Dikuasakan oleh Blogger.

Selasa, 1 Julai 2014

MUNGKIN INI TAKDIRKU - BAB 22


| 22 |

FYRUL melangkah menuju ke tempat meletak basikal. Tiba-tiba dahinya berkerut. Hampir bercantum kedua keningnya. Hairan melihatkan ada sesuatu di dalam bakul basikalnya. Langkah semakin dipercepatkan menuju ke basikal itu. Dia semakin hairan bila mendapati ada sekuntum bunga ros merah terselit di situ. Lekas anak matanya meliar ke sekelilingnya. Melihat kalau-kalau kelibat si pemberi bunga itu masih berdekatan.

Malangnya tiada sesiapa di situ. Hanya sekadar pengawal yang sedang mengawal kenderaan yang keluar masuk. Beg sekolah dan beg kertas berisi tupperware dan bekas minumannya disumbat ke dalam bakul basikal. Bunga tadi masih digenggaman. Hairan, siapalah yang telah meletakan bunga ros merah itu di dalam bakul basikalnya? Apakah si pemberinya tersalah letak? Fyrul berandaian.

Bunga ros diselitkan di sebalik celahan beg sekolahnya di dalam bakul. Basikal ditunggang lalu dikayuh menyusur laju ke arah kawasan pagar utama sekolah. Basikal diberhentikan betul-betul dihadapan pondok pengawal.

“Assalamualaikum pak cik.” Tegur Fyrul, sopan.

“Waalaikumussalam.” Jawab pengawal yang ada di dalam pondok pengawal itu.

“Pak cik ada nampak sesiapa tak, masukan bunga ke dalam bakul basikal saya?” Tanya Fyrul hormat.

Pengawal tadi tertawa kecil. Pertanyaan Fyrul itu dianggap kelakar.

“Kau ingat aku tak ada kerja lain ke, nak jaga basikal kau ni? Kau ingat, kau sorang aje ke yang belajar kat sekolah ni? Kau tahu tak, dalam sehari beratus orang keluar masuk sekolah ni tau? Kau ingat aku ada masa ke nak check seorang-seorang? Kalau kau bayar…” Leter pengawal tadi panjang lebar.

“Tak apalah pak cik, saya tanya aje. Kalau tak tahu, tak apalah. Assalamualaikum.” Pintas Fyrul sebelum sempat pengawal tadi membebel berjela. Baru ditanya sikit, sudah ingin membebel yang bukan-bukan. Dari jauh masih kedengaran pengawal tadi berdecit-decit memakinya.

Aku tanya aje, tetiba nak naik angin. Takkanlah pak guard tu period kut? Jawab ajelah, tak ada. Kan senang. Tak payah nak berkias-kias. Rungut Fyrul sambil mengayuh basikalnya laju menuju ke arah pekan. Selepas lima minit mengayuh, tiba-tiba pendengarannya menangkap bunyi deru enjin motorsikal yang pernah dia dengari sebelum ini semakin menghampirinya.

“Hai Fyrul.” Sapa seseorang yang menjadi kerungsingannya.

Fyrul tidak menjawab. Dijeling sinis sekilas pada Jeffry. Lelaki yang baru dia kenali semalam!

“Awak dah dapat bunga yang saya bagi tu?” Tanya Jeffry lagi.

Fyrul tersentak. Rupanya, bunga ros yang ada di bakulnya ketika ini adalah pemberian Jeffry. Lekas tangannya menarik brek. Basikal berhenti mendadak. Jeffry juga turut memberhentikan motorsikalnya. Terkejut dengan reaksi Fyrul itu.

“So, bunga ros ni awaklah yang bagi?” Tanya Fyrul lalu dicapai bunga ros yang ada di dalam bakul basikalnya. Di angkat bunga ros itu separas muka Jeffry.

“A’ah.” Lekas Jeffry menjawab. “Awak suka?” Tanya Jeffry manja.

