Dikuasakan oleh Blogger.

Sabtu, 28 Jun 2014

MUNGKIN INI TAKDIRKU - BAB 19


| 19 |

BUNYI geseran kaki bangku pada lantai konkrit bergema dan berdengung. Loceng menandakan tamatnya waktu sekolah untuk hari ini baru sahaja berbunyi. Dapat di dengar juga ucapan ‘terima kasih cikgu’ dari kelas sebelah. Koridor bangunan mula sesak dengan pelajar-pelajar lain yang mula melangkah meninggalkan kelas.

Fyrul mengemas lambat-lambat buku notanya ke dalam beg. Pelajar-pelajar sekelasnya yang lain sudah mula meninggalkan kelas. Seperti kebiasaan, dia akan menjadi pelajar yang terakhir meninggalkan kelas itu. Malas, rimas dan panas untuk dia bersesak-sesak. Dikerling ke arah meja belakang sekilas. Dia dapat lihat, Idham masih di mejanya.

“Hai Idham, kau tak balik lagi?” Tanya Fyrul yang jarang-jarang melihat Idham lambat pulang dari sekolah.

“Aku nak siapkan home work add math aku ni.” Jawab Idham. Fokusnya masih pada buku latihan dan buku teksnya.

“Hai, biasanya kau akan tergesa-gesa nak balik. Hari ni tak pulak. Adik kau… siapa pulak yang ambik nanti?” Tanya Fyrul sekadar ingin tahu. Idham pernah memberi tahunya sebelum ini, dia sebagai abang yang sulung akan telah dipertanggung jawabkan untuk menjaga adik-adiknya. Termasuk menjemput adik-adiknya dari sekolah.

“Emak aku ambik dia orang hari ni. Sebab tu aku nak balik lewat sikit. Nak siapkan home work ni.” Jawab Idham jujur. Sebenarnya, dia memang ingin menyiapkan kerja sekolahnya secepat yang mungkin. Dia tahu di rumah nanti dia tidak ada masa untuk menyiapkan kerja sekolahnya itu. Lewat petang nanti dia terpaksa bekerja di warung. Jadi, masanya agak terhad.

“Idham.” Fyrul memusingkan kerusi di sebelahnya mengadap Idham. “Kau tahu tak makna sebenar ayat ‘home work’?” Tanya Fyrul sekadar bertanya-tanya.

Idham memandang Fyrul, pelik.

“Maksud home work itu adalah kerja rumah. Jadi, kerja-kerja ni harus di siapkan di rumah. Bukan di sekolah.” Fyrul menjelaskan.

“Memanglah, tapi aku takut tak ada masa nak buat kat rumah.” Jawab Idham lantang.

Fyrul memandang Idham dengan kerutan di dahi.

“Tak ada masa? Dari petang sampai ke malam kau buat apa? Kau ada kelas petang ke? Tak pun kelas malam?” Tanya Fyrul, hairan.

Idham mengeluh halus. Dia sudah terlanjur kata.

“Maksud aku, buat kat rumah tak boleh nak concentratelah.” Jawab Idham teragak-agak.

“Oh… macam itu.” Akur Fyrul terangguk-angguk. “Kalau macam tu aku nak balik dululah ek? Aku pulak tak boleh concentrate buat kerja sekolah kat sini.”

Idham mengangguk akur. Lega bila alasannya diterima bulat-bulat oleh Fyrul. Dia terpaksa menipu.

Fyrul menyandang begnya di bahu. Beg kertas berisi tupperware kosong dan bekas minumannya di capai. Langkah mula disusun meninggalkan kelas.

“Aku balik dulu. Kalau tetiba kau rasa ada something wrong kat sini. Itu bermakna ada puteri bunian melawat kau buat kerja.” Usik Fyrul sekadar ingin menakut-nakutkan.

“Mulut kau cabul betullah,” ujar Idham buat-buat marah. “Anyway, thanks sebab bawakan bekal untuk aku sekali hari ni.” Ucap Idham sebelum Fyrul menyambung langkahnya semula.

