Dikuasakan oleh Blogger.

Sabtu, 21 Jun 2014

MUNGKIN INI TAKDIRKU - BAB 05


|05|

IDHAM ketawa berdekah-dekah sepuas hatinya. Dia berjaya membalas balik apa yang Fyrul buat padanya tadi. Geli hatinya melihat wajah pucat Fyrul selepas dia mengherdiknya tadi. Padan muka!

“Kurang asam betullah kau ni,” rungut Fyrul sambil memonyokkan muka dan membentuk-bentukkan bibirnya.

“Dah-dah, jangan nak merajuk. Jom lepak kat pondok tu,” ajak Idham sambil menjuih bibir ke arah pondok kecil yang dibina khas di tengah Taman Herba itu khas untuk mereka-mereka yang ingin menghirup udara segar di taman situ. Malangnya, Taman Herba itu hanya gah pada nama sahaja. Tiada sorang pun yang sudi untuk melawat Taman Herba ini yang kian bersemak.

Fyrul melangkah perlahan menuju ke pondok yang diberi nama Pondok Maklumat itu. Terdapat dua papan maklumat digantung di Pondok Maklumat itu yang menampalkan pelbagai maklumat tentang khasiat dan kebaikkan herba yang ada.

“Dahlah, jangan monyokan muka kau lagi. Buruk aku tengok,” perli Idham selepas mereka berdua sampai ke dalam pondok itu.

“Jahat jugak kau erk?”

“Dah tu, kau tak jahat? Kau sound aku kuat-kaut sampai aku cuak gila tadi. Kau tak fikir?” Idham menjawab. Tawanya masih bersisa.

“Apa-apa ajelah. Tapi…” Fyrul merenung wajah Idham, lama. “Garang jugak kau ni masa kau tengking aku tadi. Takut gila aku. Aku takut kau buli aku,” sambung Fyrul lagi. Dia akui, lakonan Idham tadi memang berkesan

Idham hanya tergelak.

“Kenapa kau tak masuk dewan?” tanya Fyrul menukar topik perbualan. Cuba untuk meraih kejujuran Idham ketika ini.

Entah mengapa, sejak dia tahu Idham tidak mampu untuk membayar wang bayaran untuk majlis perpisahan Cikgu Fauziah tadi, tiba-tiba sahaja dia berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang Idham. Sebelum ini, dia tidak pernah tahu langsung latar belakang kehidupan Idham yang sebenar.

Gelak tawa Idham beransur reda. Soalan Fyrul membuatkan perasaannya mula diselubungi rungsing. Perlukah dia berterus terang pada Fyrul? Jika Fyrul tahu hal yang sebenar, apa yang boleh Fyrul tolong? Apakah alasan atau jawapan rekaan yang perlu aku reka untuk menjawab pertanyaan Fyrul itu? Benak Idham dirusuh kebingungan. Pohon jambu air di hadapannya dipandang sekilas.

“Saja, aku tak suka majlis-majlis macam tu. Aku cepat ngantuk.” Idham memilih untuk menipu. Dia belum bersedia untuk berterus terang pada Fyrul.

Fyrul tergelak kecil. Dia dapat rasa yang Idham ingin berselindung darinya. Apa sebenarnya masalah dia? Tak kan dia tak ada duit? Dia dari keluarga miskin, ke? Atau… dia ni tahi tangkai jering? Fyrul berteka-teki sendiri di dalam hati.

“Nah,” Fyrul menghulur makanan di tangannya kepada Idham.

Idham memandang pelik pada Fyrul. Apa motif Fyrul memberi makanannya? Adakah ini satu lagi usikkannya? Idham berandian. Makanan yang masih di tangan Fyrul dipandang biasa. Di dalam hatinya dia berharap agar Fyrul betul-betul serius dengan pemberiannya itu. Perutnya betul-betul teringinkan nasi. Makan jambu air tadi walaupun mengenyangkan, tapi tidak memuaskan. Dah lama rasanya dia tidak menjamah nasi.

“Ambiklah. Aku tak mengusik. Aku betul-betul ikhlas nak bagi makanan ni pada kau. Ambillah. Aku bukan pendendam macam kau.” Makanannya masih dihulur pada Idham.

“Tak apalah, itu kan makanan kau. Lagi pun aku dah kenyang makan jambu air tu tadi.” Idham menolak dengan baik. Bukan dia ingin menolak rezeki. Dan bukan dia ingin menjual mahal. Tapi dia tidak mahu di anggap sebagai seseorang yang perlu diberi simpati.

