Dikuasakan oleh Blogger.

Isnin, 30 Jun 2014

MUNGKIN INI TAKDIRKU - BAB 21


| 21 |

WAJAHNYA ditatap lebih kurang di depan cermin. Berkilat kulit mukanya kerena berminyak. Macam-macam jenama pencuci muka telah digunakan, satu pun tidak bisa mengurangkan kadar minyak di wajahnya. Baik yang berjenama, bermanik mikro, dan macam-macam lagi jenis pencuci muka, langsung tidak berkesan untuknya.

Kertas tisu yang telah digunakan dimasukan ke dalam tong sampah yang ada di tepi singki. Dibelek-belek lagi lebih kurang kulit mukanya di depan cermin. Selepas berpuas hati, langkah disusun keluar dari tandas. Sempat matanya mengerling ke sebuah kelas yang betul-betul berhadapan dengan tandas. Saja ingin mengintai insan yang diminati. Malangnya insan itu tidak kelihatan. Langkah diteruskan.

Entah mengapa, tiba-tiba sahaja Sabrina tergerak hati ingin melalui jalan lain untuk kembali ke kelas. Saja ingin melalui jalan jauh. Jalan yang ingin dilaluinya ketika ini adalah jalan yang menghubungkan makmal Sains dan kelasnya. Jalan ini agak lengang dan jarang dilalui oleh pelajar-pelakar lain kerana kawasan ini bersekitarkan Taman Herba sahaja.

Langkah disusun longlai lagi sepi. Hanya kedengaran riuh dari kantin sahaja. Itu pun sekadar sayup-sayup sahaja kedengaran. Langkah diteruskan sambil mindanya menerawang entah ke mana. Tiada difokuskan kepada mana-mana hal. Sekadar melintas lalu lalang tanpa meninggalkan sebarang bekas.

Langkah tiba-tiba menjadi perlahan bila mana sang pendegaran menangkap sesuatu bunyi yang menjanggalkan. Sabrina memincing telinga. Mencari dari mana arah datangnya suara itu. Selepas diamati, suara yang mula menerjah gegendang telinganya jelas bunyi yang berbentuk perbualan antara dua manusia. Langkah dipesongkan ke arah di mana datangnya bunyi suara itu.

Sabrina terhendap-hendap di sebalik pokok sirih yang semakin merimbun melilit di pagar. Terus mencari-cari tuan punya suara. Selapas di dengar dengan teliti, suara itu datangnya dari arah pondok maklumat! Kedengaran seolah orang sedang berbual. Kemudian, tergelak-gelak. Sungguh rancak perbulan itu. Mendengarkan suara itu, seolah dia kenal tuan punya suara.

Sabrina mencari posisi dan kawasan yang lebih jelas untuk mengintai tuan punya suara. Perlahan-lahan langkah disusun menghampiri pondok maklumat itu. Diselak daun sirih untuk melihat wajah-wajah tuan punya suara. Terbuntang mata Sabrina melihat apa yang sedang menghiasi pandangan matanya ketika ini. Dia tidak menyangka, ditengah-tengah Taman Herba yang sepi lagi sunyi ini, wujudnya dua orang manusia sedang berbual mesra. Saling bertepuk tampar dan bergelak ketawa.

Apa yang memeranjatkan lagi, kedua insan itu masing-masing dia cukup kenali! Salah seorang dari mereka femilar dalam hidupnya, dan seorang lagi sering mendiamkan diri tika di dalam kelas. Tidak sangka pula insan pendiam itu rupa-rupanya terlalu ramah berkata-kata. Sesuatu yang menggemparkan. Hal ini tidak perlu dirahsiakan. Fazura orang pertama yang harus diberitahu fasal hal ini. Kerana salah seorang di antara mereka, berkait rapat dengan Fazura. Langkah disusun laju menuju ke kelas.





FYRUL menghabiskan sisa ketawanya. Teka-teki yang di soal oleh Idham tadi sangat melucukan. Geli hatinya bagai digeletek beramai-ramai. Tidak kering gusi tatkala berbual dengan Idham. Ada saja lawak jenaka yang Idham cipta.

Masing-masing mula reda dari ketawa. Keadaan tiba-tiba sunyi. Idham masih mengukir senyum girang. Fyrul pula mula hambar senyumannya, ada sesuatu yang merungsingkan. Entah bagaimana, tiba-tiba perasaan itu mula mengulit dan membelit tangkai perasaannya.

“Kau kenapa pulak ni?” Tanya Idham risau. Risau bila Fyrul tiba-tiba berubah mendung.

