Dikuasakan oleh Blogger.

Rabu, 2 September 2015

HASRUDI JAWAWI buat 'comeback' novel SERAM dengan tajuk TOWN MALL






SEPERTI yang sedia maklum, HASRUDI JAWAWI (oils lah tewww) memulakan kariernya dalam dunia penulisan novel dengan karya bergenre seram. Jika masih ingat, TANGISAN BERDARAH adalah karya pertama Hasrudi Jawawi yang telah diterbitkan pada tahun 2008. Dua tahun kemudian, iaitu tahun 2010, beliau muncul lagi dengan dua karya seram yang bertajuk KAU KUSERU yang merupakan sekuel novel TANGISAN BERDARAH dan sebuah lagi karya seram bertajuk CERMIN yang diterbitkan pada tahun yang sama.

TANGISAN BERDARAH Novel Seram dan novel pertama karya HASRUDI JAWAWI
KAU KUSERU - Sekuel Tangisan Berdarah dan merupakan novel kedua dan karya seram kedua HASRUDI JAWAWI.

CERMIN - Novel ketiga dan karya seram ketiga Hasrudi Jawawi. Selepas dari novel ini, Hasrudi Jawawi terus menghasilkan novel cinta sehingga tahun 2015. Novel ini turut berkongsi tahun penerbitan dengan novel KUPERCAYA ADA CINTA & AKU BUKAN MALAIKAT.


Selepas hampir tujuh tahun Harudi menyepi dari menghasilkan novel bertemakan seram, tahun ini (2015), beliau akan muncul dengan karya seram terbarunya yang berjudul TOWN MALL (seperti gambar di atas) yang bakal diterbitkan oleh BUKU PRIMA dan bakal berada di pasaran November 2015 nanti. Jika sebelum ini, Hasrudi lebih mengisahkan tentang dendam puntianak dan kuasa cermin. Kali ini, beliau cuba merubah konsep cerita kepada bangunan berhantu.

TOWN MALL adalah nama sebuah pusat membeli belah di dalam cerita tersebut yang mana punya misteri dan rahsia yang tiada siapa tahu. Kisah yang diinspirasikan dari kisah sebenar bangunan PALM MALL, SEREMBAN ini telah difiksyenkan mengikut gaya penulisan beliau. Bagaimana hasilnya? Sama-samalah kita nantikan November 2015 nanti.

Selain itu, ini merupakan 'comback' Hasrudi dalam genre seram selepas hampir 7 tahun berhenti dari menghasilkan novel seram. Beliau berharap, 'comeback' yang beliau buat ini bisa menambah koleksi seram pembaca-pembaca novel seram yang semakin ramai sejak kebelakangan ini.

Berikut adalah sinopsis TOWN MALL:

Bangunan yang terbengkalai itu punya misteri tersendiri. Desas desus mengatakan, projek itu terbengkalai disebabkan berlakunya gangguan makhluk halus pada pekerja-pekerja binaan dan jurutera yang menguruskan projek itu sehingga projek itu tidak dapat disiapkan.

Selepas hampir 10 tahun terbengkalai, sebuah syarikat binaan tempatan yang gah di negara ini cuba menyambung semula projek itu dengan harapan bengunan itu bisa menjadi sebuah pusat membeli belah terkenal dan terkemuka di bandar Seremban. Adakah projek itu bisa disiapkan dengan sempurna tanpa ada masalah? Adakah gangguan makhluk halus yang menganggu sebelum ini betul-betul sudah hilang? Apakah hal yang berlaku 10 tahun lalu tidak akan berulang lagi?

Kisah ini punya tiga cerita. Setiap cerita punya misteri dan konflik tersendiri. Tetapi kisahnya masih berkait antara satu sama lain. Kisah utamanya tetap... bangunan usang yang dibina semula dengan nama baru sebagai, Town Mall.

SINOPSIS SETIAP KISAH:

KISAH 1 : Rusdi, seorang pengurus projek yang telah dilantik untuk menguruskan projek itu yang sudah hampir 10 tahun terbengkalai. Kisah misteri yang berlaku 10 tahun lalu membuatkan dia terasa sangsi untuk menguruskan projek itu. Namun, pilihan apa yang dia ada? Projek sudah diserahkan, hendak tidak hendak dia perlu uruskan projek itu sehingga siap.

Projek tetap terus berjalan sehinggalah sampai satu masa, hal yang berlaku 10 tahun lalu kembali berulang! Simen tidak mengeras dengan sempurna dan kejadian pekerja binaan dirasuk dan terjun dari aras paling atas kembali terjadi.

