Dikuasakan oleh Blogger.

Selasa, 24 Jun 2014

MUNGKIN INI TAKDIRKU - BAB 15


| 15 |

FAZURA menelan liurnya, kesat. Emaknya memandang sinis ke arahnya. Manakala abangnya pula memandang benci ke arahnya. Apa yang ada di dalam genggaman tangan abangnya kini dilihat lama-lama. Dia tidak menyangka benda itu boleh berada di dalam beg sekolahnya. Setahunya, benda itu telah dimasukkan ke dalam beg sekolah Fyrul semalam. Bagaimana benda itu boleh berada di dalam beg sekolahnya pula? Ni pasti kerja Fyrul. Getus di dalam hati Fazura.

“Aku dah agak dah. Semua ni kerja kau kan? Lepas tu kau nak tuduh si Fyrul tu pencuri,” marah Faizul tinggi nada suaranya. Bengis wajahnya memandang Fazura.

“Mana ada. Mana Zura tahu hand phone tu boleh ada dalam beg Zura.” Jawab Fazura takut-takut. “Mak, Zura tak buatlah mak.” Fazura mengadu dengan emaknya pula.

Mak Timah mengeluh halus. Ingin membela anak gadisnya itu terang-terangan dia bersalah. Tiada apa yang ingin dicakapkan demi untuk membela anak gadisnya itu.

“Kamu selesaikanlah sendiri masalah kamu ni dengan abang kamu. Emak tak nak masuk campur.” Keluh Mak Timah lesu lalu membawa pinggan kotor ke singki. Malas untuk dia masuk campur dalam hal ini. Biarlah anak-anaknya sendiri yang menyelesaikan masalah mereka.

“Mesti si Fyrul tu yang masukkan dalam beg Zura sebab nak kenakan Zura bang.” Fazura terus membela diri.

Faizul tersengih sinis. Memperlekahkan jawapan Fazura itu.

“Sudahlah kau Zura.” Faizul tidak percaya. Dia bercekak pinggang menahan bengang. “Kau masih nak berdolak-dalih walaupun bukti dah ada kat tangan aku?” Tanya Faizul terus mempertikaikan kata-kata adiknya itu sambil menunjukkan telefon bimbitnya ke arah Fazura.

“Apa bukti abang nak tuduh Zura yang ambik hand phone abang tu?” Tanya Fazura yakin. Dia yakin abangnya juga tiada bukti seperti mana dia menuduh Fyrul mencuri telefon bimbit itu semalam.

“Semalam. Apa kau buat dalam bilik aku?” Tanya Faizul mengungkit.

Fazura terdiam seketika. Ligat otaknya mencari jawapan untuk pertayaan abangnya itu. Tidak menyangka pula abangnya itu dapat menghidu kewujudannya di dalam biliknya semalam.

“Zura tolong letak beg sekolah abang tu dalam bilik abang. Itu aje.” Fazura terus mencari pelbagai helah.

“Dahlah Zura. Aku tahu kau yang rancang semua ini untuk mengenakan Fyrul. Pagi tadi, kenapa kau pergi sekolah awal? Tak pernah-pernah kau ke sekolah seawal pagi tadi. Kau takut aku tanya kau fasal hand phone aku ni kan?”

Fazura semakin bengang. Bengang bila rancangannya mula terbongkar satu per satu. Lekas dia bangun dari duduk. Nasi di atas pinggannya langsung tidak terusik. Dia merengus kasar lalu di pandang benci pada abangnya.

“Kenapa abang susah sangat nak percaya pada Zura? Kalau si Fyrul tu, abang bela dah macam dia adik kandung abang aje. Kata-kata Zura langsung abang tak nak percaya.” Tengking Fazura semahunya. Kesal kerana abangnya tidak pernah membelanya.

“Bukan aku tak nak percaya pada kau. Masalahnya, kau memang tak boleh nak dipercayai. Kau selalu nak kenakan Fyrul. Kenapa ha?”

“Sebab dia tu pelik.”

“Apa yang peliknya?” Keras Faizul menanya. Tidak memahami apa maksud Fazura mengatakan Fyrul seorang yang pelik.

“Peliklah. Dia kan lelaki. Kenapa dia lembut macam perempuan?”