Fyrul mengukir senyuman hambar. Sekejap kemudian dia beralih hiba. Hiba bila memiliki seorang rakan sekelas sebaik Idham. Tidak kisah berkawan denganya yang sering menjadi bahan umpatan, cemuhan dan ejekkan. Abah dan abangnya sendiri pun sukar untuk mengaku dia adalah sebahagian dari mereka. Tapi Idham sanggup menerimanya sebagai kawan sejati tatkala, rakan-rakanya yang lain seolah geli geleman untuk berkawan denganya.

Selain Aizat yang seperwatakan denganya yang telah menjadi kawan baiknya sejak kecil di kampung. Dia tiada lagi kawan lain. Mungkin sudah nasib hidupnya begini. Jika dia mempunyai kawan pun hanya sekadar seorang dua.

“Tak ada apa-apalah.” Jawab Fyrul berselindung. Dia tidak mahu apa yang dibekamkan di dalam hatinya dikongsi bersama Idham. Cukuplah Idham sudi berkawan denganya, dia tidak mahu ikatan persahabatan ini terlerai. Setiap ikatan persahabatan yang terjalin, sedaya upaya dia pertahankan.

“Kau ni, tak bestlah tetiba sedih. Tak happy go lucky tau? Tak naklah drama sedih kat sini.” Idham memujuk. “Kau ada masalah ke?” Tanya Idham lagi cuba mencungkil.

Fyrul mengeleng. Senyuman hibanya semakin meleret. Apa yang berbekam dibiarkan semakin melarat. Dia tidak mahu apa yang berbekam diluahkan dan akhirnya akan merosakan ikatan persahabatanya bersama Idham. Dia tidak mahu hal itu berlaku. Dia terlalu menghargai ikatan persahabatan ini.

“Kalau dah tak ada apa-apa kenapa mata kau merah. Tak bestlah nangis-nangis ni. Kalau ada masalah, kau boleh cerita pada aku. Aku sedia mendengar. Apa gunanya aku jadi kawan kau?” Idhan terus memujuk. Cuba ingin menyelongkar apa yang dipendam oleh Fyrul.

“Tak ada apa-apalah. Dah cepat habiskan makanan tu. Waktu rehat dah nak tamat ni.” Fyrul menukar topik perbualan.

“Tak naklah aku habiskan, kalau kau tak nak cerita pada aku.” Idham cuba protes. Makananya diabaikan.

“Tak ada apa-apalah, cuma masalah peribadi aje. Tak sesiapa boleh tolong. Kalau kau tak nak makan, esok aku tak nak bawak bekal untuk kau lagi.” Fyrul mengugut, merajuk.

“Okey-okey. Sorry sebab aku desak kau. Mungkin kau belum bersedia nak bercerita pada aku. Tapi…” Idham menggenggam tangan Fyrul. “Kalau kau dah sedia nak ceritakan masalah kau pada aku, aku sedia mendengar.” Idham cuba meraih kepercayaan Fyrul. Dia ikhlas untuk membantu.

Fyrul terkejut dengan sentuhan itu. Tapi dia tidak berbuat apa-apa. Sekadar dibiarkan tangannya digenggam oleh Idham. Tanggapannya mungkin Idham cuba memberi semangat padanya melalui sentuhan dan tidak lebih dari itu.

“Okey…” Akur Fyrul lalu menarik tangannya dari terus digenggam oleh Idham.

“Kalau macam tu, makan bekal kau tu. Membazir aje bawa kalau tak dihabiskan.” Pujuk Idham.

Fyrul angguk akur. Sayu dan hiba hatinya melihat kebaikan Idham. Wajah bersih Idham ditatap biasa. Bangga perasaannya kerana mendapat seorang sahabat sejati seperti Idham. Tanpa mereka berdua sedari, ada tiga pasang mata sedang mengintai perlakuan mereka dari jauh.





“BETUL tak apa yang aku bagi tahu kat kau tadi? Tadi aku cakap kau tak nak percaya. Nah, kau sendiri dah tengok depan mata kau, kan? Bukan main mesra si sotong tu dengan si Idham tu.” Sindir Sabrina selepas masing-masing melabuhkan punggung di atas kerusi masing-masing.

“Tulah, aku pun tak sangka. Idham tu rupanya…”

“Hisy kau ni Zura tak baik fikir yang bukan-bukan tau? Kan dia orang tu kawan. Yang kau nak fikir yang bukan-bukan ni apa hal?” Intan mencelah sebelum sempat Fazura menghabiskan kata-katanya.

“Kau buta ke Intan? Ke kau ni dah rabun jauh?” Bentak Fazura bengang bila tanggapanya tadi ditolak mentah-mentah oleh Intan sebelum dia menghabiskan kata-katanya.

