Dikuasakan oleh Blogger.

Selasa, 24 Jun 2014

MUNGKIN INI TAKDIRKU - BAB 14


| 14 |

SEMUA pelajar mula melangkah meninggalkan kelas. Hanya Fyrul sahaja yang masih berlambat-lambat mengemas buku-buku latihan, buku teks dan notanya ke dalam bag. Dia tidak suka bersesak-sesak. Dia tidak suka berhimpit-himpit dengan pelajar-pelajar lain. Keadaan itu amat menyesakkan baginya. Rimas!

“Woi sotong!” Tiba-tiba muncul suara Fazura datang menyergah.

Fyrul terkejut. Membuntang matanya memandang Fazura, Sabrina dan Intan yang sedang berdiri di depan mejanya. Jelas pandangan sinis dari Fazura dan Sabrina datang menujah-nujah anak matanya. Ada sinar kebencian cuba dilemparkan.

“Apa kau nak?” Tanya Fyrul sambil menutup begnya. Hairan dengan sapaan kasar yang dianggap kurang sopan dari Fazura itu.

Fazura tersengih sinis memandang Fyrul. Dikerling ke seluruh sudut kawasan dalam kelas itu. Pelajar-pelajar yang lain sudah lama meninggalkan kelas. Cuma dapat dilihat, Idham sahaja yang sedang bersiap-siap untuk melangkah meninggalkan kelas itu.

“Mana hand phone abang Faizul yang ada kat dalam beg kau semalam?” Tanya Fazura, kasar.

Fyrul tersenyum. Memang benarlah apa yang disampaikan oleh Idham pagi tadi. Semua ini memang angkara Fazura yang tidak pernah senang hati melihatnya. A Sejak mereka kecil, ada sahaja rancangan Fazura untuk mengenakan dia. Sehinggakan dia sudah hampir lali dengan perkara itu.

Buat setakat ini tiada perkara yang dianggap teruk telah dilakukan Fazura untuk megenakannya. Paling teruk pun, bila mana Fazura menuduh dia mencuri duit abahnya dan menyebabkan dia dirotan oleh abahnya sendiri. Itu pun ketika mereka di darjah enam. Selepas kejadian itu, Fazura sudah jarang bertegang urat dan mengenakan dia.

“Hand phone abang Faizul dalam beg aku? Sejak bila pulak hand phone dia boleh ada dalam beg aku? Sah-sah abang Faizul dah check beg aku semalam, kan? Dia tak jumpa pun hand phone tu dalam beg aku,” jawab Fyrul berpura-pura tidak tahu. Walhal dia sudah tahu hal yang sebenar, yang mana telefon bimbit itu ada di dalam beg adik tirinya itu.

“Elleh, kau jangan buat-buat tak tahulah. Mesti kau dah sorokan hand phone tu sebelum abang Faizul check beg kau semalam, kan? Ku dah jual ke hand phone tu?” Fazura masih tetap ingin mempertahankan andaiannya.

“Apa bukti kau ada? Kau cakap ni ada bukti ke yang hand phone tu ada pada aku?” Tanya Fyrul sambil tersengih sinis pada Fazura.

Fazura memandang Sabrina di sebelahnya. Apa bukti yang ingin diberikan pada Fyrul ketika ini? Buntu otaknya cuba memikirkan alasan yang bagaimana perlu dia reka.

“Aku tahulah.” Jawab Fazura teragak-agak.

“Lagi satu, macam mana kau tahu hand phone tu ada dalam beg sekolah aku?” Tanya Fyrul sengaja ingin membuat Fazura semakin resah untuk mencari jawapan yang sesuai untuk pertanyaan itu. Dia tahu, Fazura jenis perempuan serabut. Otaknya pintar merangka strategik jahat. Tapi lembab untuk berfikir alasan.

“Lainlah kalau memang kau yang masukan hand phone tu dalam beg aku semata-mata untuk mengenakan aku.” Perli Fyrul sambil dijeling sinis pada Fazura.

Semakin kalut Fazura dibuatnya.

“Eee….” Fazura mula geram. Otaknya tidak dapat memikirkan ayat yang sesuai untuk membalas kata-kata Fyrul itu. “Kau ni memang dasar bapok tak guna, tau. Kau tengok ajelah. Satu hari nanti kau akan merana sebab hal ini.” Fazura melepaskan kata-kata dendamnya.

“Merana sebab apa? Sebab rancangan kau gagal?”

