Dikuasakan oleh Blogger.

Sabtu, 21 Jun 2014

MUNGKIN INI TAKDIRKU - BAB 06


| 06 |

“KENAPA dengan basikal kau ni Fyrul?” Tanya Faizul bila terlihat Fyrul masih lagi di tempat letak basikal sambil memandang tayar belakang basikalnya yang bermasalah.

“tayar basikal ni, pancit habis. Tak boleh nak naik. Takut rimnya benkok pulak. Tak tahulah kenapa, bocor agaknya.” Jawab Fyrul sambil memandang ke arah tayar belakang basikalnya yang sudah leper ke tanah.

Faizul mendapatkan basikal Fyrul.

“Tolong pegangkan beg aku,” pinta Faizul lalu menyerahkan beg sekolahnya kepada Fyrul. Fyrul menyambut dengan baik.

Faizul memicit-micit tayar basikal Fyrul. Angin tayar itu betul-betul habis. Sehinggakan dia boleh memegang rim tayar dari luar getah tayar.

“Aku pun tak tahu sama ada tayar ni bocor atau pancit,” keluh Faizul.

Faizul menoleh ke arah Azri yang sedari tadi diam membisu di depannya.

“Tak apalah Azri, kau baliklah dulu. Aku nak settlekan basikal adik aku ni kejap,” maklum Faizul pada Azri yang kelihatan sudah bosan menunggu.

“Okeylah, kalau macam tu aku balik dulu,” pinta Azri lalu melangkah meninggalkan Faizul dan Fyrul di situ. Sikit pun dia tidak menoleh ke arah Fyrul di sebelahnya.

Fyrul gembira bila mendengar Faizul mengelarkan dirinya sebagai ‘adik’. Sejak dari kecil, abang kandungnya sendiri tidak pernah memanggilnya dengan gelaran itu. Perkataan yang sering diguna oleh Farizal untuknya biasannya ‘kau’, ‘lembut’, ‘sotong’ dan beberapa lagi perkataan lain yang dia sendiri tidak boleh ingat. Jadi, bila mendengar Faizul menggelarkan dirinya sebagai ‘adik’, dia berasa cukup bahagia.

“Macam nilah. Kat depan sekolah agama tu ada bengkel. Aku cuba try pergi sana. Suruh dia orang tengok apa yang tak kena dengan tayar basikal kau ni. Bocor ke… atau cuma pancit.” Jelas Faizul.

“Depan sekolah agama sana tu?” Tanya Fyrul sambil menjuihkan bibirnya nun jauh ke arah sekolah agama yang dimaksudkan oleh Faizul tadi.

Faizul mengangguk.

“Jauh tu bang,” keluh Fyrul sambil memandang ke arah langit. Langit bersih, tiada sekelompak awan pun. Jelas biru. Matahari terus terik memancarkan cahayanya. Dia tidak membawa payung.

“Aku yang pergi, kau baliklah rumah. Naik je basikal aku tu. Nanti kalau dah okey basikal ni, aku hantar kat rumah kau,” jelas Faizul.

Fyrul mula diselubungi rasa serba salah.

“Tak apalah bang, biar saya ajelah yang hantar basikal ni ke bengkel tu. Lagi pun, menyusahkan abang aje.” Fyrul serba salah. Jika boleh, dia tidak mahu menyusahkan abang tirinya itu yang selalu menolongnya. Dulu, rantai basikalnya lucut, abang tirinya itu jugalah yang menolong. Hendak harapkan abang kandungnya sendiri. Jangan haraplah.

“Dah, kau balik dulu naik basikal aku tu. Lagi pun, panas terik ni. Aku tahu kau tu tak tahan panas, buatnya kau pengsan kat tepi jalan. Tak ke niaya?” Faizul terus berdegil untuk menolong. Dia ikhlas.

“Betul ke ni bang? Tak menyusahkan abang?” tanya Fyrul inginkan kepastian.