“Siap bersedih-sedih macam dalam drama Korea kat TV tu. Siap pegang tangan macam kat dalam telenovela. Kau kata tak ada apa-apa? Kau tak pelik ke bila tengok lelaki pegang tangan lelaki? Siap feeling, feeling sedih lagi.” Sambung Fazura lagi melepaskan ketidakpuasan hatinya.

“Ala, apa nak hairan? Aku tengok, ada jugak budak-budak perempuan yang pegang tangan sesama mereka. Orang tak fikir yang bukan-bukan pun?” Intan masih ingin menegakkan tanggapannya.

“Intan.” Sabrina mengambil alih berbicara. “Perempuan lain. Kita ni golongan lemah. Saling membantu antara satu sama lain antara kawan-kawan ni tak apa. Lelakikan diciptakan sebagai kaum yang gagah dan diberi hak asasi mutlak untuk membimbing kaum yang lemah.” Jelas Sabrina panjang lebar dan mula mengutarakan hujahnya.

“Jadi, kalau kaum lelaki ini diciptakan sebagai ketua kepada yang lemah, mereka tak boleh pegang tangan kawan dialah?” Intan masih tidak mengerti maksud sebenar Sabrina.

Sabrina mengaru kepalanya dari luar tudung. Tidak tahu bagaimana dia ingin menerangkan kepada Intan.

“Kalau lelaki pegang tangan lelaki ni, seolah lelaki tu lemah. Tak boleh jadi ketua keluarga. Asyik nak bergantung pada orang lain aje.”

“Dan mungkin lelaki tu homoseksual. Istilah yang glamour, gay atau Cik Gayah.” Fazura mencelah. Terlalu susah untuk membuat Intan fahami maksud mereka.

“Hisy, takkanlah Fyrul dengan Idham tu gay? Tak mungkinlah. Takkan bila nampak lelaki pegang tangan lelaki yang di anggap kawannya kita terus nak cop mereka gay? Tak baik tau kau orang ni buruk sangka. Entah-entah mereka hanya sekadar kawan aje,” Intan cuba mengubah persepsi dan andaian negatif Fazura dan Sabrina yang di anggap salah dan berfikiran sempit. Menilai orang tampa disiasat hal yang sebenar.

“Dah, tak payah nak terangkan pada mangkuk ni. Berbuih kita cakap pun, bukan dia nak faham.” Bentak Fazura pada Sabrina, bosan. Sabrina angguk akur.

Diam.

“Aku tak sangka. Aku ingatkan Fyrul tu tak ada kawan kat sekolah ni. Dalam senyap-senyap, rupanya dia ada skandal di sebalik rimbunan pokok kat Taman Herba tu.” Sabrina mula buruk sangka.

“Hisy, tak baiklah fikir macam tu.” Intan mencelah.

“Kau diam!” marah Sabrina dan Fazura serentak. Tertunduk-tunduk Intan, akur.

“So, apa yang kau nak buat sekarang?” Tanya Sabrina pada Fazura. Dia tahu Fazura memang pantang melihat abang tirinya itu bahagia. Pasti ada saja rancangan jahatnya untuk membuat Fyrul terus menderita. Sejak kecil lagi, Fazura memang telah membenci abang tirinya itu.

“Entah, rancangan aku nak balas dendam fasal hand phone abang aku tu pun tak settle lagi. Muncul pulak hal lain. Nantilah aku fikirkan.” Jawab Fazura buntu.

“Kalau macam tu, biar aku tolong kau porak perandakan hubungan si sotong tu dengan si Idham.” Sabrina menawar diri. Di dalam mindanya sudah terancang sesuatu yang jahat untuk mengenakan Fyrul.

Fazura memandang hairan pada Sabrina. Ternaik sebelah keningnya. Tidak sangka Sabrina sanggup menolongnya untuk mengenakan Fyrul.

“Apa rancangan kau?” Tanya Fazura ingin tahu.

Sabrina tersengih melirik.



Bersambung BAB 22...


Segala nama watak dan jalan cerita adalah rekaan penulis semata-mata. Tiada kena mengena dengan yang masih hidup atau yang telah mati. Jika ada nama tempat, syarikat, lokasi dan kata nama khas, penulis sekadar memasukan dalam konteks fiksyen semata-mata dan tidak ada kena mengena dengan nama tempat, syarikat, lokasi dan kata nama khas yang sebenarnya.

Mungkin jalan cerita di dalam novel ini ada menyentuh sedikit sensitiviti sesetengah golongan. Jadi, anggaplah apa yang diceritakan sekadar untuk hiburan semata-mata. Harap maklum.


Mantap