Dikuasakan oleh Blogger.

Ahad, 22 Jun 2014

MUNGKIN INI TAKDIRKU - BAB 07


| 07 |

SELESAI sahaja menunaikan solat Zohor dan berdoa, Fyrul terus sahaja melangkah menuju ke dapur. Dia ingin menolong ibunya yang sedang menyediakan makanan tengah hari mereka. Melangkah sahaja dia ke dapur, kelihatan Farizal sudah duduk di meja makan.

“Apa hal kau lambat sangat? Kau tahu tak aku dah kebulur macam nak mati ni?” belum sempat Fyrul melangkah ke dalam dapur, Farizal terus mengherdik.

Langkah Fyrul terhenti lalu dia berpaling ke arah abangnya itu.

“Sorrylah bang. Tadi basikal Fyrul ada masalah sikit. Sebab tu Fyrul lambat balik,” pohon Fyrul, lembut.

“Tulah kau. Mak nak belikan basikal baru bulan lepas, kau tak nak.” Farizal mengungkit. Sinis dia memandang Fyrul.

“Basikal tu bukannya rosak atau dah tak boleh guna pun. Cuma tayarnya aje bocor. Kalau mak belikan basikal untuk aku, bulan lepas. Sah-sah abang tak dapat basikal BMX abang tu tau?” kali ini Fyrul pula mengungkit. Geram hatinya bila pengorbananya tidak dihargai.

Dia sanggup tidak mahu dibelikan basikal baru semata-mata ingin memenuhi kehendak abangnya yang menginginkan basikal BMX. Yang mana harganya sama dengan dua kali basikal yang dia miliki sekarang. Dia sedar emaknya tidak mampu untuk membeli basikal BMX untuk abangnya itu jika emaknya turut membelikan basikal untuknya. Jadi, dia lebih bersikap beralah. Malangnya sikap beralahnya, langsung tidak dihargai. Bukan ingin mengungkit, dia cuma inginkan secebis penghargaan dari abangnya itu.

Farizal merengus sambil jeling menyampah pada Fyrul. Meluat!

“Apa bising-bising ni?” tiba-tiba Mak Jumi muncul dari dapur dengan sejug air kosong sejuk di tangan.

Fyrul menjeling sinis pada Farizal.

“Dah, jom makan. Dah lambat ni.” Ajak Mak Jumi pada Fyrul yang sedang bengang. Sakit hatinya dengan sikap abangnya itu.

Fyrul duduk berhadapan dengan abangnya dan bersebelahan dengan emaknya.

Mak Jumi menuang air ke dalam gelas yang ada.

“Besiap dahlah macam perempuan,” rungut Farizal tiba-tiba.

“Apa yang kamu rungutkan tu Fariz?” tanya Mak Jumi sambil menjeling sekilas ke arah Farizal. Dia mengeleng kepala. Setiap kali di meja makan, ada sahaja perkara yang ingin dipertikaikan oleh kedua anak terunanya itu.

“Budak lembut nilah mak.” Farizal menjeling sinis pada Fyrul yang sedang merenungnya, benci. “Bersiap mengalahkan perempuan. Entah apa dia buat lama sangat kat bilik tadi.” Farizal menyambung rungutnya.

“Eh abang, Fyrul sembahyang Zohor tau. Cuma 15 minit aje lewat. Takkan tu pun nak merungut?” Fyrul menjawab. Dia tidak mahu abangnya itu menuduhnya yang bukan-bukan.

“Haah, kamu tu dah sembahyang Zohor ke belum?” tanya Mak Jumi pada Farizal.

Farizal terdiam. Buat muka seolah tidak bersalah. Pandangannya diliarkan ke arah lain. Sememangnya dia belum menunaikan kewajibannya sebagai seorang Islam itu. Balik sahaja dari sekolah tadi dia terus sahaja bersiap untuk ke meja makan.

“Alah mak. Kalau dah diam tu, sah-sahlah belum sembahyang lagi mak. Perut dia tu yang akan tolong dia kat kubur nanti agaknya kut?” perli Fyrul sambil melirik ke arah emaknya. Sengaja ingin mengenakan abangnya itu. Liat bila disuruh solat.

“Lepas makan ni aku sembahyanglah,” rengus Farizal lalu bekas nasi dicapai dan dicedok nasi ke atas pinggannya.

“Assalamualaikum!” kedengaran suara orang memberi salam dari muka pintu dapur. Lekas mereka bertiga mengalihkan pandangan ke arah muka pintu.