“Tak susah pun. Aku tolong kau ni pun sebab kau tu adik aku. Dah, balik, nanti mak cik risau pulak kau tak sampai-sampai rumah,” arah Faizul lagi.

Sekali lagi Fyrul berasa gembira bila Faizul menganggap dia sebagai adiknya. Selepas hampir 16 tahun, ini kali pertama dia berasa bahagia dan terasa betul-betul mempunyai seorang abang yang mengambil berat tentang dirinya.

“Kau boleh tolong bawak balik beg sekolah aku sekali tak? Nanti basikal ni siap aku hantar balik kat rumah kau, aku ambik beg aku tu. Lecehlah nak sorong basikal ni dengan bawak beg tu. Barat. Boleh tak?” Faizul meminta.

“Boleh,” jawab Fyrul dengan senyum bahagia. Tidak menjadi satu yang membebankan untuk dia membawa pulang beg sekolah abang tirinya itu.

“Dah, pergi balik dulu. Basikal aku kat hujung tu, sebelah pokok bunga raya. Ni kuncinya,” beri tahu Faizul sambil menjuihkan bibirnya ke arah basikalnya, kemudian dia menghulur sebentuk kunci pada Fyrul.

“Terima kasih bang,” ucap Fyrul sambil tertunduk hormat lalu kunci yang dihulur disambut. Kemudian dia melangkah menuju ke basikal kepunyaan abang tirinya itu. Dikerling ke arah abang tirinya sekilas selepas sepuluh tapak dia melangkah. Dia dapat melihat abangnya mula menyorong basikalnya ke arah bengkel yang dimaksudkan tadi. Hatinya benar-benar bahagia kerana abang tirinya itu sudi menolong. Jika tidak, terpaksalah dia menyorong basikalanya pulang ke rumah.

Tanpa di sedari oleh mereka, perlakuan dan perbualan mereka tadi telah diintai dan dicuri dengar oleh Fazura yang bersembunyi di sebalik pokok bunga yang ditanam di kawasan itu.


*****


SELEPAS sahaja mandi dan menukar baju kepada baju basahan, Fazura terus sahaja menuju ke dapur. Perutnya terasa lapar. Masa makan tengah hari sudah sejam setengah berlalu. Jadi, perutnya yang sudah mula mencucuk-cucuk kelaparan dan minta diisi segera.

Fazura menggenggam rambutnya yang separas bahunya lalu dibawa ke bahu kanannya. Diusap-usap lembut rambutnya. Kerusi ditarik perlahan lalu dihenyak punggungnya di atas kerusi itu. Hidungnya mula menghidu bau asam pedas masakan emaknya dari dapur. Tiba-tiba selera makannya semakin memutik.

“Mana abang kamu Zura?” tanya Mak Timah yang muncul dari dapur sambil memegang mangkuk besar berisi nasi yang masih berasap. Dikerling ke luar rumah sekilas mencari kelibat anak teruna tunggalnya. Kebiasaannya di masa-masa begini anak terunanya itu sudah duduk di meja makan. Entah mengapa hari ini anaknya itu masih belum pulang dari sekolah.

“Entahlah mak, Zura balik awal tadi. Biasalah abang tu. Budak dah nak SPM, banyaklah kelas tambahan. Mak ni pun, macam tak tahu pulak,” jawab Fazura, menipu. Sebenarnya dia tahu di mana abangnya berada ketika ini. Sengaja dia buat-buat tidak tahu. Dia mahu insan yang dibencinya sendiri memberi tahu pada emaknya.

Fazura cuba mencapai bergedil daging kegemarannya. Belum sempat dia menyentuh, lekas emaknya menemplak tangannya dengan sudip.

“Kok ye pun, basuhlah tangan tu dulu. Anak dara apalah kau ni. Main suap aje. Dahlah tak nak tolong mak kat dapur. Tahunya, mencekik aje,” semplak Mak Timah, sinis.

