Dikuasakan oleh Blogger.

Ahad, 22 Jun 2014

MUNGKIN INI TAKDIRKU - BAB 09


| 09 |

FAZURA tergesa-gesa menghabiskan makanannya. Selepas bihun gorengnya licin di atas pinggan, dihirup air kopinya sehingga habis. Melopong Mak Timah dan Pak Paad melihat kelakuan satu-satunya anak gadis mereka itu. Beberapa saat kemuidan, Mak Timah dan Pak Paad saling berpandangan. Masing-masing hairan.

“Kamu ni apa hal Zura? Mak tengok dah macam kebulur sepuluh hari tak makan aje?” Tanya Mak Timah semakin hairan.

Fazura tidak terus menjawab. Dihabiskan sakinbaki air kopinya sehingga licin. “Zura nak cepat mak. Takut sampai sekolah lambat nanti.” Jawab Fazura tergesa-gesa.

Mak Timah tertawa kecil sambil menjeling sekilas ke arah suaminya yang sedang asyik menyuap sarapannya. Perbualan dua beranak itu langsung tidak diendah.

“Hai, tahu pulak kamu nak cepat. Biasanya, selagi jarum panjang jam tu tak menala ke angka empat, jangan haraplah nak nampak muka kamu kat meja ni. Tinggal lima minit lagi loceng sekolah nak berbunyi baru kamu nak bergerak dari rumah kan?” Perli Mak Timah sambil menghirup kopinya.

“Ala mak ni, orang pergi lambat, membebel. Orang pergi cepat, membebel. Tak tahulah mana satu yang betul,” rungut Fazura lalu bangun untuk bersalaman dengan kedua orang tuanya.

“Tak adalah. Kebiasaannya selagi abang kamu tu tak betandang ke meja makan ni, kamu pun tak akan tunjuk muka. Alih-alih pagi ni lain pulak.” Jelas Mak Timah.

“Alah, biarkanlah dia. Janji dia sampai sekolah.” Celah Pak Paad membela Fazura.

Fazura tertawa girang bila ada yang membelanya. Tangan ayahnya disalam lalu dikucup mesra.

Pak Paad mengeluarkan sekeping not lima ringgit dari kocek baju lusuhnya lalu diberi kepada Fazura. “Nah, duit belanja.”

“Lima ringgit bah? Terima kasih bah. Sayang sangat kat abah.” Fazura gembira tidak terkata lalu dipeluk abahnya penuh mesra dan dicium pipi abahnya manja walaupun terpaksa. Kerana duit terpaksa pun tak apalah. Desis di dalam hati Fazura. Sengaja pura-pura baik semata-mata ingin membodek.

Mak Timah hanya menjeling sinis. Dia malas mahu menegur kelakuan suaminya yang terlalu memanjakan anaknya tidak bertempat. Pasti ada sahaja alasan yang akan diberi oleh suaminya nanti untuk membela anak kesayangannya itu. Memanjakan anak tanpa ada keadilan yang serata.

“Mak, Zura pergi sekolah dulu.” Pinta Fazura kepada emaknya lalu tangan emaknya disalam lalu dikucup mesra. Dia perlu cepat meninggalkan meja makan itu sebelum abangnya muncul. Dia tidak mahu ditanya tentang sesuatu yang telah menjadi rancangannya hari ini.

Beberapa minit kemudian, Faizul muncul di meja makan sambil mengorek bag sekolahnya. Mencari sesuatu.

“Mak, Zura mana?” Tanya Faizul selepas sampai ke meja makan.

“Zura baru aje keluar pergi sekolah.” Jawab Mak Timah, biasa. Di renung wajah anak sulungnya itu. Jelas wajahnya berserabut. “Kamu kenapa? Lain macam aje muka tu?” Tanya Mak Timah.

“Hand phone orang hilanglah mak. Semalam masa balik sekolah, orang letak dalam beg ni. Pagi ni dah tak ada,” jawab Faizul resah. Setahunya semalam, telefon bimbitnya ada di dalam bag sekolahnya itu.