“It’s okeylah Idham. Esok aku bawak untuk kau lagi erk? Senang hati aku bila ada yang suka dengan masakan aku.” Jelas Fyrul bangga. “Aku gerak dulu. Jangan lupa Zohor kejap lagi. Assalamualaikum.” Ucap Fyrul lalu melangkah meninggalkan kelas. Ditinggal Idham sendirian di dalam kelas itu.

Keadaan pintu pagar utama sekolah sudah lengang. Kawasan meletak basikal juga semakin lengang. Hanya tinggal beberapa orang pelajar sahaja yang mula mengayuh basikal masing-masing. Fyrul melangkah biasa menuju ke basikalnya. Beg sekolah dan beg kertas dimasukkan ke dalam bakul basikal. Selepas kunci basikal dibuka, basikal mula dikayuh meninggalkan kawasan sekolah.

Sampai di tepi jalan besar, Fyrul menoleh ke kiri dan ke kanan sebanyak tiga kali. Selepas didapati selamat untuk melintas jalan, basikalnya mula dikayuh laju menyusur ke sebuah jalan kampung menuju ke pekan. Terik mentari mencuit kulit. Terasa kehangatan panasnya seperti membakar. Peluh kecil sudah sedari tadi berbintik-bintik di dahi. Fyrul mengayuh basikalnya laju ke depan. Angin dari arah bertentangan mendinginkan suasana hangat tengah hari. Terasa segar sekali.

Dari jauh dia terdengar bunyi enjin motosikal dari arah belakang. Bunyi enjin motosikal itu semakin hampir mendekatinya. Dan dia dapat merasakan, motosikal itu sedang mengekorinya dari belakang.

“Hai awak. Lajunya bawak basikal.” Tiba-tiba penunggang motosikal itu menyapa.

Fyrul terkejut dengan sapaan yitu. Di pandang sekilas pada si penunggang motosikal. Langsung dia tidak pernah mengenali insan itu. Kata-kata penunggang motosikal itu langsung tidak dilayan. Fyrul menjeling sinis pada si penunggang motosikal itu lalu mengayuh basikalnya semakin laju.

“Amboi sombongnya, orang nak berkenal-kenalan dengan dia, dia jual mahal pulak?” Penunggang motosikal itu terus mengusik.

Fyrul masih tidak melayan. Basikal dikayuh semakin laju. Ikutkan hatinya, ingin sahaja ditendang motosikal itu. Biar tergolek terbongkang penunggang itu masuk ke dalam parit, lalu lemas. Tapi, dia tidak sekejam itu.

Penunggang motosikal itu tidak putus asa untuk terus mengusik. Bila Fyrul acap kali tidak melayan usikkanya, dia membuat keputusan untuk menghalang perjalanan Fyrul.

“Hisy, apa ni?” Bentak Fyrul bengang sambil menarik brek basikal. Basikalnya berhenti mengejut di hadapan motosikal si penunggang tadi.

“Ops, sorry. Tak sengaja.” Pohon penunggang tadi mengada-ngada. “Dah, awak tak nak layan saya. Saya terpaksalah buat macam ni.”

“Apa masalah encik ni. Saya kenal encik ke? Tetiba nak usik saya apa hal? Punyalah ramai perempaun lalu lalang kat sini, yang encik ni nak kacau saya jugak kenapa?” Bentak Fyrul marah-marah bila bengangnya tidak dapat ditahan lagi.

“Boleh pulak bercakap, ingatkan bisu tadi.” lelaki itu terus mengusik. “Janganlah panggil saya dengan gelaran ‘encik’. Formal sangatlah. Panggilah saya dengan gelaran ‘awak’. Kan lebih mesra.” Penunggang motosikal tadi mencadangkan.

“Masalahnya, saya tak kenal awak. Apa yang awak nak dari saya?” Tanya Fyrul hairan. Hairan dengan lelaki yang ada di depannya kini. Apa motif lelaki itu mengusiknya? Nak mengorat aku ke? Gila ke apa mamat ni? Getik di dalam hati Fyrul.

“Saya nak kenal-kenal dengan awak. Takkan tak boleh?” Tanya lelaki itu dengan nada yang cukup mengoda.

Fyrul merengus benci.