Fazura menyungutkan wajah. Direnung emaknya, bengang. Bibirnya dibentuk-bentukkan tanda protes.

“Kan Zura baru balik sekolah. Penat mengayuh basikal tak hilang pun lagi. Mak tak faham-faham ke?” Fazura menjawab. Tiada sedikit pun rasa hormat pada emaknya itu.

“Sudahlah kau Zura. Bila kau cuti sekolah, aku tengok kau duk bertelaku depan TV tu, apa kes?” Mak Timah mula menoca dan mengungkit. “Nak tengok Diari tulah. Nak tengok konsert ulanganlah. Lepas tu, kau berhabis kredit handphone kau untuk vote para perserta rancangan rialiti tu, yang tak pernah bagi sesen pun kat kau, kan? Dia dapat duit elaun sebulan lebih 10K. Kau pulak berhabis kedana. Sanggup tak makan kat sekolah semata-mata nak beli prepaid,” ungkit dan perli Mak Timah panjang lebar.

“Alah mak ni. Orang beli topup pun guna duit Zura.” Fazura tetap menjawab.

“Duit kau tu bukan datangnya dari aku? Cubalah kalau kau simpan duit tu beli buku rujukkan. Yang penting beli kamus Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu tu. Inggeris kau tu bersimpang siuh. Pisang dalam Bahasa Inggeris pun tak tahu. Bahasa Indonesia, boleh pulak kau faham? Ikutkan hati aku ni, nak aje aku bakar TV tu. Abunya aku bacuh bagi kau minum setiap hari. Biar kau hafal semua bahasa yang ada dalam siaran TV tu.” Mak Timah mula membebel. Bengang hatinya ketika ini dengan perangai Fazura yang berat tulang untuk membantunya di dapur dan mengemas rumah. Apa yang anak daranya itu tahu, menghadap TV. Semua sinetron dari negara seberang jika boleh, semua ingin diikutinya. “Alah mak ni, membebel ajelah,” rungut Fazura, bosan.

“Tulah kau, bila aku cakap, ada aje yang kau nak menjawab. Cuba berperangai keperempuanan sikit. Rajin buat kerja dapur, kemas rumah. Ini tidak, mengadap TV aje kau tahu. Cuba jadi macam abang tiri kau si Fyrul…”

“Isy mak ni. Tak perlulah nak mention nama Fyrul kat sini. Sakit telinga Zura dengar nama si lebik tu, tau?” pintas Fazura sebelum sempat emaknya menghabiskan kata-katanya. Telinganya ditonyoh laju-laju dengan jari telunjuknya.

“Aku cakap perkara yang betul. Sungguh pun dia macam tu, dia rajin masak, kemas rumah dan mencuci baju, tau? Tak macam kau. Pakaian dalaman kau tu pun mak kena cuci lagi. tahu? Anak dara apalah kau ni,” sungut Mak Timah lalu melangkah ke dalam dapur.

“Alah, biasalah tu. Dia kan pondan. Bila dia buat kerja-kerja rumah tu, bolehlah dia merasa jadi perempuan kejap.” Fazura terus mempertikaikan kata-kata emaknya tadi. Benci rasa hatinya bila emaknya sendiri menyebelahi Fyrul. Sudahlah abang kandungnya menyebelahi Fyrul. Kini, emaknya juga menyebelahi Fyrul. Nasib baiklah abahnya sangat benci pada abang tirinya itu. Sekurang-kurangnya dia masih ada yang membela.

“Okeylah tu. Senang sikit Mak Jumi kau tu dapat anak macam dia. Ada yang tolong dia buat kerja rumah. Mak ni, sakit sendi-sendi mak ni macam nak tercabut pun, kau ada peduli? Aku buat pulut kuninglah kalau kau pandai buat jemput-jemput. Rebus air pun kering. Masak mi segera lagilah. Kembang!” perli Mak Timah lagi lalu keluar dari dapur dengan sejag air oren sejuk di tangan lalu diletakkan di atas meja makan. Kemudian dia kembali semula ke dalam dapur.