“Waalaikumusalam. Eh, Faizul ingatkan siapa tadi. Masuklah,” sambut dan pelawa Mak Jumi sambil melangkah menuju ke muka pintu. Langkahnya diekori oleh Fyrul dari belakang. Farizal pula tidak mengendahkan kehadiran saudara tirinya itu. Malahan, dia terus menjamah makanannya dengan rakus. Seolah sudah berhari-hari tidak makan.

“Tak apalah Mak Ju, saya datang sini pun sebab nak hantar basikal Fyrul ni aje,” jawab Faizul sambil tersengih-sengih. Kelihatan baju sekolahnya lencun kerana peluh.

“Hantar basikal Fyrul? Kenapa dengan basikal Fyrul?” tanya Mak Jumi hairan. Bagaimana basikal Fyrul boleh berada pada Faizul?

“Tadi kat sekolah, basikal Fyrul tu pancit. Jadi, saya tolong hantar ke bengkel, check apa yang tak kena. Rupanya cuma pancit. Tapi saya dah pamkan dah,” jelas Faizul apa yang telah berlaku. Berkilat wajahnya dek peluh yang sedari tadi terus merembes.

“Fyrul, tadi kamu balik naik apa?” tanya Mak Jumi pada Fyrul yang berdiri di sebelahnya.

“Fyrul naik basikal abang Faizul,” jawab Fyrul jujur.

Mak Jumi angguk akur.

“Meh le masuk dulu Faizul. Kesian kamu Mak Ju tengok. Berpeluh-peluh. Makan tengah hari kat sini. Kami pun baru nak makan ni,” pelawa Mak Jumi lagi.

“Hisy, tak apalah Mak Ju. Lagi pun saya belum sembahyang Zohor ni. Takut terlewat pulak.” Faizul menolak pelawaan itu dengan baik.

“Alah, kat sini pun boleh sembahyang Zul,” Mak Jumi tetap mempelawa.

“Tak apalah Mak Ju. Mungkin lain kali. Lagi pun saya belum mandi ni. Melekit sana-sini.” Faizul menolak lagi.

Mak Jumi akur. “Yelah kalau dah macam tu.”

“Bang, beg sekolah abang dengan basikal abang, Fyrul dah hantar ke rumah,” jelas Fyrul walaupun tidak ditanya.

“Oh ya ke? Kalau macam tu saya balik dululah mak cik,” pinta Faizul lalu dia bersalaman dengan Mak Jumi lalu tangan Mak Jumi dicium lembut.

“Kirim salam pada emak kamu ya?” pesan Mak Jumi selepas salaman dileraikan. Walaupun madunya itu tidak duduk serumah dengannya. Tapi hubungan mereka berdua tersangat baik.

Faizul angguk akur lalu melangkah menuju ke rumahnya yang hanya sekadar di seberang parit di depan rumah Mak Jumi sahaja.

“Kenapa kamu tak minta tolong dari abang kamu tu?” tanya Mak Jumi menjuihkan bibirnya ke arah Farizal yang sedang enak menyantap makanannya dengan rakus.

Fyrul mengeluh.

“Mak pun tahu kan? Abang tu dengan ayah sama je. Mana suka dengan Fyrul yang macam ni,” ada nada sendu dalam nada suara Fyrul ketika ini. “Nasib baiklah abang Faizul tu selalu ambil berat fasal Fyrul kat sekolah, mak,” sambung Fyrul lagi. Sayu wajahnya bila mengenang nasib yang telah menimpa hidupnya selama ini.

“Dah, sabar jelah. Jom makan.” Mak Jumi hanya mampu memujuk. Dia sendiri tidak dapat untuk mengikis perasaan benci suami dan anak sulungnya pada anak bungsunya itu. Dia sebagai emak, hanya mampu terus menyokong dan memberi kata semangat yang terbaik untuk anak bungsunya itu. Apa yang pasti, dia selalu berdoa agar hati suami dan anak sulungnya yang membenci Fyrul akan lembut dan dapat menerima Fyrul seadanya.


*****


SELESAI sahaja makan tengah hari, seperti biasa Fazura akan mengadap teman sejatinya di rumah, iaitu televisyen. Ditekan butang nombor tiga. Sinetron kegemarannya ketika ini sedang ditayangkan.

“Nasib baiklah sempat tengok. Kalau aku tolong mak cuci pinggan tadi. Sah-sah aku tak dapat tengok dari mula untuk episod hari ni,” kata Fazura sendirian. Tiada sedikit rasa bersalah pun kerana menolak suruhan emaknya tadi untuk mencuci pinggan.

