Dikuasakan oleh Blogger.

Khamis, 3 Julai 2014

MUNGKIN INI TAKDIRKU - BAB 23


| 23 |

PETANG itu, selepas selesai makan tengah hari, Fyrul telah ke pekan untuk membeli cili kering. Stok cili kering untuk membuat sambal sotongnya sudah habis. Dia perlu menambah stoknya. Dia membeli dengan mengunakan duitnya sendiri, hasil dari kumpulan duit belanja sekolahnya. Emaknya pernah ingin memberi, tetapi Fyrul menolak dengan baik. Dia tidak mahu menyusahan emaknya.

Nasibnya tidak baik hari ini, kedai runcit di mana dia selalu mendapatkan bekalan cili kering sudah kehabisan stok.

“Sorrylah Fyrul, stok baru cili kering kat kedai ni belum sampai lagi. Pak cik dah call suruh hantar cepat pada pembekal. Tapi, sampai sekarang tak sampai-sampai lagi.” Beritahu Pak Deman selaku tauke kedai runcit itu.

Fyrul mengeluh hampa.

“La, ya ke? Boleh pulak macam tu?” Rungut Fyrul.

“Nak buat macam mana. Biasanya masa-masa macam ni dah sampai. Entah kenapa bulan ni lambat sangat sampai. Pak Deman pun lupa nak simpankan sikit untuk kamu. Yelah, kamukan selalu beli kat sini.” Luah Pak Deman serba salah. Terlupa pula untuk menyimpan sedikit stok cili keringnya untuk Fyrul sedangkan dia sudah terbiasa dengan Fyrul yang akan mendapatkan stok cili keringnya dari kedai runcitnya hampir setiap minggu.

“Tak apalah pak cik. Bukan salah pak cik pun. Mungkin memang dah tak ada rezeki saya agaknya,” keluh Fyrul, hampa.

Diam.

“Pak cik, kat mana lagi ada jual cili kering, selain kedai pak cik ni? Saya tak pernah beli kat kedai lainlah,” tanya Fyrul selepas beberapa saat mendiamkan diri.

Pak Deman diam. Dia sedang berfikir.

“Kalau tak silap pak cik, kedai runcit hujung tu pun ada jual.” Beri tahu Pak Deman sambil menjuihkan bibir ke arah barisan kedai yang paling hujung.

“Kedai hujung sekali tu?” Tanya Fyrul sambil mengarahkan pandanganya ke arah kedai yang telah dimaksudkan oleh Pak Deman.

“A’ah” Jawab Pak Deman yakin.

“Kalau macam tu, saya ke sana dululah erk?” Pinta Fyrul sopan.

“Ha’ah, ya lah.” Akur Pak Deman sambil pandanganya mengekori langkah Fyrul.

Fyrul melangkah ke kedai runcit yang telah dimaksudkan oleh Pak Deman tadi. Kedai itu agak besar. Pelbagai barangan runcit dijual di situ. Tapi, susunan barangan di dalam kedai itu agak kelam kabut. Tidak tersusun seperti di kedai Pak Deman. Barang yang ingin dicarinya pun tidak tahu di mana letaknya. Fyrul melangkah ke kaunter pembayaran. Dapat dilihat seorang lelaki separuh abad sedang sibuk melekatkan tanda harga pada bungkusan gula-gula.

“Pak cik, tumpang tanya. Cili kering kat mana?” Tanya Fyrul sopan.

Lelaki tua itu merenung Fyrul sinis. Jarang sekali dia melihat Fyrul muncul di kedainya. Pasti ini kali pertama pelangganya itu bertandang ke kedai runcitnya untuk membeli. Sebab itu dia tidak tahu selok-belok susunan barangan di kedai ini. Itulah tanggapan lelaki tua itu terhadap Fyrul ketika ini.

“Bibah!” Tiba-tiba lelaki tua itu menjerit.

Fyrul tersentak. Tak siuman ke dia ni? Getus Fyrul dalam hati.

“Bibah!” Pekik lelaki tua itu lagi. Matanya menjeling sinis pada Fyrul.

Fyrul kurang selesa dengan jelingan sinis lelaki tua itu. Seolah kehadirannnya di situ tidak disukai.

“Ya bang.” Muncul pula seorang wanita yang dianggarkan usianya dalam lingkuangan usia 40an dari arah belakang.

“Kau ke mana, lambat sangat?” Tanya lelaki tua itu dengan nada menengking. Wajahnya bengis sekali.

