Dikuasakan oleh Blogger.

Ahad, 22 Jun 2014

MUNGKIN INI TAKDIRKU - BAB 08


| 08 |

BAU sambal sotong masakan Fyrul mula mencuit hidung. Sudah menjadi kebiasaan bagi Fyrul akan bangun awal pagi untuk menyediakan sendiri makanan kegemarannya itu. Kuah sambal sotong dititikkan sedikit di tapak tangan. Terasa panasnya mencubit kulit. Ditiup sekali, lalu dijilat licin kuah itu. Selepas dirasakan sudah cukup rasa, api gas dimatikan. Masih berasap sambal itu di dalam kuali.

“Sedapnya bau sambal sotong anak mak masak ni. Terus perut mak lapar,” usik Mak Jumi sambil melihat anak bongsunya yang sedang mengacau sambal sotongnya di dalam kuali. Sejuk hatinya melihat Fyrul senang menolongnya di dapur.

Fyrul hanya tersenyum manis.

“Mak puji ke… perli ni mak?” tanya Fyrul sambil tersenyum.

Mak Jumi tertawa kecil. “Betul apa mak cakapkan? Mana ada orang boleh lawan sambal sotong anak teruna mak ni. Sekali rasa pasti nak lagi.” Mak Jumi semakin galak mengusik.

“Mak ni, suka perli-perli Fyrul,” rajuk Fyrul sambil memonyokkan wajahnya. Ibunya di peluk lembut. Langsung tidak terasa hati akan usikkan emaknya itu. Malahan dia berasa cukup senang.

“Dah, pergi tukar baju. Nanti lambat pulak nak ke sekolah,” arah Mak Jumi selepas pelukkan terlerai. Dikerling ke arah jam dinding di atas pintu dapur. Sudah menunjukkan pukul 6.45 pagi.

“Tapi Fyrul belum masukkan bekal Fyrul dalam tupperwarelah mak,” rungut Fyrul manja.

“Tak apa, biar mak tolong isikan bekal kamu dalam tupperware. Kamu pergilah bersiap. Kamu tu kalau bersiap makan masa sikit. Tak fasal-fasal lambat pulak kamu nak ke sekolah nanti.”

“Terima masih mak.” Ucap Fhyrul gembira lalu dipeluk emaknya dan dicium lembut pipi emaknya dengan perasaan penuh kasih dan sayang seorang anak kepada emaknya.

“Tapi mak, boleh tak mak tolong bekalkan dua tupperware mulai hari ni?” pinta Fyrul selepas pelukkan dileraikan.

Mak Jumi memandang Fyrul, pelik. Kenapa pula anak bongsunya itu tiba-tiba sahaja ingin membawa bekal lebih ke sekolah? Takkan makan sampai dua tuperware kut? Mak Jumi tertanya sendirian.

“Kenapa nak bungkus dua bekal pulak ni? Tak cukup ke, satu? Kuat makan juga kamu ni erk?”

“Emak ni,” regus Fyrul manja sambil mengerutkan dahinya memandang Mak Jumi. “Bukan dua-duanya untuk Fyrul mak. Fyrul ingat yang lagi satu tu nak kasi kawan Fyrul,” jelas Fyrul sejujurnya.

“Siapa?” sepatah emaknya bertanya.

“Adalah, mana boleh bagi tahu mak.”

“Elleh, kamu ni. Dengan mak pun nak berahsia ke? Aweklah tu.” Mak Jumi sekadar mengusik-gusik

“”Eh, ke situ pulak mak ni. Nanti-nantilah Fyrul bagi tahu,” dalih Fyrul lalu dia melangkah masuk ke dalam biliknya. Bukan dia tidak mahu berterus terang. Buat setakat ini, biarlah ia dipendam dahulu.

Mak Jumi mengeleng kepala akur sambil mengekor pandangannya membontoti langkah Fyrul. Bila kelibat Fyrul hilang dari pandangan, lekas dia mencapai dua bekas tupperware plastik pada rak pingan mangkuk yang bersebelahan dengan peti sejuk.


*****


SELESAI sahaja bersarapan pagi, Fyrul terus sahaja tergesa-gesa melangkah ke muka pintu. Dikerling ke arah jam di atas pintu dapur yang telah pun menunjukkan pukul 7.10 minit pagi. Jika dia bertolak lambat, takut lewat pula dia sampai ke sekolah nanti. Hari ini abahnya tidak bermalam di rumah emaknya. Malam tadi giliran rumah emak tirinya.

“Fariz, cepat sikit habiskan makanan kamu tu. Lambat pulak kamu sampai sekolah nanti,” tegur Mak Jumi bila melihat anak sulungnya itu masih berlambat-lambat menyuap nasi goreng kampung yang telah di masak oleh Fyrul pagi tadi ke dalam mulutnya.

“Hari-hari makan nasi goreng dengan sambal sotong, bosanlah mak,” rungut Farizal sambil memonyokkan muka. Naik jemu bila hari-hari menghadap nasi goreng kampung dan sambal sotong masakkan adiknya sendiri. Sekali sekala nak juga dia bertukar selera. Nasi gorengnya lebih banyak dimainkan di hujung sudu dari dijamah.

“Amboi, komplen pulak? Beruntung adik kamu nak masakkan bekpes.”

“Breakfastlah mak.” Fyrul yang di muka pintu mencelah.