“Sorrylah, saya tak minat bunga.” Bunga ros dihulur pada Jeffry. “Saya tak layak terima bunga ni. Biasanya, orang yang kasi bunga ni, lelaki yang nak mengurat awek. Bukannya nak ambil hati seorang kawan macam saya ni.” Jelas Fyrul, benci. Dia kurang selesa dengan pemberian itu. Malangnya bunga ros itu tidak disambut oleh Jeffry.

“Okeylah, saya nak balik. Bagilah bunga ni pada gadis yang awak suka ya? Apa yang pasti saya ni bukan gadis.” Bunga ros dimasukan ke dalam bakul motor Jeffry lalu basikal kembali dikayuh.

“Nantilah.” Jeffry menghalang perjalanan Fyrul.

“Hisy, apa ni. Apa lagi yang awak nak dari saya? Semalam awak nak kenal-kenal dengan saya. Fine, saya dah setuju. Takkan hari ni awak nak paksa saya terima bunga ros tu kut?” Bentak Fyrul. Dia kurang senang dengan perlakuan Jeffry. Dia betul-betul pelik dengan perangai Jeffry. Apa motif dia ingin mendekatinya?

“Kalau saya kata ya, macam mana?” Jeffry menjawab.

“Awak ni betul-betul gilalah.” Rengus Fyrul lalu dijeling sinis pada Jeffry.

“Ya, memang saya gila. Saya gilakan awak.”

“Hey, pleaselah. Awak sepatutnya guna ayat-ayat tu pada si gadis tau? Bukan dengan saya? Awak ni…” Berat untuk Fyrul menghabiskan kata-katanya. Takut dia tersalah tafsir.

“Salah ke saya nak berkenalan dengan awak dengan lebih rapat? Salah ke saya nak anggap awak lebih dari seorang kawan?” Jelas Jeffry dengan nada mengoda. Bunga ros di bakul motorsikalnya dicapai, lalu dicium rakus. Bunyi batukkan enjin motorsikalnya langsung tidak mengganggu perbualan mereka.

“Sorry okey? Saya bukan orang yang macam tu.” Jelas Fyrul semakin bengang. Bengang bila Jeffry mula menunjukan sikap yang bukan-bukan. Dia kurang selesa dengan renungan mengoda Jeffry. Terasa lain macam. Meremang bulu tengkuknya buat seketika.

“Awak pasti?” Tanya Jeffry manja lalu menggenggam pergelangan tangan Fyrul.

“Apa ni?” Tepis Fyrul kasar. “Jangan nak melampau okey?” Fyrul mula naik angin bila Jeffry mula berani memegang tangannya.

“Okey-okey, saya minta maaf.” Pohon Jeffry serba salah sambil melepaskan genggaman tangannya. Dia mula sedar, dia tidak perlu terlalu gelojoh dalam melaksanakan rancangannya. Dia perlu perlahan-lahan mengayuh. Fyrul bukan seperti yang disangka.

“Sorry kalau awak tak selesa. Tapi, tak salah kan kalau saya nak berkawan dengan awak? Kawan baik maksud saya.” Jeffry berlagak serba salah. Mula menukar taktik.

Fyrul memandang pelik pada Jeffry. Meminta Jeffry meneruskan penjelasannya.

“Saya tahu saya tak sepatutnya bertindak extreme macam ni. Kalau macam tu, apa kata kita keluar makan esok? Saya belanja makan sebagai tanda minta maaf saya kerana memaksa awak tadi. Awak sudi tak?” Dengan sepantas kilat Jeffry mengubah rancanganya.

“Kenapa saya perlu terima pelawaan awak?” Tanya Fyrul hairan. Hairan, kenapa lelaki seperti Jeffry yang pada agakannya pasti ramai peminat wanita di luar sana, beria-ia ingin berkawan dengan seorang budak lelaki yang jelas kelemahannya sepertinya?

“Saya ikhlas nak berkawan dengan awak.” Jelas Jeffry konon-konon jujur. Wajah keikhlasan sehabis baik diukir di wajahnya. Dia mula bermain dengan emosi.

Fyrul serba salah. Dia tertipu dengan wajah keikhlasan Jeffry itu. Keluhuran cahaya dari mata Jeffry jelas menggambarkan keikhlasannya. Apakah perlu dia menerima pelawaan Jeffry? Apa benar Jeffry itu benar-benar ikhlas ingin berkawan denganya? Atau ada satu konspirasi yang dia sendiri tidak tahu?

