Dikuasakan oleh Blogger.

Isnin, 23 Jun 2014

MUNGKIN INI TAKDIRKU - BAB 12


| 12 |

ENTAH mengapa, hati Fyrul seolah terguris ketika ini. Apa yang berlaku selepas waktu rehat tadi masih tertayang di dalam ingatan. Malu bila dipadang serong oleh rakan-rakan sekelasnya yang lain. Malu bila diri dituduh yang bukan-bukan. Dituduh atas perkara yang tidak pernah dia lakukan.

Pelajar-pelajar lain yang di sekelilingnya langsung tidak diendah. Dia terus bermain dengan fikirannya. Tenggelam dengan pergolakan perasaan yang menguris. Hatinya betul-betul terguris bila insan yang dihormati tidak menaruh kepercayaan padanya.

Sampai sahaja di tempat letak basikal, lekas kunci basikalnya di buka. Beg sekolah dan beg kertasnya dimasukkan ke dalam bakul. Hatinya masih terguris nyilu. Basikal disorong sehingga ke kawasan pagar utama sekolah. Bila sudah melepasi kawasan itu, barulah basikal ditunggang lalu dikayuh menuju ke arah timur.

“Fyrul.” Tiba-tiba namanya dipanggil. Kayuhan diperlahankan.

Selepas melihat siapa yang memanggilnya, Fyrul berhenti dari mengayuh.

Faizul memberhentikan basikalnya betul-betul di sebelah Fyrul.

“Aku nak cakap sikit dengan kau.” Pinta Faizul bersungguh.

Fyrul tidak terus menjawab. Dipandang sekelilingnya sekilas. Jalan di mana tempat mereka berhenti ketika ini agak sesak dengan pelajar-pelajar lain yang turut ingin pulang ke rumah masing-masing.

“Kita cakap kat depan tulah. Kat sini bahayalah. Banyak kenderaan.” Pinta Fyrul sambil membuang pandangan ke arah bangunan Dewan Orang Ramai. Kelihatan sedikit lengang di kawasan bangunan itu. Faizul akur.

“Apa abang nak cakapkan?” Fyrul mengungkit selepas mereka berdua sampai di kawasan perkarangan bangunan Dewan Orang Ramai yang terletak betul-betul di tepi sungai itu.

“Kau marahkan aku?” Tanya Faizul serba salah. Dia tahu, dia telah buat hati adik tirinya itu tergores. Dia telah memalukan Fyrul di hadapan rakan sekelasnya selepas waktu rehat tadi.

“Marah?” Fyrul memandang Faizul hairan. “Fyrul nak marahkan abang? Kenapa pulak Fyrul kena marah?” Tanya Fyrul berlagak biasa. Dari nada percakapannya, terselit juga nada sinis. Dan nada itu telah diperasani oleh Faizul.

“Aku minta maaf okey? Aku tahu, kau terkilan dengan aku, kan? Dari gaya percakapan kau pun aku dapat agak, kau memang marahkan aku. Maafkan aku okey?” Pohon Faizul serba salah. Menyesal pula dia tidak memberi sepenuh kepercayaannya kepada Fyrul pagi tadi. Sedangkan hatinya yakin, adik tirinya itu tidak akan mencuri. Dia tahu hati Fyrul terlalu sensitif, sebab itulah dia beria memohon maaf.

“Tak ada apa nak dimarahkan, bang.” Lemah Fyrul berkata-kata. Melihatkan kesungguhan abang tirinya itu memohon maaf, dia tahu abangnya sekadar termakan hasutan Fazura. Dan bukan dengan rela hati dia ingin memalukannya. Faizul tersepit antara kata-kata hasutan Fazura dan kepercayaannya padanya. Jadi, Fyrul memahami keadaan itu.

“Maafkan aku okey? Aku tak sepatutnya buat kau malu tadi. Bukan aku tak percayakan kau…”

“Dahlah bang, saya faham keadaan abang masa tu. Kalau saya pun, saya akan curiga. Yelah, barang kita hilang, kan? Mesti kita akan cari orang terakhir yang pegang beg kita tu.” Pintas Fyrul sebelum sempat Faizul menghabiskan kata-katanya.

