Dikuasakan oleh Blogger.

Isnin, 23 Jun 2014

MUNGKIN INI TAKDIRKU - BAB 10


| 10 |

FYRUL mengerling ke arah meja Idham. Meja itu sudah kosong tidak berpenghuni. Dikerling pula pada pelajar-pelajar sekelasnya yang lain. Masing-masing mula meninggalkan kelas menuju ke kantin sekolah. Loceng menandakan masuknya waktu rehat sudah berdering sejak lima minit yang lalu.

Fyrul mengemas alat tulis dan buku notanya di bawah meja. Bag kertas Hello Kitty yang diletakkan di tepi meja dicapai lalu diletakkan di atas meja. Dilihat isi dalamnya. Bau semerbak sambal sotong mencucuk hidung. Alih-alih sahaja perutnya terasa lapar. Ada dua tupperware nasi goreng di dalamnya. Lambat-lambat dia bangun dari duduk lalu melangkah keluar dari kelas.

Langkah di atur perlahan menuju ke Taman Herba. Ada seseorang yang ingin dia temuinya di sana. Walaupun dia sendiri tidak tahu sama ada insan itu berada di sana atau tidak. Tetapi hati kecilnya yakin, insan yang ingin ditemuinya itu ada di Taman Herba itu.

Fyrul melangkah ke dalam Taman Herba yang semakin subur tanamannya. Pokok Bakawali melilit-lilit pada pagar konkrit. Pokok serai wangi bagai bunga manggar kembang di atas tanah. Pokok kunyit semakin merimbun di sudut penjuru Taman Herba itu. Pokok kayu manis yang kian meninggi menambahkan lagi keredupan Taman Herba itu dan mendamaikan keadaan.

Dari jauh sudah kelihatan insan yang ingin ditemui sedang duduk sendiri di pondok kecil yang ada di tengah-tengah Taman Herba itu. Fyrul mengukir senyuman lega lalu melangkah laju menuju ke pondok kecil itu yang penuh dengan maklumat tentang pokok-pokok herba yang ada tertanam di taman ini.

“Assalamualaikum.” Ucap Fyrul sopan. Malu-malu dia melangkah masuk ke dalam pondok.

Idham tersentak. Lekas pandangannya berkalih pada Fyrul. “Waalaikumusalam.” Jawab Idham biasa.

“Tak makan jambu air ke, hari ni?” Tanya Fyrul sekadar memerli. Senyuman masih tidak lekang dari bibirnya.

“Amboi, kau perli aku ke? Kau tengok pokok jambu tu?” suruh Idham sambil menjuihkan bibirnya ke arah pokok jambu air yang ada betul-betul berhadapan dengan pondok maklumat itu. “Tinggal buahnya yang mengkal aje. Yang masak, aku dah bantai habis,” sambung Idham lagi sambil tergelak-gelak.

Fyrul turut tertawa.

“Kau dah makan ke belum?” Tanya Fyrul, mengubah topik perbualan. Punggung dihenyak di hadapan Idham. Bag kertas Hello Kitty di letak di atas meja.

Idham mengelamun seketika sebelum menggeleng. Serba salah pula untuk dia menipu Fyrul.

“Aku tak biasa makan pagi.” Idham menipu.

“Tak apa. Hari ni kau makan dengan aku ya? Aku belanja,” Fyrul mempelawa sambil mengeluarkan bekas tupperware dari dalam bag kertas Hello Kittynya.

“Eh, tak apalah Fyrul.” Idham menolak.

“Alah, aku dah bawak dua bekal ni. Saja aku bawakan untuk kau sekali. Aku tahu kau belum makan apa-apa lagikan, hari ni?”

“Eh, tak apalah.” Malu pula untuk Idham menerima pemberian Fyrul itu. Terasa dirinya telah menyusahkan Fyrul pula.

“Hisy, jangan nak mengada. Aku dah bawakkan untuk kau sekali ni.” Desak Fyrul sambil menghulurkan tupperware yang berisi penuh dengan nasi goreng kampung dan sambal sotong yang telah dimasaknya sendiri pagi tadi.

“Saja aku masak lebih pagi tadi. Lagi pun semua ni aku yang masak. Aku nak kau rasa masakan aku ni. Aku nak kau komen. Sedap atau tak. Kalau tak sedap, boleh aku perbetulkan cara masakan aku. Kalau sedap, boleh aku masakkan untuk kau hari-hari.” Sambung Fyrul lagi saja berhelah agar Idham menerima pemberiannya itu. Dia ikhlas memberi.

“Hisy, segan pulak aku nak terima pemberian kau ni. Aku tak menyusahkan kau ke?” Idham malu sendiri.