“Well, nama saya Jeffry. Panggil saya Jeff.” Lelaki itu memperkenalkan dirinya sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman.

Fyrul menjeling sinis lelaki yang bernama Jeffry itu. Pelik dengan lelaki yang entah dari mana munculnya itu, yang tiba-tiba sahaja ingin berkenalan dengannya. Tanpa menyambut salaman lelaki itu, lekas pedal basikal dikayuh meninggalkan lelaki pelik itu di situ. Tiada sebab untuk dia menyambut salaman lelaki yang entah dari mana itu. Gila ke apa dia ni? Rengus Fyrul menyampah.

“Nantilah.” Jeffry menahan basikal Fyrul.

“Apa ni? Boleh tak jangan kacau saya? Saya tak kenal awak. Entah dari mana munculnya, tetiba nak kenal-kenal dengan saya. Awak ni peliklah. Pergilah kacau budak perempuan yang lain tu. Saya ni lelaki okey? Lelaki!” Bentak Fyrul semakin bengang. Bengang bila perjalannya dihalang.

“Tapi saya minat kat awak?” Jeffry tetap dengan kehendakknya. Dilirik mengoda pada Fyrul.

“Wei, tepilah. Jangan kacau saya boleh tak? Saya nak balik ni. Lepaskan basikal saya.” Pinta Fyrul sambil menjeling sinis pada Jeffry.

“Selagi awak tak sudi nak kenal-kenal dengan saya. Selagi itu saya tak akan lepaskan basikal awak ni.” Jeffry mengugut. Rancangannya tidak boleh gagal. Dia perlu buat Fyrul suka padanya.

Fyrul mula tertekan. Dipandang sekelilingnya. Dia dapat melihat beberapa pelajar lain yang melintasinya memandang serong ke arahnya. Ada juga yang tergelak-gelak dan berbisik antara satu sama lain. Fyrul mula tebal muka. Malu!

“Yalah, yalah.” Akur Fyrul tiada pilihan lain. Nak tak nak dia terpaksa berkenal-kenalan dengan lelaki yang entah dari mana munculnya itu.

“Saya Jeffry. Panggil saya Jeff.” Jeffry memperkenalkan dirinya sekali lagi sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman.

Fyrul merengus kasar dan dijeling benci pada Jeffry. Dengan terpaksa dia menyambut salaman itu.

“Nama siapa?” Tanya Jeffry selepas salam bersambut. Direnung mata Fyrul dalam-dalam.

Fyrul kurang selesa dengan keadaan itu. “Fyrul.” Terpaksa juga Fyrul memberi tahu namanya. Jika tidak, dia pasti tidak akan dilepaskan.

“Dahlah, saya nak balik.” Pinta Fyrul benci lalu dikayuh basikalnya. Meninggalkan Jeffry sendirian di situ. Mulutnya terkumat-kamit menyumpah seranah Jeffry.

Jeffry tersengih puas. Rancangan pertamanya untuk hari ini berjalan dengan lancar. “Esok kita jumpa lagi erk?” Jerit Jeffri selepas kelibat Fyrul semakin menjauh.

Beberapa saat kemudian telefon bimbitnya berbunyi. Lekas dikeluarkan telefon bimbitnya dari dalam poket seluar.

“Hello.”

“Weh Zach. Macam mana rancangan kita? Kau dah mulakan ke belum?” Tanya si pemanggil sebelum sempat dia bercakap panjang.

“Kau jangan risaulah minah. Semua berjalan dengan lancar. Esok, aku akan cuba langkah yang seterusnya.” Jawab Zach bangga. Dia terpaksa menyamar sebagai Jeffry untuk mengenakan targetnya.

“Bagus, duit akan kau dapat bila kerja dah settle.”

“Eh, kau kata kau nak bayar separuh dulu kan?”

‘Tut…tut…”

“Cilaka punya minah. Kau end call ek? Bodoh!” Bentak Zach bengang. Bukan sekali dua rakan komplotnya itu menamatkan panggilan sebelum dia habis bercakap. Sudah banyak kali. Ingin dihubungi semula, rakan komplotnya itu menghubunginya dengan mengunakan nombor telefon awam. Mustahil dia bisa menghubunginya semula.

