Dikuasakan oleh Blogger.

Isnin, 23 Jun 2014

MUNGKIN INI TAKDIRKU - BAB 11



| 11 |

TERHARU perasaan Fyrul bila mendapat pujian dari Idham tadi. Sangkanya selama ini, emaknya memuji masakannya hanya sekadar ingin menyedapkan hatinya saja. Ternyata, pujian emaknya itu benar belaka. Buktinya, Idham juga memuji masakannya.

Makanan Idham yang sudah luak suku ditatap. Senang hatinya bila melihat Idham sungguh berselera menjamah makanan pemberiannya. Sangkanya, Idham akan komen yang macam-macam seperti abangnya, Farizal. Insan yang tidak pernah berkata ‘sedap’ bagi setiap masakannya. Ada sahaja komen yang menyakitkan hati.

Fyrul menoleh ke arah kelasnya. Hairan, mengapa Idham mengambil masa terlalu lama untuk mengambil bekas minumannya? Adakah Idham tidak menemui bekas minuman itu? Fyrul semakin gelisah. Terasa bersalah pula membiarkan Idham mengambilkan bekas minumannya tadi.

“Tak boleh jadi ni. Aku mesti tengok dia kat kelas. Jangan-jangan dia tak jumpa bekas air aku tu agaknya.” Agak Fyrul lalu menyusun langkah untuk ke kelas.

“Kau nak ke mana?” Tanya Idham tiba-tiba.

“Sampai pun kau. Aku ingatkan kau tak jumpa bekas air aku. Tu yang aku nak balik kelas jenguk kau.” Luah Fyrul lega. Langkahnya terhenti.

“Inikan bekas air kau?” Tanya Idham ingin memastikan sambil menghulur bekas air yang berwarna merah jambu kepada Fyrul.

“Ha’ah, betullah ni.” Jawab Fyrul lalu dicapai bekas itu. Lega bila Idham dapat menemui bekas air itu. Sangkanya, Idham tidak menemuinya.

“Kenapa lama sangat?” Tanya Fyrul selepas masing-masing melabuhkan punggung.

“Lama ke? Aku rasa macam sekejap aje. Sorrylah dah buat kau haus.” Pohon Idham serba salah. Hakikatnya, sengaja dia ingin mengusik kawannya itu.

“Bukan macam tu. Aku cuma risau kau tak jumpa bekas air aku ni aje.” Jawab Fyrul sambil membuka penutup bekas minumannya. Air sirapnya berbau segar. Diletakkan bekas minuman itu di tengah-tengah meja.

“Risau jugak kau…”

“Dah, jangan nak perasan okey? Tak ada maknanya aku nak risaukan kau.” Cepat Fyrul menyangkal sebelum sempat Idham menghabiskan kata-katanya.

“Aku tak kata kau risaukan aku. Aku nak cakap, risau jugak kau dengan bekas air kau ni. Eee… tak malu. Dia yang perasan.” Bidas Idham balik.

Fyrul hilang kata-kata. Malu sendiri. Terasa berbahang cuping telinganya dek menahan malu yang menggunung. Meyesalnya mencelah kata-kata Idham tadi. Niat untuk memalukan Idham, akhirnya dia sendiri yang malu. Mahu tak mahu, terpaksa juga ditelan kata-kata usikan Idham itu.

Senyap seketika.

“Pandai kau masak erk? Sedap sambal sotong dengan nasi goreng ni.” Puji Idham lagi selepas makanannya sudah hampir habis. “Pedas pulak tu. Tapi aku suka.” Sempat lagi dia memberi komen.

“Kau suka?” Fyrul beria-ia menanya.

“Kalau tak suka, takkan boleh habis aku makan, kan?”

“Eleh, kalau dah lapar, benda tak sedap pun boleh jadi sedap.”

“Seriuslah aku cakap. Sedap gila,” mengunung pula Idham memuji.

Fyrul tertunduk malu. Dalam malunya terasa juga bangga bila masakannya terus dipuji-puji oleh Idham.

Diam.

“Kau cuma pandai masak sambal sotong dengan nasi goreng aje ke?” Tanya Idham menukar topik perbualan selepas agak lama mendiamkan diri.

Fyrul tidak terus menjawab. Saki baki makanan di dalam mulutnya ditelan habis.

“Taklah. Aku pandai jugak masak kek coklat, ayam masak kari, udang masak tiga rasa. Tapi, yang paling aku gemar masak dua jenis makanan nilah. Simple dan cepat di masak,” jawab Fyrul, jujur. Dia memang suka memasak. Setiap hujung minggu ada sahaja masakan baru yang ingin dicubanya. Resepi-resepinya pula akan di ambil dari majalah.

“Gempak jugak kau masak erk? Kau belajar dengan mak kau ke?” Tanya Idham sekadar ingin berbasa basi.

“Aku belajar dengan mak aku pun ya jugak. Selain tu aku tengok buku resepi.”

“Baguslah kau ni, minat mencuba resepi terbaru. Lain kali bolehlah kau bagi aku rasa masakan-masakan kau yang lain u erk?” Usik Idham sambil menyuap habis saki baki makananya. Sikit pun tidak tertinggal.

