Dikuasakan oleh Blogger.

Ahad, 29 Jun 2014

MUNGKIN INI TAKDIRKU - BAB 20


| 20 |

“DAHLAH geng. Dah nak Magrib ni. Kita sambung esok ajelah.” Jerit Faizul kepada rakan-rakannya yang lain yang masih mengejar bola di padang.

Mendengarkan suara Faizul itu, masing-masing mula menyusun langkah ke tepi padang. Azri, Izwan, Hafiz dan Andy mengekori langkah Faizul dari belakang menuju ke tempat duduk masing-masing di tepi padang itu.

Sampai sahaja di kerusi, masing-masing mencapai botol air lalu diteguk isinya dengan rakus. Dahaga dek kehilangan air di dalam badan semasa bermain bola sepak tadi masih terasa. Terasa segar tatkala air melintasi kerongkong serta merta menyejukkan sedikit suhu badan yang masih berbahang.

Azri menyenggol lengan Faizul selepas terlihat Fazura dan Sabrina sedang berdiri berhampiran dengan mereka.

“Kenapa?” Tanya Faizul biasa.

“Tu, adik kau. Apa dia buat kat sini?” Tanya Azri sambil menjuihkan bibirnya ke arah Fazura yang sedang tergedik-gedik dengan Andy.

Faizul menoleh. Sesaat kemudian dia menggeleng. Lali dengan perangai mengada-ngada Fazura. Dia pun sudah naik malas mahu menasihatkan. Makin dinasihatkan semakin menjadi-jadi. Lagipun dia masih bengang dengan Fazura di sebabkan kes telefon bimbitnya semalam.

“Entahlah Ri, nak mengatal dengan Andylah tu. Lantak dialah.” Desah Faizul malas untuk mengambil tahu. Botol air yang sudah tinggal suku isinya dimasukan ke dalam beg sandangnya semula.

“Kau tak nak tegur ke?” Azri sekadar bertanya. Tiada niat untuk menyinggung perasaan Faizul.

“Berbuih dah mulut aku ni menasihat. Jangan nak mengatal dengan budak lelaki. Dia tetap macam tu. Sound troublelah budak tu.” Keluh Faizul bosan.

Azri tergelak. Malas untuk dia mendesak lagi. Dia tahu, kawannya itu cukup tidak suka dipaksa-paksa. Kalau dipaksa juga, bakalan naik angin pula nanti.

“Tapi, dia perempuan. Bahaya tu.” Dalam kebimbangan, Azri tetap mengingatkan.

“Lantaklah sana. Nanti kalau dah kena kat batang hidung sendiri, baru dia sedar. Sekarang ni dia tak pernah kena lagi tu. Jadi, nasihat aku langsung tak jalan. Buat penat aku bagi nasihat aje.” Luah Faizul mahu tak mahu. Naik penat dia membebel menegur perangai gedik Fazura selama ini. Tapi, satu pun tidak diikutnya. Membazir air liur saja mansihatkan. Itulah tanggapannya.

“Dahlah, jom balik. Lambat pulak nanti. Dah nak masuk Magrib ni.” Ajak Faizul. Beg disandang di bahu, kasut bola ditukar dengan selipar.

“Adik kau?” Azri tetap mengambil berat fasal Fazura. Walaupun Fazura itu tiada kena mengena dengannya, dia sebagai kawan Faizul harus mengingatkan.

“Nanti tahulah dia balik.” Rengus Faizul lalu melangkah menuju ke basikalnya. Azri mengekori dari belakang. Izwan dan Hafiz awal-awal lagi sudah meninggalkan kawasan padang.





USAI sahaja menunaikan solat Magrib, Idham terus bersiap-siap untuk ke warung Pak Isa di pekan. Sudah tiba masanya untuk dia bekerja. Selesai menukar pakaian, Idham melangkah ke ruang tamu yang hanya seluas tujuh meter persegi sahaja. Tiada perabut atau alatan elektrik. Yang ada cuma tikar pandan usang menjadi alas lantai.

Dua adiknya sedang asyik dengan buku latihan masing-masing. Sayu hatinya melihat adik-adiknya mengulang kaji hanya diterangi dengan lampu pelita minyak tanah sahaja. Syukurlah, adik-adiknya tidak pernah merungut.

Idham duduk di sebelah adik bungsunya. Latihan Matematiknya sedang dibuat. Bangga melihatkan adiknya kusyuk membuat latihanya walaupun pencahayaan rumah mereka hanya sekadar malap. Dikerling keluar rumah melihat kelibat emaknya. Keadaan luar rumah semakin gelap. Langit jingga manandakan siang sudah sampai ke penghujungnya untuk hari ini. Malam pula mula membuka layarnya.

Dia tidak akan meninggalkan rumah selagi emaknya tidak pulang. Adik-adiknya masih kecil. Tidak harus ditinggalkan sendirian di rumah. Dia bimbang jika berlaku apa-apa kepada adik-adiknya. Terutama adik perempuannya. Dia tidak mahu apa-apa berlaku pada adiknya itu.

Tiba-tiba telinganya menangkap bunyi tapak kaki milik emaknya mula mendekat menyusuri jalan seperti denai kecil di sebalik gelap malam. Lekas Idham menoleh keluar rumah melalui muka pintu. Sangkaannya benar. Kelihatan emaknya sedang melangkah dengan sebungkus pelastik di tangan.