“Aku minta maaf sangat pada kau.” Pohon Faizul lagi penuh pengharapan agar dimaafkan.

Melihatkan keikhlasan Faizul memohon maaf membuatkan hati Fyrul terusik. Dia tidak menyangka, sesungguh itu abang tirinya itu sanggup memohon maaf. Jelas pada wajahnya dia benar-benar rasa bersalah.

“Tak apalah bang. Abang tak salah pun. Pada Fyrul, tindakan abang tu betul.” Hanya itu yang mampu Fyrul ucapkan selepas melihat kesungguhan abangnya memohon maaf.

“Maafkan aku ke tak ni?”

Fyrul mula mengukir senyuman. Tersentuh dengan keikhlasan Faizul. Perlahan-lahan dia mengangguk.

“Thanks.” Ucap Faizul gembira.

Meraka saling bersalaman.

“Emmm…” Fyrul hairan. Mengapa abang tirinya itu beria ingin memohon maaf padanya?

“Kenapa?” Tanya Faizul hairan bila Fyrul tidak menghabiskan kata-katanya. Seolah ada sesuatu yang ingin diluahkan.

“Kenapa abang beria-ia minta maaf pada Fyrul?” Diluahkan juga apa yang menjadi kemusykilannya.

Faizul mengaru kepalanya yang tidak gatal. Tidak tahu, ayat yang bagaimana ingin digunakan untuk menjawab pertanyaan adik tirinya itu. Dia sendiri tidak tahu apa jawapan yang sesuai untuk diberikan kepada Fyrul. Dia sendiri tidak tahu, mengapa dia beria-ia ingin meminta maaf pada Fyrul. Dia merasakan seolah, Fyrul itu adik kandungnya, dan dia terasa bertanggungjawab untuk menjaga hati Fyrul. Antara adik beradiknya yang lain, Fyrullah yang di anggap terlalu istimewa.

“Sebab, kau kan adik aku,” hanya ayat itu yang bisa diberikan kepada Fyrul untuk menjawab pertanyaan Fyrul tadi.

Fyrul berasa bangga. Bangga yang teramat sangat. Ada juga insan yang sanggup menganggap dia sebagai adiknya. Sedangkan abang kandungnya sendiri tidak pernah menghargainya sebagai seorang adik.

“Thanks bang, sebab sanggup anggap saya sebagai adik abang.” Sayu Fyrul meluahkan.

“Dahlah, jangan cakap macam tu. Kau kan memang adik aku kan?” Faizul memujuk selepas melihat riak wajah Fyrul mula mendung. Dia tahu, selama ini Farizal tidak pernah menjaganya seperti adiknya sendiri. Disebabkan itulah dia berasa sangat bertanggungjawab untuk melindungi adik tirinya itu yang terlalu istimewa di matanya.

“Dah, jangan nak sedih-sedih. Jom balik,” ajak Faizul serta merta mengubah topik perbualan.

“Hand phone abang dah jumpa ke?” Tanya Fyrul tiba-tiba.

“Tak lagi. Mungkin tercicir kat mana-makan kut.”

“Dah tu macam mana?”

“Alah, benda dah nak hilang. Nak buat macam mana? Dahlah, jom balik” Ajak Faizul malas untuk dia membangkitkan isu itu lagi.

Fyrul mula mengukir senyuman. Kebaikan abang tirinya itu pasti akan dihargai sepajang hidupnya. Lambat-lambat dia menunggang basikalnya semula lalu dikayuh seiring dengan Faizul keluar dari perkarangan bangunan Dewan Orang Ramai itu.


******


WAJAH Fazura masam mencuka sedari tadi. Hatinya benar-benar terbakar dek api kemarahannya yang semakin marak menjulang. Sakit hatinya bila apa yang dirancang menemui kegagalan. Dadanya senak dek menahan api kemarahan. Dia hairan, bagaimana rancangannya boleh gagal. Sedangkan, semuanya berjalan dengan lancar sebelum ini.

Sabrina memandang Intan di sebelahnya. Mereka berdua takut mahu menegur Fazura yang berwajah bengis itu. Mereka tahu, Fazura sedang bengang ketika ini. Bengang bila rancangannya tidak berhasil. Dalam pada itu, mereka juga turut berasa hairan, bagaimana rancangan Fazura itu boleh gagal.