“Dahlah, malas aku nak layan bapok tak sedar diri macam kau. Lembik! Sotong!” Hina Fazura sesuka hati lalu dia meninggalkan Fyrul sendirian di dalam kelas itu. Langkahnya dibontoti oleh Sabrina dan Intan dari belakang.

Sempat Intan menoleh ke arah Fyrul sekilas. Kasihan dia pada Fyrul.

Fyrul merengus benci. Kata-kata cercaan dan penghinakan itu langsung tidak menguris perasaannya. Dia sudah lali akan perkataan-perkataan itu. Sejak dari sekolah rendah lagi dia sudah mendapat gelaran-gelaran itu dari rakan-rakannya malahan dari cikgunya sendiri. Semuanya sudah menjadi makanannya hampir setiap hari.

Dengan lemah, begnya disandang pada bahu. Beg kertas berisi tupperware kosong dan bekas airnya dicapai. Beberapa saat kemudian dia juga turut meninggalkan kelas itu seperti rakan-rakan sekelasnya yang lain yang seawal bunyi loceng tadi sudah meninggalkan kelas itu untuk pulang. Kelas dibiarkan kosong dan sunyi. Esok, dia akan bertandang lagi, insyaALLAH.





FYRUL melangkah perlahan menuruni anak tangga menuju ke kawasan meletak basikal. Keadaan sekolah mulai lengang. Kaki melangkah, mindanya pula ligat mengenang nasib dirinya. Mengenang sesuatu yang sering dikenang hampir setiap hari.

Kenapalah sejak aku di lahirkan aku tidak pernah merasai nikmat kasih sayang dari seorang abah? Kenapa abah aku sendiri membenci diri aku? Adakah disebabkan aku bersifat lembut seperti ini menyebabkan abah aku sendiri membenci pada aku? Bukan aku pinta untuk dilahirkan begini. Dan bukan aku buat-buat untuk berkelakuan sebegini. Semuanya berlaku secara semulajadi.

Aku tidak bisa berlagak keras seperti lelaki-lelaki lain. Aku tak pandai menendang bola. Aku tak bisa merempit di atas motor. Aku tak bisa membuli orang. Aku dilahirkan dengan sifat kelembutan seolah perempuan. Aku tak pernah menganggap ia satu bebanan. Aku tetap menganggap ia satu anugerah dari ALLAH. Anugerah yang tidak ternilai harganya.

Tapi, disebabkan anugerah ini, aku disisih oleh abah aku sendiri. Kerana sifat ini aku dibenci oleh abang kandung dan adik tiri aku sendiri. Sejak aku di darjah empat lagi aku sudah mula dicemuh oleh rakan-rakan sekelas aku. Tidak ketinggalan juga cikgu-cikgu aku. Ada yang menyindir sifat aku. Aku tidak pernah meminta semua ini. Kenapa manusia sering mengeji dan mengejek kelamahan aku yang ini? Apakah insan-insan seperti aku juga sering mengalami situasi yang sama? Ya ALLAH, alangkah peritnya hidup aku selama ini. Apakah ini ujian hidup aku?

Ya ALLAH, sesungguhnya aku tidak pernah merungut dengan sifat yang KAU berikan pada aku ini. Tapi, tolonglah hambaMU ini agar kuat untuk meneruskan hidup yang kian berliku dan beronak berduri. Kau lembutkan hati abah aku supaya dia dapat menerima aku sebagai anaknya suatu hari nanti. Aku redha dengan sifat yang ENGKAU berikan pada aku. KAU tabahkanlah hati aku ini agar aku terus berada dilandasan yang betul.

Fyrul mengeluh halus dan melepaskan sendu yang semakin lama semakin menebal di dalam sanubarinya. Hidupnya sejak kecil lagi sudah dikelilingan dengan liku dan onak duri yang memeritkan. Sering dicemuh oleh rakan sebaya. Sering dingata oleh guru yang mengajarnya. Sering di pandang serong oleh insan disekelilingnya. Walaupun dia nampak kuat untuk merentasi keperitan hidupnya selama ini, kadang kala dia kalah. Lemah dengan keperitan itu.