“Dah tu, kau tu perempuan, lembut sangat ke macam perempuan? Kalau nak keji kelemahan orang, nilai kelemahan diri sendiri tu dulu. Kalau rasa diri tu dah perfect macam Tuhan. Baru boleh nak kritik kelemahan orang.” Bekeras Faizul membela adik tirinya.

“Huh! Malaslah cakap dengan abang ni. Asyik nak menangkan Fyrul aje. Pergilah ambik Fyrul tu jadi adik abang.” Bentak Fazura benci lalu dia melangkah masuk ke dalam biliknya.

“Kalau boleh memang aku nak ambik dia jadi adik aku.” Bentak Faizul pula.

“Dahlah tu. Sudah-sudahlah bertekak,” tiba-tiba Mak Timah muncul dari dapur.

“Zura tu dah melampau mak. Asyik nak kenakan si Fyrul tu aje. Kesian budak tu mak.”

Mak Timah menggeleng perlahan. Pening kepalanya memikirkan karenah dua anaknya itu.

Sampai saja di dalam bilik, Fazura terus menghempaskan tubuhnya ke atas katil. Air matanya mula merembes perlahan. Benci bila abangnya sendiri tidak pernah membelanya. Asyik Fyrul saja yang akan dimenangkan.

“Tak guna kau Fyrul. Hari ni hari kau. Kau kenakan aku ya? Kau tengoklah, lepas ni aku akan kenakan kau lagi teruk.” Tekad Fazura. Wajah kebencian diukir di sebalik wajah sedihnya. Dalam tidak dia sedari dia telah berdendam.





“IDHAM, mari makan nak.” Panggil Mak Bibah lembut pada anak sulungnya itu yang baru sahaja usai menunaikan solat Asar.

Idham terangguk-angguk akur lalu melangkah ke dapur. Dapat dilihat, dua lagi adiknya sudah duduk bersila di atas tikar pandan usang menanti kehadirannya. Rezeki mereka hari ini hanya sekadar nasi putih, telur goreng dan kicap sahaja. Sungguh pun hanya itu makanan mereka hari ini, ia cukup menyelerakan bagi mereka adik beradik.

“Maafkan mak Idham. Baru sekarang kita dapat makan tengah hari. Harapnya rezeki petang ni dapatlah mengenyangkan kita sampai ke malam nanti.” Pohon Mak Bibah sayu. Sedih melihatkan anak-anaknya terpaksa mengikat perut sehingga ke petang hanya semata-mata ingin anak-anaknya kenyang hingga ke malam.

Dalam sehari, mereka sekeluarga hanya makan dua kali saja. Sekali di awal pagi dan sekali lagi pada lewat petang. Kebiasaannya, di awal pagi mereka hanya menjamah sekeping roti dan air kosong demi untuk mengalas perut masing-masing. Beginilah kehidupannya sejak Mak Bibah kematian suaminya lima tahun lalu akibat kemalangan jalan raya.

Pak Leman. Seorang buruh kasar yang berkerja di sebuah kilang kain telah ditimpa kemalangan jalan raya bila motosikal yang ditunggangnya telah dirempuh dari belakang dan mengakibatkan motosikal yang ditunggangnya tercampak 20 meter ke depan. Pak Leman meninggal dua serta merta di tempat kejadian. Keadaan jenazahnya amat menyanyat hati. Sehingga kini, Mak Bibah tidak bisa untuk melupakan tragedi sedih lagi getir itu yang banyak mengubah nasib hidupnya.

Sungguh pun begitu, Mak Bibah tidak pernah merungut. Dia redha atas ketentuan ALLAH. Dia akan sedaya upaya membesarkan anak-anaknya dengan titik peluhnya sendiri. Dia yang hanya mengambil upah menjahit tulang belut baju Melayu sambilan di rumah dan bekerja sepenuh masa di sebuah kedai runcit di pekan hanya mendapat purata pendapatan setiap bulan tidak lebih dari tiga ratus ringgit. Itu pun jika tempahan menjahit tulang belut baju Melayu banyak. Jika tidak, pendapatannya akan berkurangan. Tidak termasuk bantuan dari Baitulmal RM100 setiap bulan. Namun, bantuan itu masih tidak mencukupi untuk menyara perbelanjaan seharian mereka anak beranak.