Sedangkan mereka melihat dengan mata mereka sendiri, yang Fazura telah memasukan telefon bimbit abangnya ke dalam beg sekolah Fyrul. Supaya Fazura boleh menuduh Fyrul yang mencuri telefon bimbit itu selepas Faizul memeriksa beg sekolah Fyrul. Malangnya, semasa Faizul memeriksa isi beg sekolah Fyrul di depan mata mereka, telefon bimbit itu tiada di dalamnya. Hal itulah yang menjadi kehairanan mereka sekarang.

“Zura.” Tegur Sabrina takut-takut.

Fazura yang masih di tempat duduknya masih masam mencuka. Pelajar-pelajar sekelasnya yang lain sudah sedari tadi meninggalkan kelas itu untuk pulang. Hanya tinggal mereka bertiga sahaja di dalam kelas itu yang masih tercanguk tidak berganjak.

Panggilan Sabrina tidak bersambut.

“Zura.” Sabrina menegur lagi. Kali ini agak kuat nada suaranya.

“Apa?” Bentak Fazura tiba-tiba.

Terkejut Sabrina dan Intan dibuatnya. Mereka berdua saling berpandangan.

“Kau ni apa hal? Dari tadi diam je?” Tanya Sabrina selepas rasa terkejutnya mereda.

“Aku tengah bengang ni.” Jawab Fazura keras. Ikutkan hati ingin sahaja dia memaki hamun Sabrina ketika ini. Demi ingin melepaskan rasa bengang dan marahnya pada Fyrul. Tapi perasaan itu terus ditahan. Dia tahu, Sabrina tidak bersalah dalam hal ini. Jadi, dia tidak berhak untuk memaki hamun Sabrina.

Sabrina dan Intan saling berpandangan lagi.

“Aku tahu kau tengah bengang.”

“Aku bukan setakat bengang je kau tahu tak? Aku jugak hairan. Hairan macam mana hand phone abang aku tu boleh tak ada dalam bag si sotong kering tu.” Jelas Fazura bengang melepaskan apa yang menjadi kemusykilannya sedari tadi.

“Tulah, aku pun hairan jugak. Aku sendiri nampak kau masukkan hand phone abang kau tu dalam bag si sotong tu. Tetiba aje, masa abang kau geledah bag dia, hand phone tu tak ada. Mana hand phone tu pergi sebenarnya?” Tanya Sabrina turut hairan.

Fazura tidak menjawab. Mindanya terus dikuasai dengan tanda tanya yang memusykilkan. Sehingga kini, telefon bimbit Faizul masih tidak diketahui ke mana hilangnya.

“Entahentah kau salah masukan dalam beg kut? Kau pasti ke, kau masukan dalam beg Fyrul tadi?” Intan mencelah. Sengaja mencipta keraguan pada Fazura.

Fazura merenung Intan, tajam.

“Kau kan tengok sendiri tadi kan? Aku memang masukkan hand phone tu dalam beg si sotong tu? Kau buta ke?” Herdik Fazura geram. Geram, kenapalah dia ada kawan seperti Intan. Membangkitkan isu yang tidak logik langsung.

Intan tertunduk takut. Kata-katanya tadi mengundang rasa marah pada Fazura.

Senyap seketika. Masing-masing duk sibuk bermain dengan fikiran masing-masing. Memikirkan, ke manakah hilangnya telefon bimbit yang telah dimasukan Fazura ke dalam beg sekolah Fyrul pagi tadi.

“Zura.” Tiba-tiba Sabrina bersuara.

Lekas Fazura menoleh. Wajahnya masih masam mencuka.

“Aku rasa, Fyrul ada yang tolonglah.” Sabrina berandaian.

Fazura memandang Sabrina pelik. Apa maksud kata-kata Sabrina itu?

“Apa maksud kau?” Tanya Fazura hairan.

“Aku rasa dia ada ‘puteri’ yang selalu tolong dia.”

Fazura semakin hairan. Berkerut dahinya memandang Sabrina.

“Puteri? Puteri apa pulak ni?”