“Kamu salah letak kut.” Mak Timah beranggapan.

“Tak, orang yakin semalam masa balik sekolah hand phone tu ada dalam beg ni,” jelas Faizul bersungguh. Dia mula bingung.

“Tak apalah mak, orang nak pergi sekolah dulu,” pinta Faizul selepas beberapa saat mendiamkan diri.

“Tak sarapan dulu?”

“Tak apalah mak. Tak sempat. Dah lambat ni,” jelas Faizul sambil melihat sekilas jam tangannya.

Mak Timah hanya mengangguk akur.

Faizul melangkah menghampiri emaknya lalu tangan emaknya disalam lalu dicium. Dia mengulangi perkara yang sama pada abahnya yang sedang kusyuk membaca akbar.

“Tak apalah bah, duit semalam masih ada lagi.” Faizul menolak pemberian abahnya bila abahnya menghulurkan wang kertas lima ringgit padanya. Duit belanjanya semalam masih berbaki. Jadi, dia tidak memerlukan duit belanja sekolah untuk hari ini.

“Tak nak ke?” Tanya Pak Paad ingin kepastian.

“Tak apa bah. Duit semalam masih ada. Cukup lagi untuk tiga hari.” Jawab Faizul jujur.

Mak Timah tersenyum bangga melihat sikap anak sulungnya itu. Tidak boros dalam berbelanja. Tidak seperti Fazura. Bagi berapa sahaja pun duit belanja, tidak pernah cukup.

“Mak, orang pergi dulu.” Pinta Faizul lalu melangkah ke muka pintu.

“Abang ni, manjakan sangat budak tu kenapa?” Rungut Mak Timah selepas kelibat Faizul hilang di muka pintu.

“Alah, saya manjakan pun anak awak jugak, kan?” Pak Paad nak tak nak sahaja menjawab.

“Yalah, saya harap dengan anak-anak Kak Jumi pun abang bagi duit sebanyak tu juga ya?”

Pak Paad merenung wajah Mak Timah, sinis.

“Awak ni kenapa Timah? Saya bagi duit bayak pun pada anak awak, kan? Yang awak nak komplen ni apa hal?” Pak Paad mula berang. Tidak boleh menerima kata-kata isterinya tadi.

“Saya bukannya nak komplen ke apa, bang. Abang sebagai ayah mereka, sepatutnya adil pada semua anak-anak abang. Yang kat sini mati kekenyangan. Yang kat sana mati kebuluran. Saya tak mahu dianggap madu yang mengambil kesempatan,” jelas Mak Timah sambil mencapai pinggan kotor di atas meja lalu dibawa ke dalam dapur. Nadanya walau pun lembut, tapi makna kata-katanya itu tajam lagi menguris.

“Saya tahulah tanggungjawab saya. Awak jangan risaulah, Timah. Tak akan mati kebulurnya keluarga Kak Jumi awak tu,” jawab Pak Paad yakin dengan kata-katanya.

“Harap-harap macam tulah,” balas Mak Timah dari dalam dapur. Bukan dia nak merungut, tapi dia tahu sangat perangai suaminya itu yang berat sebelah dengan setiap anak-anaknya. Dengan anak-anaknya, suaminya baik bukan main. Dengan anak madunya, ada saja yang ingin dirungutkan. Terutamnya fasal Fyrul. Ada sahaja yang tak kena.


Bersambung BAB 10 ...


Segala nama watak dan jalan cerita adalah rekaan penulis semata-mata. Tiada kena mengena dengan yang masih hidup atau yang telah mati. Jika ada nama tempat, syarikat, lokasi dan kata nama khas, penulis sekadar memasukan dalam konteks fiksyen semata-mata dan tidak ada kena mengena dengan nama tempat, syarikat, lokasi dan kata nama khas yang sebenarnya.

Mungkin jalan cerita di dalam novel ini ada menyentuh sedikit sensitiviti sesetengah golongan. Jadi, anggaplah apa yang diceritakan sekadar untuk hiburan semata-mata. Harap maklum.


Mantap