“Okey, tak ada hal. Tapi kalau tak sedap jangan komen lebih-lebih pulak?”

“Eh, kalau tak komen macam mana kau nak tahu apa kurangnya masakan kau tu kan?”

Semakin rancak mereka berdua berbual. Senang sangat hati Fyrul berkawan dengan Idham. Idham seorang yang berfikiran terbuka. Dia juga mempunyai banyak pandangan bernas. Di dalam kelas, Idham seorang yang pendiam. Tapi, bila sudah kenal, kalah murai mulutnya membebel.


******


SENGAJA Fazura mengajak Sabrina dan Intan melintasi kawasan depan kelas Faizul. Ini adalah salah satu rancangannya. Dia perlu melakukan hal ini demi mencapai kejayaan rancangan jahatnya yang sudah disusun sedari awal. Dia mahu semuanya berjalan lancar.

“Zura.” Suara yang di nanti-nanti akhirnya kedengaran. Fazura mengukir senyuman sinis lalu dia menjeling sekilas ke arah Intan dan Sabrina bergilir-gilir. Terangguk-angguk Sabrina tersengih.

“Kenapa bang?” Tanya Fazura buat-buat cemas.

“Aku nak tanya kau. Siapa yang ambil beg aku dari Fyrul, semalam,” tanya Fyrul serius.

Seperti yang dijangka, rancangannya masih berjalan lancar buat masa ini.

“Mak, kenapa?” jawab Fazura disusuli soalan. Memang emaknyalah yang telah menerima bag sekolah abangnya dari Fyrul semalam.

“Siapa yang bawak masuk bilik?” Tanya Faizul lagi.

“Mak jugaklah.” Fazura masih berlaku jujur.

Faizul mengelamun seketika. Wajahnya nampak bingung. Kepalanya yang tidak gatal digaru beberapa kali. Mustahil emaknya yang mengambil telefon bimbitnya. Buat apa emaknya ingin mengambil telefon bimbitnya pula?

“Kenapa bang?” Tanya Fazura pura-pura tidak tahu.

“Kau ada perasan tak hand phone aku?” Tanya Faizul serius. Mati akal dia memikirkan di mana telefon bimbitnya tercicir. Setahunya dia letak di dalam bag sekolahnya, semalam. Pagi ini tiba-tiba saja hilang.

“Kenapa, hand phone abang hilang ke?” Fazura terus berpura-pura.

Intan di sebelahnya mula jelek dengan lakonan Fazura itu. Mual. Mahu tak mahu dia terpaksa bersubahat. Sabrina pula, sedari tadi tersipu-sipu bagai gadis bakal dipinang orang. Pantang dia berdepan dengan Faizul. Mulalah datang meroyannya.

“Ha’ah, hand phone aku hilang,” jawab Faizul kelihatan bingung.

Fazura tersengih sinis sambil menjeling ke arah Sabrina dan Intan. Jarum perlu di cucuk perlahan-lahan. Fitnah sudah boleh disemai. Masanya sudah sesuai.

“Jangan-jangan Fyrul yang ambik tak bang?” Benih Fitnah mula ditabur untuk di semai.

Faizul merenung serius adiknya itu. “Fyrul? Takkanlah dia nak ambik?” Faizul langsung tidak percaya. Setahunya Fyrul budak baik dan selalu menghormatinya. Mustahil Fyrul yang mencuri telefon bimbitnya.

“Tulah abang, percaya sangat dengan budak tu. Memanglah kita nampak luaran dia baik. Dalamannya mana kita tahu, kan? Jangan mudah percayakan orang, bang. Walaupun adik sendiri,” Fazura mula mengapi-apikan perasaan abangnya.

“Kau jangan nak buat ceritalah, Zura. Aku yakin bukan Fyrul yang ambik hand phone aku tu. Kau ada bukti ke nak tuduh dia?” Faizul masih percaya, hal ini tiada kaitan langsung dengan Fyrul. Si adik tirinya itu.

“Cuba abang tanya dia, tak pun check bag sekolah dia? Bukan apa bang, pagi tadi Zura ada terdegar bunyi lagu dalam bag sekolah dia. Lagunya sama macam lagu ringtone hand phone abang.” Fazura terus menyemai fitnahnya. Tangan Sabrina disenggol supaya Sabrina mengiakan kata-katanya.

“Ha’ah bang. Saya pun dengar.” Tersekat-sekat Sabrina meluahkan kata-kata dusta itu. Intan menjeling tajam pada Sabrina. Tak sangka Sabrina sanggup berbohong.

Faizul mula bingung. Betulkah kata-kata adiknya itu? Adiknya ada Sabrina sebagai bukti kata-katanya.

“Cuba abang check beg dia bang. Mesti ada dalam beg dia hand phone abang tu.” Semakin galak Fazura menghasut.