“Ha, breakfast. Apa-apa ajelah.” Mak Jumi naik bingung. Keliru dengan perkataan Inggeris itu. “Kalau kau nak harapkan mak sediakan sarapan, makan biskut kering dengan teh O aje, Fariz. Kau ni kira beruntung ada adik yang boleh masakkan breakfast untuk kau. Itu pun kau nak komplen lagi?” Mak Jumi membela Fyrul. Tidak bersyukur langsung anak sulungnya itu.

“Pandai masaklah sangat. Setakat pandai masak nasi goreng dengan sambal sotong ni aje buat apa?” Farizal masih tetap ingin menang.

“Bukan dia tak pandai masak lain nak oi. Dah dia suka makan dua jenis makanan ni. Dia masaklah. Kau tu, kalau nak makan sedap-sedap, masaklah sendiri. Tak reti nak bersyukur langsung. Orang dah sediakan breakfast, tinggal sumbat dalam mulut aje pun nak komplen macam-macam lagi.” Sindir Mak Jumi dengan sikap tidak menghargai anak sulungnya itu.

“Tak apalah mak. Esok saya masakkan makanan lain pulak untuk breakfast.” Fyrul yang sudah siap meyarung kasut sekolahnya mencelah.

Mak Jumi hilang kata-kata. Hampir setiap hari ada saja komen dari Farizal tentang adiknya. Ada saja yang tidak betul. Dari kecil lagi dia tidak pernah ingin beralah dengan adik bungsunya itu. Asyik ingin menang saja.

Mak Jumi menjeling sinis pada Farizal yang masih lambat-lambat menghabiskan makanannya. Pagi-pagi lagi Farizal sudah meluahkan komen yang menyakitkan hati. Persis pengkritik di dalam rancangan realiti TV saja. Mak Jumi melangkah ke dalam dapur lalu dicapai bekal Fyrul yang telah diletakkan di dalam bag kertas Hello Kitty.

“Kamu tu cepat makan Fariz. Dah lewat ni. Makan nasi pun terkial-kial,” kata Mak Jumi sambil melangkah menuju ke muka pintu. Dijeling ke arah Farizal sekilas.

Farizal tidak menjawab. Di sungut-sungutkan bibirnya tanda protes dengan kata-kata emaknya itu.

“Ni Fyrul bekalnya, tertinggal pulak nanti.” Mak Jumi mengingatkan sambil menghulur bekal yang telah dibungkusnya pagi tadi kepada Fyrul.

Fyrul mencapai bag kertas itu dengan lembut.

“Terima kasih mak.” Bekal dimasukkan ke dalam bakul basikal bersama dengan bag sekolahnya. Disalam tangan emaknya lembut lalu dikucup mesra.

“Fyrul pergi dulu mak.” Pinta Fyrul sopan lalu basikal di tunggang. Selepas memberi salam, basikal di kayuh menyusur keluar dari kawasan beranda dapur itu. Mak Jumi mengekor pandangan sehingga kelibat Fyrul hilang dari mata.

Farizal muncul tiba-tiba di muka pintu. Kasut dihempas kasar ke lantai tanda protes. Mak Jumi hanya menjeling.

“Kenapa kamu ni susah sangat nak pergi sekolah sama-sama dengan adik kamu tu, Fariz?” tanya Mak Jumi tiba-tiba.

Farizal tidak menjawab. Wajahnya masam mencuka. Malas untuknya menjawab pertanyaan emaknya itu. Dia takut dia akan menderhaka pada emaknya itu jika jawapannya nanti bakalan dipertikaikan.

“Kesian mak tengok adik kamu tu. Dari kecik asyik ke sekolah sorang diri aje. Ada abang tak nak tolong jaga. Dibiarkan aje adiknya dibuli dengan kawan-kawannya sendiri. Apa punya abanglah kamu ni,” keluh Mak Jumi sendirian.

Farizal masih membisu tidak mahu melawan. Di dalam hati, macam-macam jawapan telah dijawabnya bagi pertanyaan emaknya itu.

“Sungguh pun adik kamu tu macam tu, hati dia baik, Fariz. Dia tak pernah menyusahkan orang lain,” keluh Mak Jumi lagi. Ada sendu di sebalik kata-katanya. Sedih bila mengenangkan nasib yang dialami oleh anak bungsunya itu. Sejak kecil ada saja kata-kata cacian untuknya dari darah dagingnya sendiri.

“Okeylah mak, Fariz pergi sekolah dulu. Nanti lambat pulak.” Pinta Farizal sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman. Wajahnya masih masam mencuka.

Salaman bersambut. Selepas mengucup tangan emaknya, Farizal terus mendapatkan basikalnya lalu ditunggang dan dikayuh meninggalkan rumah dalam keadaan tergesa-gesa. Mak Jumi di muka pintu dapur hanya menggeleng kepala. Akur dengan sikap anak sulungnya itu yang tidak pernah mahu melindungi adik bungsunya yang di anggap terlalu istimewa. Selepas kelibat Farizal hilang dari pandangan mata, Mak Jumi kembali ke dalam rumah.



Bersambung BAB 09...


Segala nama watak dan jalan cerita adalah rekaan penulis semata-mata. Tiada kena mengena dengan yang masih hidup atau yang telah mati. Jika ada nama tempat, syarikat, lokasi dan kata nama khas, penulis sekadar memasukan dalam konteks fiksyen semata-mata dan tidak ada kena mengena dengan nama tempat, syarikat, lokasi dan kata nama khas yang sebenarnya.

Mungkin jalan cerita di dalam novel ini ada menyentuh sedikit sensitiviti sesetengah golongan. Jadi, anggaplah apa yang diceritakan sekadar untuk hiburan semata-mata. Harap maklum.


Mantap