“Ambiklah, aku ikhlas,” ikhlas Fyrul meminta agar Idham menerima pemberiannya itu. Naik lenguh tangannya menanti Idham menerima pemberiannya itu.

“Kenapa kau bagi aku makanan tu? Itu kan makanan kau. Membazir jelah kau bayar empat ringgit kalau kau bagi makanan tu pada aku.” Idham masih cuba menolak walaupun di dalam hatinya meronta-ronta dan mengamuk ingin menerima pemberian itu. Dia teringinkan nasi ketika ini. Tapi, dia perlu tahu, apa tujuan Fyrul ingin berbuat baik padanya.

“Aku ikhlas nak bagi nasi dan air ni pada kau,” sayu wajah Fyrul merayu agar Idham menerima pemberiannya itu. Tangannya semakin lenguh. Dia melangkah menghampiri Idham. Di pegang tangan Idham lalu diletakkan makanan itu di atas tangan Idham.

“Makan ya? Aku tahu kau lapar. Makan jambu tu kenyangnya sekejap aje, Idham. Ambik ya?” pinta Fyrul beria-ia. Walaupun perutnya juga lapar ketika ini, tapi dia ikhlas untuk memberi makanan itu pada Idham.

“Betul ni? Kau dah makan?” tanya Idham inginkan pastian.

Fyrul mengangguk. “Jom duduk,” ajak Fyrul. Mereka duduk di kerusi dan meja kosong yang ada ditengah-tengah Pondok Maklumat itu.

Idham membuka makananya. Bau nasi ayam itu membangkitkan seleranya. Lama rasanya dia tidak menghidu haruman makanan sebegitu. Dihidu bau makanan itu sepuasnya lalu dia membaca doa makan. Selesai berdoa, tanpa mencuci tangan, Idham terus menyuap makanannya ke dalam mulut. Nampak pelahap sekali.

Senang hati Fyrul bila melihat Idham makan. Berselera sekali. Tiba-tiba hati Fyrul sayu. Sayu bila melihatkan Idham makan seolah lelaki itu benar-benar lapar. Apakah sebenarnya yang mambuatkan Idham seperti itu? Adakah dia memang berasal dari keluarga yang kurang berada?

“Idham… kalau aku tanya sesuatu boleh?” tanya Fyrul, lembut. Dia mengharap agar pertanyaanya nanti tidak akan mengundang rasa marah atau terasa hati pada Idham.

“Tanya ajelah. Kalau rasa-rasa soalan kau tu tahap UPSR atau PMR aku boleh jawab. Kalau taraf SPM, diploma, master atau PHD, sorry, aku belum melepasi tahap itu lagi,” jelas Idham sikit pun tidak memandang ke arah Fyrul di sebelahnya. Fokusnya pada makanan yang sedang dijamahnya saja. Sempat lagi dia cuba berseloroh.

“Betul ke, kau tak bayar duit jamuan perpisahan cikgu Fauziah? Boleh tak, aku tahu apa sebabnya?” tanya Fyrul takut-takut. Takut jika Idham akan berubah mood selepas mendengar pertanyaannya itu.

Idham memerlahankan kadar kelajuan suapannya. Soalan Fyrul itu agak sensitif baginya. Apakah dia perlu berterus terang tentang hidupnya pada Fyrul? Dia semakin terhimpit dengan perasaan serba salah. Ingin berbohong dia sudah temakan budi Fyrul. Dia dapat melihat keikhlasan Fyrul dari sinar matanya. Idham menarik nafas dalam lalu dihembus perlahan sebelum dia menjawab pertanyaan Fyrul itu.


*****


SELEPAS sahaja loceng terakhir sekolah berbunyi. Kesemua pelajar 5 Anggerik berkemas-kemas untuk pulang. Selepas mengucapkan terima kasih pada Cikgu Busro yang mengajar subjek Matematik Tambahan untuk kelas itu, semua pelajar mula mengatur langkah untuk pulang.

“Faizul!” panggil Azri bila dia melihat kawan baiknya itu mula melangkah keluar dari kelas.

Faizul menoleh ke arah Azri sambil menaikkan kedua keningnya dan mengukir wajah tanda tanya.

“Petang ni kau datang training tak?” Tanya Azri sekadar ingin memastikan. Begnya disandang di bahu.

“Mestilah datang. Macam biasalah bro. Apa hal kau tanya?” tanya Faizul, hairan. Sudah menjadi kebisaan bagi mereka dan rakan-rakannya yang lain akan akan menjalani sesi latihan bola sepak setiap petang. Mengapa perlu Azri bertanya lagi?

“Saja aku tanya, manalah tahu kalau-kalau kau tak dapat datang petang ni.”