Walaupun luarannya nampak biasa seperti seorang remaja yang girang. Tapi hakikatnya, hatinya selalu menangis. Menangis bila mengenang nasib hidupnya. Mujurlah dia ada seorang emak yang memahami jiwanya. Kepada emaknyalah dia mengadu dan merasai kasih sayang. Abah dan abang kandungnya sendiri tidak pernah memberi kasih sayangnya walaupun sekali. Dia sering dicaci oleh abangnya sendiri. Hidupnya bagai mendayung sampan kecil di tengah-tengah lautan bergelora. Entahkan bahagia, entahkan tidak. Semuanya hanya bergantung padanya yang menjadi jurumudi kehidupanya.

Cecair hangat tanpa disedari menitis di pipi. Lekas air itu diseka. Tanpa disedari, dia telah terlalu dalam tenggelam di dalam lautan perasaannya yang sering sahaja bergelora bila mengenang nasib hidupnya. Sungguh pun begitu dia akan cuba terus redha dengan takdir hidupnya yang memang sudah tertulis sebegitu.

Fyrul memberhentikan langkah betul-betul di hadapan basikalnya. Dimasukan beg sekolah, beg kertas dan bekas airnya ke dalam bakul. Dikeluarkan kunci basikalnya dari dalam poket lalu dibuka kunci basikalnya. Basikal ditunggang lalu dikayuh. Menyusur basikal itu keluar dari kawasan sekolah.





“HAI Zura, lambat kau sampai?” Tanya Mak Timah bila melihat wajah anak gadisnya di muka pintu.

Fazura tidak menjawab pertanyaan emaknya itu. Dia masih bengang dengan kata-kata Fyrul tadi. Kasut dibuka kasar lalu dihempas di tempat letak kasut semahunya. Langkah dihentak paksa di atas lantai menuju ke meja makan. Punggung dihenyak bosan di sebelah abangnya yang sudah mencekik makanannya.

“Kau kenapa Zura? Monyok aje muka?” Tanya Mak Timah lalu menghulurkan pinggan yang sudah berisi nasi kepada Fazura.

Pinggan di sambut biasa.

“Bencilah dengan budak sotong tu.” Rungut Fazura, geram. Mukanya jelas bengang. Pinggan berisi nasi tadi dibiarkan di atas meja tanpa mahu disentuh. Seleranya belum terbuka untuk makan.

“Sotong mana pulak ni? Sejak bila pulak kau ada kawan sotong? Tak sangka, punyalah banyak binatang yang boleh dijadikan binatang peliharaan, sotong jugak yang kau pilih?” Tanya Mak Jumi sekadar mengusik. Air sirap sejuk dituang ke dalam gelas.

“Bukan sotong yang kat laut tulah mak.”

“Dah tu, ada ke sotong hidup atas darat ke? Kau biar betul Zura? Ke kau dah buang tabiat petang-petang macam ni?” Mak Timah semakin galak mengusik anak gadisnya itu.

Faizul di hadapanya sudah mula menahan gelak.

“Mak ni orang cakap betul-betul dia main-main pulak,” rungut Fazura, benci. Air sirap di dalam gelas diteguk rakus sehingga habis. Sejuk salur kerongkongnya buat seketika.

“Apa yang mak cakap, salah ke?”

“Sotong yang Zura maksudkan si Fyrul tulah mak.”

Mak Timah menghabiskan sisa-sisa tawanya.

“Sejak bila pulak abang tiri kamu tu jadi sotong? Kau ni suka hati kau je nak samakan manusia dengan binatang erk? Kenapa dengan Fyrul tu?”

Fazura merengus kasar. Emaknya dijeling benci sekilas.

“Dia tu selalu sangat sakitkan hati Zura, mak.” Jawab Fazura tidak jujur. Hakikatnya Fyrul tidak pernah menyakiti hatinya. Sebaliknya, dia sendiri yang telah menyakiti hatinya sendiri.

“Yelah tu, entah-entah kau saja je buat cerita, kan? Aku tengok budak Fyrul tu baik aje. Sopan. Tak macam kau, harap aje perempuan, perangai dah macam samseng sekolah.” Tiba-tiba Faizul mencelah. Kurang senang bila ada yang cuba memburuk-burukan adik tirinya.

“Mak, tengoklah abang ni. Dia kata Zura macam samseng sekolah. Adik orang dibela. Adik sendiri langsung dingata. Bencinya dapat abang macam ni.” Fazura terasa hati.

Mak Timah hanya tertawa. Malas magu menyampuk perbualan anak-anaknya itu.

“Betul apa aku cakap. Setahu aku Fyrul tu tak pernah kacau hidup orang. Yang kau nak kata dia sakitkan hati kau tu apa hal? Sahlah kau tu kaki kelentong sebab nak fitnah dia, kan?” Faizul terus membela Fyrul.