Faizul diam sejenak sambil berfikir-fikir. Mindanya cuba menimbang semula kata-kata adiknya itu. Kepercayaannya pada Fyrul tiba-tiba goyah. Seketika kemudian dia melangkah menuju ke kelas Fazura. Fazura tersengih puas bila rancangannya berjalan dengan lancar. Dia, Sabrina dan Intan turut membontoti langkah Faizul dari belakang. Serius wajah Faizul ketika melangkah.

“Fyrul.” Panggil Faizul selepas sampai betul-betul di depan meja Fyrul.

“Eh, abang. Ada apa bang?” Tanya Fyrul, terkejut. Terkejut dengan kemunculan abang tirinya itu. Tidak pernah-penah abang tirinya itu bertandang ke kelasnya selama ini. Alih-alih sahaja muncul. Lekas dia bangun dari duduk.

“Kau ada ambik apa-apa barang dalam bag sekolah aku tak, semalam?” Tanya Faizul serius. Tiada pun sekelumit senyuman terukir pada bibirnya.

“Ambik barang dalam beg abang? Fyrul tak ada ambik apa-apa bang. Sampai aje rumah semalam, Fyrul terus pulangkan beg abang tu pada Mak Cik Timah. Fyrul tak bukak pun beg abang tu,” jawab Fyrul jujur. Berputik rasa cemas di dalam benaknya bila melihatkan wajah serius Faizul. Bila Faizul berwajah serius, wajahnya akan kelihatan sedikit bengis.

“Boleh percaya ke kata-kata kau tu? Ntah-ntah kau dah sorokkan benda tu tak?” Tiba-tiba saja Fazura muncul dari belakang sambil mengapi-apikan lagi perasaan abangnya.

Fyrul semakin bingung. Apa maksud di sebalik kata-kata Fazura itu? Langsung dia tidak memahaminya.

“Sorok barang apa pulak ni? Apa sebenarnya dah berlaku?” Fyrul semakin bingung. Tiba-tiba sahaja dia diterjah dengan kata-kata yang langsung dia tidak faham.

“Dah, jangan kau nak pura-pura. Baik kau pulangkan aje benda tu sebelum abang aku ni naik angin.” Semakin galak Fazura memaki Fyrul.

Faizul serba salah. Serba salah melihat keadaan Fyrul yang nampak bingung. Dari seraut wajah adik tirinya itu, jelas Fyrul seolah tidak tahu apa-apa. Tapi bila mendengarkan kata-kata hasutan Fazura sedari tadi membuatkan rasa kepercayaannya pada Fyrul semakin goyah.

“Apa yang Fyrul nak pulangkan? Sedangkan Fyrul tak tahu apa yang dah Fyrul ambik.” Fyrul semakin bingung.

“Tak nak mengaku erk?” Fazura akur. “Kalau macam tu, biar aku check beg kau.” Pinta Fazura angkuh nada suaranya.

Fyrul masih bingung. Faizul di depannya masih mendiamkan diri. Seolah serba salah. “Tak apa, biar aku je yang check.” Tiba-tiba Faizul mencelah. Barang dia yang hilang, jadi lebih baik dia yang memeriksa sendiri isi beg Fyrul walaupun rasa serba salah mula menebal kerana terpaksa merobohkan tembok kepercayaanya pada adik tirinya itu.

“Aku nak check beg kau boleh.” Faizul meminta kebenaran. Diharap dengan cara itu Fyrul dapat memahami perasaannya ketika ini yang inginkan kebenaran. Di dalam hati, dia terus berharap agar bukan Fyrul yang mencuri telefon bimbitnya.

Teragak-agak Fyrul menghulurkan beg sekolahnya kepada Faizul. Hatinya sedikit terkilan bila Faizul tidak mempercayainya. Perbuatannya itu telah memalukan dia di depan rakan-rakan sekelasnya yang lain. Tetapi, dia sedikit pun tidak takut. Kerana dia berada di pihak yang benar.

Tatkala Faizul mula membuka beg Fyrul dan melihat isi dalamnya, Fazura yang sedari tadi tercegat di samping Sabrina dan Intan tertawa sinis lagi puas. Tidak sabar dia ingin melihat riaksi abangnya itu selepas menjumpai telefon bimbitnya ada di dalam beg Fyrul. Sabrina di sebelahnya turut tersengih sinis. Tidak sabar ingin melihat Fyrul dimaki hamun, langsung dibenci oleh insan yang selalu melindunginya. Intan pula kelihatan serba salah.


Bersambung BAB 12...




Segala nama watak dan jalan cerita adalah rekaan penulis semata-mata. Tiada kena mengena dengan yang masih hidup atau yang telah mati. Jika ada nama tempat, syarikat, lokasi dan kata nama khas, penulis sekadar memasukan dalam konteks fiksyen semata-mata dan tidak ada kena mengena dengan nama tempat, syarikat, lokasi dan kata nama khas yang sebenarnya.

Mungkin jalan cerita di dalam novel ini ada menyentuh sedikit sensitiviti sesetengah golongan. Jadi, anggaplah apa yang diceritakan sekadar untuk hiburan semata-mata. Harap maklum.


Mantap