“Come onlah, aku datang macam biasa,” jawab Faizul yakin.

“Okey.” Akur Azri. Jelas wajahnya ceria. Disangkakan Faizul masih marah pada Izwan pasal hal pagi tadi sehinggakan dia tidak akan datang sesi latihan bola sepak petang nanti.

Azri melangkah menghampiri Faizul lalu mereka melangkah seiring menuju ke kawasan tempat meletak basikal.

Dalam perjalanan, mereka berdua berbual.

“Dalam kelas tadi, Izwan pesan pada aku. Dia minta aku sampaikan salam maaf dia pada kau. Tak terniat pun dia nak lepaskan kata-kata dia pagi tadi tentang adik beradik tiri kau tu.”

Azri menyampaikan apa yang telah disampaikan Izwan sebelum kawannya itu meninggalkan kelas tadi. Itu pun selepas dia terlihat bibir Faizul mula mengukir senyuman. Jika tidak, sudah pasti dia tidak berani untuk menyampaikan pesanan itu.

“Kenapa dia tak minta maaf sendiri?” Tanya Faizul biasa. Senyuman di bibirnya masih tidak lekang sedari tadi.

Azri menelan rengkungnya. Dipandang sekilas pada pelajar-pelajar lain yang memintas langkah mereka.

“Dia kata dia takut kau belasah dia kalau dia minta maaf sendiri pada kau,” jawab Azri apa yang telah diberi tahu Izwan padanya semasa di kelas tadi.

Faizul tertawa geli hati.

“Kenapa dia nak takut aku belasah dia?” tanya Faizul hairan. Tawanya masih bersisa.

“Kau tahu jelah, kan? Badan kau kan tough. Siapa berani lawan?” jawab Azri sambil memegang otot bahu Faizul yang kian memejal.

Faizul tertawa lagi.

“Kau orang ni ada-ada jelah. Muscle aku jadi macam ni pun sebab aku selalu tolong bapak aku kat kebun setiap hari Ahad. Aku tak ke gym pun,” jelas Faizul jujur. Sememangnya dia memang tidak pernah cuba untuk membentuk otot-ototnya. Otot-ototnya sendiri yang memejal dan membentuk sendiri.

“Jealous aku,” usik Azri sambil tergelak.

Buat seketika mereka tergelak bersama. Hanya suara tawa mereka berdua sahaja yang kedengaran.

“Sebenarnya aku tak marah pun pada Izwan. Aku cuma marah bila dia cuba membanding-bandingkan aku dengan Farizal. Kau pun tahu kan, aku dengan Farizal tu jauh berbeza? Dia tu kaki perempuan dan kaki bangku. Aku pulak kaki bola, tapi bukan kaki perempuan,” tiba-tiba Faizul menjelaskan walaupun tidak ditanya.

Gelak Azri yang kian mereda kembali galak selepas mendengar kata-kata Faizul tadi.

“Aku paling tak suka kalau kawan-kawan aku cuba nak kutuk-kutuk adik tiri aku tu depan-depan aku. Dialah satu-satunya adik lelaki yang aku ada dan baik dengan aku,” sambung Faizul lagi.

“Fazura tak baik ke?” tanya Azri beria-ia. Beralih ke watak yang lain.

“Fazura tu perempuan. Lagi pun dia tu mengada-ngadalah. Tak pandai berdikari. Asyik nak mengadu dengan mak aku je. Rimas aku,” jawab Faizul jujur. Di antara Fazura dan Fyrul, dia lebih sayang pada Fyrul. Padanya, Fyrul baik orangnya. Cuma orang yang ada di sekelilingnya sahaja yang tidak dapat menilai hati budi adik tirinya itu. Apa yang orang di sekelilingnya tahu hanya menghukum, mengeji, mencaci dan merendah-rendahkan kelemahan adik tirinya itu.

Azri angguk akur bagai belatuk. Tiba-tiba dia terpandang seseorang. Seolah dia kenal insan itu.

Bersambung BAB 6...


Segala nama watak dan jalan cerita adalah rekaan penulis semata-mata. Tiada kena mengena dengan yang masih hidup atau yang telah mati. Jika ada nama tempat, syarikat, lokasi dan kata nama khas, penulis sekadar memasukan dalam konteks fiksyen semata-mata dan tidak ada kena mengena dengan nama tempat, syarikat, lokasi dan kata nama khas yang sebenarnya.

Mungkin jalan cerita di dalam novel ini ada menyentuh sedikit sensitiviti sesetengah golongan. Jadi, anggaplah apa yang diceritakan sekadar untuk hiburan semata-mata. Harap maklum.


Mantap