“Menyusahkan apa pulak. Aku memang tiap-tiap pagi masakan sarapan untuk keluarga aku. Jadi, tak susah pun. Bukan lama pun nak masak semua ni. Bahan-bahan mentahnya aku dah sediakan awal-awal lagi. Setiap pagi aku tinggal tumis dan masak aje.” terang Fyrul panjang lebar.

“Thanks Fyrul.” Ucap Idham terharu. Terharu kerana dia mengenali kawan sebaik Fyrul. Berisi jugalah perutnya hari ini. Nak diharapkan pada jambu air di Taman Herba ini, sampai bila sahaja musim berbuahnya?

“Makanlah.” Pelawa Fyrul senang hati.

Dengan malu-malu Idham membuka bekas tupperwarenya. Dengan menggunakan sudu yang Fyrul bawa, disudu sedikit sambal sotong yang ada lalu dirasa. Dia mengambil beberapa saat untuk menikmati rasa sambal sotong masakan Fyrul itu. Fyrul menanti komen darinya dengan resah.

“Sedapnya.” Puji Idham sambil terangguk-angguk bagai belatuk.

“Betul ke?” Tanya Fyrul teruja. Idham adalah orang kedua yang memuji masakannya selepas emaknya. “Tak tipu?” Tanya Fyrul inginkan kepastian yang pujian itu lahir dari hati Idham yang ikhlas dan bukan hanya atas dasar membodek.

“Supah Fyrul. Memang sedap. Pandai kau masak,” jelas Idham jujur. Memang sambal sotong yang Fyrul masak itu tersangat sedap. Rasa sotongnya yang manis dan diseliti dengan rasa pedas cili kering memang menambat seleranya untuk terus menjamah.

“Kalau sedap, lepas ni aku bolehlah bawakan untuk kau hari-hari,” jelas Fyrul tersangatlah gembira. Tidak menyangka Idham menyukai masakannya.

“Isy, tak perlulah macam tu sekali.”

“Tak apa, aku memang setiap hari bawak bekal. So, apa salahnya aku bawakan untuk kau sekali. Bukan susah pun.” Ikhlas Fyrul ingin memberi. Makanannya mula dijamah.

“Alamak.” Tiba-tiba Fyrul mengeluh sambil menepuk dahinya perlahan. Dia terlupa sesuatu.

“Kenapa Fyrul?” Tanya Idham cemas bila Fyrul tiba-tiba sahaja mengeluh.

“Aku terlupa nak bawa air minuman akulah.” Keluh Fyrul.

“Tak apa, aku ambikkan.” Idham mempelawa diri.

“Tak apa ke?”

“Tak apa. Kau kan dah bawakan makanan untuk aku. Apa salahnya aku tolong kau pulak kan?” Jawab Idham sambil tersengih-sengih.

“Kau letak mana air minuman kau tu?” Tanya Idham lagi.

“Kat bawah meja aku,” jawab Fyrul.

“Kau tunggu sini kejap ek? Biar aku ambilkan untuk kau.” Pinta Idham lalu menyusun langkah menuju ke kelasnya.

“Tak apa ke? Aku tak menyusahkan kau?” Tanya Fyrul serba salah sebelum Idham melangkah jauh.

“Tak apa. Tunggu kejap tau?” Jawab Idham biasa lalu melangkah laju ke kelasnya.

Fyrul mengeluh halus. Macam manalah dia boleh terlupa akan air minumannya? Tak fasal-fasal dia terpaksa menyusahkan Idham pula. Tapi, mujurlah Idham tidak kisah. Dia kembali menjamah makanannya.


*****


“WAH, gilalah kau Zura. Beli hand phone baru. Touch screen lagi, gila kaya kau ni erk?” Tersembul mata Sabrina melihat telefon bimbit yang berada di dalam genggaman Fazura ketika ini. Tidak menyangka, Fazura boleh memiliki telefon bimbit yang dianggap mahal itu.

Fazura tersengih bangga. Bangga kerana rancangannya bakalan berhasil sekejap lagi.

“Mana kau curi hand phone ni Zura? Mustahil kau beli, kan? Kau bukannya kaya pun nak beli hand phone secanggih ni.” Intan tiba-tiba mencelah.

Fazura menjeling sinis pada Intan. Sakit hatinya mendengar kata-kata Intan itu.

“He’eh, kau ingat aku tak mampu ke nak pakai hand phone macam ni? Kau ingat aku sengkek sangat?” Getik Fazura sinis.

“Bukan kau memang sengkek ke?”

“Sengallah kau ni.” Bentak Fazura sambil menunjal kepala Intan.

“Sakitlah.” Rengek Intan.