Mujurlah dia tidak mengunakan bekalan elektrik. Rumahnya hanya diterangi dengan cahaya lampu pelita minyak tanah saja tika malam. Air untuk mandi dan membasuh pakaian pula di ambil dari parit yang berdekatan. Manakala, air untuk kegunaan memasak dan minuman, di ambil dari surau yang tidak jauh dengan rumahnya atas kebenaran pihak alhi jawatan kuasa surau kampung.

“Tak apa mak. Idham tak kisah,” jawab Idham sayu. Sayu hatinya melihat seraut wajah emaknya yang jelas keruh dan rungsing. Kedutan tuanya kian menyerlah. Dia tahu, emaknya sering memikirkan bagaimana ingin memberi adik beradiknya makan dan pakaian. Sebab itu, emaknya tidak pernah mengukir senyuman gembira selepas kematian abahnya lima tahun lalu. Selepas kematian abahnya, emaknya sering kelihatan rungsing dan gelisah. Tapi, tidak pernah pula dia mendengar emaknya merungut.

“Apa yang kau orang tengok lagi? Makanlah,” pelawa Idham kepada kedua adiknya. Yang nombor dua baru berusia 13 tahun dan yang bungsu baru berusia 10 tahun. Sungguh pun mereka berdua masih kecil, namun sekali pun adik-adiknya tidak pernah meminta-meminta dari emaknya. Seolah mereka memahami kesempitan hidup yang telah mereka sekeluarga alami.

“Makan tu pelan-pelanlah. Jangan gelojoh sangat, nanti tercekik pulak,” tegur Idham pada adik bungsunya yang kelihatan begitu perlahab menjamah makananya.

Adik bungsunya tertunduk-tunduk akur. Dia sangat hormat pada abangnya dan tidak pernah sekali pun melawan cakap abangnya. Semenjak kematian abahnya, pada Idhamlah dia bermanja demi merasai kasih seorang ayah. Idham banyak menghabiskan masa menjaga adik-adiknya.

Tika remaja lain sibuk menonton rancangan realiti TV yang membolehkan mereka mengundi melalui SMS peserta pujaan meraka. Idham hanya duduk di rumah membaca buku di bawah cahaya malap lampu minyak tanah. Tika ramaja lain sibuk bermain futsall, dia mengambil upah mencuci pinggan di sebuah warung di pekan. Duit upahnya yang hanya RM10 sehari akan habis untuk membeli makanan seharian mereka. Tika remaja lain sibuk bermain dengan permainan komputer dan Play Station 3, dia pula sibuk bermain dengan kedua-dua adiknya.

“Mak, lapar lagilah,” rengek anak bungsu Mak Bibah.

Mak Bibah yang masih belum menjamah makanannya terasa sayu melihat anaknya itu yang masih belum kenyang walaupun nasi di atas pinggannya sudah licin.

Idham memandang emaknya. Jelas sayu wajah emaknya memandang adik bungsunya itu.

“Mat, bak sini pinggan kau,” pinta Idham pada adik bungsunya.

Adik bungsunya lekas memberi pinggannya yang sudah licin.

Idham mencapai pinggan itu lalu nasinya diceduk separuh ke atas pinggan itu lalu dikembalikan kepada adik bungsunya semula.

“Nak lagi?” Tanya Idham ingin memastikan.

Adik bungsunya mengeleng gembira. Nasi dijamah pelahap. Idham gembira melihat kegembiraan adiknya itu. Walaupun hanya berkuahkan kicap manis dan telur goreng separuh, begitu selera adik bungsunya menghabiskan makanannya.

“Nah Idham, ambiklah nasi mak.” Mak Bibah tidak sampai hati membiarkan anak sulungnya yang banyak berjasa pada keluraga itu kelaparan.

“Tak apalah mak. Mak makanlah nasi tu. Lagi pun, kejap lagi mak nak ke keda, kan? Kang lapar pulak, tak bertenaga pulak mak nak kerja.” Idham menolak dengan baik. Dia tahu emaknya akan menyambung kerjanya semula sebentar lagi. Dia tidak sanggup melihat emaknya kelaparan sebelum menyambung kerjanya semula.

“Kamu pun petang nanti nak ke warung kan? Kalau tak makan macam mana nak dapat tenaga?”