“Tulah mak, suruh beli kerusi urut dari Ogawi macam kat asrama perserta rancangan realiti tu, mak tak nak. Kalau sakit sendi-sendi mak tu, boleh mak duduk atas kerusi urut tu.” Fazura tetap mahu menjawab setiap kata-kata emaknya.

Langkah Mak Timah terhenti. Lekas dia menoleh ke arah anak daranya itu. Dia menukar langkahnya menghampiri Fazura. Dipulas telinga Fazura sekuat hatinya.

“Tulah kerja kau. Nak menjawab segala kata-kata aku. Kau ingat bapak kau tu kayaraya sangat ke, nak beli kerusi urut tu? Bil Astro tu pun dah tiga bulan tak berbayar. Kejap lagi, sah-sah kena blok siarannya. Kempunanlah kau nak tengok konsert budak-budak realiti tu. Kau ingat aku ada masa ke nak duduk relaks atas kerusi urut tu? Nak uruskan makan pakai kau aje satu hari suntuk tak habis-habis buat, tau?” herdik Mak Timah sambil melepaskan pulasan pada telinga Fazura. Naik merah cuping telinga anak daranya itu dia kerjakan.

“Sakitlah mak,” sungut Fazura selepas emaknya melepaskan pulasan pada terlinganya. Terasa panas dan kembang terlinga kirinya.

“Biar pandan muka kau. Cakap aku, kau tak pernah nak dengar. Itulah ubatnya untuk orang yang tak dengar kata,” ujar Mak Timah sepuas hati.

“Assalamualaikum,” tiba-tiba kedengaran orang memberi salam di muka pintu.

Lekas Mak Timah dan Fazura menoleh ke arah itu. Fazura tersengih sinis. Kenal sangat dia dengan suara itu. Rancangannya berjalan lancar.


*****



“ASSALAMUALAIKUM.” Fyrul memberi salam lagi. Pintu dapur rumah emak tirinya terbuka luas. Tidak pula dia dapat melihat kelibat sesiapa di dalam rumah itu.

“Mungkin tak ada orang kut?” Fyrul berandaian lalu dia mula menyusun langkah untuk pulang. Alangkah bahayanya jika ada pencuri atau penyamun datang menyamun rumah emak tirinya itu ketika ini. Pasti bersih isi rumah itu jika rumah itu betul-betul tiad aorang dan dibiarkan pintunya tidak bertutup dan berkunci.

“Waalaikumusalam. Eh, Fyrul. Ada apa datang ni?” Kedengaran suara Mak Timah di muka pintu.

Fyrul tersenyum sendirian lalu dia berpaling semula ke belakang. Disangkakan tiada orang tadi. Rupanya sangkaannya meleset sama sekali.

“Ingatkan mak cik tak ada tadi,” jelas Fyrul lalu menghulur tangan untuk bersalaman dengan ibu tirinya itu. Bila salam bersambut, tangan ibu tirinya itu dicium hormat. Sejuk hati Mak Timah melihat kesopanan anak tirinya itu.

“Ada kat dapur tadi.” Jawab Mak Timah bila salaman terlerai.

“Ada apa datang ni?” Tanya Mak Timah lagi.

“Ni ha, nak bagi beg abang Faizul,” jawab Fyrul lalu menghulur bag sekolah Faizul pada Mak Timah.

Mak Timah dengan perasaan hairan menyambut bag yang dihulur Fyrul. Mengapa beg sekolah Faizul boleh berada pada anak tirinya? Di mana Faizul? Apa yang telah berlaku pada Faizul? Fikiran Mak Timah tiba-tiba dirusuh dengan andaian yang bukan-bukan.