“Saya susun barang baru kat belakang, bang. Maafkan saya.” Pohon wanita yang digelar sebagai ‘Bibah’ oleh lelaki tua itu.

“Kau tolong tunjuk pada pelanggan baru ni cili kering kat mana.” Suruh lelaki tua itu kembali menyambung membuat kerjanya semula.

“Baik, bang.” Akur wanita itu. “Adik nak cili kering?” Tanya wanita itu pada Fyrul.

“Ya mak cik. Kat mana ya?” Jawab Fyrul lembut. Sempat dia menjeling sekilas pada lelaki tua yang berada di depannya. Tiada senyuman terukir di wajah lelaki tua itu. Pututlah kedainya tak ramai pelanggan, muka asyik masam aje, rezeki pun takut nak datang, desis di dalam hati Fyrul.

“Cili kering ada kat rak belakang. Marilah ikut mak cik.” Pinta wanita itu.

“Baiklah mak cik.” Akur Fyrul lalu mengekori langkah wanita tadi.

“Terima kasih mak cik.” Ucap Fyrul sambil menghadiahkan senyuman manis pada wanita itu. Wanita itu tertunduk-tunduk lalu kembali ke dalam stor kedai.

Fyrul mengeluh. Cili kering di kedai ini nampak seolah sudah lapuk. Bungkusannya semua sudah berhabuk. Seolah cili kering itu stok lama. Fyrul menepuk-nepuk bungkusan itu bagi menghilangkan habuknya.

“Bang saya nak balik dulu untuk makan tengah hari. Sejam lagi saya datang lagi.” Kedengaran suara wanita tadi dari arah kaunter pembayaran. Fyrul memasang telinga.

“Ha! baliklah.” Suara lelaki tua tadi nak tak nak menjawab.

Senyap. Perlahan-lahan Fyrul mengintai di sebalik rak barang. Melihat apa sebenarnya telah berlaku di kaunter pembayaran.

“Emmm… kalau abang tak kisah, boleh tak saya nak kerepek-kerepek yang dah expired tu?” Pinta wanita tadi, takut-takut. Seolah dia sedang berhadapan dengan seorang majikan yang begitu garang.

“Kamu nak buat apa?” Tanya lelaki tua itu pula seolah terkejut.

“Saya nak bagi pada anak-anak saya.”

“Kamu gila ke apa? Kamu tahu tak makanan tu semua dah habis tarikh luputnya? Tak fasal-fasal anak kamu sakit perut, mati. Siapa nak bertanggung jawab? Sah-sah kamu akan salahkan aku. Lepas tu nak tuntut ganti rugi dari aku. Kamu memang dah simpan hasrat nak kenakan aku kan?” Maki lelaki tua itu melulu.

Fyrul yang sedang mengintai terkejut. Terkejut dengan tengkingkan itu. Begitu kasar sekali lelaki tua itu memaki pekerjanya.

“Tak bang, saya janji tak akan salahkan abang kalau ada apa-apa berlaku pada anak-anak saya. Saya janji saya tak akan libatkan abang.” Wanita itu merayu.

“Yalah. Sekarang ni belum jadi, bolehlah kau cakap. Nanti, bila dah jadi barulah kau nak bawak hal ni masuk TVlah, radiolah, surat khabarlah. Aku bukan tak tahu orang miskin macam kau ni. Nak ambik kesempatan pada orang kaya macam aku.”

Sayu hati Fyrul mendengarkan kata-kata lelaki tua yang pastinya tauke kedai ini. Begitu tajam kata hinaan dan cercaan itu dilemparkan pada pekerjanya itu.

“Dah, jangan nak buat muka kesian kat sini.” Maki lelaki tua itu lagi.

“Tolonglah bang. Dari dibuang makanan tu, baik abang bagi saya. Makanan tu elok lagi.” Wanita tadi tidak putus asa merayu. “Anak saya dah lama teringin nak makan kerepek tu.”

“Bukan aku tak nak kasi. Kau tahu tak makanan tu dah expired. Dah basi.”

Wanita itu terdiam. Beberapa saat kemudian dia akur lalu melangkah meninggalkan kedai.

Fyrul cepat-cepat mencapai lima bungkus cili kering yang ingin dibelinya lalu dibawa ke kaunter pembayaran. Sempat dia mencapai dua buku roti keping sebelum sampai ke kaunter pembayaran.