“Abang ni kenapa? Asyik nak bela si sotong tu aje. Zura ni kan adik abang. Kenapa tak nak bela Zura?” Fazura pura-pura hampa.

“Kau dah lupa ke apa yag kau dah buat pada Fyrul lima tahun lepas? Kau fitnah si Fyrul tu curi duit abah. Terus budak tu kena belasah dengan abah. Wal hal duit tu kau yang sorokan kat beg dia kan? Duit abah tu hilang kat rumah kita, tiba-tiba duit tu boleh ada pada Fyrul yang tak pernah jejakkan kaki kat rumah kita ni. Kau tak pelik ke? Abah bolehlah kau kelentong hidup-hidup. Aku, tidak sama sekali.” Faizul mengungkit. Bukan dia tidak mahu menyebalahi adik kandungnya itu. Tapi, semenjak kejadian itu, kepercayaannya pada adiknya itu langsung musnah.

“Dahlah tu. Tak baik bertengkar depan rezeki.” Mak Timah mencelah selepas melihat pertengkaran kedua anaknya itu semakin serius.

Fazura berdecit sendirian. Tiada kata-kata yang terluah untuk mebidas kata-kata abangnya itu. Dia tahu, rancangannya untuk mengenakan Fyrul lima tahun lalu berjaya di mata abahnya. Tapi, tidak berjaya di mata abangnya itu.

“Bukan apa mak, Zura ni selalu sangat nak kenakan Fyrul. Semalam dia buat perangai lagi. Dia tuduh Fyrul curi hand phone Faizul.”

“Hand phone kamu betul-betul hilang ke, Faizul?” Tanya Mak Timah terkejut.

“Ha’ah mak. Tercicir kat mana entah.” Jawab Faizul nak tak nak sambil menghabiskan saki baki makanannya.

“Alah, Fyrul yang ambiklah bang.” Jelas Fazura yakin.

“Kau ada bukti? Kau sendiri nampak aku check beg sekolah dia semalam, kan? Tak ada pun hand phone tu dalam beg dia,” Faizul mempertikai. Pandangan sinisnya menghinggap pandangan Fazura.

“Memanglah tak ada, sebab dia dah sorokan awal-awal. Entah-entah dia dah jual hand phone tu.” Fazura masih tidak serik-serik buat cerita. Fitnah terus diputik untuk mengenakan Fyrul.

“Kau ni kan Zura, cakap main sedap mulut kau je? Kau cakap ni macam kau ada bukti aje.”

“Kan Zura dengan Sabrina ada terdengar bunyi ringtone abang dalam bag dia.”

“Entah-entah kau dengan Sabrina senget tu, sama aje. Nak kenakan Fyrul.”

“Lantaklah, abang nak percaya ke tak. Yang hilang hand phone abang. Bukan hand phone Zura.”

“Kau ada hand phone ke?” Tanya Faizul serius. Setahunya, adiknya itu tak pernah ada terlefon bimbit. Jika ada pun, telefon bimbit abahnya. Dipinjam untuk vote artis pilihannya dalam rancangan rialiti TV kegemarannya itu.

Tiba-tiba kedengaran bunyi deringan telefon dari dalam beg sekolah Fazura yang yang disangkut pada belakang kerusi.

Faizul dan Mak Timah saling berpandangan. Hairan, dengan bunyian itu.

Mata Fazura pula tiba-tiba terbuntang. Terkejut dengan bunyian itu yang tiba-tiba muncul dari dalam begnya. Bunyi itu yang cukup sinonim pada pendengarannya. Liurnya ditelan kesat. Pelbagai andaian dan spekulasi awalan mula berputik di dalam mindanya ketika ini.


Bersambung BAB 15...


Segala nama watak dan jalan cerita adalah rekaan penulis semata-mata. Tiada kena mengena dengan yang masih hidup atau yang telah mati. Jika ada nama tempat, syarikat, lokasi dan kata nama khas, penulis sekadar memasukan dalam konteks fiksyen semata-mata dan tidak ada kena mengena dengan nama tempat, syarikat, lokasi dan kata nama khas yang sebenarnya.

Mungkin jalan cerita di dalam novel ini ada menyentuh sedikit sensitiviti sesetengah golongan. Jadi, anggaplah apa yang diceritakan sekadar untuk hiburan semata-mata. Harap maklum.



Mantap