“Assalamualaikum.” Ucap Mak Bibah selepas sampai di muka pintu. “Mak mintak maaf Idham, lambat sikit. Kemas stok baru tadi.” Pohon Mak Bibah pada Idham.

“Tak apalah mak. Bukan lambat sangat pun.”

“Ni, mak ada bawak keropok ikan, kerepek ubi dengan kerepek pisang. Pak Mat bagi.” Beri tahu Mak Bibah sambil mengangkat plastik di tangannya separas pinggang ke arah dua lagi anaknya yang sedang asyik mengulang kaji.

“Ye, ye, mak bawak makanan.” Riang anak bungsunya dengan pemberian emaknya itu. Berlari-lari anaknya mendapatkan bungkusan plastik itu.

“Pak Mat bagi?” Idham hairan. Setahunya, jarang Pak Mat yang di anggap tangkai jering itu mahu memberi makanan pada emaknya.

“Makanan tu dah expired. Tapi mak tengok elok lagi. Lepas mak tutup kedai, mak kutip balik makanan tu kat tong sampah. Elok lagi.” Jawab Mak Bibah berbisik pada Idham. Dia tidak mahu kata-katanya tadi didengari oleh anak kedua dan bungsunya itu. Bukan dia ingin meracuni anaknya. Tapi, dia terpaksa. Dia tidak mahu anak-anaknya belapar. Dia tahu, anaknya teringin makan makanan ringan seperti itu. Hanya baru hari ini dia dapat tunaikan. Itu pun sekadar makanan ringan yang baru sahaja sampai tarikh luputnya.

Idham tertunduk sedih. Dia memahami keadaan emaknya yang sering ingin membuat hati semua anak-anaknya gembira tanpa sedikit pun memikirkan pasal hati dan perasaannya. Dia tahu emaknya senantisa bersedih tatkala melihat nasib anak-anaknya.

“Baiklah mak, Idham nak pergi kerja dulu.” Pinta Idham lalu menghulurkan tangan untuk bersalaman.

Mak Bibah mengangguk akur lalu menyambut salaman anaknya. Tangannya dicium mesra.

“Ni mak ada bawa roti. Tapi dah expired hari ni. Tapi, mak dah makan tadi, tak ada apa-apa. Elok lagi. Kamu bawaklah sebagai bekal.” Mak Bibah menghulur seketul roti kaya kepada Idham. Dia tahu anaknya itu tidak menjamah makanan tengah harinya tadi. Alasannya, dia sudah dibelanja makan oleh seorang rakannya di sekolah. Entahkan benar, entahkan tidak.

“Tak apalah mak. Mak bagilah kat adik. Nanti malam dia lapar lagi.” Idham menolak dengan baik. Bukan ingin mengecilkan hati emaknya. Tapi dia lebih mementingkan adik-adiknya. “Lagi pun Idham boleh makan kat warung nanti.” Alasan yang sama diberi setiap kali diberi bekal.

Mak Bibah tidak mahu mendesak. Akur dengan kehendak anak sulungnya itu. Hatinya sayup melihat nasib anak sulungnya. Terpaksa mengorbankan keriangan zaman remajanya, kerana terpaksa menyara keluarga. Dalam pada itu dia berasa bangga memiliki anak seperti Idham yang terlalu ambil berat dan bertanggungjawab terhadap adik-adiknya.

“Idham pergi dulu.” Pinta Idham lalu menyusun langkah meninggalkan rumah.

Mak Bibah mengangguk akur. Dilihat kelibat anak sulungnya sehingga hilang di sebalik gelap malam. Selepas kelibat anaknya menghilang, dia kembali ke dalam rumah. Pintu rumah ditutup lalu dikunci dari dalam. Di pandang ke arah anak kedua dan bungsunya. Asyik mengulang kaji sambil menjamah makanan ringan yang dibawanya tadi.

Maafkan mak sebab bagi kamu berdua makan makanannya yang dah expired. Hanya itu rezeki kita hari ini, keluh Mak Bibah sendirian di dalam hati. Sebelum memberikan makanan ringan itu kepada anak-anaknya tadi, dia sudah memeriksanya terlebih dahulu. Walaupun tarikh luput makanan itu sudah tamat hari ini, tapi makanan itu masih elok dan masih boleh dimakan. Sebab itu dia berani memberikanya kepada anak-anaknya.

Beberapa saat kemudian, Mak Bibah masuk ke dalam bilik. Dia masih belum menunaikan solat Magrib. Hampir sampai klimaks waktu yang tinggal. Dia perlu segera menunaikan kewajibannya itu.


Bersambung BAB 21...


Segala nama watak dan jalan cerita adalah rekaan penulis semata-mata. Tiada kena mengena dengan yang masih hidup atau yang telah mati. Jika ada nama tempat, syarikat, lokasi dan kata nama khas, penulis sekadar memasukan dalam konteks fiksyen semata-mata dan tidak ada kena mengena dengan nama tempat, syarikat, lokasi dan kata nama khas yang sebenarnya.

Mungkin jalan cerita di dalam novel ini ada menyentuh sedikit sensitiviti sesetengah golongan. Jadi, anggaplah apa yang diceritakan sekadar untuk hiburan semata-mata. Harap maklum.



Mantap