“Itulah kerja kau. Perut kenyang aje, TV yang kau hadap. Lepas tu mesti membuta. Tak ada kerja lain,” pekik Mak Timah dari dapur memerli Fazura. Bunyi denting pinggan dan mangkuk berlaga di singki kedengaran bertingkah.

“Alah mak ni, bisinglah. Orang nak tengok TV pun tak senang,” rungut Fazura. Pandangannya terus fokus pada skrin TV.

“Kau kira senang kau aje. Kau tak fikir aku ni ha? Tak pernahnya kau nak senangkan aku. Duk menyusahkan aku aje adalah,” templak Mak Timah lagi.

Fazura membentuk-bentukkan bibirnya. Malas dia mahu bertegang urat dengan emaknya.

“Makin dilayan makin menjadi-jadi orang tua ni. Baik aku diam aje,” bebel Fazura sendirian kembali fokus pada sinetron yang ditontonnya.

“Mana abang kau? Tak balik-balik lagi?” Mak Timah bertanya pula. Nyaring suaranya menembusi gegendang telinga Fazura.

“Mana orang tahu. Mungkin dia masih kat bengkel kut.” Fazura sekadar mengagak.

Tiba-tiba Fazura tersentak, dia terlupa akan rancangannya. Dia perlu mengambil sesuatu dari bag abangnya. Kenapalah dia boleh terlupa? Cepat-cepat dia menyusun langkah menuju ke bilik Faizul. Terhendap-hendap bagai pencuri. Takut diperasani oleh emaknya.

Terjinjit-jinjit kaki Fazura tika melangkah. Selama ini, dia jarang malahan tidak dibenarkan masuk ke bilik abangnya jika tiada hal yang penting. Emaknya pun dilarang masuk. Kecuali ingin mengambil pakaian kotor sahaja. Entah apa yang dirahsiakan oleh abangnya di dalam bilik itu pun dia tidak tahu. Jadi, dia perlu berhati-hati untuk masuk ke bilik itu. Bimbang ketahuan dengan emaknya.

Terlopong mulut Fazura bila kakinya melangkah masuk ke dalam bilik itu. Ini kali pertama selepas setahun dia menjejaki kaki ke bilik abangnya itu. Semakin banyak poster pemain bola kegemaran abangnya di ditampal di setiap ruang dinding bilik. Sekali imbas seolah dindingnya telah di tampal dengan kertas dinding bergambar permain-pemain bola sepak kegemaran abangnya pula. Tiadalah yang istimewa sangat, fazura berdesis di dalam hati.

Fazura terus mendapatkan beg sekolah abangnya. Dia perlu mengeluarkan sesuatu dari dalam beg itu. Selepas dia dapat apa yang dia inginkan, cepat-cepat benda itu disimpan ke dalam poket seluarnya. Di zip semula beg sekolah abangnya lalu diletak kemas-kemas di atas meja belajar.

Pandangan Fazura terkaku pada sebuah bingkai gambar kecil di atas meja belajar abangnya. Dicapai bingkai gambar kayu kecil itu. Dia sempat melihat di dalam bingkai itu terdapat gambar abangnya bersama Andy dan Fyrul yang diambil semasa Hari Raya Aidilfitri dua tahun lalu.

Fazura hairan. Apa kaitan Fyrul dengan Andy? Adakah Andy berkawan baik dengan Fyrul? Setahunya Andy kawan baik abangnya, tidak tahu pula yang Fyrul juga mengenali Andy. Fazura mula diselubungi perasaan kehairanan dan tanda tanya.

“Zura! Apa kau buat dalam bilik aku ha?!” tiba-tiba kedengaran suara Faizul menengking di muka pintu.

Tersembul mata Fazura. Dia terkejut! Lekas diletak gambar itu di tempat asalnya. Apa yang perlu dia jawab untuk pertanyaan abangnya itu?



Bersambung BAB 8 ....


Segala nama watak dan jalan cerita adalah rekaan penulis semata-mata. Tiada kena mengena dengan yang masih hidup atau yang telah mati. Jika ada nama tempat, syarikat, lokasi dan kata nama khas, penulis sekadar memasukan dalam konteks fiksyen semata-mata dan tidak ada kena mengena dengan nama tempat, syarikat, lokasi dan kata nama khas yang sebenarnya.

Mungkin jalan cerita di dalam novel ini ada menyentuh sedikit sensitiviti sesetengah golongan. Jadi, anggaplah apa yang diceritakan sekadar untuk hiburan semata-mata. Harap maklum.


Mantap