Zach merengus kasar lalu menunggang semula motorsikalnya menuju ke arah bandar.





FYRUL meminta pinggan kotor dari abangnya. Mereka bertiga baru selesai makan tengah hari bersama. Pak Paad makan tengah hari di rumah bini keduanya hari ini. Jadi, hanya mereka bertiga sahaja yang ada.

“Hai Fyrul, mak tengok kamu dari tadi asyik senyap je, kenapa? Biasanya…”

“Biasanya mulut dialah yang paling becok macam mulut murai.” Farizal mencelah sebelum sempat emaknya menghabiskan kata-katanya.

Fyrul menjeling sinis pada abangnay itu lalu bangun dari duduk. Pinggan kotor dibawa ke singki. Benci mendengar kata-kata abangnya itu. Meyakitkan hati.

“Hisyh kamu ni Fariz. Boleh tak jangan nak usik adik kamu tu?” Tegur Mak Jumi pada Farizal dengan nada berbisik. “Dia tu sensitif. Tak boleh ke kamu cakap baik-baik dengan adik kamu tu?” Pinta Mak Jumi pula.

“Alah, orang cakap benda yang betul. Bukan fakta yang direka-reka.” Bidas Farizal sambil meneguk habis sisa minumannya.

Mak Jumi mengeleng. Beberapa saat kemudian Farizal meminta diri untuk ke biliknya.

“Fariz, jangan lupa solat. Kamu tu suka melengah-lengahkan solat. Nanti terlepas pulak waktu.” Mak Jumi mengingatkan. Masak benar dia dengan perangai anak sulungnya itu, liat untuk bersolat.

Farizal hanya angguk tanpa menoleh ke arah emaknya. Entahkan ditelan, entahkan diluah pesanan emaknya tadi.

Mak Jumi mengemas meja makan. Selesai sahaja, dibawa cawan kotor ke singki. Dapat dilihat, Fyrul sedang asyik mencuci pinggan. Mak Jumi meletakkan cawan kotor tadi ke dalam singki untuk anak bungsunya itu cuci.

“Hai Fyrul, diam je? Kenapa?” Tanya Mak Jumi mengungkit.

Fyrul tersenyum hambar sambil dikerling emaknya sekilas.

“Tak ada apa-apalah mak. Penat sikit aje?” Fyrul berhelah. Hakikatnya ada sesuatu yang berselaput di dalam ruang benaknya ketika ini.

“Janganlah kamu nak tipu mak, Fyrul. Emak bukannya kawan kamu. Tengok muka kamu pun mak dah dapat tangkap, mesti ada sesuatu yang kamu tengah simpan, kan?” Mak Jumi mendesak. Dia tahu, anaknya sedang menanggung sesuatu yang bersirat. Dia sedia untuk menguraikan. Sebagai ibu itu sudah menjadi tanggungjawabnya untuk membantu.

Fyrul tidak terus menjawab. Pinggan dicuci sehingga habis kemudian kepala pili diputar. Tangan dilap pada tuala kecil yang tergantung pada tingkap. Dia berdiri bersandar pada singki memandang emaknya yang terus menanti jawapannya.

“Tadi, masa Fyrul balik sekolah ada sorang lelaki pelik ni sibuk kacau Fyrul.” Luah Fyrul apa yang menjadi kegelisahannya sedari tadi. Terasa janggal bila memikirkan Jeffry yang baru dikenalinya tadi mendesak untuk berkanalan dengannya. Si lelaki yang tidak pernah dijumpai dan dikenali sebelum ini.

Mak Jumi memandang hairan pada anaknya itu. “Lelaki pelik? Kacau kamu? Apa yang dia kacau kamu?” Tanya Mak Jumi hairan.

“Dia tahan basikal Fyrul. Lepas tu dia paksa Fyrul supaya kenal-kenal dengan dia.” Jawab Fyrul sejujurnya. Wajahnya jelas risau.

Mak Jumi tersenyum memandang Fyrul. “La… fasal tu yang membuat kamu rungsing? Orang nak kenal-kenal, kenapa kamu risau pulak?” Tanya Mak Jumi musykil.