“Mana Faizul? Apa yang dah jadi pada dia?” tanya Mak Timah Risau. Dia rusay jika sesuatu yang buruk telah menimpa anak teruna tunggalnya itu.

Fyrul tersenyum manis.

“Mak cik janganlah risau. Abang Faizul tak apa-apa. Dia ke bengkel tadi,” jawab Fyrul jujur.

Mak Timah memandang Fyrul hairan.

“Bengkel? Kenapa dia ke bengkel pulak? Basikal dia rosak ke?”

“Bukan basikal dia yang rosak. Tapi basikal saya. Tayar pancit atau bocor pun saya pun tak tahu. Dia tolong saya hantarkan basikal tu ke bengkel. Sebab tu dia belum balik lagi. Maaflah mak cik, sebab dah menyusahkan Faizul,” jelas Fyrul apa yang sebenarnya telah berlaku. Dia memang tidak suka menipu. Kecuali terpaksa.

“Oh, ingatkan ada perkara yang buruk menimpa dia,” keluh Mak Timah kelegaan.

“Tak,” lekas Fyrul menyangkal.

“Mak cik tak kisah dia nak tolong kamu, Fyrul. Dia kan abang tiri kamu,” kata Mak Timah, tidak kisah.

“Terima kasih mak cik. Dia kata kalau dah siap basikal tu, nanti dia balik,” jelas Fyrul lagi.

“Jadi, kamu balik ni naik apa?”

“Fyrul guna basikal abang Faizul,” jawab Fyrul sambil menjuih bibirnya ke arah basikal Faizul yang sudah dipakir di bahagian beranda dapur rumah emak tirinya itu.

Mak Timah hanya mengangguk akur. Keadaan senyap seketika.

“Fyrul tak masuk dulu? Marilah makan tengah hari kat rumah mak cik. Mak cik baru nak makan tegah hari ni,” pelawa Mak Timah selepasterdiam untuk seketika.

“Eh, tak apalah mak cik. Mak saya dah masak kat rumah tu. Tengah tunggu saya nak makan tengah hari sama-sama,” dengan baik Fyrul menolak. Dia tahu, emaknya sedang menantinya di rumah. Jika dia makan di rumah emak tirinya itu. Siapa pula yang ingin makan masakan emaknya?

“Oh, kalau macam tu tak apalah. Apa-apa pun, terima kasih ya, sebab hantar balik beg sekolah Faizul ni,” ucap Mak Timah sambil menganggkat bag sekolah Faizul di tangannya separas dada.

“Hisy, sepatutnya Fyrul yang ucap terima kasih pada mak cik sebab anak mak cik sudi tolong Fyrul?”

“Alah, Faizul yang tolong kamu. Jadi kamu ucaplah terima kasih pada dia.”

Fyrul angguk akur.

“Okeylah mak cik, saya balik dulu,” pamit Fyrul lalu menyalam lagi tangan Mak Timah dan dicium hormat.

“Assalamualaikum,” ucap Fyrul selepas salaman dileraikan.

“Waalaikumusalam,” akur Mak Timah. Senang hati melihat kelakuan Fyrul yang sopan-santun dan pandai menghormati orang tua itu. Selepas kelibat Fyrul kian menjauh, barulah dia kembali semula ke dalam rumah.


Bersambung BAB 7...


Segala nama watak dan jalan cerita adalah rekaan penulis semata-mata. Tiada kena mengena dengan yang masih hidup atau yang telah mati. Jika ada nama tempat, syarikat, lokasi dan kata nama khas, penulis sekadar memasukan dalam konteks fiksyen semata-mata dan tidak ada kena mengena dengan nama tempat, syarikat, lokasi dan kata nama khas yang sebenarnya.

Mungkin jalan cerita di dalam novel ini ada menyentuh sedikit sensitiviti sesetengah golongan. Jadi, anggaplah apa yang diceritakan sekadar untuk hiburan semata-mata. Harap maklum.



Mantap