Pelbagai usaha telah dilakukan termasuk memanggil beberapa orang bomoh dan pawang. Ternyata, bangunan itu memang sudah berpenunggu! Tiada bomoh atau pawang yang bisa mengusir penunggu bangunan itu.

Penunggu apa yang sering menganggu kerja mereka?

KISAH 2: Ariani merupakan salah seorang pengurus projek membina Town Mall yang tergendala buat kali kedua enam bulan lalu. Walaupun kisah misteri yang berlaku di tapak projek itu berlaku di hadapan matanya sendiri, dia tetap perlu meneruskan projek itu. Dia tiada pilihan lain. Kes simen tidak mengeras dengan sempurna enam bulan lalu masih segar dalam ingatannya.

Tatkala projek hampir siap dan proses mengecat di bahagian dalam bangunan dan pemasangan cermin di setiap tandas yang ada dijalankan. Telah berlaku sesuatu yang sukar untuk dirungkai!

Cermin yang dipasang di setiap tandas yang ada akan pecah dengan sendirinya selepas sejam ia dipasang! Hendak menafikan pun tidak boleh kerana hal itu berlaku di hadapan mata setiap pengurus projek yang menguruskan projek itu.

Mengejutkan! Semasa Ariani merakam kejadian cermin tandas itu pecah, tidak terlihat apa-apa di skrin telefon pintarnya. Namun, semasa dia melihat semula rakaman itu, ada sesuatu di sebalik cermin!

Makhluk apa yang kelihatan di sebalik cermin itu?

KISAH 3: Yusof, Danie dan Adha, bersahabat sejak kecil dan bekerja di sebuah kedai buku terkenal dan gim di Town Mall. Muncul Marini mengundang sesuatu yang tidak dijangka dalam hubungan mereka bertiga.

Berita tentang bangunan Town Mall ini yang penuh misteri semakin melata di dada-dada akhbar dan laman sosial. Setiap tandas di bangunan ini yang tidak bercermin telah mengundang tanda tanya semua pengunjung yang ada.

Hal itu membuatkan mereka berempat tertarik untuk merasai sendiri gangguan yang menjadi sebutan orang ramai ketika ini.

Atas cadangan Marini, mereka bakal melihat sendiri sama ada bangunan Town Mall itu benar-benar berhantu atau tidak. Marini telah mencadangkan supaya mereka memainkan permainan seruan Ouija! Permainan yang seakan-akan ‘spirit spirit of the coin’ itu bakalan menyahihkan sama ada bangunan di mana tempat mereka bekerja itu benar-benar ada roh tidak tenteram, atau sekadar mitos semata-mata.

Adakah mereka berjaya menyeru roh tidak tenteram di bangunan itu?


Untuk novel seram kali ini, Hasrudi cuba mecipta sedikit kelainan dari novel-novel seram beliau sebelum ini. Dalam TOWN MALL ada tiga kisah berbeza dengan latar waktu yang berbeza. Namun, setiap cerita tetap berkait dan masih berkisarkan tentang pusat membeli belah TOWN MALL tersebut dari proses binaan yang disambung semula sehinggalah bangunan itu siap dibina demi mengaitkan setiap mitos mengenai bangunan tersebut.

Jika anda ingin tahu kisah-siah misteri yang ada di dalam novel ini, anda boleh search 'Misteri Palm Mall Seremban' di Google, dan banyak kisah misteri berkaitan bangunan tersebut. Dari mitos-mitos yang dikongsi di laman web dan forum-forum yang ada, Hasrudi fiksyen dalam sebuah kisah yang lebih realistik.

Kenapa tukar nama mall tersebut? Kenapa tidak kekalkan kepada PALM MALL? Soalan itu ada yang bertanya. Demi mengelak timbulnya isu yang tidak diingini di kemudian hari, penulis mengambil langkah untuk menukar nama bangunan tersebut. Nak tahu kenapa bangunan itu berhantu? Kenalah dapatkan TOWN MALL yang bakal berada di pasaran NOVEMBER 2015 nanti.

Jika 'comeback' yang Hasrudi cuba buat ini tidak menjadi, mohon maaf dipinta dan beliau sudah buat sehabis baik. InsyaALLAH, selepas TOWN MALL, Hasrudi akan muncul dengan dua projek seram gabungan  7 penulis seram BUKU PRIMA yang terhebat dan bakal muncul dengan NOVEL SOLO SERAM TERBARU pada tahun hadapan, insyaALLAH.. Kisah apa pula? Masih pasal bangunan berhantu... nantikannya!





Mantap