belakang basikal tadi. Terbongkok-bokok dia di situ.

“Manalah aku tahu. Kau tu kalau dah speaking sinetron, hanya kau aje yang faham,” perli Sabrina lagi.

“Hey, apa kau buat tu Zura? Basikal siapa kau pancitkan tu?” tanya Intan cemas.

“Weh jenglot,” Sabrina membentak.

“Gobloklah, bukan jenglot.” Fazura membetulkan.

“What everlah.” Sabrina berpaling semula pada Intan. “Ini basikal si sotong keding tulah,” jelas Sabrina.

“Kesianlah dia, weh. Kena sorong basikal, balik nanti. Apa rancangan kau sebenarnya Zura?” tanya Intan beria-ia.

“Haah, apa rancangan kau sebenarnya Zura? Aku pun tak kau beri tahu. Apa sih? Wah speaking sinetron aku,” Sabrina turut hairan. Dia juga tidak tahu apa tujuan Fazura memancitkan tayar basikal Fyrul.

“Okey siap,” jelas Fazura selepas selesai membuang angin tayar basikal Fyrul. Tangan dikesat-kesat bagi menghilangkan habuk yang melekat. Puas hatinya bila dapat melihat tayar basikal Fyrul yang sudah pancit habis. Sehingga rimnya mencecah ke tanah.

“Kalau kalian ingin tahu, nantikan esok. Gue akan kasi tahu sama kalian,” terang Fazura puas hati lalu menyusun langkah meninggalkan kawasan itu.

“Dia speaking sinetron lagi dah. Dahlah Malaysia ni banyak pendatang dari sana. Minda minah tu pun dah terpengaruh dengan drama tv dari sana. Hisy, hisy, hisy…” Keluh Sabrina lalu mengekori langkah Fazura seiringan dengan Intan.


Bersambung BAB 5...


Segala nama watak dan jalan cerita adalah rekaan penulis semata-mata. Tiada kena mengena dengan yang masih hidup atau yang telah mati. Jika ada nama tempat, syarikat, lokasi dan kata nama khas, penulis sekadar memasukan dalam konteks fiksyen semata-mata dan tidak ada kena mengena dengan nama tempat, syarikat, lokasi dan kata nama khas yang sebenarnya.

Mungkin jalan cerita di dalam novel ini ada menyentuh sedikit sensitiviti sesetengah golongan. Jadi, anggaplah apa yang diceritakan sekadar untuk hiburan semata-mata. Harap maklum.



Mantap