“Alah puteri…”

“Puteri mana ni?” Fazura masih tidak dapat menangkap, apa maksud sebenar kata-kata Sabrina itu.

“Puteri si pari-pari yang macam kat dalam sinetron Bawang Besar Bawang Kecik tu. Aku rasa pari-pari tulah yang tolong Fyrul pagi tadi,” jelas Sabrina beria. Wajahnya serius memandang Fazura.

Fazura merengus kasar. Bag sekolahnya lekas dicapai lalu disangkut pada bahu. Dijeling sinis lagi benci pada Sabrina sekilas lalu dia bangun dari duduk dan melangkah meninggalkan kelas itu. Serta merta meninggalkan Sabrina terpinga-pinga di mejanya. Langkahnya diekori oleh Intan dari belakang.

“Zura, kau nak ke mana tu?” Tanya Sabrina sambil terkocoh-kocoh mengekori langkah Fazura yang semakin laju ke dapan menuju ke kawasan meletak basaikal.

“Eh, kok ye pun nak balik, tunggulah aku.” Terkedek-kedek Sabrina mengejar langkah Fazura dan Intan.

Semakin bengang perasaan Fazura. Pada saat-saat dia masih marah lagi bengang, boleh lagi Sabrina mahu buat lawak bodoh. Kalaulah dia ada kuasa ajaib, pasti Sabrina sudah diletupkan sedari tadi.


******


USAI sahaja menunaikan solat Zohor, Fyrul terus bersiap-siap untuk ke meja makan. Bau masakan ibunya sudah sedari tadi mencucuk hidung. Di meja makan, kelihatan Farizal dan abahnya sedang pelahap menyuap makanan masing-masing. Fyrul tidak terus duduk di meja makan, sebaliknya dia melangkah ke dalam dapur. Ingin menjenguk ibunya.

“Hai mak, kenapa tak makan sekali dengan abah kat depan tu?” Tanya Fyrul bila melihat emaknya sedang sibuk mencuci periuk belanga di singki.

Mak Jumi tersenyum manis memandang anaknya. Bukan dia tidak mahu makan bersama suami dan anak sulungnya itu. Sengaja dia ingin menunggu anak bungsunya itu selesai solat Zohor. Kesian pula membiarkan Fyrul makan sendirian nanti. Terasa tersisih pula anaknya itu nanti.

“Nantilah mak makan dengan kamu. Lagi pun mak nak habiskan cuci periuk belanga ni dulu.” Mak Jumi sengaja berhelah.

“Alah, mak biarkan ajelah periuk belanga tu. Nanti Fyrul cucilah.”

“Alah, tak apalah. Bukan banyak pun. Sikit aje ni. Lagi pun mak kesiankan kamu. Baru balik sekolah. Penat mengayuh basikal pun tak hilang lagi. Dah nak kena tolong mak cuci peruk belanga ni.” Luah Mak Jumi kesian pada anak bungsunya itu. Tanggungjawab Fyrul ketika ini adalah untuk belajar. Dia masih kuat untuk melakukan kerja-kerja rumah yang menjadi tanggungjawabnya itu.

“Ala mak ni, bukan berat pun kerja-kerja ni.” Bidas Fyrul lembut lalu cuba untuk mengambil alih tugas emaknya itu.

“Hisy tak payahlah Fyrul. Sikit sje ni. Kamu tu tak makan lagi kan? Pergilah berehat, tinggal sikit aje ni. Bair mak je yang habiskan.” Mak Jumi keras membantah.

Fyrul akur sambil memonyokan muka tanda merajuk.

“Fariz, hujung minggu ni, ikut abah petik kelapa sawit kat kebun Wak Naim hujung kampung tu. Kebun dia luas. Tak larat abah nak kerjakan seorang diri. Abang Faizul kau pun ikut sekali.” Kedengaran suara Pak Paad dari arah meja makan.

Fyrul dan Mak Jumi terdiam. Hanya memincing telinga mendengar perbualan dua beranak itu.

“Hujung minggu ni ayah?” Tanya Farizal seolah merungut.

“Kenapa?” Keras Pak Paad menanya bila melihatkan anak sulungnya bersama Mak Jumi itu mula untuk bersungut.