“Please? Berilah saya peluang untuk tebus kesalahan saya,” rayu Jeffry bersungguh.

Fyrul semakin kalut dan serba-salah. Kalut untuk menerima pelawaan itu dan serba-salah untuk menolak pelawaan itu. Apa yang perlu dia lakukan sekarang? Dia kebingungan seketika. Terdiam tidak bersuara. Cuba mempertimbangkan pelawaan itu. Apa salahnya jika dia memberi peluang pada Jeffry. Sebagai manusia biasa, kita harus memupuk sifat pemaaf. Manalah tahu, Jeffry memang benar-benar ikhlas ingin berkawan dengannya. Bertambah juga jumlah kawanya selepas ini.

“Bila?” Takut-takut Fyrul menanya.

Jeffry tersengih puas. Rancangan keduanya yang tercetus sebentar tadi berjaya. Lakonanya juga jelas berkesan memainkan perasaan Fyrul. Hatinya melonjak kegembiraan walaupun rancangan asalnya hampir goyah sebentar tadi. Nasiblah otaknya bergeliga dalam merangka rancangan sebegini.

“Esok malam. Kalau awak tak kisah. Kalau kisah kita keluar siang.” Beri tahu Jeffry teruja.

Fyrul terdiam seketika. Cuba menimbang masa yang dicadangkan oleh Jeffry.

“Okey.” Fyrul setuju.

Jeffry melonjak kegembiraan di dalam hati. Rancanganya kembali lancar.

“Esok, pukul berapa nak saya jemput awak?”

“Emm…, kita jumpa dekat depan kampung saya selepas Magrib ek?”

Jeffry terdiam seketika.

“Lepas Magrib tu pukul berapa?”

Fyrul tertawa kecil. Terlupa pula yang Jeffry itu bukan Islam. Pasti dia tidak tahu masa yang tepat bila masukanya waktu Magrib.

“Dalam pukul 7.45 malam. Saya tunggu kat bustop depan kampung saya. Tahu tak kampung saya kat mana?”

“Tahu.” Lekas Jeffry menjawab. Sememangnya sudah awal-awal lagi dia tahu di mana rumah Fyrul. Semuanya atas informasi dari rakan komplotnya.

“Kalau tak ada apa-apa saya balik dulu.” Pinta Fyrul lalu mengayuh pedal basikal menuju ke arah pekan. Kemusykilan dan kerungsingan yang melandanya sebelum ini dirasakan mula terurai. Lega selepas melihat kejujuran dan keikhlasan Jeffry yang ingin berkawan. Hakikatnya, dia tidak tahu apa sebenarnya yang telah dirancangkan untuknya.

Senyuman Jeffry semakin meleret. Tidak menyangka, begitu mudah dia memperdaya seorang lelaki seperti Fyrul. Dia akan pastikan Fyrul akan jatuh ke jebak perangkapnya. Dia mula berasa seronok dengan permainan ini. Perkara yang dianggap gila, mustahil dan bodoh ini akhirnya berjaya dilaksanakan dengan baik. Begitu mudah untuk dia bermuka-muka. Sesuatu yang telah menjadi kebiasaannya. Hidup berhasilkan dari perbuatan jahat dan keji. Itulah kehidupan lelaki yang bernama Zach.

Bersambung BAB 23...


Segala nama watak dan jalan cerita adalah rekaan penulis semata-mata. Tiada kena mengena dengan yang masih hidup atau yang telah mati. Jika ada nama tempat, syarikat, lokasi dan kata nama khas, penulis sekadar memasukan dalam konteks fiksyen semata-mata dan tidak ada kena mengena dengan nama tempat, syarikat, lokasi dan kata nama khas yang sebenarnya.

Mungkin jalan cerita di dalam novel ini ada menyentuh sedikit sensitiviti sesetengah golongan. Jadi, anggaplah apa yang diceritakan sekadar untuk hiburan semata-mata. Harap maklum.



Mantap