“Bukan macam tu mak. Lelaki ni lain.” Fyrul cuba menjelaskan. Tapi, dia tidak tahu ayat yang bagaimana harus dia gunakan pada emaknya supaya apa yang cuba dia maksudkan boleh difahami oleh emaknya itu.

“Dahlah, benda kecik macam tu pun nak risau. Apa salahnya dia nak kenal-kenal dengan kamu. Kata orang, kawan biar seribu, bercinta biar satu. Entah-entah kamu dah jatuh cinta tak?” Mak Jumi mengusik.

“Isy mak ni. Ke situ pulak. Nak jatuh cinta masa sekolah ni? Cinta monyet mana ada yang kekal mak? Tapi mak… lelaki ni pelik.” Rengek Fyrul cuba menjelaskan.

“Dahlah… anggap aje budak lelaki tu kawan baru kamu. Sama macam kawan-kawan kamu kat sekolah tu. Tak perlu risau.” Mak Jumi terus memintas. Dia tidak mahu anaknya memikirkan hal yang bukan-bukan. Orang nak kenal-kenal, apa salahnya.

Fyrul mengeluh halus. Akur untuk tidak terus menjelaskan. Jika apa yang emaknya cakapkan itu benar, dia tidak kisah. Masalahnya, Jeffry lain. Dia dapat rasakan ada sesuatu yang ganjil pada Jeffry. Dari renungan matanya yang mempesona dan senyuman mengodanya, dia tahu Jeffry bukan seperti kawan-kawan lelakinya yang lain. Dia takut sesuatu yang tidak harus berlaku akan berlaku antara dia dengan Jeffry.

“Dah siap cuci pinggan, kan?” Tanya Mak Jumi menukar topik perbualan.

Fyrul mengangguk lemah.

“Kamu berahatlah dulu, mak nak sapu dapur sekejap.” Suruh Mak Jumi lalu mencapai penyapu lidi yang tersandar di tepi peti sejuk.

Fyrul mengangguk akur lalu menyusun langkah menuju ke biliknya. Fikirannya masih sarat dengan hal perkenalannya dengan Jeffry. Ada sesuatu yang dia khuatirkan fasal Jeffry. Si lelaki berbangsa Cina yang entah dari mana munculnya dan tidak pernah dia kenali selama ini.

Sampai sahaja di bilik, Fyrul terus menghempaskan tubuhnya di atas katil. Terasa letih pula petang ini. Kipas meja ditekan suiznya. Bertiup kencang angin dari bilah kipas itu menghembus ke arah katil. Sejuknya mendinginkan kehangatan cuaca. Tingkap cermin sudah terbuka seluas-luasnya.

Fyrul mengeluh bosan. Bosan tidak tahu apa yang ingin dilakukan. Dikerling pada beg sekolahnya di atas kerusi. Terasa malas untuk menyiapkan kerja sekolahnya. Jam dinding baru menunjukkan pukul 2.30 petang. Bahang mentari dari atap rumah terasa merimaskann kulit. Mujurlah ada kipas meja. Jika tidak, pasti dia sudah kepanasan ketika ini.

Kelopak mata tiba-tiba terasa berat untuk dibuka. Terasa kering dan memedihkan. Patung kapas karektor Spongebob Squarepants pemberian emaknya sempena ulang tahun kelahirannya yang ke 16 April lalu, dipeluk. Kelopak mata semakin berat untuk dibuka. Dalam sekejap sahaja dia terlena dalam keresahan jiwa.

Bersambung BAB 20...


Segala nama watak dan jalan cerita adalah rekaan penulis semata-mata. Tiada kena mengena dengan yang masih hidup atau yang telah mati. Jika ada nama tempat, syarikat, lokasi dan kata nama khas, penulis sekadar memasukan dalam konteks fiksyen semata-mata dan tidak ada kena mengena dengan nama tempat, syarikat, lokasi dan kata nama khas yang sebenarnya.

Mungkin jalan cerita di dalam novel ini ada menyentuh sedikit sensitiviti sesetengah golongan. Jadi, anggaplah apa yang diceritakan sekadar untuk hiburan semata-mata. Harap maklum.


Mantap