“Fariz ada hallah.” Farizal berhelah. Hakikatnya dia malas untuk menolong ayahnya memetik buah kelapa sawit. Memenatkan!

“Hal apa?” Lekas Pak Paad menyangkal. Dia tahu anaknya itu cuba beralasan.

Farizal terdiam. Ligat otaknya memikirkan jawapan untuk pertanyaan abahnya itu.

“Ada hallah, bah.”

“Dah, kau jangan nak kelentong abah. Dulu kau cakap macam ni jugak pada abah. Bila tiba harinya, kau duk sibuk mengadap komputer kau tu kan? Main game. Kalau kau ikut abah, boleh jugak kau tambah duit poket macam abang Faizul kau tu. Dah beli hand phone sediri dah sekarang. Beli dengan duit hasil tolong abah petik kelapa sawit tu?”

Farizal tarik muncung, malasnya nak berpanas-panas dan berpenat-penat menolong abahnya memetik buah kelapa sawit. Ikut hati, ingin saja dia melarikan diri jauh dari kampung ini hujung minggu nanti. Tapi… ke mana dia ingin melarikan diri?

“Jangan jadi macam adik kamu tu. Duduk rumah je macam anak dara. Lelaki, tapi duduk rumah buat kerja orang perempuan. Langsung tak mendapatkan hasil.” Tiba-tiba sahaja Pak Paad menyindir Fyrul.

Fyrul yang di dapur mengeluh halus. Pedih hatinya tatkala kata-kata abahnya itu melintasi gegendang telinganya. Sampai hati abahnya sendiri melepaskan kata-kata itu padanya.

Mak Jumi memandang wajah Fyrul yang tiba-tiba mendung. Dia juga turut terasa dan bersedih tatkala mendengar kata-kata sindiran suaminya itu.

“Dahlah Fyrul. Abaikan je kata-kata abah kamu tu. Abah kamu tu memang macam tu. Jangan ambik hati ya?” Pujuk Mak Jumi dalam nada berbisik.

Fyrul mengukir senyuman kelat.

“Tak adalah mak. Fyrul dah lali dengan semua ni. Dari kecik, abah bukan pernah anggap Fyrul ni sebagai anak kesayangan dia pun,” keluh Fyrul mengenang nasib diri disisih oleh abahnya sendiri. Tapi sedikit pun dia tidak ambil hati. Hanya sekadar terguris hati saja.

“Dahlah. Jangan difikirkan sangat ya?” Mak Jumi terus memujuk selepas selesai memcuci peruk belanga di singki. “Jom makan.” Ajak Mak Jumi.

Fyrul hanya mengangguk akur lalu melangkah seiringan dengan emaknya menuju ke meja makan.

Di meja makan, kelihatan Farizal dan Pak Paad sudah pun selesai makan. Baru sahaja Fyrul melabuhkan punggungnya di atas kerusi, lekas Pak Paad dan Farizal menganggkat punggung.

“Aku nak pergi kebun dulu. Kerja tak habis lagi.” Pak Paad meminta diri.

“Mak, Fariz nak masuk bilik dulu.” Pinta Farizal pula lalu melangkah masuk ke dalam biliknya.

Fyrul semakin terasa hati. Abah dan abangnya seolah tidak sudi makan bersamanya. Tapi keadaan itu sudah sering kali berlaku sepanjang hidupnya. Jadi, dia sudah tidak berapa kisah.

“Makanlah Fyrul.” Pelawa Mak Jumi selepas melihat wajah anaknya semakin muram. Dia tahu, bagaimana perasaan Fyrul ketika ini.


Bersambung BAB 13...


Segala nama watak dan jalan cerita adalah rekaan penulis semata-mata. Tiada kena mengena dengan yang masih hidup atau yang telah mati. Jika ada nama tempat, syarikat, lokasi dan kata nama khas, penulis sekadar memasukan dalam konteks fiksyen semata-mata dan tidak ada kena mengena dengan nama tempat, syarikat, lokasi dan kata nama khas yang sebenarnya.

Mungkin jalan cerita di dalam novel ini ada menyentuh sedikit sensitiviti sesetengah golongan. Jadi, anggaplah apa yang diceritakan sekadar untuk hiburan semata-mata. Harap maklum.


Mantap