Selesai membuat pembayaran, cepat langkahnya mengejar langkah wanita tadi. Sedih melihatkan nasib wanita itu. Fyrul mengekori wanita itu sehingga ke rumahnya yang tidak jauh dengan kedai runcit tadi. Hati Fyrul tersentuh melihatkan keadaan rumah wanita itu. Terlalu uzur. Kecil. Terletak di kawasan yang agak terceruk di sebalik kebun pisang. Dinding rumahnya sekadar playwood usang. Bumbungnya pula sudah sompek-sompek dek dimamah karat. Sayu hatinya melihat nasib keluarga wanita itu.

Fyrul terhendap-hendap di sebalik pokok pisang yang tumbuh subur di depan rumah uzur itu. Dia mengintai di situ. Dia dapat melihat seorang budak perempuan sedang melangkah dari dalam rumah sambil membawa baldi menuju ke ampaian. Seorang kanak-kanak lelaki pula muncul di muka pintu, duduk memerhati budak perempuan tadi menyidai pakaian yang masih basah lencun. Tiba-tiba…

“Fyrul.”

“Owh mak kau meletup!” Fyrul melatah terkejut bila disapa tiba-tiba dari belakang.

“Kau buat apa kat sini?” Tanya Idham yang tiba-tiba saja muncul entah dari mana.

“Kau ni, buat aku terkejut aje, tak boleh ke beri salam elok-elok?”

Idham tergelak-gelak. “Kau buat apa kat sini?” Idham mengulangi lagi pertanyaanya tadi.

Fyrul gagau. Apa jawapan yang perlu dia berikan pada Idham? Perlukah dia berterus terang pada Idham yang dia sedang mengintai? Gila apa? Sah-sah aku yang malu nanti, bentak Fyrul di dalam hati.

“Taklah, saja aku jalan-jalan kat sini.” Fyrul menipu.

“Kat sini?” Idham hairan. Masakan Fyrul boleh berjalan-jalan dikawasan yang agak terceruk dari pendudukan ini? Dia semakin hairan.

Fyrul gagau lagi. “Kau pulak buat apa kat sini.” Fyrul beralih menanya.

“Rumah aku kat sini.” Jawab Idham jujur.

“Rumah kau kat kawasan ni?” Fyrul buat-buat terkejut. Wal hal di dalam hatinya tidak sabar ingin melarikan diri. Dia tidak mahu Idham menanyakan dengan lebih lanjut kenapa dia berada di kawasan ini. Dia tidak mahu perbuatannya tadi diketahui oleh Idham. Pasti dia yang akan dapat malu nanti.

“Ha’ah, rumah aku yang…”

“Okeylah Idham, aku nak balik dulu.” Pintas Fyrul sebelum sempat Idham menghabiskan kata-katanya.

“Kau naik apa ke sini?”

“Naik basikal. Basikal aku ada kat kedai depan tu.”

“Kenapa tak naik basikal aje tadi?”

“Kan aku kata, aku saja nak jalan-jalan kat kawasan ni. Kalau aku naik basikal, itu bukan jalan-jalan namanya. Itu bersiar-siar.” Seloroh Fyrul.

Idham tergelak kecil.

“Dahlah, aku balik dulu.” Pinta Fyrul tergesa-gesa.

“Okey, hati-hati jalan. Jatuh bangun sediri.” Jerit Idham sekadar mengusik.

“Blah la kau,” balas Fyrul dari jauh.

Idham tergelak-gelak. Sekejap kemudian dia hairan. Hairan dengan kemunculan Fyrul di hadapan rumahnya. Apa yang Fyrul buat dekat depan rumahnya tadi? Di pandang lagi ke arah kelibat Fyrul yang semakin menjauh. Beberapa saat kemudian, diabaikan perasaannya itu. Dia melangkah menuju ke rumahnya.

Bersambung BAB 24...


Segala nama watak dan jalan cerita adalah rekaan penulis semata-mata. Tiada kena mengena dengan yang masih hidup atau yang telah mati. Jika ada nama tempat, syarikat, lokasi dan kata nama khas, penulis sekadar memasukan dalam konteks fiksyen semata-mata dan tidak ada kena mengena dengan nama tempat, syarikat, lokasi dan kata nama khas yang sebenarnya.

Mungkin jalan cerita di dalam novel ini ada menyentuh sedikit sensitiviti sesetengah golongan. Jadi, anggaplah apa yang diceritakan sekadar untuk hiburan semata-mata. Harap maklum.


Mantap