“Eh, kau pasti ke ni hand phone kau, Zura?” Tanya Sabrina pula inginkan kepastian. Sukar baginya untuk mempercayai telefon bimbit yang berada di tangan Fazura itu adalah kepunyaan kawan baiknya itu. Mustahil, lali sangat dia dengan perangai boros Fazura. Masakan Fazura boleh memiliki telefon bimbit semahal itu?

Fazura hanya tertawa. Mengangguk tidak, menggelengg pun tidak.

“Kau menang loteri ke?” Agak Sabrina.

“Kau pun sama jugak sengalnya macam Intan.” Fazura menunjal kepala Sabrina. Berdecit-decit Sabrina kerana kesakitan.

“Ini hand phone abang akulah.”

“Hand phone abang kau? Si Faizul tu?” Tanya Sabrina seolah tidak percaya. Terbutang matanya memandang Fazura.

“Memanglah abang aku Faizul. Aku mana ada abang lain?”

“He’eh, si Farizal dengan si Fyrul tu… bukan abang kau?” Sengaja Sabrina ingin memerli. Melirik-lirik matanya memandang Fazura.

“Eh, dia orang tu bukan abang aku okey? Dia orang tu adik beradik tiri aku jer.” Angkuh Fazura berkata-kata. “Kalau si Farizal tu, aku boleh terimalah juga nak jadi abang aku. Kalau si Fyrul tu aku confuse. Confuse sama ada kakak atau abang aku.” Sambung Fazura lalu tergelak besar.

“Kau ni tak baiklah Zura. Cakap adik beradik tiri kau tu macam tu.” Intan mencelah. Terasa melampau pula kata-kata Fazura tadi.

“He’eh. Yang kau nak bela si budak lembut macam sotong tu apa hal? Kau suka dekat dia ke?” Fazura mengusik.

“Eh, mana ada?” Cepat Intan menyangkal. “Aku cuma cakap aje.”

Fazura dan Sabrina terus tergelak.

“Eh Zura, apa kau nak buat dengan hand phone abang kau ni? Kau nak kasi aku ke?” Tanya Sabrina kembali ke pangkal perbualan selepas ketawanya kembali mereda.

“He’eh, apa kes nak kasi kau?” Tajam ekor mata Fazura menjeling Sabrina. “Aku nak kenakan si sotong kering tulah.”

“Ha? Kau nak kenakan Fyrul lagi ke?” Tanya Intan beria. Serius dia memandang Fazura.

“Yelah, ada ke sotong lain dalam sekolah ni selain dia?”

“Bukan ke kau orang dah kenakan dia, semalam? Kau orang pancitkan tayar basikal dia. Hari ni kau nak buat apa pulak pada dia?”

“Kau ni Intan, dari tadi asyik nak bela si Fyrul tu apa hal? Kau suka kat dia ke?”

“Tak.” Lekas Intan memintas. Dia hanya kasihan pada Fyrul saja. Tidak lebih dari itu.

“Dah tu?” Keras Fazura menanya. Sabrina di sebelahnya turut menjeling-jeling.

Intan diam. Tidak tahu jawapan apa yang sesuai untuk diberikan kepada Fazura. Dia tahu, kalau berlawan cakap dengan Fazura, pasti dia akan kalah.

“So, apa yang kau nak buat ni?” Tanya Sabrina lagi.

“Kau orang tunggu dan lihat saja.” Yakin Fazura melepaskan kata-katanya itu. Dia yakin rancangannya bakalan berjaya.

Fazura bangun dari duduk sambil diperhatikan oleh Sabrina dan Intan yang terpinga-pinga. Dia menyusun langkah menuju ke meja Fyrul. Dicapai bag sekolah Fyrul lalu dibuka zip poket kecil yang ada di bahagian hadapan beg itu. Dimasukan telefon bimbit itu ke dalamnya lalu zipnya ditutup semula. Dari tempat duduk, Sabrina terangguk-angguk akur. Barulah dia tahu apa rancangan Fazura sebenarnya. Tanpa disedari, perbuatan Fazura itu telah diperhatikan oleh sepasang mata yang tersembunyi di sebalik daun pintu kelas itu.


Bersambung BAB 11...



Segala nama watak dan jalan cerita adalah rekaan penulis semata-mata. Tiada kena mengena dengan yang masih hidup atau yang telah mati. Jika ada nama tempat, syarikat, lokasi dan kata nama khas, penulis sekadar memasukan dalam konteks fiksyen semata-mata dan tidak ada kena mengena dengan nama tempat, syarikat, lokasi dan kata nama khas yang sebenarnya.

Mungkin jalan cerita di dalam novel ini ada menyentuh sedikit sensitiviti sesetengah golongan. Jadi, anggaplah apa yang diceritakan sekadar untuk hiburan semata-mata. Harap maklum.



Mantap