“Tak apalah mak, nanti Idham makan kat warung aje,” jawab Idham menipu. Hakikatnya di warung di mana tempatnya berkerja, dia tidak pernah diberi makan. Jika dia benar-benar lapar, sisa makanan oranglah yang akan menjadi alas perutnya. Hal itu dia terpaksa rahsiakan. Dia tidak mahu ibunya tahu. Biarlah dia seorang saja yang merasai betapa sedihnya menjamah sisa makanan orang. Kadang kala dia akan membawa juga sisa makanan orang yang masih elok untuk dijamukan kepada adik-adiknya. Dia bukan sengaja. Tapi terpaksa.

“Baik majikan kamu tu. Selalu bagi kamu makan dan bagi makanan pada kita sekeluarga.” Ucap Mak Bibah terharu. Nasinya disuap perlahan-lahan ke dalam mulut. Sedihnya semakin menebal di dalam hati. Matanya sudah puas menangis mengenangkan nasib anak-anaknya. Tapi di dalam hatinya sering kali menangis setiap kali terpandang wajah anak-anak yang masih kecil tetapi sudah merasai keperitan dalam hidup.

Idham terangguk-angguk sambil mengukir senyuman kelat.

Maafkan Idham mak. Bukan niat Idham nak menipu mak. Idham terpaksa buat begini. Idham tak nak adik-adik lapar. Rintih Idham di dalam hatinya, sayu. Hatinya mula menagis. Menagis mengenangkan nasib keluarganya yang kian kesempitan dalam hidup. Tapi dia masih bersyukur kerana rezekinya masih tidak putus-putus sehingga kini.

“Siti, kau nak tambah nasi lagi tak?” Tanya Idham pada adik keduanya.

Siti tidak memberi riaksi positif. Mengangguk tidak. Menggeleng pun tidak. Di dalam hatinya memang dia ingin menambah nasinya. Tapi bila memikirkan abangnya juga belum makan, dia mengambil keputusan untuk mengeleng.

“Ambiklah nasi abang yang separuh ni. Abang tak lapar lagi.” Pelawa Idham sayu.

“Tak apalah bang. Abang pun belum makan kan?” Siti menolak baik. Dia memahami keadaan keluarganya. Abangnya perlu makan kerana abangnya perlu bekerja, malam nanti.

“Tak apa, kau ambiklah nasi ni. Abang dah makan kat sekolah tadi. Kawan abang belanja.” Jawab Idham jujur.

“Betul ke?” Mak Bibah mencelah, seolah tidak mempercayai kata-kata anak sulungnya itu. Dia tidak mahu anak-anaknya berbohong.

“Betul mak. Kawan Idham tu Fyrul namanya. Dia baik, dua hari ni dia bawakan bekal untuk Idham.” Jawab Idham gembira. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia begitu gembira mendapat kawan seperti Fyrul. Fyrul baik, jujur dan ikhlas dalam berkawan. Itulah tanggapannya pada Fyrul.

“Jangan nak tipu mak Idham. Takkanlah dia sebaik tu nak bawakkan bekal untuk kamu?”

“Betul mak. Dia suka memasak. Setiap kali dia masak resepi baru, mesti dia nak Idham rasa.” Jawab Idham beria.

Mak Bibah mengeluh halus. Sangsi dengan kejujuran Idham. Dia tidak tahu sama ada apa yang diberitahu Idham itu benar atau sekadar alasan untuk dia memberikan nasinya kepada adik-adiknya.

“Ye dah kalau macam tu.” Mak Bibah akur dan mengharap apa yang dikatakan oleh Idham itu benar. Jika Idham menipu pun dia tahu, anak sulungnya itu cukup ambil berat pasal adik-adiknya.

Bersambung BAB 16 ....


Segala nama watak dan jalan cerita adalah rekaan penulis semata-mata. Tiada kena mengena dengan yang masih hidup atau yang telah mati. Jika ada nama tempat, syarikat, lokasi dan kata nama khas, penulis sekadar memasukan dalam konteks fiksyen semata-mata dan tidak ada kena mengena dengan nama tempat, syarikat, lokasi dan kata nama khas yang sebenarnya.

Mungkin jalan cerita di dalam novel ini ada menyentuh sedikit sensitiviti sesetengah golongan. Jadi, anggaplah apa yang diceritakan sekadar untuk hiburan semata-mata. Harap maklum.





Mantap